Friday, August 31, 2018

AMALAN UNTUK MENDAPAT KEREDHAAN ALLAH TA'ALA


Daripada ‘Abdullah bin ‘Umar radhiallahu ‘anhuma berkata: saya telah mendengar Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, mafhumnya:

“Ada tiga orang daripada kalangan umat sebelum kamu telah keluar (bermusafir). (Mereka berjalan dan berjalan sehingga  waktu telah malam) maka untuk bermalam mereka telah masuk ke dalam sebuah gua.  

Semasa bermalam di situ, satu batu besar dari bukit telah jatuh lalu menutup pintu gua tersebut.

Mereka berkata bahawa perkara yang boleh menyelamatkan kita daripada batu besar ini hanyalah berdoa kepada ALLAH TA’ALA dengan perantaraan amalan-amalan kita yang soleh.  (Lantaran itu setiap orang daripada mereka telah berdoa dengan perantaraan amalan soleh masing-masing.)

Salah seorang daripada mereka berkata: “Ya ALLAH, (Engkau tahu bahawa) kedua-dua ibu bapa saya tersangat tua.  Saya mesti memberi minum susu kepada mereka berdua dahulu sebelum ahli keluarga saya dan hamba sahaya saya.  

Pada suatu hari saya telah keluar pergi jauh kerana mencari sesuatu. Apabila saya pulang kedua-dua mereka telah pun tidur.  Walaupun demikian saya memerah susu waktu petang untuk mereka (dan membawa mangkuk yang berisi susu kepada mereka) dan saya mendapati kedua-dua mereka (pada masa itu pun) masih tidur.  Saya tidak sampai hati untuk membangunkan mereka dan saya juga tidak tergamak untuk memberi minum kepada ahli keluarga dan hamba-hamba sahaya sebelum mereka. 

Saya telah memegang mangkuk susu sambil berdiri hampir dengan kepala mereka menunggu mereka bangun.  Sehinggalah terbit fajar barulah mereka bangun (dan saya pun memberi susu kepada mereka).  Pada masa itu barulah mereka minum susu waktu petang mereka.

 Ya ALLAH, sekiranya saya melakukan amalan ini semata-mata untuk mendapatkan keredhaan-Mu, maka selamatkanlah kami daripada musibah yang menimpa kami akibat batu besar ini.” 

Hasil daripada doa itu, batu besar tersebut telah berganjak sedikit namun mereka masih belum dapat keluar.”


Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda lagi: 

“Orang kedua pula berdoa:  “Ya ALLAH, saya mempunyai seorang sepupu perempuan yang sangat saya sukai. 

Pada suatu ketika, saya telah mencuba untuk melepaskan tuntutan nafsu saya dengannya tetapi dia tidak bersedia sehinggalah pada suatu masa keadaan kemarau yang bersangatan telah memaksanya datang kepada saya.

 Saya telah memberi kepadanya seratus dua puluh dinar dengan syarat dia bertemu saya secara sembunyi dan dia telah bersedia. 

Apabila saya dapat menguasainya (dan hampir saya menunaikan tuntutan syahwat saya dengannya) dia berkata: “Tidak halal bagi kamu memecahkan mohor tanpa haknya (menodai).”  (Mendengarkan kata-kata itu) saya tidak jadi menyempurnakan niat saya yang buruk dan saya telah menjauhkan diri daripadanya sedangkan dia ialah orang yang paling saya sukai dan saya juga telah meninggalkan dinar-dinar yang telah saya berikan kepadanya.

 Ya ALLAH, sekiranya saya lakukan perkara ini kerana keredhaan-Mu, maka jauhkanlah musibah yang sedang kami alami ini.”

Lantaran itu batu besar tersebut telah berganjak lagi namun mereka masih belum dapat keluar.”


Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda lagi bahawa orang ketiga pula berdoa:

“Ya ALLAH, saya telah mengupah beberapa orang kuli dan saya membayar upah mereka kecuali seorang. 

Dia telah pergi tanpa mengambil upahya.  Saya telah laburkan upahnya itu dalam perniagaan sehingga hartanya itu bertambah banyak. 

Setelah beberapa lama dia datang dan berkata: “Wahai hamba ALLAH, bayarlah upah saya.” 

Saya menjawab bahawa ini semua, unta, lembu, kambing dan hamba sahaya ialah upah kamu.” 

Dia berkata: “Wahai hamba ALLAH, janganlah bergurau.” 

Saya berkata:  “Saya tidak bergurau (saya memberitahu yang sebenar) lalu (selepas penerangan saya) dia telah mengambil semua harta tanpa meninggalkan sedikit pun. 

Ya ALLAH, sekiranya saya lakukan ini semata-mata untuk mendapat keredhaan-Mu, maka jauhkanlah musibah yang sedang kami alami ini.”

Lalu batu besar itu berganjak lagi dan mereka semua telah dapat keluar.”   (Bukhari)  



Hari Juma’at
19 Dzulhijjah 1439 Hijriyah
31 Ogos 2018



Friday, August 17, 2018

RAMBUT CACAK-CACAKAN


Bila generasi muda kafir dan generasi muda yang serupa dengan mereka dari Eropah, Amerika Syarikat yang kehidupan mereka dalam kesesatan, mencari-cari ketenangan jiwa dan mahukan kebahagiaan dan kepuasan hidup; mereka membuat pelbagai perubahan gaya hidup mereka dengan berbagai-bagai cara termasuk cara pakaian dan gaya potongan rambut.

Mereka memakai pakaian-pakaian yang mendedahkan aurat yang boleh dilihat tumbul-tumbul daging badan, seluar ketat, baju sendat dan seluar yang elok sengaja dirobek agar ia menjadi koyak rabak dan bertampal di sana sini.

Bagi generasi muda lelaki, selain dari berpakaian compang-camping, mereka bergaya dengan berbagai potongan rambut. Mereka membiarkan rambut mereka panjang berserobeh hingga ke belakang, berbotak “skin head”, potongan rambut “punk”, potongan rambut “Mohawk” dan bermacam-macam lagi stail potongan rambut mereka.

Namun semua usaha mereka itu tidak kesampaian dan mustahil mereka ketemu apa yang mereka cari-cari iaitu ketenangan jiwa dan kebahagiaan hidup mereka. Mereka terus sesat dan lalai dalam kehidupan seharian mereka.

Kini datang pula stail potongan rambut cacak-cacakan bagi lelaki.
Potongan rambut cacak-cacakan itu sudah menjadi trend bagi sesetengah kanak-kanak, remaja dan orang dewasa di Malaysia sekarang ini.


MENGHARGAI RAMBUT

Bagi orang-orang yang beriman, penjagaan kebersihan dan penampilan diri amatlah penting. Mengenai penjagaan rambut, Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam melarang orang-orang Islam mukmin tidak menjaga dan merapikan rambut mereka dan membiarkan rambut mereka kusut masai dan menjadikan rambut mereka cacak-cacakan.

Atha bin Yassar radhiallahu ‘anh meriwayatkan sebuah Hadis seperti berikut:

“Pada suatu hari ada seorang datang mengadap Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dalam keadaan rambut dan janggutnya sangat kusut dan tidak teratur.

Melihat itu Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam memberi isyarat seolah-olah memerintahkan supaya orang itu merapikan rambut. Orang itu segera berbuat seperti yang diisyaratkan.

Setelah ia pergi meninggalkan tempat, Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda kepada para sahabat: “Tidakkah itu lebih baik, daripada kalau seseorang di antara kamu datang dengan rambut kusut seolah-olah seperti syaitan.”   (Malik)

Dalam Hadis yang lain, Jabir bin Abdullah radhiallahu ‘anh meriwayatkan sebagai berikut:

“Pada suatu hari Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam melihat seorang berambut cacak-cacakan, Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wasallam kemudian bersabda: “Apakah orang itu tidak dapat menemukan sesuatu untuk merapikan rambutnya?”   (Abu Daud)


Hari Juma’at
5 Dzulhijjah 1439 Hijriyah
17 Ogos 2018