Friday, November 20, 2009

PUAK TAJDID DAN MULHID

BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIIM

TAJDID

Selain daripada puak-puak yang Anti Hadis, dan lain-lain puak yang menjadi musuh kepada Islam yang sebenar, sekarang ini ada satu puak yang menggelarkan diri mereka sebagai puak tajdid yang kononnya untuk membaharui ajaran-ajaran dalam Islam. Mereka itu senantiasa mempertikaikan hukum-hukum Allah Subhanahu Wata’alaa yang mana mereka rasa tidak sesuai pada pandangan logik mereka.

MULHID

Mulhid pula adalah puak yang tak menerima hukum-hukum dalam Islam, mengumpat-ngumpat tentang agama Islam, meninggalkan perintah-perintah Allah Ta’ala dan RasulNya serta cenderung kepada kezaliman dan menyangka buruk terhadap Allah Subhanahu Wata’alaa.

DUA DALAM SATU

Mulhid dan tajdid itu bolehlah digabungkan kedua-dua puak itu menjadi satu. Mereka itu berselindung di sebalik nama Islam tetapi sifat-sifat dan pemikiran mereka menyamai musuh Islam.

CETEK ILMU PENGETAHUAN AGAMA ISLAM

Islam yang sebenar telah berada di Malaysia ini lebih awal yakni sebelum orang-orang yang mengaku diri mereka sebagai puak tajdid itu lahir ke dunia ini.

Segala ilmu dan didikan agama puak-puak tajdid itu, tidak lain tidak bukan mereka dapat daripada Ulama-ulama yang terdahulu daripada mereka. Tanpa Ulama-ulama yang terdahulu itu, sudah tentu mereka menjadi musyrik dan kafir daripada awal kelahirannya lagi.

Selepas mereka mendapat sedikit ilmu agama Islam, puak tajdid itu sudah mula mencemuh kewibawaan Ulama-ulama yang beramal lagi muktabar yakni Ulama-ulama yang senantiasa takut akan Allah Subhanahu Wata’alaa.

MEMPERTIKAIKAN AL-QURAN DAN HADIS

Puak-puak tajdid itu, walaupun pandai dalam bahasa Arab, mereka bukan sahaja tidak dapat mendalami kefahaman Al-Quran Al-Karim sepertimana juga sesetengah bangsa Arab yang berbahasa Arab tidak dapat memahaminya.

Ada di antara mereka itu, orang-orang Arab keturunan syed-syed Quraisy jahiliyah dan menganut agama Nasrani (kristian) dan lain-lain lagi.

Puak-puak tajdid itu tidak menghafal ribuan Hadis-hadis Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam. Banyak Hadis-hadis Nabi yang mereka tidak ketemu, tidak baca dan tidak faham.

Namun begitu mereka menonjolkan diri mereka seolah-olah mereka sahajalah yang dapat menilaikan tentang kesahihan , da’if, hasan dan gharib sesebuah Hadis itu.

Sebenarnya penilaian Hadis-hadis itu telah pun selesai dibuat lebih awal lagi oleh para-para sahabat radiallahu ‘anhum dan ahli-ahli Hadis “Al-Muhaddisiin” sehingga tersebar luas ke seluruh dunia dan menjadi sumber hukum-hukum dalam Islam.

Tanpa para-para sahabat radhiallahu ‘anhum, para-para pengikut dan pengikut-pengikutnya sekalian, Islam tentu tidak akan berkembang sebegitu luas ke serata dunia.

Sesungguhnya dengan rahmat Allah Subhanahu Wata’alaa, Agama Tauhid iaitu Agama Islam terus tetap dijaga dan dipeliharaiNya.

Dengan kejahilan dan kebodohan mereka, puak-puak tajdid itu dengan angkuh dan sombongnya mengeluarkan dengan cepat, petua-petua dalam agama Islam mengikut persepsi-persepsi mereka sendiri.

