Friday, July 27, 2012

ORANG MENJADI KERA DAN BABI



HIDANGAN DARI LANGIT

Allah Ta’ala berfirman dalam Surah Al-Maa’idah, Ayat 112, Ayat 113, Ayat 114, dan Ayat 115, maksudnya:

“Dan (ingatlah) ketika orang-orang Hawariyiin berkata:  “Wahai ‘Isa Ibn Maryam!  Dapatkah kiranya Tuhanmu berkenan menurunkan kepada kami satu hidangan dari langit?”  Nabi ‘Isa menjawab:  “Bertaqwalah kamu  kepada Allah jika benar kamu orang-orang yang beriman.”  Ayat 112

“Mereka berkata:  “Kami hanya ingin hendak makan dari hidangan itu (untuk mengambil berat), dan supaya tenang tenteram hati kami, dan juga supaya kami ketahui dengan yaqin, bahawa sesungguhnya engkau telah berkata benar kepada kami, dan supaya  menjadilah kami orang-orang yang menyaksikannya sendiri.”  Ayat 113

“’Isa Ibn Maryam (pun berdoa ke hadhrat Allah Ta’ala dengan) berkata:  “Ya Allah, Tuhan kami!  Turunkanlah kiranya kepada kami satu hidangan dari langit, untuk menjadi hari raya bagi kami, iaitu bagi kami yang ada hari ini dan bagi orang-orang kami yang datang kemudian, dan sebagai satu tanda (mukjizat) daripadaMu (yang menunjukkan kebesaran dan kekuasaanMu);  dan kurniakanlah rezeki kepada kami, kerana Engkau (Allah) jualah sebaik-baik Pemberi rezeki.”  Ayat 114

“Allah berfirman:  “Sesungguhnya Aku (Allah) akan menurunkan hidangan itu berulang-ulang kepada kamu, kemudian sesiapa di antara kamu kufur ingkar sesudah (turunnya hidangan itu), maka sesungguhnya Aku (Allah) akan menyiksanya dengan  azab sengsara yang tidak pernah Aku (Allah) siksakan seseorang pun dari sekalian makhluk.”  Ayat 115


ROTI DAN DAGING IKAN

Sesungguhnya isi hidangan yang turun dari langit itu ada banyak riwayatnya.  Satu daripadanya yang dikeluarkan oleh Abu ‘Isa At-Tarmidzi katanya:

“Daripada ‘Ammar bin Yasir katanya:  “Telah bersabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam: Diturunkan hidangan dari langit akan roti dan daging ikan dan disuruh mereka itu bahawa tiada khianat mereka itu dan jangan disimpan mereka itu bagi (untuk) besok.  Maka khianat mereka itu dan disimpan oleh mereka itu dan diangkat mereka itu untuk besok, maka dihapuskan mereka itu menjadi kera dan babi.”  Gharib.

Apabila diturunkan hidangan dari langit yang berisi dengan roti dan daging ikan itu, maka dimakan oleh orang fakir dan orang miskin dan orang sakit dan lain-lainnya kecuali orang-orang kaya.  Mereka sombong dan enggan memakannya kerana pada pandangan mereka makanan roti dan daging ikan itu tidak layak dimakan oleh mereka.

Setiap orang fakir, orang miskin, yang sakit, yang makan makanan hidangan itu, semuanya menjadi sihat.


ORANG-ORANG KAYA KHIANAT

Sesudah dilihat oleh orang-orang kaya akan orang-orang fakir dan orang-orang miskin, apabila mereka makan makanan itu sembuh segala penyakitnya dan berkat,  maka orang-orang kaya mula iri hati dan mahu makan makanan hidangan itu pula.
Apa kala turun hidangan itu pada hari yang lain, maka orang-orang kaya pun makan makanan hidangan tersebut.

Oleh kerana hidangan tersebut tidak turun tiap-tiap hari bahkan turunnya berselang hari, maka ada orang-orang kaya yang mula kufur dan membuat khianat iaitu mereka menyimpan hidangan itu bagi diri mereka untuk dimakan pada besok harinya iaitu pada hari di mana hidangan itu tidak turun.

Selepas empat puluh hari turunnya hidangan itu, maka diwahikan Allah Ta’ala kepada Nabi ‘Isa ‘Alaihissalam menjadikan hidangan itu hanya bagi orang-orang fakir dan orang-orang miskin sahaja dan tidak bagi makanan itu kepada orang-orang kaya. 

Maka dengan sebab perintahNya itu, maka menjadi iri hati orang-orang kaya dan bermusuh mereka itu dengan orang-orang fakir dan orang-orang miskin.

Setelah orang-orang kaya itu melakukan  khianat dan derhaka kerana menyimpan makanan hidangan dari langit itu serta dendam hati, maka diturunkan Allah Ta’ala ke atas mereka itu azabNya dengan menghapuskan kejadian manusia  mereka itu bertukar menjadi kera dan babi. 

Bermalam mereka itu berserta isteri-isteri mereka kemudian datang pagi hari sudahlah menjadi kera dan babi.

Apa kala dilihat oleh Nabi ‘Isa ‘Alaihissalam akan orang-orang kaya itu jadi kera dan babi, maka menangislah Baginda, dan Baginda panggil akan nama-nama mereka itu, maka diangguk oleh mereka itu dengan kepala mereka kerana mereka itu tidak  berupaya berkata-kata atau bertutur seperti manusia.


DAGING DAN DARAH JESUS

Berkaitan dengan kisah hidangan dari langit ini, orang-orang Kristian, mengikut apa yang dibawa oleh pendita-pendita mereka, telah membuat upacara sembahyang memecah-mecah roti dan membahagi-bahagikan air anggur merah, yang menurut kepercayaan sesetengah mereka itu bahawa roti yang mereka  makan itu benar-benar menjadi daging Jesus (Nabi ‘Isa ‘Alaihissalam) dan air anggur yang mereka minum itu benar-benar menjadi darah Jesus.

