Friday, November 16, 2012

BUAH LABU




(CUCURBITA PEPO)

Buah labu dikenali dan disukai ramai.  Buah labu tidak boleh dimakan mentah seperti ulam-ulaman, salad dan sebagainya.

Buah labu isinya lembut bila dimasak dan terdapat banyak buku-buku resipi masakan labu di jual di kedai-kedai buku dan majalah.

Di antara masakan orang Melayu di Malaysia ini ialah labu masak lemak cili api, masak lemak putih campur bayam dan dibuat kuih-muih seperti pengat, serawa, lepat, juga dikukus makan dengan kelapa dan gula, dan lain-lain cara masakan lagi. 

Jarang orang Melayu menggunakan labu untuk dibuat kek atau pudding atau sup atau “pie”.

Terbaca dalam sebuah kitab yang menyatakan di antara khasiat dan manafaat makan labu ialah:

·           1.   Menyejukkan bahang dalam perut
·           2.   Menghilangkan dahaga
·           3.   Menghilangkan panas badan
·          4.   Bagus untuk hempedu
·          5.   Mencergaskan minda (otak)
·          6.   Baik untuk mata
·          7.  Melembutkan urat perut

Tersebut bahawa Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam makan labu, sebagaimana yang diriwayatkan dalam sebuah Hadis yang dikeluarkan oleh Abu ‘Isa At-Tirmidzi:

“Daripada Abi Tolut, katanya: “Aku telah berjumpa Anas Bin Malik semasa ia sedang menikmati masakan labu, dan ia (Anas bin Malik) berkata: “Amboi!  Hai pohon, betapa eloknya engkau, betapa sukanya aku kepada engkau kerana suka Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam akan dikau.”  Ghariib

Tersebut dalam Hadis yang lain, meriwayatkan bahawa Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam amat suka makan labu, sebagaimana tersebut dalam  Hadis yang dikeluarkan juga oleh Abu ‘Isa At-Tirmidzi:

“Daripada Anas bin Malik r.a. katanya: “Telah aku lihat Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam mencari-cari labu dalam pinggan, kerana gemarnya Baginda akan labu itu, hingga jika ada daging bersama-samanya (labu) di hadapan Baginda, ditinggalkannya daging itu.”

Maka sentiasalah pula gemar aku (Anas bin Malik) makannya semenjak aku lihat Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam sukakan dia.”  Hasan dan Sahih


“Daripada Saiyidatina ‘Aisyah r.anha: “Bahawasanya Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda Baginda kepadaku (Saiyidatina ‘Aisyah r.anha): “Apabila engkau membuat masakan, maka banyakkanlah olehmu di dalamnya labu merah itu kerana bahawasanya ia (labu merah) itu menguatkan hati orang-orang yang berdukacita.” 



Hari Jumaat
2 Muharram 1434 Hijriyah
16 November 2012





Friday, November 9, 2012

FITNAH BANGSA ARAB



                             
SLOGAN

Bahawasanya kita dapat bersaksi, seluruh negara-negara Arab termasuklah Arab Saudi tidak menjalankan hukum-hukum Allah dan RasulNya dengan sepenuhnya. 

Pemimpin-pemimpin mereka terdiri daripada orang-orang jahil dalam Agama Islam.  Maka apa yang menjadi ketetapan kepada mana-mana negeri muslim “Muslim State” ialah mereka senantiasa menghadapi fitnah huru hara, berperang-perangan, bunuh membunuh, pertumpahan darah sesama sendiri.

Pemimpin-pemimpin  mereka memilih dan menggembar gemburkan ideologi-ideologi Islam dalam berbagai bentuk yang sesuai bagi kepentingan pemerintahan mereka sahaja dengan mengeluarkan slogan-slogan mengenai perpaduan ummah, pembangunan ekonomi Islam, membasmi kemiskinan ummah, dan sebagainya.  Mereka juga mengadakan bermacam-macam forum, seminar, dialog mengenai perkara-perkara tersebut.