Jika perkara-perkara amalan yang sedia diamalkan oleh Ulama-ulama muktabar itu tidak ada dalam ilmu pengetahuan puak-puak tajdid itu, mereka mengatakan bahawa amalan-amalan Ulama-ulama muktabar itu tidak terdapat dalam Al-Quran dan Hadis dan amalan-amalan itu semuanya bid’ah dan khurafat tanpa usul periksa lagi.

MENGKRITIK ULAMA

Seperkara yang jelas bahawa puak-puak tajdid itu telah diberikan tempat dan peluang oleh pihak-pihak berkuasa sekular untuk berceramah agama, menulis mengenai Islam dan sebagainya.

Untuk menjadikan ceramah-ceramah mereka nampak seolah-seolah betul , mereka mencedok dan memplagiatkan hasil-hasil tulisan daripada kutipan-kutipan mafhum Hadis termasuk juga cedokan-cedokan karya-karya daripada Ulama-ulama yang terdahulu dan Ulama-ulama Empat samada tentang keilmuan, falsafah dan hukum-hukum syari’e.

Sebalik cedokan-cedokan itu, mereka mengkritik pula Hadis-Hadis, Ulama-ulama dan Imam-imam Empat.

Hari Jumaat
3 Dzil Hijjah 1430 Hijriyah
20 November 2009

Friday, November 13, 2009

BERINGAT-INGAT BILA CARI MAKANAN

BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIIM

Ingat! Bila berjalan-jalan cari makanan
Jangan terburu-buru masuk kedai makan
Yang ada ayat-ayat Al-Quran dipasangkan
Semuanya itu hanya hiasan luaran

Walee

KERATAN AKHBAR METRO 13 NOVEMBER 2009

‘Mamak’ tidak tahu mengucap

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin anbia@hmetro.com.my

BANGI: Mengaku kononnya adalah penganut agama Islam tulen namun rata-rata pekerja sebuah restoran ‘mamak’ muslim yang disoal siasat pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) langsung tidak tahu mengucap dua kalimah syahadah atau membaca surah al-Fatihah sekali gus membongkar rahsia identiti mereka yang sebenar.

Lebih mengejutkan pemilik restoran berkenaan sengaja menggantung deretan gambar ayat suci al-Quran, kalimah Allah dan Nabi Muhammad di dalam premis untuk memperdaya pelanggan yang menyangka ia restoran halal.

Taktik itu dibongkar Jakim selepas penyamaran dilakukan kakitangannya di restoran berkenaan sejak sekian lama sebelum melakukan serbuan semalam.

Kewujudan restoran `halal’ palsu itu dibongkar selepas sepasukan lima pegawai Jakim dibantu enam pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Putrajaya menjalankan serbuan mengejut di restoran berkenaan di Jalan Bangi di sini, semalam.

Pemeriksaan diketuai Penolong Pengarah Bahagian Hub Halal Jakim, Mohd Amri Abdullah, dilakukan selepas mendapat aduan berhubung kesangsian orang ramai terhadap sijil halal milik restoran berkenaan.

Sumber Jakim berkata, dalam serbuan kira-kira jam 3 petang itu, pegawai Jakim yang menjalankan pemeriksaan menyoal siasat lapan pekerja warga asing restoran berkenaan yang ketika itu sedang melayan berpuluh pelanggan Islam.

Menurutnya, kebanyakan pekerja dari India itu pada mulanya mengaku beragama Islam, namun gagal membaca surah al-Fatihah atau mengucap dua kalimah syahadah.

“Mereka tiba-tiba menjadi gagap dan hanya menggeleng kepala sekali gus membuktikan mereka bukan beragama Islam seperti didakwa.

Menurutnya, pemilik restoran sengaja menggantung kalimah ayat suci Al-Quran, Allah dan Nabi Muhammad di dinding premis termasuk ayat seribu dinar untuk mengaburi pemilik sebenar restoran berkenaan.