  
LANGGAR PERINTAH LARANGAN TANGKAPAN IKAN

Selain daripada kisah orang-orang kaya zaman Nabi ‘Isa ‘Alaihissalam yang disebut telah menjadi kera dan babi, maka pada zaman Nabi Musa ‘Alaihissalam kaum Yahudi telah disumpah menjadi kera dan babi yang hina kerana  mereka merasai diri mereka lebih pandai dan bijak dapat menipu Allah Ta’ala, serta melanggar perjanjian dan perintahNya.

Allah Ta’ala berfirman dalam Surah Al-Baqarah, Ayat 63, Ayat 64, Ayat 65 dan Ayat 66, maksudnya:

“Dan (ingatlah), ketika Kami (Allah) mengambil perjanjian setia kamu semasa Kami (Allah) angkatkan gunung Thursina di atas kamu (sambil Kami (Allah) berfirman):  “Terimalah Taurat yang telah Kami berikan kepada kamu (serta amalkanlah) dengan bersungguh-sungguh, dan ingatlah (jangan lupakan) apa yang tersebut di dalamnya, supaya kamu bertaqwa.”   Ayat 63

“Kemudian sesudah itu kamu membelakangkan perjanjian setia kamu itu (tidak menyempurnakannya); maka kalau tidaklah kerana limpah kurnia Allah dan belas kasihanNya kepada kamu (dengan membuka pintu taubat), nescaya menjadilah kamu dari golongan orang-orang yang rugi.”  Ayat 64

“Dan sesungguhnya kamu telah mengetahui (bagaimana buruknya akibat) orang-orang di antara kamu yang melanggar (larangan) paa hari Sabtu (yakni kaum Yahudi telah dilarang oleh Allah Ta’ala menangkap ikan pada hari Sabtu untuk menguji iman mereka, tetapi kerana tamak, mereka telah melanggar perintah Allah itu),  lalu Kami (Allah) berfirman kepada mereka:  “Jadilah kamu kera yang hina.”   Ayat 65

“Maka Kami (Allah) jadikan apa yang berlaku itu sebagai suatu hukuman pencegah bagi orang-orang ada pada masa itu dan orang-orang yang datang kemudian, dan suatu pengajaran bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.”  Ayat 66


Ibnu Kathir memberi tafsiran mengenai Ayat-ayat tersebut:

Pelanggaran yang dilakukan orang-orang Yahudi pada hari Sabtu dan diubahNya bentuk mereka menjadi kera dan babi. 

Allah Ta’ala berfirman:  “Dan sesungguhnya kamu  (kaum Yahudi) sudah mengetahui.”,  hai orang-orang Yahudi, azab yang telah ditimpakan kepada penduduk negeri yang menderhakai perintah Allah dan melanggar perjanjian yang telah diambilNya dari mereka agar menghormati hari Sabtu, serta melaksanakan perintah yang telah disyari’atkanNya bagi mereka.

Lalu orang-orang Yahudi mencari-cari alasan untuk dapat menangkap ikan pada hari Sabtu, iaitu  dengan memasang pancing, jala, dan perangkap sebelum hari Sabtu. 

Ketika ikan-ikan itu datang pada hari Sabtu dalam jumlah yang banyak seperti biasanya, maka ikan-ikan itu pun tertangkap dan tidak boleh keluar dari jaring dan perangkapnya.

Pada waktu malam setelah hari Sabtu berlalu, mereka pun segera mengambil ikan-ikan tersebut.

Ketika mereka melakukannya, maka Allah mengubah rupa mereka menjadi kera, haiwan yang lebih menyerupai manusia dalam bentuk, namun tidak seperti manusia sesungguhnya.

Demikian pula tindakan dan alasan yang mereka buat-buat yang secara lahiriyah nampak benar, akan tetapi sesungguhnya bertentangan.  Kerana itulah mereka mendapatkan balasan yang setimpal dengan jenis perbuatannya.

Kisah ini tersebut dalam Surah Al-A’raaf, Ayat 163, Allah Ta’ala berfirman:

“Dan bertanyalah kepada mereka (Wahai Muhammad) mengenai (penduduk) bandar yang letaknya di tepi laut, semasa mereka melanggar larangan pada hari Sabtu, ketika datang kepada mereka pada hari Sabtu itu ikan-ikan (yang menjadi cubaan kepada) mereka, yang kelihatan timbul di muka air;  sedang pada hari-hari yang lain, ikan-ikan itu tidak pula datang kepada mereka.  Demikianlah Kami (Allah) menguji mereka (dengan cubaan itu) kerana mereka sentiasa  berlaku fasik.”  Ayat 163

Hingga kisah selengkapnya:

Allah Ta’ala berfirman dalam Surah Al-Baqarah, Ayat 65, maksudnya:

“………….., lalu Kami (Allah) berfirman kepada mereka:  “Jadilah kamu kera yang hina.”  Ayat 65

Al-‘Aufi meriwayatkan dalam tafsirnya dari Ibnu ‘Abbas, dia mengatakan:  “Maka Allah mengubah sebahagian dari mereka menjadi kera dan sebahagian lainnya  menjadi babi.  Diduga bahawa para pemuda dari kaum tersebut diubahNya menjadi kera sedang orang-orang tua menjadi babi.”  Ibnu Abi Hatim.

  
WALLAHU A’LAMU BISSAWAB


Hari Jumaat
7 Ramadhan 1433 Hijriyah
27 Julai 2012