Friday, February 22, 2013

KERBAU DAN LEMBU DI DALAM KELAMBU



BUFFALO AND COW IN MOSQUITO’S NET

Manusia yang tidak mengenal Allah Ta’ala dan RasulNya, yakni mereka yang tidak menyembah, tidak mengikut dan tidak menjalankan hukum-hukum Allah Yang Maha Agong, dan tidak mengikut ajaran-ajaran Al-Quran, walaupun mereka itu terdiri daripada ketua-ketua negara, pemimpin-pemimpin bangsa, ketua-ketua masyarakat atau orang-orang yang mempunyai pengetahuan dan harta benda adalah disifatkan sebagai orang yang hina dina di sisi Allah Ta’ala.

Mereka itu juga digolongkan dalam Al-Quran sebagai orang yang bodoh sesat bahkan lebih sesat daripada binatang-binatang ternak seperti kerbau, lembu dan lain-lain kerana mereka tidak mahu melihat dengan mata mereka dan tidak mahu  mendengar dengan telinga mereka ajaran-ajaran Al-Quran dan Hadis.

Allah Ta’ala berfirman dalam Surah Al-A’raaf, Ayat 179, maksudnya:

“Dan sesungguhnya Kami (Allah) jadikan untuk neraka jahannam banyak  dari jinn dan manusia yang mempunyai hati, tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata, tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga, tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat), mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.”  Ayat 179

Allah says:

“And surely, We (Allah) have created many of the jinn and mankind for Hell.  They have hearts wherewith they understand not, and they have eyes wherewith they see not, and they have ears wherewith they hear not (the truth).  They are like cattle, nay even more astray; those!  They are the heedless ones.”  (V7 : 179)

Mereka itu dipilih sebagai pemimpin-pemimpin atau pembesar-pembesar negara melalui berbagai sistem pengundian dan pemilihan seperti pilihanraya dan seumpamanya.

Pemimpin-pemimpin dan pembesar-pembesar negara yang terpilih ini, disanjungi dan dimulia-muliakan oleh orang-orang yang seperti mereka juga.



Hari Jumaat
11 Rabi’ulAkhir 1434 Hijriyah
22 Februari 2013


Friday, February 15, 2013

KEJADIAN MALAIKAT, JINN DAN MANUSIA



A’UDZUBILLAHI MINASY-SYAITAANIRRAJIIM.

BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIIM.


Dari ‘Aisyah radhiallahu ‘anha, katanya: “Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: “Malaikat dijadikan dari nur (cahaya).  Jinn dijadikan dari maarij (api).  Dan Adam telah diterangkan kepadamu (yakni dari tanah).”  Muslim.

  
MALAIKAT MEMPUNYAI SAYAP

Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala dalam Surah Faathir, Ayat 1, maksudnya:

“Segala puji tertentu bagi Allah yang menciptakan langit dan bumi, yang menjadikan malaikat utusan-utusan yang bersayap: dua, tiga dan empat; Ia (Allah) menambah pada bentuk kejadian makhluk yang diciptakanNya apa jua yang dikehendakiNya.  Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” Ayat 1

Dari ‘Abdullah bin Mas’ud, katanya:  “Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda bahawa Malaikat Jibril ‘Alaihissalam mempunyai 600 sayap.” Bukhari dan Muslim.


KEJADIAN MANUSIA DAN JINN

Allah Ta’ala berfirman dalam Surah Al-Hijr, Ayat 26, Ayat 27,  maksudnya:

“Dan sesungguhnya Kami (Allah) telah menciptakan manusia (Adam) dari tanah  liat yang kering, yang berasal dari tanah kental yang berubah warna dan baunya.”  Ayat 26

“Dan Jinn pula, Kami (Allah) jadikan dia sebelum itu, dari angin api yang panasnya menyerap keliang bulu roma.” Ayat 27

Allah Ta’ala berfirman dalam Surah Ar-Rahmaan, Ayat 14 dan Ayat 15, maksudnya:

Ia (Allah) menciptakan manusia (lembaga Adam) dari tanah liat kering seperti tembikar,”   Ayat 14

“Dan Ia (Allah) telah menciptakan jinn dari lidah api yang menjulang-julang (smokeless flame of fire).” Ayat 15