“Semua ayat al-Quran itu sengaja digantung di atas kaunter pembayaran selain sijil halal palsu yang turut diguna pakai bagi meyakinkan pelanggan seolah-olah restoran terbabit milik orang Islam.

“Siasatan susulan terhadap sijil pendaftar syarikat (ROC) bagaimanapun mendapat bukti paling jelas apabila nama pemilik yang tertera pada dokumen bukan Islam,” katanya......

Friday, November 6, 2009

SARANG BURUNG YANG KOSONG "THE EMPTY NEST"


BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIIM

HIDUP TANPA BELAIAN

Pada 1 haribulan Mac, cuaca di hari itu sejuk sedikit berbanding hari-hari sebelumnya kerana rahmat hujan pada malamnya. Hari terus mendung sehingga waktu Zuhur. Setelah selesai solat, aku keluar ke halaman rumah sambil menghirup udara yang nyaman itu, aku membelek-belek pokok-pokok tanaman di sekeliling rumahku.

Di hadapan rumahku ada serumpun bunga melor atau disebut juga bunga jasmine. Sudah lama aku tanam sehingga terlupa bila masa sebenarnya aku tanam pokok itu. Ingat-ingatku mungkin sepuluh atau lima belas tahun yang lalu.

Semenjak menanamnya, aku biarkan ia hidup tanpa belaian. Aku tidak menjirusnya kecuali pada mula-mula aku menanamnya dahulu. Walaupun aku tidak mempedulikannya, ia terus hidup segar dengan jirusan air hujan dari langit dan khasiat makanan dari dalam bumi.
Pokok-pokok bunga melor itu, aku lihat selalu mengeluarkan bunga putih bersih berseri. Baunya wangi bila aku melintasi kawasan itu.

Aku pernah terbaca tentang beberapa khasiat bunga melor ini dalam sebuah buku yang dihadiahkan oleh Cik Junidza menantuku. Buku itu bertajuk “The Encyclopedia of Herbal Medicine” oleh Thomas Bartram, yang mencatitkan bahawa bunga melor atau Jasminum Grandiflorum boleh dijadikan penawar penenangan saraf “nerve relaxant”. Caranya ialah menjadikan bunga melor itu sebagai teh dan diminum tiga kali sehari. Aku pernah minum “Jasmine Tea” yang dibeli oleh anakku Profesor Madya Dr. Ahmad Rohi. Aku meminumnya hanyalah semata-mata untuk merasa teh itu sahaja. Sudah tentu ianya tidak memberi apa-apa kesan yang boleh aku ceritakan kerana aku tidak ikut jadual peraturan meminumnya.

MAKANAN POKOK

Dikata orang bahawa pokok dan tumbuh-tumbuhan mendapat makanan yang mengandungi bahan-bahan organik di dalam bumi yang mana di antaranya disebut N.P.K.

“N” ialah nitrogen. Kandungan bahan ini digunakan oleh pokok untuk mengeluarkan daun, juga untuk membesarkan dan menghijaukan daun-daun.

“P” ialah phosphorus. Kandungan bahan ini digunakan oleh pokok untuk menggalakkan pengeluaran buah dan juga untuk menambahkan serta menguatkan akar-akarnya.

“K” ialah potassium (potash, kalium). Kandungan bahan ini digunakan oleh pokok untuk pembungaan, warna dan saiz dan juga untuk menguatkan batang pokok.

Pokok-pokok melor itu terus hidup mengikut tabi’inya di celah-celah pepohon-pepohon lain yang tumbuh sama-sama segar di sekelilingnya. Di situ di celah ranting-ranting dan dedaun-dedaun pokok melor itu kulihat sepasang burung merbah membuat sarang yang indah susunan jalinannya dan amat seni dibuat daripada rumput-rumput dan daun-daun kering.