Dalam masa yang sama pemimpin-pemimpin dan agensi-agensi kerajaan akan meminta dan menyeru rakyat jelata  bersatu padu memelihara ikatan persaudaraan “ukhuwah” bagi mengukuhkan perpaduan Ummah dan lain-lain lagi sebagai candu dan umpan angan-angan kepada rakyat jelata.


LAMBANG

Di samping itu pemimpin-pemimpin itu membelanjakan jumlah wang yang besar untuk menonjol dan mengadakan lambang-lambang Islam seperti membina masjid-masjid yang besar, indah dan cantik sehingga menyerupai gereja-gereja, mengadakan Darul Quran, Darul Hadis, universiti-universiti yang ada pembelajaran Islam, universiti-universiti Islam, menaja pelajar-pelajar dengan memberi biasiswa-biasiswa.  Menubuh bank-bank Islam, pajak gadai Islam “Ar-Rahnu”, insuran-insuran Islam  dan lain-lain lagi. 

Semuanya itu diadakan untuk memperlihatkan kepada rakyat bahawa usaha dan kesungguhan kerajaan bagi menarik perhatian rakyat balik kepada Islam dari satu dekad ke satu dekad dan dari satu abad ke satu abad, sedangkan KERAJAAN ISLAM tidak muncul di mana-mana negeri orang-orang Islam “Muslim State” sampai ke hari ini tahun 2012. 

Maka dari segi persepsi ini, jelas bahawa Agama Islam hanya dipermain-mainkan dan hanya layak diamalkan oleh rakyat jelata mengikut perkara-perkara, peraturan-peraturan dan hukum hakam yang diluluskan oleh pemerintah sahaja. 
Pemimpin-pemimpin negeri-negeri orang-orang Islam “Muslim States” terus menjalankan pemerintahan mereka mengikut cara sekular.


MATI DALAM HARAPAN

Sudah berapa bilion rakyat Islam yang telah mati dan akan mati dengan harapan akan adanya KERAJAAN ISLAM yang boleh membawa dan memimpin mereka ke jalan Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

Justeru itu, selagi pemimpin-pemimpin Islam tidak menjalankan hukum-hukum Allah dan RasulNya, maka selama itulah negeri-negeri Muslim “Muslim States” akan menghadapi fitnah huru hara, berperang-perangan, bunuh membunuh, bertumpah darah sesama sendiri.

Kerajaan sanggup membunuh rakyatnya sendiri apabila rakyatnya bangkit meminta kerajaan melaksanakan hukum-hukum Allah Ta’ala.  Kerajaan akan mencari alasan bahawa orang-orang Islam yang bangkit meminta kerajaan melaksanakan hukum-hukum Allah Ta’ala itu sebagai militan, pengganas, ekstremis, penderhaka kepada kerajaan, negara dan sebagainya.

Kerajaan-kerajaan orang-orang Islam tidak mempunyai jati diri sebagai orang Islam  yang beriman dan bertaqwa untuk melaksanakan perintah-perintah Allah Ta’ala kecuali sedikit sahaja daripada perintah-perintahNya yang bersesuaian dengan mereka, yang diikuti kerajaan-kerajaan tersebut .   Pada masa yang sama, mereka mengikuti gaya hidup kafir, berlaku ingkar perintah-perintah Allah Ta’ala dan suka kepada perkara-perkara maksiat dalam pemerintahan mereka.

Mereka sebenarnya adalah penipu terhadap Agama Allah Ta’ala.  Hukum-hukum Allah tidak dilaksanakan sepenuhnya, undang-undang jahiliyah rekaan mereka dimartabatkan setinggi-tingginya.

