Friday, August 21, 2015

ALQURAN PEMBELA


Daripada Abu Malik Asy’ari radhiallahu ‘anh meriwayatkan bahawa Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, mafhumnya:

“Wuduk itu separuh daripada iman.

Ucapan “Alhamdulillah” menyebabkan timbangan amalan penuh dengan pahala.

Ucapan “SubhanAllah” dan “Alhamdulillah” menyebabkan  ruang antara langit dan bumi penuh dengan pahala.

Solat ialah nur.

Sedekah ialah bukti,

dan sabar ialah cahaya,

dan AlQuran ialah pembela kamu ataupun pendakwa bagi kamu (yakni sekiranya kamu membacanya dan beramal dengannya maka AlQuran itu akan menjadi sebab keselamatan untuk kamu dan sekiranya tidak, maka AlQuran itu akan menjadi sebab azab untuk kamu.)”  (Muslim)


Keterangan:

Hadis ini menyatakan bahawa wuduk ialah separuh daripada iman kerana iman merangkumi pembersihan batin dan pembersihan zahir.  Yakin membersihkan batin daripada kekotoran kufur dan syirik daripada hati manakala wuduk pula membersihkan anggota daripada kekotoran hadas dan najis.  Salah satu maksud daripada kenyataan bahawa solat itu nur ialah solat mencegah daripada perbuatan dosa dan keji sebagaimana cahaya menjauhkan kegelapan. 

Maksud yang lain ialah pada hari kiamat wajah orang bersolat akan bercahaya dan demikian juga di dunia ini wajah orang yang bersolat kelihatan segar dan ceria.

Maksud ketiga ialah solat akan menjadi nur menerangi kegelapan kubur dan hari kiamat.

Maksud daripada kenyataan bahawa sedekah merupakan bukti ialah harta biasanya sangat dikasihi oleh manusia, apabila seseorang itu sanggup membelanjakan hartanya di jalan ALLAH SUBHANAHU WATA’ALA dan memberi sedekah, maka perbuatannya memberi sedekah itu menjadi tanda dan bukti  tentang kebenaran imannya kepada ALLAH TA’ALA.

Maksud daripada kenyataan bahawa sabar itu cahaya ialah seseorang yang bersabar iaitu seseorang yang rela menanggung kesusahan mentaati perintah ALLAH TA’ALA dan rela menanggung kesusahan meninggalkan larangan ALLAH TA’ALA serta rela menanggung kesusahan-kesusahan yang lain, maka dia ialah seorang yang memiliki cahaya hidayah dalam hatinya.  (Nawawi: Mirqat)


  
Hari Juma’at
6 Dzulkaedah 1436 Hijriyah
21 Ogos 2015


Friday, August 7, 2015

PEMBACA ALQURAN TANPA KEBAIKAN


Daripada ‘Abdullah bin ‘Abbas radhiallahu ‘anhuma meriwayatkan bahawa pada suatu malam semasa di Mekah Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam telah berdiri lalu bersabda sebanyak tiga kali, mafhumnya:

“Ya ALLAH!  Adakah aku telah sampaikan?” 

Lalu Sayyidina ‘Umar radhiallahu ‘anh yang merupakan seorang yang banyak mengadu kepada ALLAH TA’ALA pun bangun dan berkata:

“Ya. (Saya menjadikan ALLAH TA’ALA sebagai saksi bahawa tuan telah menyampaikannya).  Tuan (Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam) telah mendorong orang ramai ke arah Islam, tuan telah berusaha bersungguh-sungguh untuk itu dan telah  memberi nasihat untuk umat.”

Kemudian Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda:

“Sesungguhnya keimanan pasti akan terus mengatasi keadaan sehingga ia akan mengembalikan kekufuran ke tempat asalnya.  Kamu pasti akan meredah lautan untuk mengembangkan Islam. 

Dan pasti akan datang kepada manusia satu zaman yang mereka akan mempelajari Al-Quran dan mereka akan membacanya dan mereka akan berkata: “Kami telah membacanya dan telah memahaminya maka siapakah yang lebih baik daripada kami?”

Lalu Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda kepada para sahabatnya:

“Apakah mungkin ada apa-apa kebaikan pada mereka itu? (Yakni pada mereka tidak ada sebarang kebaikan pun, sedangkan mereka berkata siapakah yang lebih baik daripada kami.)”

Para sahabat radhiallahu ‘anhum bertanya:

“Siapakah mereka itu, Ya Rasulullah?”

Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda:

“Mereka adalah daripada kalangan kamu sendiri yakni mereka ialah daripada kalangan umat ini dan merekalah yang akan menjadi kayu api neraka.”  (Tabarani: Majma’ uz-Zawa’id)


Daripada ‘Abdullah bin ‘Amr radhiallahu ‘anhuma berkata bahawa Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, mafhumnya:

“Berapa ramai orang yang berilmu tetapi tidak mempunyai kefahaman agama (kefahaman yang sepatutnya ada bersama ilmu tetapi tidak dimilikinya). 

Sesiapa yang tidak mendapat manfaat daripada ilmunya maka kejahilannya akan memudaratkannya. 

(Sebenarnya) kamu akan sentiasa dianggap sebagai pembaca Al-Quran selagi Al-Quran mencegah kamu (daripada dosa dan perbuatan keji) dan apabila Al-Quran tidak lagi mencegah kamu maka pada hakikatnya kamu tidak dianggap sebagai orang yang membacanya.”  (Tabarani: Majma’ uz-Zawa’id)



Hari Juma’at
22 Syawal 1436 Hijriyah
7 Ogos 2015