SYAITAN MANUSIA DAN SYAITAN JINN

Allah Ta’ala berfirman dalam Surah Al-An’aam, Ayat 112, maksudnya:

“Dan demikianlah Kami (Allah) jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh dari syaitan-syaitan manusia dan jinn, setengahnya membisikkan kepada setengahnya yang lain kata-kata dusta yang indah-indah susunannya untuk memperdaya pendengarnya.  Dan jika Tuhanmu menghendaki, tentulah mereka tidak melakukannya.  Oleh itu, biarkanlah mereka dan apa
yang mereka ada-adakan itu.”  Ayat 112


ASAL IBLIS DARIPADA JINN

Allah Ta’ala berfirman dalam Surah Al-Kahfi, Ayat 50, maksudnya:

“Dan  (ingatkanlah peristiwa) tatkala Kami (Allah) berfirman kepada malaikat: “Sujudlah kamu kepada Adam”; lalu mereka sujud, melainkan iblis; ia (iblis) adalah berasal dari golongan jinn, lalu ia menderhaka akan perintah Tuhannya.  Oleh itu, patutkah kamu hendak menjadikan iblis dan keturunannya sebagai sahabat-sahabat karib yang menjadi pemimpin selain daripadaKu (Allah)?  Sedang mereka itu ialah musuh bagi kamu!  Amatlah  buruknya bagi orang-orang yang zalim: pengganti yang mereka pilih itu.”  Ayat 50


DI ANTARA JINN ADA YANG ISLAM DAN ADA YANG KAFIR

Allah Ta’ala berfirman dalam Surah Al-Jinn, Ayat 11, Ayat 13 dan Ayat 14, maksudnya:

“Dan bahawa sesungguhnya (memang maklum) ada di antara kita (jinn) golongan yang baik keadaannya, dan ada di antara kita yang lain dari itu; kita masing-masing adalah menurut jalan dan cara yang berlainan (aliran yang berbeza-beza).”  Ayat 11

“Dan bahawa sesungguhnya kami (jinn), tatkala mendengar pertunjuk (Al-Quran), kami beriman kepadanya (dengan tidak bertangguh lagi); kerana
sesiapa yang beriman kepada Tuhannya, maka tidaklah ia akan merasa bimbang menanggung kerugian (mengenai amalnya yang baik), dan juga tidak akan ditimpakan sebarang kesusahan.”  Ayat 13

“Dan bahawa sesungguhnya (dengan datangnya Al-Quran, nyatalah), ada di antara kita (jinn) golongan yang beragama Islam, dan ada pula golongan yang (kufur derhaka dengan) menyeleweng dari jalan yang benar; maka sesiapa yang menurut Islam (dengan beriman dan taat), maka merekalah golongan yang bersungguh-sungguh mencari dan menurut jalan yang benar.”  Ayat 14


IBLIS DAN SYAITAN ADALAH JINN YANG BODOH

Allah Ta’ala berfirman dalam Surah Al-Jinn, Ayat 4 dan Ayat 5, maksudnya:

“Dan (dengan ajaran Al-Quran nyatalah) bahawa sesungguhnya: (ketua) yang bodoh akal pertimbangannya dari kalangan kita (jinn) telah mengatakan terhadap Allah kata-kata yang melampaui kebenaran;”  Ayat 4

“Dan bahawa sesungguhnya (nyatalah kesalahan) kita (jinn) menyangka bahawa manusia dan jinn tidak sekali-kali akan berani mengatakan sesuatu yang dusta terhadap Allah.”  Ayat 5


PERMOHONAN IBLIS UNTUK MENYESATKAN MANUSIA

Allah Ta’ala berfirman dalam Surah Al-Israa’, Ayat 62, Ayat 63 dan Ayat 64,  maksudnya:

“Ia (iblis) berkata: “Khabarkanlah kepadaku, inikah orangnya yang Engkau (Allah) muliakan lebih daripadaku?  Jika Engkau (Allah) beri tempoh kepadaku hingga hari kiamat, tentulah aku akan memancing (menjerat) menyesatkan zuriyat keturunanannya (Nabi Adam ‘Alaihissalam), kecuali sedikit (di antaranya).”  Ayat 62