Allah Ta’ala berfirman dalam Surah An-Nisaa’, Ayat 142, maksudnya:

“Sesungguhnya orang-orang munafik itu melakukan tipu daya (terhadap agama) Allah (dengan perbuatan pura-pura beriman sedang mereka kafir pada batinnya), dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka (dengan membiarkan mereka dalam keadaan munafik). Mereka pula apabila berdiri hendak solat, mereka berdiri dengan malas.  Mereka (hanya bertujuan) ria’ (memperlihatkan solatnya) kepada manusia (supaya disangka bahawa mereka orang-orang yang beriman), dan mereka pula tidak mengingati Allah (dengan mengerjakan solat) melainkan sedikit sekali (jarang-jarang).”  Ayat 142


KING KETUA AGAMA ISLAM

Allah Ta’ala berfirman dalam Surah A-li ‘Imraan, Ayat 19, maksudnya:

“Sesungguhnya Agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah ISLAM” Ayat 19

Mengikut perlembagaan yang diciptakan sendiri, kerajaan meletakan King atau lain-lain gelaran ketua negara, juga secara “implied” sebagai KETUA AGAMA ISLAM, sedangkan Kings dan mana-mana makhluk sama ada jinn atau manusia, sama sekali tidak layak menjadi KETUA AGAMA ISLAM, kerana AGAMA ISLAM adalah Agama di sisi Allah sahaja dan Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam adalah Rasul Allah dan bukan KETUA AGAMA ISLAM, begitu juga Nabi-nabi dan Rasul-rasul Allah sekaliannya bukan KETUA AGAMA.

Berdasarkan kepada firman Allah Ta’ala tersebut di atas, maka menjadi satu kesalahan besar dan berdosa apabila manusia mengaku diri mereka atau mereka dilantik sebagai pemimpin atau memegang kuasa pemerintahan dianggap KETUA AGAMA ISLAM kerana perbuatan itu menandingi  kuasa Allah Ta’ala. Na’uzubillahi min zalik.


HUKUM-HUKUM ALLAH DIPERLEKEHKAN

Saudi King, walaupun pada masa sekarang ini, menubuhkan majlis musyawarah yang mana ahli-ahlinya terdiri daripada orang-orang yang disebut sebagai ahli-ahli agama Islam yang dikatakan mengikut Al-Quran dan Sunnah Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.

Sebenarnya apa yang berlaku, keputusan-keputusan atas sesuatu hukum atau peraturan dalam agama Islam bercanggah dari masa ke semasa mengikut kehendak dan keadaan dan tidak mengikut hukum-hukum yang telah ada dalam Al-Quran dan Sunnah Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam yang sedia dipakai oleh para sahabat, ulamak-ulamak muktabar dan ahlissunnah waljamaah.  Lebih-lebih lagi kuasa perundangan yang tertinggi dalam negara adalah terletak di bawah kuasa King “legislation by King’s decree”.

Saudi King dan kabinet kerajaannya yang mengubah suai “modify” hukum-hukum dan perintah Allah Ta’ala dan RasulNya, yakni beriman kepada sesetengah hukum dan kufur kepada sesetengah hukum yang lain mengikut fahaman ajaran Wahhabi.  Di samping itu mereka menggunakan jenama yang kukuh iaitu “Wahhabi  Salafi” cantuman jenama Wahhabi untuk mengaburi mata umat Islam sedunia.


GOLONGAN SALAFI

“Salafi” bermaksud generasi umat Islam yang terawal iaitu golongan yang terdiri daripada para sahabat, tabi’in dan tabi’  tabi’in, yang hidup sebelum hijrah sehingga 300 tahun selepas hijrah.

Melihat kepada Saudi King dan pemerintah-pemerintah kerajaan negeri orang-orang Islam “Muslim States” yang ada sekarang ini, didapati mengakui mengikuti Al-Quran dan Sunnah Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam hanya dijadikan topeng untuk memperbodoh-bodohkan rakyat dan menipu seluruh umat Islam sedunia.