Bentuk sarang itu nampak seperti mangkuk yang sederhana besarnya. Mungkin hanya boleh memuatkan seekor burung sahaja. Sarang itu bukan untuk burung-burung itu tidur berpasangan di dalamnya .

Biasanya aku lihat burung tidur bertenggek di atas dahan-dahan pokok bukan dalam sarang yang dibuatnya. Sarangnya dibuat untuk persediaan bertelur dan untuk mengeram sehingga menetas telur-telurnya.

Selepas itu induk burung itu akan terus tinggal di dalam sarang itu dan di waktu malam tidur bersama-sama dengan anak-anaknya yang masih kecil.

KEMAHIRAN MEMBUAT SARANG

Bila aku renung, memerhatikan sarang burung di atas pokok melor itu, terlintas di dalam kepalaku betapa pandainya burung-burung itu membina sarangnya.

Dari manakah burung-burung itu mendapat latihan kemahiran dan kepandaian membuatnya?

Bagaimanakah burung-burung itu tahu bahan-bahan dan cara susunan serta jalinan bahan-bahan tersebut agar menjadi kukuh dan rapi, tidak terjatuh bila dipukul ribut atau ditimpa hujan?

TUKANG RUMAH

Dalam kehidupan manusia hari ini, sesebuah rumah atau bangunan dibina oleh orang-orang yang pandai dan mahir atau oleh orang-orang yang ada pengetahuan seni bina dan lain-lain lagi yang berkaitan dengannya. Bukan semua orang boleh membina rumah atau bangunan sendiri.
Bagi menyiapkan sebuah rumah atau bangunan manusia perlu mendapat kerjasama bantuan daripada beberapa orang lain seperti: arkitek, engineer dan lain-lain lagi. Tetapi burung-burung boleh membina sarangnya sendiri tanpa memasuki mana-mana institusi pelajaran tinggi atau mempelajari pertukangan pembinaan dan sebagainya.

DUA BIJI TELUR

Pada suatu pagi, aku menjenguk ke dalam sarang burung merbah di atas pokok bunga melor itu ada terdapat dua biji telur. Telur-telur itu berwarna keputih-putihan dan berbintik-bintik kelabu dan coklat hampir-hampir sama warna dengan bahan-bahan yang dijadikan sarang burung itu.

Semasa aku berdiri dekat dengan pokok melor tersebut, dua ekor burung nampak sibuk terbang ke sana ke sini hampir denganku. Aku agak ia memberi amaran supaya jangan mendekati dan jangan membahayakan anaknya.

Selepas aku beredar dari situ, aku nampak kedua-dua ekor burung itu pula terbang berkejar-kejaran satu sama lain sambil bersiul-siulan. Aku mengandaikan kelakuan seperti itu disebabkan burung-burung itu amat gembira dan bahagia sekali. Entahlah samaada andaianku itu betul atau tidak, aku bukanlah faham bahasa burung.

DUA BENDA HITAM

Pada pagi 9 haribulan Mac, aku pergi melihat sarang burung itu dan aku dapati ada dua benda hitam yang lembut di dalam sarang burung tersebut.

Aku terus memerhatikan dua benda hitam itu dan kelihatan benda itu berdenyut-denyut, maka tahulah aku bahawa dua benda hitam itu ialah anak-anak burung yang baru menetas.

Ketika itu badan anak-anak burung itu belum berbulu lagi. Apa yang boleh dilihat di atas kulitnya itu ialah bintik-bintik tajam seperti duri buah durian yang muda.

BERBEZA ANAK BURUNG DENGAN ANAK AYAM DAN ANAK ITIK

Aku perhatikan anak-anak burung itu semasa baru menetas berbeza dengan anak-anak ayam atau anak-anak itik yang pernahku pelihara suatu masa dulu.

Anak ayam yang baru menetas diselaputi bulu-bulu yang halus dan basah dengan lendir dari telur.