“Allah berfirman (kepada iblis): “Pergilah (lakukanlah apa yang engkau rancangkan)! Kepada sesiapa yang menurutmu di antara mereka, maka sesungguhnya neraka jahannamlah balasan kamu semua, sebagai balasan yang cukup.”  Ayat 63

“Dan desak serta pujuklah sesiapa yang engkau (iblis) dapat memujuknya dengan suaramu; dan kerahlah penyokong-penyokongmu yang berkuda serta
yang berjalan kaki untuk mengalahkan mereka; dan turut campurlah dengan mereka dalam menguruskan hartabenda dan anak-anak (mereka); dan janjikanlah mereka (dengan janji-janjimu).”  Padahal tidak ada yang dijanjikan oleh syaitan itu melainkan tipu daya semata-mata.”  Ayat 64


IBLIS TIDAK ADA KUASA MENYESATKAN ORANG-ORANG YANG BERIMAN

Allah Ta’ala berfirman dalam Surah Al-Israa’, Ayat 65, maksudnya:

“Sesungguhnya hamba-hambaKu (yang beriman dengan ikhlas), tiadalah engkau (hai iblis) mempunyai sebarang kuasa terhadap mereka (untuk menyesatkannya); cukuplah Tuhanmu (wahai Muhammad) menjadi Pelindung (bagi mereka).”  Ayat 65

Allah Ta’ala berfirman dalam Surah Al-Hijr, Ayat 39 dan Ayat 40, maksudnya:

“Iblis berkata; “Wahai Tuhanku! Kerana Engkau (Allah) telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriyatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya,-”  Ayat 39

“Kecuali di antara zuriyat-zuriyat Adam itu hamba-hambaMu (Allah) yang dibersihkan dari sebarang syirik.”  Ayat 40


PERINTAH ALLAH TA’ALA DI BANTAH IBLIS LAKNATULLAH

Allah Ta’ala berfirman dalam Surah Al-Hijr, Ayat 28, Ayat 29, Ayat 30, Ayat 31, Ayat 32, Ayat 33, Ayat 34, Ayat 35, Ayat 36, Ayat 37, Ayat 38, Ayat 41, Ayat 42 dan Ayat 43, maksudnya:

“Dan (ingatkanlah peristiwa) tatkala Tuhanmu berfirman kepada malaikat: “Sesungguhnya Aku (Allah) hendak menciptakan manusia dari tanah liat yang kering, yang berasal dari tanah kental yang berubah warna dan baunya.”  Ayat 28

“Kemudian apabila Aku (Allah) sempurnakan kejadiannya (Adam), serta Aku (Allah) tiupkan padanya roh dari (ciptaan)Ku, maka hendaklah kamu sujud kepadanya.”  Ayat 29

“(Setelah selesai kejadian Adam) maka sujudlah sekalian malaikat, semuanya sekali,”  Ayat 30

“Melainkan iblis; ia enggan turut bersama mereka yang sujud.”  Ayat 31

“Allah berfirman: “Hai iblis! Apa sebabnya engkau tidak turut bersama mereka yang sujud itu?”  Ayat 32

“Iblis menjawab: “Aku tidak patut sujud kepada manusia yang Engkau (Allah) jadikan dia dari tanah liat yang kering, yang berasal dari tanah ketal yang berubah warna dan baunya.”  Ayat 33

“Allah berfirman: ”Kalau demikian, keluarlah engkau daripadanya, kerana sesungguhnya engkau dari sekarang ke masa depan adalah (satu makhluk yang) diusir.”  Ayat 34

“Dan sesungguhnya engkau (iblis) ditimpa laknat terus menerus hingga ke hari kiamat.”  Ayat 35

“Iblis berkata: “Wahai Tuhanku!  Jika demikian, berilah tempoh kepadaku hingga ke hari mereka dibangkitkan (hari kamat).” Ayat36

“Allah berfirman: “Dengan permohonanmu itu, maka sesungguhnya engkau dari golongan yang diberi tempoh,- “  Ayat 37

“Hingga ke hari - masa yang termaklum.”  Ayat 38

“Allah berfirman: “Inilah satu jalan yang lurus, yang tetap Aku (Allah)  memeliharanya.”  Ayat 41

“Sesungguhnya hambaKu, tidaklah ada bagimu sebarang kuasa untuk menyesatkan mereka, kecuali sesiapa yang menurutmu (iblis) dari orang-orang yang sesat (dengan pilihannya sendiri).”  Ayat 42

“Dan sesungguhnya neraka jahannam itu, tempat yang dijanjikan bagi sekalian mereka (yang menurutmu (iblis)).”  Ayat 43


SODAQALLAHUL ‘ADZIM.