Buktinya, walaupun pemerintah yang terdiri daripada orang-orang Islam membaca Al-Quran dan Hadis, menyebut Allahu Akbar –Allah Yang Maha Besar,  mengakui Allah yang menciptakan langit dan bumi dan segala yang ada di antaranya, dan Allah jua yang menciptakan manusia;  mereka menolak Al-Quran dan Sunnah Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam kerana mereka tetap yakin dan percaya kepada undang-undang yang diciptakan oleh manusia lebih tinggi daripada undang-undang Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

Allah Ta’ala berfirman dalam Surah Al-Maa’idah, Ayat 50, maksudnya:

“Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum JAHILIYAH?  Padahal - kepada orang-orang yang penuh keyakinan - tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih baik daripada Allah.”  Ayat 50


GERUNKAN KAFIR YAHUDI

Makkah Al-Mukarramah di mana terletaknya Ka’abah yang menjadi Qiblat kepada umat Islam seluruh dunia, dan Masjidil Haram yang menjadi pusat perjumpaan dalam perhimpunan agong sedunia adalah satu-satunya tempat, tanah yang teramat mulia. 

Di sanalah terbitnya pancaran cahaya Islam yang dibawa oleh Baginda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam. Kerajaan yang memerintah tempat yang mulia itu wajib menjalankan hukum-hukum Allah Ta’ala sepenuhnya supaya dapat menjadi contoh kepada umat Islam sedunia.

Sehingga kini tahun 2012, sudah 82 tahun Kerajaan Saudi mentadbir dua Tanah Suci, Makkah Al-Mukarramah dan Madinah Al-Munawwarah tidak melaksanakan hukum-hukum Allah Ta’ala sepenuhnya, walaupun Saudi menyebut bahawa Al-Quran dan Sunnah Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam sebagai sumber undang-undang yang digunapakai. 

Allah Ta’ala berfirman dalam Surah Al-Maa’idah, Ayat 44, Ayat 45 dan Ayat 47, maksudnya :

“Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang yang kafir.” Ayat 44

“Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.”  Ayat 45

“Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang yang fasik.”  Ayat 47

Kerajaan Saudi juga menjadi sekutu kepada Amerika Syarikat dan Yahudi, walaupun kerajaan Yahudi tidak ada wakilnya di Saudi.  Segala urusan dan perdagangan di antara negara Yahudi dan kerajaan Saudi adalah melalui negara ketiga, sepertimana negeri-negeri orang-orang Islam “Muslim States” lain yang tidak ada wakil Yahudi di negara mereka.

Allah Ta’ala berfirman dalam Surah Al-Maa’idah, Ayat 51 dan Ayat 52, maksudnya:

“Wahai orang-orang yang beriman!  Janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani itu sebagai teman rapat, kerana setengah mereka menjadi teman rapat kepada setengahnya yang lain;  dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka teman rapatnya, maka sesungguhnya ia adalah dari golongan mereka itu.  Sesungguhnya Allah tidak memberikan pertunjuk kepada kaum yang berlaku zalim.”  Ayat 51

“Dalam pada itu, engkau lihat orang-orang (munafik) yang ada penyakit dalam hatinya segera berusaha mendampingkan diri kepada mereka (Yahudi dan Nasrani), sambil berkata:  “Kami takut bahawa kami akan ditimpa bencana.”  Ayat 52


SODAQO RASULULLAH SALLALLAHU ‘ALAIHI WASALLAM

Setiap kejadian baik atau buruk ke atas umat Islam sama ada bangsa Arab atau Ajam, telah diberitahu dan mendapat peringatan melalui Sabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.

Di antaranya ialah kejadian yang menimpa bangsa Arab khususnya yang telah diberitahu oleh Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.  Perkara itu benar-benar berlaku pada akhir zaman ini iaitu fitnah huru-hara, berbunuh-bunuhan, berperang-perangan dan pertumpahan darah sesama Islam. Ianya merebak di kalangan orang-orang Arab kerana mereka tidak menjalankan hukum-hukum Allah dan RasulNya. 

Apabila Al-Quran dan Sunnah Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam ditinggalkan, maka banyaklah kejahatan yang berlaku di kalangan bangsa Arab.