Selepas beberapa minit bulu-bulu itu bertukar menjadi gebu semacam baldu yang licin dan halus. Badan anak ayam itu bulat, cantik dan menarik.

Ia terus mengeluarkan suara dan keluar masuk di celah ketiak kepak induknya.

Bulu-bulu anak ayam itu terus berada pada badan anak-anak ayam itu dan bertukar ganti dengan bulu-bulu yang lebih keras di kepak dan sayapnya apabila ia membesar bagaikan pakaian yang diciptakan semulajadi baginya.

Bulu-bulu itu menutupi ketul-ketul daging dan kulitnya daripada dilihat orang di samping terlindung daripada terkena panas dan hujan dan mengelakkan daripada gigitan serangga dan sebagainya.

MENYUAP ANAK

Selepas aku dapati anak-anak burung itu telah menetas, aku kerapkali pergi mengintip gerak geri dua ekor anak burung itu bila aku kelapangan.

Anak-anak burung itu disuap makanan oleh kedua-dua induknya secara bergilir-gilir beberapa kali sehari. Aku nampak makanan yang dibawa itu serangga atau cebisan-cebisan buah-buahan dan entah apa-apa lagi tidaklah aku dapat pastikan.

Aku tidak dapat pastikan bilangan kekerapannya kerana itu adalah di luar kemampuanku. Apa yang dapat aku pastikan ialah burung-burung itu tidak ada simpanan makanan seperti manusia.

Anak-anak burung tersebut cepat membesar, gerak gerinya cergas dan sihat pula.
Aku dapat lihat bulu badannya daripada tiada kepada ada dan sudah hampir penuh tetapi masih pendek begitu juga dengan ekornya. Matanya hitam kilat bercelak dan paruhnya nampak semacam keras dan besar sedikit jika dinisbahkan dengan ukuran badannya.

VITAMIN A, B, C, D DAN E…

Apabila aku melihat kepada anak-anak burung itu begitu kuat dan sihat serta bulu-bulunya berkilat-kilat, aku mula menanya diriku sendiri. Apakah makanan yang disuapkan oleh induk-induk burung itu? Adakah ia mengandungi vitamin-vitamin yang istimewa dan sempurna yang ada mengandungi vitamin-vitamin A, B, C, D, E dan lain-lain lagi sepertimana aku pernah mendengar para-para doktor menasihati pesakit-pesakit mereka supaya memakan makanan yang bervitamin.

Aku sendiri juga pernah membaca artikel-artikel mengenai vitamin-vitamin yang ditulis oleh pakar-pakar perubatan dan pakar pemakanan.

Untuk menjadikan badan sihat, pakar-pakar pemakanan sentiasa menasihatkan orang ramai supaya mengambil makanan yang berkhasiat dan mengandungi vitamin-vitamin yang cukup seperti daging, susu, ikan, telur, sayur-sayuran dan sebagainya.

Sedangkan burung-burung itu tidak makan makanan-makanan seperti yang tersebut tetapi masih sihat ; tulang-tulangnya kuat, matanya terang dan tubuh badannya didapati sempurna.

SARANG YANG KOSONG “THE EMPTY NEST”

Pada pagi 17 haribulan Mac, aku nampak anak-anak burung tersebut mempunyai bulu dan bulu sayapnya sudah penuh. Warna badannya kekuningan dan bulu sekeliling matanya putih serta kelopak matanya hitam bercelak.

Lebih kurang jam pukul 5.00 petang hari itu, perasaanku terharu, menjadi kosong dan sepi apabila aku pergi melihat dan mendapati sarang burung itu sudah menjadi kosong, senyap dan sunyi. Di situ tiada lagi suara kicauan burung-burung dan anak-anaknya.

Anak-anak burung itu sudah terbang meninggalkan sarangnya.


Hari Jumaat
19 Dzil Qa’edah 1430 Hijriyah
6 November 2009