Hari Jumaat
4 Rabi’ulAkhir 1434 Hijriyah
15 Februari 2013

Friday, February 8, 2013

CANTIK SEADANYA



BEAUTY AS IT IS

RENDAH DIRI “INFERIORITY COMPLEX”

Melihat kepada gambar-gambar model perempuan dari iklan-iklan alat-alat solek kosmetik nampak cantik-cantik belaka.  Cantiknya pula berlainan tentang bentuk rupa paras;  ada yang putih, ada pula yang hitam, kebanyakan tinggi dan ramping tubuh badan sehingga susah hendak memilih yang mana satu benar-benar cantik di antara mereka itu.

Begitu juga bagi model-model lelaki yang kacak; ada yang hitam, ada yang putih dan potongan mukanya pula amat berlainan di antara satu sama lain.  Sasa bentuk badan juga berlainan.  Semuanya kacak, bergaya dan menarik.

Susah hendak memilih lelaki yang mana satu yang amat kacak dan perempuan yang mana satu amat cantik bila membuat bandingan kekacakan dan kecantikan model-model lelaki dan perempuan itu. 

Jika tidak dikawal perasaan diri sendiri, sudah tentu seseorang itu akan merasa kekurangan pada diri sendiri dan merasai rendah diri “inferiority complex”.

Perasaan kekurangan pada diri sendiri akan bertambah lagi bila seseorang itu merasai dirinya tidak dilayan dan tidak dipuji dengan kata-kata oleh rakan-rakan  dan sahabat handai, lebih-lebih lagi oleh orang-orang yang disayanginya atau orang-orang  yang ada kaitan dalam hidupnya.


BERHIAS DIRI

Kebanyakan orang-orang perempuan yang dara remaja, yang muda dan yang tua, yang bersuami dan yang janda, mereka amat sensitif  dengan kecantikan dan perhiasan diri sendiri lebih daripada lelaki.

Sesuai dengan sifat kewanitaannya, perempuan adalah seperti bunga yang cantik dan harum untuk lelaki yang bergelar suami.  Isteri adalah penyejuk mata dan penyegar hati bila dipandang oleh suami sepertimana tersebut dalam sebuah Hadis berikut:

Ibnu Jarir  meriwayatkan dari Abi Hurairah r.a., ia berkata bahawa Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda:

“Sebaik-baik wanita adalah yang apabila engkau melihatnya, maka dia menyenangkan hatimu.  Apabila engkau memerintahnya, dia mentaatimu.  Dan jika engkau tidak berada di sisinya, dia menjagamu dengan menjaga dirinya dan hartamu.”
  
Maka tidaklah menjadi kesalahan bagi perempuan-perempuan Islam menghias diri  mereka sendiri untuk menyenangkan hati dan menimbulkan berahi suami-suami mereka.

Meskipun begitu, terdapat sesetengah perempuan-perempuan yang melakukan perkara-perkara yang menjangkaui batas-batas yang ditetapkan oleh Islam, yakni mereka kurang berhias dan membersihkan diri dan pakaian mereka untuk suami melihat dan menjamah, sebaliknya mereka bercita-cita dan lebih suka berhias untuk dilihat dan disanjung oleh lelaki lain atau dipuji oleh perempuan di luar rumah.


KERANA SEBIJI JERAWAT

Kebanyakan perempuan-perempuan akan berdiri di hadapan cermin berkali-kali jika ia mendapat sesuatu yang baru untuk dipakai atau ia mendapati di mukanya ada sebiji jerawat.  Hatinya mulai susah dan berdukacita dan tidak suka berjumpa dengan orang lagi.

Dengan adanya perasaan yang membawa kepada perasaan dukacita dan malu kepada manusia apabila dirinya tidak seperti apa yang dikehendakinya, maka ia membawa kepada kerunsingan dan kemurungan. 