Perkara ini juga berlaku di kalangan bangsa-bangsa lain yang beragama Islam yang tidak menjalankan hukum-hukum Allah dan RasulNya, sebagaimana dikhabarkan dalam sebuah Hadis berikut:

“Daripada Abdullah bin ‘Amru katanya: ‘Telah bersabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam: “Didapati fitnah itu menyapu ia akan ‘Arab yang mati-matinya dalam neraka, lidah padanya lebih (tajam) daripada pedang.”  Ghariib

Imam Ahmad meriwayatkan dari Zainab bint Jahsy, isteri Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, bahawa Zainab menyatakan bahawa Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam pernah bangun dari tidurnya dengan wajah merah dan bersabda:

“Laa Ilaaha Illallah, celakalah bangsa ‘Arab dari kejahatan yang telah dekat.  Hari ini dinding penutup Ya’juj dan Ma’juj telah terbuka seperti ini.”  Lalu Baginda melingkarkan ibu jarinya pada telunjuknya.  Aku (Zainab) pun bertanya:  “Ya Rasulullah! Apakah kita akan binasa sedang di antara kita masih ada orang-orang soleh?”  Baginda menjawab:  “Ya, apabila telah banyak kejahatan.”   Sahih, Muslim dan Bukhari.


  
Hari Jumaat
24 Zulhijjah 1433 Hijriyah
9 November 2012


Friday, November 2, 2012

CERMIN DIRI




Wahai cermin tunjukkanlah daku 
Sebagaimana aku melihat diriku
Semuanya cantik pada pandanganku
Aku segak sepanjang waktu

Cermin bersih kilau-kilauan
Ku lihat diriku dalam bayangan
Bentuk rupa parasku dalam pandangan
Bagai merak badan digayakan

Pusing kiri pusing kanan
Betulkan rambut dan pakaian
Merasa diriku cantik tiada tandingan
Dalam khayalan ku buat bandingan

Bagai telor dikupas licin dahiku
Bagai delima merkah bibirku
Bagai guitar bentuk badanku
Bagai bunting padi betisku

Rambut hitam warna hati
Cahaya mata bintang musytari
Putih gading warna gigi
Pauh dilayang bentuk pipi

Ikal mayang rambutku
Seludang nyiur hidungku
Tombak serai jari-jariku
Bulat telur puyuh tumitku

Cermin oh cermin, aku di hadapanmu
Dalam pelukan khayalanku
Hanyut dalam igauanku
Melintas alur-alur hidupku

Jauh sudah aku ditinggalkan waktu
Jauh saujana ingatan dan fikiranku
Segala-galanya telah tinggalkan daku
Dalam perjalanan sepanjang umurku

Jalur dahi berlipat-lipatan
Kulit muka berkedut-kedutan
Rambut di kepala berkurangan
Warna hitam putih bercampuran

Senyumanku tidak manis lagi
Gigi panjang keluar dari gusi
Rongak berlubang di sana sini
Makanan keras tidak tergigit lagi

Pipi cengkung lagi kempis
Dagu sudah berlapis-lapis
Belakang bongkok macam sabut
Dada kini leper dan kecut

Cermin oh cermin, si cermin sakti
Benarkah ia bayanganku ini
Apakah wajah dan rupaku ini
Sudah tidak seperti dahulu lagi

Umur mudaku kini sudah berlalu
Angan-anganku tetap setia dalam jiwaku
Lupa ia badanku lemah dan lesu
Tulang sendi pun sudah keras dan kaku

Harta dunia telah aku kumpulkan
Dari mudaku dengan penuh harapan
Senang sihat kecantikanku terus berpanjangan
Sebenarnya umurku terus berjalan

Habis kekayaan dunia aku belanjakan
Habis semua usaha dan pengetahuan
Para doktor dan pakar perubatan
Penyakit tuaku tidak dapat ditahan


Hari Jumaat
17 Zulhijjah 1433 Hijriyah
2 November 2012