Monday, July 7, 2008

WAHAI ANAK ADAM MENGAPA?


BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIIM


Dengan nama Allah yang pemurah lagi penyayang, segala puji-pujian bagi Allah pentadbir sekalian 'alam, selawat dan salam ke atas semulia-mulia nabi dan Rasul iaitu penghulu kami Nabi Muhammad S.A.W. dan di atas keluarganya dan para sahabatnya sekalian.



WAHAI ANAK ADAM


Mengapa engkau tinggalkan ibumu?
Syurga itu di bawah tapak kaki ibumu yang solehah


Mengapa engkau tinggalkan bapamu?
Redha Allah pada redha bapamu yang soleh


Mengapa engkau tinggalkan anakmu?
Anak yang soleh mendoakan untukmu


Mengapa engkau tidak mengasihi cucu-cucumu?
Rasulullah S.A.W. bersabda: "Siapa yang tidak penyayang
tidak disayangi"


Mengapa engkau putuskan silaturrahim?
"Al-Qati'" pemutus silaturrahim tidak masuk syurga


Mengapa engkau lari dari kerabatmu?
Mati akan tetap menceraikan engkau dan kerabatmu


WAHAI ANAK ADAM

Mengapa engkau tidak memilih jodoh?
Nabi S.A.W. bersabda: "Berkahwin akan perempuan itu kerana hartanya
dan eloknya dan kerana bangsanya dan kerana agamanya (Islam),
maka lazimkan olehmu berkahwin dengan perempuan yang mempunyai agama (Islam)"

Mengapa engkau tidak jaga, belai dan didik isterimu?
Allah telah mengamanahkan perempuan sebagai isteri kepadamu

Mengapa engkau tidak bimbing dan pimpin isterimu?
Allah berfirman: "Masuklah ke dalam syurga bersama-sama
isteri-isterimu yang beriman"

Mengapa engkau biarkan isterimu buat derhaka?
Di syurga bidadari menunggu-nunggumu

Mengapa engkau terpikat dengan perempuan yang rendah pekerti?
Rasulullah S.A.W. bersabda: "Jauhkan dirimu daripada tumbuh-tumbuhan
yang tumbuh di tempat pembuangan sampah (Khudra uddamni)"

WAHAI ANAK ADAM

Mengapa engkau mengenang hidupmu dahulu?
Umurmu tidak berundur lagi

Mengapa engkau panjangkan angan-anganmu?
Ajalmu tidak sesaat dahulu dan tidak sesaat terkemudian

Mengapa engkau mencela keburukkan orang lain?
Ke'aipan dirimu tidak engkau lihat

Mengapa engkau menolong manusia tanpa mengira perbuatannya?
Allah berfirman: "Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat
kebajikan dan bertaqwa, dan jangan kamu bertolong-tolongan
pada melakukan dosa (maksiat) dan berseteru"

Mengapa engkau menyorok melakukan maksiat?
Allah Maha Mengetahui lagi Maha Melihat

Mengapa engkau menipu Allah?
Tipu Allah umpama semut hitam dalam gelap

Mengapa engkau berkira-kira hidup seribu tahun?
Umurmu bukan hak ditanganmu

WAHAI ANAK ADAM

Mengapa engkau tertarik dengan kehidupan kafir?
Kafir pedagang tiada kampung (syurga Allah)

Mengapa engkau takut akan manusia dan jin?
Allah yang memerintah sekalian 'alam, manusia dan jin

Mengapa engkau kagum dengan teknologi?
Allah yang menciptakan langit dan bumi
serta segala yang ada di antara keduanya

Mengapa engkau lemah semangat menghadapi musuh?
Muslim yang kuat dan pintar adalah terlebih baik

WAHAI ANAK ADAM

Mengapa engkau berduka kerana harta?
Gedung khazanah Allah tak habis engkau mempesakainya

Mengapa engkau berduka kerana sakit?
Sakit di dunia hanya sementara

Mengapa engkau berduka kerana kehilangan sesuatu?
Allah berfirman: "Apa yang ada pada kamu akan habis
dan hilang lenyap, dan apa yang ada di sisi Allah tetap kekal"

Mengapa engkau berduka ditinggalkan rakan?
Cukuplah hanya Allah sahaja temanmu

Mengapa engkau berduka kerana gagal dalam peperiksaan?
Sijil dan ijazah bukan penjamin rezeki

Mengapa engkau berduka dengan kekurangan dan kecacatan?
Kesempurnaan diganti Allah di akhirat bila engkau sabar dan solat

WAHAI ANAK ADAM

Mengapa engkau tidak merasai senang dalam hidupmu?
Berpadalah dengan apa yang ada yang dikurniakan Allah kepadamu

Mengapa engkau rasa tersangat pedih dan sakit hatimu?
Keluarkan olehmu sifat hasad dengki dari hatimu

Mengapa engkau tiada zahir kasih dalam dirimu?
Tinggalkan olehmu akan umpat mengumpat ke atas saudaramu

WAHAI ANAK ADAM

Mengapa engkau tidak melihat ramai manusia terjerat dengan hiasan syaitan?
Allah berfirman: "Syaitan memperelokkan pada pandangan mereka amal-amal
mereka yang jahat lalu ia menghalangi mereka dari jalan Allah; padahal mereka
orang yang bijak pandai dan berakal yang tidak dapat membezakan yang benar
dan yang salah"


Hari Selasa
5 Rejab 1429 Hijriyyah
8 Julai 2008