Seterusnya ada di antara mereka yang lupa atau kurang mengingati Allah Ta’ala, sehingga ia membawa kepada buruk sangka terhadap Allah Subhanahu Wa Ta’ala.


BAIK SANGKA

Dengan adanya perasaan kekurangan pada diri sendiri dan merasai rendah diri “inferiority complex” itu, maka seseorang itu akan menjadi orang yang buruk sangka terhadap Penciptanya iaitu Allah Subhanahu Wa Ta’ala. 

Bagi lelaki-lelaki dan perempuan-perempuan Islam wajib berbaik sangka terhadap Allah Ta’ala berdasarkan Hadis tersebut dibawah ini.

Daripada Abi Hurairah katanya: “Telah bersabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam:  “Bahawasanya Allah berfirman:  “Aku (Allah) di sisi sangka hambaKu denganKu dan Aku sertanya apabila minta ia padaKu.” Hasan, Sahih
  
Allah Ta’ala akan menyeksa dan melaknatkan mereka yang bersangka buruk terhadapNya, sepertimana tersebut dalam firmanNya dalam Surah Al-Fath, Ayat 6, maksudnya:

“Dan supaya Ia (Allah) menyeksa orang-orang munafik - lelaki dan perempuan, dan orang-orang musyrik - lelaki dan perempuan, yang menyangka terhadap Allah dengan sangkaan yang buruk.  Atas merekalah tertimpanya bala bencana yang dibawa oleh peredaran zaman;  dan (selain itu) Allah murkai mereka dan melaknatkan mereka serta menyediakan untuk mereka neraka jahannam; sedang neraka jahannam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.”  Ayat 6


ANAK TIDAK DAPAT MEMILIH

Sesetengah manusia lupa bahawa ia sendiri tidak ada kuasa membentuk rupa paras mengikut kehendak hatinya sendiri.  Ia juga tidak dapat memilih ibu bapanya dari bangsa dan keturunan mengikut kehendaknya yakni tidak dapat memilih untuk menjadi anak raja, anak orang-orang bangsawan, anak orang-orang berstatus dalam masyarakat dunia atau anak orang-orang yang memiliki harta yang banyak.

Begitu juga ibu bapa tidak dapat membentuk rupa anak-anak mereka yang bakal dilahirkan sepertimana kehendak hati mereka dan apa yang bakal menjadi kedudukan anak-anak mereka di dalam masyarakat yakni sama ada anak-anak mereka apabila dewasa nanti menjadi orang-orang baik dan soleh/solehah atau menjadi jahat dan dibenci masyarakat atau menjadi raja atau pemimpin dan lain-lain lagi.


BERBAGAI BANGSA, BAHASA DAN WARNA KULIT

Firman Allah Ta’ala dalam Surah Al-Hujuraat, Ayat 13, maksudnya:

“Wahai umat manusia!  Sesungguhnya Kami (Allah) telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami (Allah) telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan.  Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya).  Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya.”  Ayat 13

Manusia juga mempunyai berbagai-bagai bahasa tuturan dan warna kulit sepertimana firman Allah Ta’ala dalam Surah Ar-Ruum, Ayat 22, maksudnya:

“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan kebijaksanaanNya ialah kejadian langit dan bumi, dan perbezaan bahasa kamu dan warna kulit kamu.  Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang berpengetahuan.”  Ayat 22

Warna kulit anak-anak Adam adalah mengikut warna tanah yang diciptakan Allah Ta’ala akan Nabi Adam ‘Alaihissalam.

Dari Abu Musa Al-Asy’ari r.a., ia berkata:  “Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda:  “Sesungguhnya Allah menciptakan Adam dari segenggam tanah yang di dalamnya terdapat beberapa unsur.  Kemudian keturunannya menjadi beragam sesuai dengan unsur tanahnya.  Ada di antara mereka yang berkulit merah, putih,  hitam dan antara warna-warna itu, ada yang lembut dan yang kasar, ada yang buruk dan yang baik.”  Sahih At-Tirmidzi


BERBEZA BENTUK DAN RUPA PARAS

Allah Ta’ala menciptakan manusia dalam bentuk dan rupa paras yang berbeza-beza mengikut lukisan yang dikehendakiNya, sepertimana firmanNya dalam Surah A-li ‘Imraan, Ayat 6, maksudnya:

“Dia(Allah)lah yang membentuk rupa kamu dalam rahim (ibu kamu) sebagaimana yang dikehendakiNya.  Tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia (Allah) Yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.”   Ayat 6

Walaupun kejadian manusia itu berbeza-beza dan berlainan dari segi rupa bentuk, keturunan, bangsa dan tempat tinggal, manusia adalah sama semasa dilahirkan ke dunia ini. 


NILAI DI SISI ALLAH TA’ALA

Namun begitu mereka tidak sama nilainya di sisi Allah Ta’ala tentang hati mereka  yang diberi untuk memilih jalan-jalan ke akhirat.  Ada di antara manusia memilih iman dan taqwa dan ada yang memilih kesesatan sepertimana tersebut dalam firman Allah Ta’ala dalam Surah Asy-Syams, Ayat 7, Ayat 8, Ayat 9 dan Ayat 10, maksudnya:

“Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya);”  Ayat 7

“Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa;-”  Ayat 8

“Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih -  bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan),”  Ayat 9

“Dan sesungguhnya hampalah  orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat).”  Ayat 10


ALLAH MELIHAT TAQWA

Allah Ta’ala tidak melihat kepada rupa paras dan kedudukan manusia di dalam dunia tetapi Allah Ta’ala melihat kepada hati orang-orang yang bertaqwa, sepertimana tersebut dalam firman Allah Ta’ala dalam Surah Al-A’raaf, Ayat 26, maksudnya:

“Wahai anak-anak Adam!  Sesungguhnya Kami (Allah) telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup ‘aurat kamu, dan pakaian perhiasan;  dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya.  Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur).”   Ayat 26

Penampilan seseorang itu atau apa sahaja yang zahir pada diri seseorang itu seperti kemewahan hidup, banyak harta benda, anak pinak tanpa iman dan taqwa bukanlah perkara-perkara yang mendatangkan keredhaan Allah Ta’ala.

Allah Ta’ala hanya dapat menerima amal baik hamba-Nya yang dilakukannya dengan hati yang ikhlas, atau perbuatan baik yang diniatkan semata-mata untuk mendapatkan keredhaan Allah Ta’ala dan untuk mendekatkan diri kepadaNya. 

Bagi orang-orang Islam, apa pun jerih pedih dan keinginan serta keindahan dunia yang dicari tanpa niat yang ikhlas kerana Allah Ta’ala semata-mata, tidak ada harga di sisiNya seperti tersebut dalam Hadis berikut:

“Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda:  “Allah tidak melihat kepada tubuh badan kamu, dan tidak pula kepada bentuk rupa kamu.  Allah hanya melihat kepada hati dan perbuatan kamu.”  Muslim


HASUTAN SYAITAN

Syaitan menghasut dan menakut-nakutkan manusia dengan kefakiran dan kekurangan rupa paras dan lain-lain lagi, supaya manusia bersangka buruk terhadap Allah Ta’ala dan menimbulkan rasa resah gelisah, berdukacita sepanjang hidup mereka.

Kejadian yang berlaku ke atas Nabi Allah Adam ‘Alaihissalam hendaklah dijadikan iktibar bahawa hasutan syaitan itu amat kuat sehingga Nabi Adam ‘Alaihissalam sendiri dapat dihasut oleh syaitan yang mengakibatkan Nabi Adam ‘Alaihissalam diturunkan dari syurga ke dunia. 

Adalah lebih mudah bagi syaitan menghasut manusia, disapu, dijamah dan dihias dengan nafsu-nafsu yang melupakan manusia itu hamba Allah.  Hamba abdi yang hina, yang terikat dengan kehendak Tuhannya, Allah Yang Menghidupkan dan Yang Mematikannya.


KEPUASAN HIDUP

Bagi manusia yang merasa tidak puas hati dengan kehidupannya, walaupun ia  memiliki  harta yang banyak, memegang kuasa dan sebagainya, akhirnya ia tetap akan mati dan berjumpa Allah Ta’ala.

Oleh itu, orang-orang Islam perlu menerima dan bersyukur dengan apa sahaja keadaannya yang dikurniakan Allah Ta’ala di dunia ini sebagai hadiah supaya ia akan dapat balik ke syurga dalam bentuk manusia yang sempurna tubuh badannya dan sama umurnya.  Ia tidak lagi merasa susah, berdukacita, dan tidak ada lagi kata-kata nista kecuali kata-kata yang menggembirakan dengan salam-salaman di antara satu sama lain.

Allah Ta’ala berfirman dalam Surah Al-Waaqi’ah, Ayat 25 dan Ayat 26, maksudnya:

“Mereka tidak akan mendengar di dalam syurga itu perkataan yang sia-sia dan tiada pula sesuatu yang menyebabkan dosa;-”  Ayat 25

“Mereka hanya mendengar ucapan: ‘Selamat! Selamat!’” Ayat 26

Allah Ta’ala berfirman dalam Surah An-Naba’, Ayat 35, maksudnya:

“Mereka tidak mendengar di dalam syurga itu perkataan yang sia-sia, dan tiada pula perkataan yang dusta.”  Ayat 35

Allah Ta’ala juga berfirman dalam Surah Al-Ghaasyiyah,  Ayat 8, Ayat 9, Ayat 10 dan Ayat 11, maksudnya:

“Muka (orang-orang yang beriman) pada hari itu berseri-seri.”  Ayat 8

“Berpuas hati dengan balasan amal usahanya (yang baik, yang diusahakannya di dunia),”  Ayat 9

“(Mereka tinggal menetap) di dalam syurga yang tinggi (tempat kedudukannya dan darjatnya),”  Ayat 10

“Mereka tidak mendengar di situ sebarang perkataan yang sia-sia.”  Ayat 11

Maka terimalah segala yang telah dikurniakan Allah Ta’ala kerana tidak ada seorang manusia pun yang sempurna, sama ada ia dilihat lengkap atau dilihat ada kekurangannya kerana manusia tetap tidak sempurna sebagaimana yang disangkakan.

Hanya Allah ‘Azza Wajalla sahaja Yang Maha Sempurna.


Hari Jumaat
27 Rabi’ulAwwal 1434 Hijriyah
8 Februari 2013

Friday, February 1, 2013

SEBARANGAN UBAT




SATU UBAT SEMBUH SEMUA PENYAKIT

Kini terdapat dalam pasaran, banyak iklan-iklan produk-produk perubatan; sama ada ubatan yang menggunakan “drugs”, atau herba, atau cara lain selain daripada yang tersebut. 

Kebanyakan daripada pengeluar-pengeluar produk-produk ubatan itu mengaku dan bersaksi bahawa produk-produk keluaran mereka boleh menyembuhkan seribu satu penyakit secara khusus atau secara umum.

Terdapat juga orang-orang India Hindu, orang-orang China, orang-orang Melayu dan lain-lain, yang memberi nasihat melalui massa media bahawa ubat-ubatan atau terdapat sesetengah makanan yang boleh menyembuhkan sesuatu penyakit dan sebagainya.

Dalam hal ini, orang-orang yang mengidap sesuatu penyakit tidak harus terburu-buru mengambil dan memakan ubat-ubatan atau makanan yang diberitahu atau yang disebutkan itu.

SILAP MAKAN SAKIT BADAN

Pesakit hendaklah berhati-hati mengambil ubat-ubatan untuk diri sendiri kerana dirinya itu adalah teramat penting sekali dan pesakit itu sendiri akan menanggung risikonya. 

Sesetengah ubat mempunyai kesan sampingan dan makanan juga ada alergi yang berbeza-beza bagi sesetengah orang.

Justeru itu, kebanyakan orang tidak dapat membezakan penyakit-penyakit yang dilihat serupa pada simptomnya dan dirasai sakitnya pula sama, sedangkan pada hakikatnya penyakit-penyakit itu mungkin tidak sama dan tidak serupa.

Oleh yang demikian sesuatu ubat atau sesuatu benda yang dimakan oleh seseorang yang menjadi ia sembuh dan baik, tidak semestinya boleh dimakan atau diambil atau diguna oleh orang lain, kecuali orang itu atau pesakit itu telah disahkan oleh Tabib-tabib yang bertauliah dan pakar-pakar penyakit yang khusus dalam bidang-bidang penyakit yang berkaitan dengan diri pesakit itu sendiri.


Hari Jumaat
20 Rabi’ulAwwal 1434 Hijriyah
1 Februari 2013