Friday, March 16, 2012

WAJIB IKHLAS DALAM MENUNTUT ILMU AGAMA ISLAM

Dari Ka’ab bin Malik r.a., dari Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, mafhumnya :

“Sesiapa yang menuntut ilmu, dengan tujuan bermegah-megah menandingi alim ‘ulama dengan ilmunya itu, atau dengan tujuan bertengkar dan bertegang urat dengan orang-orang yang jahil dengan ilmunya itu, atau pun dengan tujuan menarik dengan ilmunya itu perhatian orang ramai memujinya, nescaya Allah akan memasukkannya ke dalam neraka.” At-Tirmidzi dan Ibnu Majah

Dalam Hadis tersebut di atas, Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam mengingatkan tiga perkara yang tidak sepatutnya dijadikan tujuan bagi menuntut ilmu agama:

1. Bermegah-megah menandingi ‘Ulama
2. Bertengkar dengan orang-orang jahil, dan
3. Untuk mendapat pujian orang ramai

Sesiapa yang menjadikan salah satu dari tiga perkara yang tersebut sebagai tujuannya dalam mempelajari ilmu agama, maka amatlah buruk balasannya, kerana sikap dan tujuannya yang demikian bukan sahaja merosakkan dirinya sendiri bahkan juga membawa kerosakan kepada agama Allah yang dibawa oleh RasulNya.

Kejadian yang demikian dapat disaksikan di mana-mana; ada di antara orang-orang yang mempelajari ilmu Agama Islam daripada orang-orang kafir Yahudi dan Nasrani semata-mata untuk mendapatkan ijazah tinggi dan untuk mendapatkan kedudukan dalam pentadbiran pihak-pihak yang berkuasa atau sebagai pengajar dalam negara.

Terdapat sesetengah daripada mereka itu bertopengkan Agama Islam untuk memecahbelahkan umat Islam di samping memburuk-burukkan agama Islam dengan menolak hukum-hukum yang diperintahkan Allah Ta’ala, kerana katanya hukum-hukum itu tidak sesuai mengikut zaman atau belum sesuai diamalkan sekarang.


Hari Jumaat
23 Rabi ‘ulAkhir 1433 Hijriyah
16 Mac 2012

No comments: