Tuesday, November 18, 2008

SEBUAH KISAH NAKHODA

BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIIM

PELAYARAN

Seorang nakhoda kapal biasanya menempuh berbagai-bagai cabaran bila kapalnya berada di lautan. Cabaran-cabaran menghadapi cuaca, ombak gelombang, badai, batu karang, terumbu dan sebagainya. Semuanya itu menjadi keresahan kepada setiap nakhoda seperti apa yang diceritakan dalam buku-buku pengalaman pelayar kapal dari zaman berzaman. Di antaranya seperti Pelayaran Bahtera Nabi Nuh a.s. dan lain-lain.

NAKHODA YANG AGUNG

Nabi Nuh a.s. Rasul Allah menjadi nakhoda yang agung mengendalikan sebuah Bahtera yang membawa muatan yang terdiri daripada manusia, binatang-binatang, dan tumbuhan-tumbuhan dari berbagai spesis dan jenis, mengharungi banjir terbesar dunia.

Dalam pada itu Nabi Nuh a.s. menghadapi iblis dan syaitan yang telah bolos menyeludup masuk ke dalam Bahtera tersebut dengan tujuan bukan sahaja untuk mengkhianati penghuni-penghuni Bahtera bahkan bertujuan untuk menghasut dan menimbulkan fitnah menfitnah di kalangan orang-orang beriman yang ada di dalam Bahtera itu. Perbuatan syaitan itu menepati janjinya seperti Firman Allah s.w.t. dalam Surah Saad, Ayat 82, 83, 84 dan 85 :

Iblis berkata : ”Demi kuatkuasaMU (Wahai Tuhanku), aku akan menyesatkan mereka semuanya – ” (82)

”Kecuali hamba-hambaMU - di antara zuriat-zuriat Adam itu - yang dibersihkan dari sebarang kederhakaan dan penyelewengan”. (83)

Allah berfirman: “Maka Akulah Tuhan yang sebenar-benarnya, dan hanya perkara yang benar Aku firmankan - ” (84)

“Demi sesungguhnya! Aku akan memenuhi neraka Jahannam dengan jenis mu dan dengan orang-orang yang menurutmu di antara zuriat-zuriat Adam (yang derhaka) semuanya”. (85)

GANGGU GUGAT

Dalam Bahtera Nabi Nuh a.s. terdapat tikus-tikus di bawah kawalan syaitan la’natullahi alaih. Tikus-tikus itu kerjanya menebuk dan menggerit papan-papan Bahtera supaya dimasuki air dan merosakkan segala barang-barangan. Tujuannya ialah untuk menganggu gugat hati-hati orang-orang yang beriman dengan ketakutan dan waswas serta menjadikan orang-orang beriman itu celaru seraya menimbulkan suasana fitnah memfitnah di antara satu sama lain atas perkara kerosakan-kerosakan Bahtera itu. Mereka merasa kurang yakin akan keselamatan mereka di dalam Bahtera tersebut.

SYAITAN MENGAJAK MENJADI AHLI NERAKA

Syaitan tidak memperdulikan samada akibat dari kerosakan-kerosakan dan kebocoran Bahtera Nabi Nuh a.s. akan hancur atau karam bersama-samanya yang pada masa itu ia pun berada di dalam Bahtera tersebut. Inilah kemuncak hasrat dan hasad dengki syaitan yang akan memuaskan hatinya iaitu untuk menghapuskan semua zuriat-zuriat Adam a.s. di atas muka bumi ini dan membawa mereka bersama-samanya ke neraka, seperti firman Allah s.w.t., maksudnya :

”Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh bagi kamu, maka jadikanlah dia musuh (yang mesti dijauhi tipu dayanya); sebenarnya dia hanyalah mengajak golongannya (pengikutnya) supaya menjadi dari penduduk neraka”.
Surah Faatir, Ayat 6.

KUCING DAN TIKUS

Dengan izin Allah s.w.t. atas permohonan do’a Nabi Nuh a.s. untuk mendamaikan hati-hati orang-orang yang beriman dan meredakan keadaan huru hara di dalam Bahtera itu, diciptakan kucing-kucing untuk mengintip, menghidu, mencari dan membunuh semua tikus-tikus itu.

Lalu Nabi Nuh a.s. berkata kepada Iblis la’natullahi alaihi :” Apa jua kesalahanku kepadamu, maka engkau berbuat dengki kepadaku dan kepada sekalian anak cucu Adam a.s. dan berseteru dengan Nabi Adam a.s.?”.

Iblis la’natullahi alaih, menjawab:” Sanya aku tiada dapat derhaka padamu dan tiada lulus tipu dayaku akan dikau. Sebab yang aku dengki dan hasadkan Adam a.s. kerana bagindalah aku kena la’nat Allah s.w.t. Selepas itu aku memohon kehadrat Allah s.w.t. empat perkara dan dimakbulkanNYA untuk aku kerjakan iaitu:

1. Berhasad dengki sesama sendiri
2. Haloba dan berbimbang dengan harta dan mengambil harta sesama manusia secara batil
3. Membesarkan diri, takabbur, sombong serta mementingkan diri sendiri (Egoistic)
4. Kikir untuk membelanjakan harta ke jalan Allah s.w.t.

SIAP SIAGA

Di samping itu ada lagi perkara yang membuatkan seorang nakhoda perlu siap siaga, berjaga-berjaga dan berwaspada ialah menghadapi anak-anak kapal ”the sailors” yang mana tindak tanduknya tidak kurang bahayanya daripada perkara-perkara yang tersebut di atas. Anak-anak kapal adalah manusia seperti nakhoda juga, manusia mengawal manusia bukanlah perkara mudah seperti yang difikirkan. Dengan itu seorang nakhoda harus memiliki beberapa keistimewaan dan kelebihan daripada anak-anak kapal.

Ada kalanya nakhoda terpaksa mengalir air mata menangis makan hati sendirian dalam kapal apabila ia menghadapi masalah-masalah yang rumit. Perkara seperti ini berlaku ke atas nakhoda apabila kapal itu menghadapi bahaya yang mencemaskan. Dan ada kalanya nakhoda menghadapi tentangan-tentangan daripada anak-anak kapal sendiri kerana tidak dapat memahami kehendak-kehendak nakhoda, walaupun kehendak-kehendak nakhoda itu untuk kebaikan dan keselamatan semua yang ada dalam kapal itu. Selain daripada itu ada anak-anak kapal sengaja tidak mahu mengikut perintah nakhoda atas sebab mereka mempunyai agenda-agenda rahsia tersendiri bagi faedah masing-masing.

Dalam keadaan sebegitu, perkara-perkara yang tidak diingini boleh berlaku di atas kapal yang sedang berada di tengah-tengah lautan. Bila seorang nakhoda menghadapi ramai anak-anak kapal dalam keadaan cemas atau dalam keadaan bercelaru fikiran itu, hanya nakhoda yang bijaksana dan tegas sahaja boleh mengatasi keadaan dan mengawal suasana seperti itu.

MUTINY

Ada disebut dalam pepatah Arab yang berbunyi:
” Dalam sebuah kapal tak boleh ada dua nakhoda”.

Pepatah Arab itu nampaknya lebih tinggi dan lebih dalam maknanya daripada ”proverb” bahasa Inggeris yang mengkiaskan seperti :” Two lions cannot live together in one cave”, kerana “lions” itu haiwan tak berakal.

Bila dua nakhoda mengemudikan sebuah kapal, nilai-nilai pemikiran sudah tidak sama dalam mengendalikan kapal tersebut. Dari sudut inilah maka konspirasi cubaan merebut kuasa di antara nakhoda-nakhoda dan anak-anak kapal boleh berlaku secara rahsia. Tujuannya ialah untuk menguasai kapal tersebut. Akhirnya berlaku perampasan (mutiny) dalam kapal . Kalau di dalam sesebuah negara disebut ”Coup d’etat”, rampasan kuasa, guling kerajaan dan apa-apa sebutan lagi.

Dalam rumahtangga pula, ada di antaranya berlaku perebutan kuasa oleh isteri yang hendak menjadi ketua keluarga sama ada memerintah secara langsung (directly) atau sebaliknya (indirectly). Samada mengikuti hukum Islam atau setengah-setengah adat-adat tabi’i sejagat, suamilah yang menjadi ketua keluarga yang memerintah dan memimpin keluarga.

AD-DAIYUTH

Mengikut Al-Quran dan Hadith Rasulullah s.a.w., tindak tanduk perebutan kuasa ini selalunya menjadikan isteri-isteri menderhaka kepada suami mereka secara sedar atau tidak sedar. Lebih-lebih lagi bagi isteri yang kedudukan taraf lebih tinggi atau lebih pendapatannya daripada suaminya. Suami yang lemah jiwa biasanya terkongkong dan mengikut telunjuk isteri. Sehingga ada di antaranya menjadi dayus (Ad-daiyuth) yang diharamkan masuk syurga Allah s.w.t.

Dayus ialah suami yang tidak menegah akan isterinya dari mengerjakan pekerjaan-pekerjaan yang ditegah syara’ dan tidak cemburu akan isterinya yang melakukan maksiat dan tidak takutkan Allah subhanahu wa ta’ala.

Di antara sebab-sebab yang boleh menjadikan suami lemah dan takutkan isteri ialah:

1. Mengenangkan nasib anak-anak pada masa akan datang akan menjadi susah
2. Takut hilang kasih sayang anak
3. Khuatir kehilangan harta benda
4. Mengenangkan liku-liku cinta asmara dana yang dipupuk pada awalan perkenalan yang silam
5. Takutkan isteri kerana hidupnya lebih menumpang hasil mata pencarian isterinya
6. Ada ikatan dengan pihak mertuanya sama ada ikatan kewangan atau terhutang budi
7. Sentimen-sentimen yang diada-adakan sendiri mengikut kehendak emosi tanpa akal yang waras dan lain-lain lagi
8. Hidup dalam binaan kepompong imaginasi yang menghantukan takut ”FEAR” buatannya sendiri. Ia mempenjarakan dirinya melalui fantasi-fantasi hiasan syaitan la’natullahi alaih yang senantiasa berada dalam hati dan mindanya. Selagi mana suami itu tidak balik kepada bertaubat dan bertaqwa kepada Allah s.w.t. selama itulah ia menjadi abdi bodoh yang terbelenggu di situ sehingga ke akhir hayatnya, walaupun ia dihina dan dicerca. Maka jatuhlah ia dalam golongan orang-orang yang menzalimi diri sendiri.

TALBIS SYAITAN

Tidak ada apa yang menakut-nakutkan semuanya itu melainkan oleh syaitan la’natullahi ’alaih sehingga hal itu menjadikan seseorang suami yang bijak, berpendidikan tinggi dan berakal (tidak gila) yang memimpin ramai orang lain di luar, menjadi lemah dan terjerat dalam jebak (talbis) syaitan. Kejadian-kejadian yang salah itu berlaku atas sebab suami itu mengikut perasaan emosi sentimen semata-mata tanpa mengikut petunjuk-petunjuk jalan Allah s.w.t. yang memberi kelapangan dan keampunan kepada mereka yang mengikut jalanNYA yang lurus (Siratul Mustaqiim).

TAKUT KEMISKINAN

Allah s.w.t. berfirman, maksudnya :”Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan, dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji; sedang Allah menjanjikan kamu keampunan daripadaNYA serta kelebihan kurniaNYA. Dan (ingatlah) Allah maha luas limpah rahmatNYA, lagi sentiasa meliputi pengetahuanNYA”.
Surah Al-Baqorah, Ayat 268.

TAMTHIL

Kisah nakhoda yang dibawa di sini sebagai tamthil perbandingan tanggungjawab seorang suami yang menjadi ketua keluarga yang boleh disamakan dengan kepayahan seorang nakhoda kapal mengurus dan mentadbir orang-orang yang terletak di bawah tanggungjawabnya supaya aman dan selamat. Kisah ini perlu diamati selalu dan dijadikan i’tibar.

Hari Rabu
21 Dzil Qaedah 1429 Hijriyyah
19 November 2008

ANJING TIDAK SEINDAH RUPANYA

BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIIM

PENGENALAN

Binatang anjing telah digunakan manusia daripada zaman dahulu lagi sehingga ke masa ini. Anjing digunakan bukan sahaja sebagai teman buruan, penjaga ternakan dan penjaga harta benda, tetapi juga anjing dipelihara sebagai binatang “pet” iaitu binatang hiasan mainan.

TABI'AT ANJING

Binatang anjing ini boleh diajar mengikut kehendak dan keperluan tuannya. Tuannya atau juru latihnya akan memberi latihan bertubi-tubi dan menjamunya dengan makanan sebagai upah atau rasuah yang dilakukan ke atas anjing itu untuk menjadikan anjing patuh dengan perintah-perintah tuannya.

SIFAT-SIFAT SEMULA JADI ANJING ADALAH DI ANTARANYA:

Pemangsa dan pemakan daging “carnivorous” yang ganas
Hidup berkumpulan, kecil atau besar
Habitatnya berlainan bagi satu kumpulan dengan kumpulan yang lain
Spesis dan namanya serta bentuk badannya juga berlainan di antara satu sama lain dan sebagainya

KISAH ANJING YANG TERSEBUT DALAM AL-QURAN

Allah s.w.t. berfirman, maksudnya: " Dan engkau sangka mereka sedar, padahal mereka tidur; dan KAMI balik-balikkan mereka dalam masa tidurnya ke sebelah kanan dan ke sebelah kiri; sedang anjing mereka menghulurkan dua kaki depannya dekat pintu gua; jika engkau melihat mereka, tentulah engkau akan berpaling melarikan diri dari mereka, dan tentulah engkau akan merasa sepenuh-penuh gerun takut kepada mereka". Surah Al-Kahfi(18), Ayat 18.

Allah s.w.t. berfirman, maksudnya: " Dan kalau KAMI kehendaki nescaya KAMI tinggikan pangkatnya dengan (sebab mengamalkan) ayat-ayat itu. Tetapi ia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya (parable) adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya: ia menjelirkan lidahnya termengah-mengah, dan jika engkau membiarkannya: ia juga menjelirkan lidahnya termengah-mengah. Demikianlah bandingan (parable) orang-orang yang mendustakan ayat-ayat KAMI. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir". Surah Al-A'raaf(7), Ayat 176.

CERITA-CERITA ANJING YANG DIRIWAYATKAN DALAM HADIS

Dari 'Abdullah Ibnu 'Abbas r.a. katanya Maimunah menceritakan kepadanya bahawa pada suatu pagi Rasulullah s.a.w., kelihatan diam kerana susah dan sedih. Kata Maimunah: “ Ya Rasulullah! Aku heran melihat sikap Anda sehari ini. Apa yang telah terjadi?. Jawab Rasulullah s.a.w. mafhumnya:” Jibrail berjanji akan datang menemuiku malam tadi, ternyata dia tidak datang. Ketahuilah, dia pasti tidak menyalahi janji denganku”. Rasulullah s.a.w. senantiasa kelihatan susah dan sedih sehari itu. Kemudian baginda melihat seekor anak anjing di bawah tempat tidur kami, lalu baginda suruh keluarkan anak anjing itu. Kemudian diambilnya air lalu dibersihkan bekas-bekas tempat anak anjing itu. Ketika hari sudah petang, Jibrail datang menemui baginda. Kata baginda kepada Jibrail: “ Anda berjanji akan datang pagi-pagi.” Jawab Jibrail:” Benar! Tetapi kami tidak dapat masuk ke rumah yang di dalamnya ada anjing dan gambar-gambar (haiwan)”. . . ilaakh.

Ada dikhabarkan dalam sebuah kisah Israeliyah yakni kisah sebelum datangnya Islam, bahawa terdapat seorang perempuan Yahudi yang telah memberi minum dengan menggunakan kasutnya kepada seekor anjing yang amat kehausan air. Dengan keikhlasan hatinya, Allah s.w.t. mengampunkan dosa-dosa perempuan itu. Kisah ini telah diriwayatkan dalam sebuah Hadis:
Dari Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah s.a.w. bercerita: “ Pada suatu ketika ada seekor anjing mengelilingi sebuah telaga. Anjing itu hampir mati kehausan. Tiba-tiba ia terlihat oleh seorang perempuan pelacur bangsa Yahudi. Maka dibukanya sepatu botnya, kemudian dicedoknya air dengan sepatunya, lalu diberinya minum anjing yang hampir mati itu. Maka Allah s.w.t. mengampuni dosa-dosa perempuan itu”.

Rasulullah s.a.w. dalam sebuah Hadis membuat perbandingan (parable). Baginda bersabda, mafhumnya: “Dunia itu adalah bangkai yang busuk, dan yang busuk itu anjing yang menuntutnya”.

Dalam sebuah Hadis, Rasulullah s.a.w. bersabda, mafhumnya: “ Lagi akan datang suatu masa atas umatku raja-raja iaitu pemerintah-pemerintah mereka itu seperti harimau besar, dan orang-orang besar iaitu menteri-menteri dan penjawat-penjawat awam mereka itu harimau akar(kecil), dan kadi-kadi (hakim-hakim) mereka itu seperti anjing , dan manusia rakyat jelata mereka itu seperti kambing. (Bayangkanlah) bagaimana dan betapa kehidupan kambing-kambing itu di antara harimau-harimau besar dan harimau akar dan anjing-anjing?”.

ANJING YANG DISEBUT DALAM PEPATAH-PEPATAH

Bagai menolong anjing tersepit di pagar.

Bagai anjing dengan bayang-bayangnya.

Anjing meskipun dipakai dengan rantai emas, nescaya berulang-ulang juga ke tempat najis.

KEDUDUKAN ANJING DALAM ISLAM

Anjing walaupun ia cantik dan amat menarik rupanya, samada anjing hutan, anjing liar, atau anjing peliharaan atau anjing untuk buruan dan sebagainya, jilatan yang terkena air liurnya tetap menjadi najis mughallazah. Cara menyucinya ialah dengan membuang benda yang dijilat dan benjana iaitu bekas simpanan benda di dalamnya itu wajib dibasuh sebanyak tujuh kali dan satu daripadanya dengan air tanah yang bersih.

ANJING DI SISI ORANG-ORANG KAFIR

Bagi orang-orang kafir anjing adalah binatang yang amat berguna dan disayangi sehingga mereka boleh membawa duduk dan tidur di tempat-tempat istimewa seperti di dalam rumah dan di dalam kamar.

Orang-orang kafir juga menjadikan anjing sebagai rakan mainan. Mereka sanggup menjaga anjing lebih daripada menjaga dirinya sendiri; seperti menunggu anjing berak dan sanggup mengutip najis anjing itu.

BERWASPADALAH WAHAI MUSLIMIN DAN MUSLIMAH DENGAN ANJING

Dalam pergaulan dan perhubungan di atara bangsa dan kaum-kaum di dunia ini, orang-orang Islam wajib berwaspada dan mengelak daripada anjing, supaya pakaian dan badannya tidak menjadi najis kerana disentuh atau terkena anjing dan jilatannya.

Terdapat setengah-setengah daripada golongan orang-orang Islam bukan sahaja tidak mengambil berat mengenai hukum najis anjing itu, bahkan mereka rela melanggar hukum Allah s.w.t., hanya kerana hendak menjaga hati dan perhubungan dengan orang-orang kafir yang memiliki anjing.

Hari Rabu
21 Dzil Qaedah1429 Hijriyyah
19 November 2008

LEMBUT LUTUT

BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIIM

Lembut lutut bila tidak lulus peperiksaan

Lembut lutut bila anak gagal dalam ujian

Lembut lutut bila gagal dalam temuduga

Lembut lutut bila tidak dinaikkan pangkat

Lembut lutut bila dibuang kerja

Lembut lutut bila terkena polio

Lembut lutut bila diserang angin ahmar

Lembut lutut bila anak yang baru lahir meninggal dunia

Lembut lutut bila keguguran anak dalam kandungan

Lembut lutut bila ahli keluarga diculik orang

Lembut lutut bila ahli keluarga kena musibah

Lembut lutut bila menerima surat saman

Lembut lutut bila dikena hukum penjara seumur hidup

Lembut lutut bila dikena hukuman gantung

Lembut lutut bila didatangi orang meminta hutang

Lembut lutut bila rumah disita

Lembut lutut bila kereta ditarik balik kerana tidak dapat bayar ansuran

Lembut lutut bila didapati wang dalam simpanan sudah kehabisan

Lembut lutut bila harga saham miliknya jatuh merudum dalam pasaran

Lembut lutut bila projek-projek perniagaan gagal dijalankan

Lembut lutut bila jatuh bankerap

Lembut lutut bila terkena tipu

Lembut lutut bila harta benda hilang atau dicuri orang

Lembut lutut bila mendapati suami atau isteri berlaku curang

Lembut lutut bila mendapati isteri lari keluar dari rumah

Lembut lutut bila mendapati isteri dilarikan orang

Lembut lutut bila rumah terbakar hangus dijilat api

Lembut lutut bila rumah lenyap ditenggelami banjir

Lembut lutut bila rumah hancur digegar gerak gempa bumi

Lembut lutut bila rumah punah ranap dipukul ribut

Lembut lutut bila tanaman dan kebun ditenggelami air

Lembut lutut bila tanaman dan kebun hangus termakan api

Lembut lutut bila binatang ternakan habis mati diserang virus

Lembut lutut bila terlambat dan tertinggal kapal atau kenderaan awam

Lembut lutut bila ditimpa bala yang tidak dijangka bila-bila masa

Allah s.w.t berfirman maksudnya:” Dan (pada hari kiamat) engkau akan melihat tiap-tiap umat (lembut lutut) bertelut (dalam keadaan cemas menunggu panggilan); tiap-tiap umat diseru untuk menerima kitab suratan amalannya (serta dikatakan kepada mereka ): Pada hari ini kamu akan dibalas menurut apa yang kamu telah kerjakan!”
Surah Al-Jathiyah, Ayat 28.

Lagi, Allah s.w.t. berfirman maksudnya:”Inilah surat (tulisan malaikat) Kami, ia memberi keterangan terhadap kamu dengan yang benar , kerana sesungguhnya Kami telah (perintahkan malaikat) menulis segala yang kamu telah lakukan (di dunia dahulu)!”
Surah Al-Jathiyah, Ayat 29.

Dalam Surah Al-Insyiqaq, Ayat-ayat 7,8,9,10,11,12,13,14; Allah s.w.t berfirman maksudnya:

”Kemudian sesiapa yang diberi menerima surat amalnya dengan tangan kanannya, -” (7)

“Maka ia akan dihisab dengan cara yang mudah dan ringan,” (8)

“Dan ia akan pergi kepada keluarganya (yang beriman) dengan sukacita.” (9)

“Dan sesiapa yang diberi menerima surat amalnya (dengan tangan kiri), dari sebelah belakangnya,” (10)

“Maka ia akan meraung - menyebut-nyebut kebinasaannya,” (11)

“Dan ia akan menderita bakaran neraka yang marak menjulang.” (12)

“Sebenarnya ia semasa di dunia dahulu bersukaria dalam kalangan keluarganya ( yang juga kufur ingkar)” (13)

“Sesungguhnya ia menyangka bahawa ia tidak sekali-kali akan kembali ( kepada Kami untuk menerima balasan)!” (14)

Hari Rabu
21 Dzil Qaedah 1429 Hijriyyah
19 November 2008

MEMBUANG ANAK

BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIIM


Sesungguhnya perbuatan membuang anak oleh ibu bapa atau salah seorang daripadanya adalah berlaku semenjak dari zaman jahiliyah lagi hingga sekarang ini, mengikut cara dan sebab-sebab yang tertentu. Dan, bagi orang-orang Islam, dengan perbuatan membuang anak itu, maka kedua ibu bapa atau salah seorang daripada mereka akan berpisah dengan anak mereka di akhirat nanti kerana dosa-dosa yang dilakukan. Di antara cara dan sebab berlakunya pembuangan anak itu adalah seperti tersebut di bawah ini:-

Membuang anak dengan membunuh atau menanam hidup-hidup anak itu kerana malu dan aib dalam masyarakat jahiliyah.

Membuang anak dengan menghantar anak ke sekolah yang sistem pendidikannya mengikut cara kafir semata-mata.

Membuang anak dengan memberi kepada orang lain menjaganya kerana mahu melepaskan tanggungjawabnya.

Membuang anak dengan mengajar sendiri anak dengan perkara-perkara yang keji dan maksiat yang dilarang oleh Allah s.w.t. kerana mengikut gaya hidup sekeliling yang bermaksiat.

Membuang anak dengan menyerahkan anak kepada bekas suami atau bekas isteri yang murtad atau balik kepada keluarga kafir kerana emosi marah dan bebal atas sebab-sebab yang tertentu.

Membuang anak dengan memberi makan dan minum daripada hasil-hasil yang haram di sisi Islam kerana kononnya dirasai hasil yang haram itu lebih lumayan.

Membuang anak dengan memberi makan, minum serta mengasuh dan membesarnya oleh ibu yang ada pelajaran tinggi tetapi tiada pendidikkan Islam dan tidak beramal soleh.

Membuang anak dengan hanya memberi makan, minum serta membesarkannya seperti makhluk-makhluk haiwan tanpa memberi pendidikan akhlak Islam kerana ibu bapanya melihat manusia-manusia kafir yang makan, minum, berkahwin beranak silih ganti berganti dan boleh terus hidup tanpa mengamalkan Islam.

Membuang anak kerana tidak mengajar anak solat atau membiarkan anak tidak menunaikan solat kerana ibu bapanya sibuk dengan urusan kehidupan.

Membuang anak oleh ibu tunggal ( single mother ) dengan berbagai-bagai cara di mana-mana kerana takut terbuka rahsia melahirkan anak zina.

Istilah dalam kitab fiqh menyebut: 1. Teruna ialah lelaki yang belum berkahwin; 2. Dara ialah perempuan yang belum berkahwin; 3. Bujang lelaki atau perempuan yang sudah bercerai mengikut syari'at, sama ada mempunyai anak atau tidak ada anak dengan bekas isterinya; 4. Janda ialah perempuan yang sudah bercerai mengikut syari'at, sama ada ia ada mempunyai anak atau tidak ada anak dengan bekas suaminya.

Allah s.w.t. berfirman: “Katakanlah: Marilah supaya aku bacakan apa yang telah diharamkan oleh Tuhan kamu kepada kamu, iaitu janganlah kamu sekutukan dengan Allah sesuatu pun; dan hendaklah (kamu) membuat baik kepada ibu bapa; dan janganlah kamu membunuh anak-anak kerana kepapaan, Kamilah yang memberi rezeki kepada kamu dan kepada mereka; dan jangan kamu hampiri kejahatan-kejahatan (zina) - yang terang daripadanya dan yang tersembunyi; dan janganlah kamu membunuh jiwa yang telah diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh Syara’). Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu memahaminya”. Surah Al-An’Aam, Ayat 151.

Allah s.w.t. berfirman: “ Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan”. Surah At-Tahriim Ayat 6.

(Ayat ini diperingatkan kepada sekalian umat Islam, supaya menyelamatkan diri mereka dan keluarga masing-masing dari bahaya melanggar perintah-perintah agama Islam, iaitu tiap-tiap seorang wajib mengetahui serta mengajar anak isteri dan keluarganya dengan ajaran-ajaran dan adab-adab serta akhlak-akhlak Islam, supaya ia dan keluarganya terselamat dari kemurkaan Allah dan azabNya).


Hari Rabu
21 Dzil Qaedah 1429 Hijriyyah
19 November 2008

Tuesday, October 28, 2008

SAIYIDUL ISTIGHFAR (PENGHULU ISTIGHFAR)

BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIIM

Teks Dalam Bahasa Al-Quran:

Allahumma anta rabbi
La ilaha illa anta
Khalaqtani
Wa ana ‘abduka
Wa ana ’ala ’ahdika
Wa wa’dika mastato’tu
A’uzu bika min syarri ma sona’tu
Abu u laka bi ni’matika ‘alaiya
Wa abu u bizambi
Faghfirli
Fa innahu la yaghfiruzzunuba illa anta.

Teks Dalam Bahasa Melayu:

Ya Allah! Engkaulah Tuhanku
Tidak ada tuhan melainkan Engkau
Engkau yang telah menjadikan aku
Dan aku adalah hambaMu
Dan aku di atas perintah dan perjanjianMu sekadar keupayaanku
Aku berlindung denganMu dari kejahatan barang yang aku lakukan
Aku mengaku bagiMu dengan nikmatMu ke atasku
Dan aku mengaku dengan dosaku
Maka ampunilah aku
Maka sesungguhnya tiada sesiapa yang dapat mengampunkan segala dosa melainkan Engkau.

Translation In English:

O Allah! You are my Lord
None has the right to be worshipped except You
You have created me
And I am Your slave
And I am upon Your covenant, and I promise as much as I am able to be
I seek refuge in You from the evil that have perpetrated
I confess to You, Your favour upon me
And I confess to You my sins
So forgive me
For verily, none forgive sins except You.


PENJELASAN TENTANG SAIYIDUL ISTIGHFAR (Penghlu Istighfar)

Saiyidina Jabir r.a menjelaskan: Rasulullah s.a.w. bersabda: “Pelajarilah dengan baik penghulu istighfar dan amalkanlah”

At-Taiyibi menerangkan: Penghulu istighfar mengandung pengertian atas hubungan erat antara seorang hamba dengan Tuhannya dan mengandung pengakuan atas kelalalaian dan kelengahan manusia dalam melaksanakan kewajiban terhadap Tuhan. Pada hal manusia telah membuat perjanjian ketika ia masih dalam rahim ibu (dalam alam roh) bahawa ia dalam hidupnya akan senantiasa bertaat dan berbakti kepada Tuhan. Manusia mengakui atas nikmat-nikmat Tuhan, nikmat harta benda, nikmat kelengkapan anggota tubuh dan kesempurnaan pancaindera, kesihatan badan, fikiran, kebahagiaan dan sebagainya.

Kerana itu manusia hendaklah senantiasa mohon perlindungan kepada Tuhan, agar nikmat –nikmat tersebut terpelihara dari kemusnahan kerana akibat perbuatan dirinya sendiri. Di samping itu manusia wajib melaksanakan kewajiban-kewajiban terhadap Tuhan supaya timbul kesedaran dari hati nurani yang tulus ikhlas disertai dengan pengharapan mohon keampunan Tuhan setiap pagi dan petang.

Kerana itu Rasulullah s.a.w. bersabda:”Siapa membaca penghulu istighfar diwaktu pagi dangan penuh keyakinan sesuai dengan erti dan tujuan kalimat tersebut, kemudian ia meninggal pada hari itu, ialah ahli syurga. Dan siapa yang membaca di waktu petang dengan cara itu, kemudian ia meninggal pada malam hari, ia pun ahli syurga.”


Hari Rabu
29 Syawal 1429 Hijriyyah
29 Oktober 2008

Friday, October 24, 2008

24 OKTOBER 2008


BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIIM

24 OKTOBER 2008

Dua puluh empat Oktober datang berlari-lari
Deras memecut tiada terperi
Sedar-sedar aku dihampiri
Percaya tak percaya masa menepati

Aku masih ada di dunia ini
Dengan izin Allah Al-Baqi
Dengan rahmatNYA aku nikmati
Umur dan sihatku dianugerahi

Ya Allah! Aku ini Ghazali hambaMU
Banyak melakukan dosa terhadapMU
Ya Allah! Engkaulah tempat aku berpaut mengadu
Aku memohon ampun dan pertolonganMU

Dalam meneruskan hidupku di dunia
Ya Allah! Tambahkanlah daku akal dan ilmu yang berguna
Supaya dapat aku beribadat kepadaMU dengan sempurna
Engkau terimalah aku dengan rahmatMU jua

Dalam menyambung hidupku di dunia ini
Ya Allah! Engkau berkatikanlah daku umur dan rezeki
Panjangkanlah umurku untuk bertaubat dan berbakti
Aku memohon rahmatMU, Ya Allah Al-Wali


Hari Sabtu
25 Syawal 1429 Hijriyyah
25 Oktober 2008


Thursday, October 23, 2008

MENYAMBUT KELAHIRAN NUR SARAH ZAKIAH DZIL AZZA GHAZALI


BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIIM


NUR SARAH ZAKIAH


Dua puluh tiga Oktober dua ribu lapan, bersamaan
Dua puluh tiga Syawal empat belas dua puluh sembilan
Dengan iradat Allah, hari Khamis engkau dilahirkan
Melalui asbab ayahmu Dzil Azza dan ibumu Khairul Bariah Allah tetapkan

Nur Sarah Zakiah bercahaya suci namamu
Dengan kehendak Allah di dunia ini kita bertemu
Marhaban Ahlan wa sahlan kami menjemputmu
Dengan ikatan mesra silaturrahim qarabatmu

Nur Sarah Zakiah dilahirkan suci dan putih bersihnya
Bagai bunga penyejuk mata kedua ibu bapanya
Asuh dan terbiyahkanlah dia dengan Agama dari mula
Wajib atasmu Azza dan Khairul berdua

Anak-anakmu dari keturunan zuriatmu
Nikmat Allah mengurniakan mereka kepadamu
Di dunia mereka dianugerahkan Allah bersamamu
Membawa ke akhirat hanya dengan amal ibadatmu

Pupuklah anak-anakmu dengan akhlak yang mulia
Akhlak yang dibawa Nabi Muhammad s.a.w. penghulu kita
Nabi yang membawa rahmat ke seluruh alam semesta
Solawat dan salam sejahtera ke atas Nabi s.a.w. dan keluarganya

“RABBANA AATINA FIDDUN-YA HASANAH, WA FIL AAKHIRATI HASANAH WA QINA 'AZABANNAAR.” Surah Al-Baqorah, Ayat 201

Maksudnya:
“Wahai Tuhan kami! Berikanlah kepada kami kebaikan di dunia, dan kebaikan di akhirat, dan peliharakanlah kami dari 'azab neraka.”


Hari Khamis
23 Syawal 1429 Hijriyyah
23 Oktober 2008

Friday, October 10, 2008

TELAPAK KAKI IBU

BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIIM


SYURGA DI BAWAH TELAPAK KAKI IBU

Berseharian ibu bersihkan diri
Dari kotoran debu dan daki
Ibu bersugi berwuduk dan bersuci
Di laluan air sungai lima kali sehari

Berharian ibu berbakti
Menjalankan tanggungjawab diri
Mematuhi segala perintah Ilahi
Menjaga harta keluarga dan suami

Membaca Al-Quran setiap hari
Mengajar anak-anak membaca dan mengaji
Waktu malam dan masa pagi
Siang malam menanggung tugas tiada henti

Ibu memekak membuta dan membisu
Guruh halilintar memecah di hilir dan di hulu
Hingar bingar penjaja berita haru biru
Tidak menggelodak dan tidak sentuh di hati ibu

Hatiku tenang bersama ibu
Oh ibu! Srikandiku
Engkaulah obor di hadapanku
Membawa rahmat Allah di hari mukaku

Muka ibu bersih bercahaya
Tangan dan kaki ibu suci belaka
Jaga kotoran jangan terkena
Di bawah telapak kaki ibu ada SYURGA


DI BAWAH KAKI IBU ADA CEMARAN

Oh! Ibu
Ada cemaran di bawah kaki ibu
Amat busuk hanyir berbau
Bak ibu berjalan tanpa sepatu

Jauh berjalan di luar rumah
Ke sana sini ibu menjelajah
Mana mana tempat ibu redah
Pasti ada kejahatan dan fitnah

Di luar rumah pemangsa menunggu
Ketika mangsa hadir menuju
Mata berputar liar tertumpu
Hendak menjamu sepuas-puas nafsu

Oh! Ibu
Engkau berkerja berusaha letih lesu
Anak-anak di rumah tertunggu tunggu
Menanti belaian kasih sayang ibu

Oh! Ibu di mana berada
Pakaian dan makanan kami semua
Dimanakah ibu makan dan belanja
Di luar rumah tinggalkan keluarga

Oh! Ibu mengapa terlupa
Tanggungjawab ibu kepada bapa
Bapa resah gelisah dan tak selesa
Tanpa ibu ada bersama

Oh! Ibu mengapa jadi begitu
Semua kotoran menghinggapi dirimu
Tanpa mengira ketika dan waktu
Di bawah telapak kaki ibu ada najis dan debu


Hari Khamis
11 Syawal 1429 Hijriyyah
11 Oktober 2008

Monday, October 6, 2008

TABI'AT DAN SIFAT LELAKI DAN PEREMPUAN KAFIR

BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIIM


Tabi’at-tabi’at perempuan semasa dalam kafir seperti yang tersebut dalam beberapa buah kitab agama Islam seperti dinyatakan di bawah ini untuk orang-orang Islam jadikan i’tibar.

Kata hukama’ bahawa tabi’at-tabi’at perempuan kafir itu menyerupai setengah-setengah daripada tabi’at haiwan:

1 Seperti tabi’at babi iaitu tiada ia berbuat baik melainkan makan dan minum

2 Seperti tabi’at kera iaitu gemar memakai kain berwarna merah, hijau, kuning dan tiada suka memakai emas dan perak. Ia memegahkan dan membesar-besarkan diri pada suaminya

3 Seperti tabi’at anjing iaitu perempuan tatkala ia berkata-kata dengan suaminya ia memalingkan mukanya dan apabila suami menyuruh, ia membantahnya serta mengherdik seperti anjing menyalak babi, dan apabila dilihatnya ada harta pada suaminya maka dikasihinya, dan apabila tiada harta pada suaminya maka bencilah ia akan dia serta dicerca dan dinyahkan dari rumahnya dan tiadalah mahu diam daripada menista-nista hinakan suaminya

4 Seperti tabi’at baghal iaitu apabila ia bertemu sesuatu yang ditakutinya, dipalu sekalipun tiada mahu berjalan melainkan undur ia serta menghiaskan dan mengindahkan dirinya

5 Seperti tabi’at ular iaitu menaruh dendam kesumat apabila mendengar perkataan orang yang jahat akan dia atau akan suaminya maka jadi berkelahilah dengan orang lain

6 Seperti tabi’at kala iaitu sentiasa berkeliling pada rumah-rumah orang sekampung serta mengadu-ngadu dan mengumpat-ngumpat serta berbantah-bantah ia dengan mereka itu seperti kelakuan kala, disengatnya barang yang bertemu dengan dia

7 Seperti tabi’at tikus iaitu mencuri harta suaminya lagi culas, curang dan tidak jujur dengan suaminya

8 Seperti tabi’at unggas iaitu sentiasa bertandang dan tiada sesa’atpun istirehat. Apabila suaminya datang maka katanya dari mana engkau, tiada kasihkan daku engkau kasihkan orang lain

9 Seperti tabi’at serigala iaitu apabila ada suaminya dalam rumah maka pura-pura ia menidurkan dirinya dan apabila datang suaminya maka ia memulakan perbantahan serta katanya aku tinggal seorang diri di rumah dan sakit, engkau pergi mana?

Adapun setengah daripada sifat-sifat lelaki dan perempuan kafir itu, apabila ia berkahwin hanya semata-mata kerana dunia. Ada juga diantaranya :

a. Berkahwin kerana dorongan nafsu syahwat yang diterjemahkan sebagai cinta

b. Berkahwin kerana hendak mendapat kekayaan dan nama serta kebesaran pangkat

c. Berkahwin dengan tujuan membalas dendam serta menipu dan mengikis harta serta membinasakan suami atau isterinya dalam jangka masa yang telah dirancang.


Hari Selasa
7 Syawal 1429 Hijriyyah
7 Oktober 2008

Sunday, September 28, 2008

BULAN-BULAN DI SISI ALLAH SUBHANAHU WA TA'ALA

BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIIM


Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi penyayang, segala puji-pujian bagi Allah pentadbir sekalian alam, selawat dan salam ke atas semulia-mulia nabi dan Rasul iaitu penghulu kami nabi Muhammad s.a.w. dan di atas keluarganya dan para sahabatnya sekalian.

Hilalun anak bulan
Qamarun bulan
Badrun bulan purnama penuh bulan
Bulan di sisi Allah s.w.t. hendaklah dijadikan ingatan

Muharram, Safar, Rabi'ul Awal, Rabi'ul Akhir
Jamadil Awal, Jamadil Akhir
Rejab, Sya'aban, Ramadhan, Syawal
Dzul Qaedah dan Dzul Hijjah genap dua belas bulan

Muharram tiga puluh hari
Safar dua puluh sembilan hari
Rabi'ul Awal tiga puluh hari
Rabi'ul Akhir dua puluh sembilan hari
Jamadil Awal tiga puluh hari
Jamadil Akhir dua puluh sembilan hari
Rejab tiga puluh hari
Sya'aban dua puluh sembilan hari
Ramadhan tiga puluh hari
Syawal dua puluh sembilan hari
Dzul Qaedah tiga puluh hari
Dzul Hijjah dua puluh sembilan hari

Orang Islam di akhir zaman
Sedikit yang tahu sebut bilangan bulan
Bulan-bulan mulia di sisi Allah s.w.t. dilupakan
Milik Allah s.w.t. dibuat ringan, rekaan kafir jadi gunaan

Segan mengguna bulan-bulan Allah dalam sistem pengurusan
Rasa rendah diri tidak bertepatan
Di antara orang Islam ada yang tinggal Allah mencari kemuliaan
Menukar gantikan hidayah Allah dengan kehinaan


Daripada bulan-bulan itu empat dinamakan bulan haram
Rejab, Dzil Qaedah, Dzil Hijjah dan Muharram
Dzil Qaedah, Dzil Hijjah dan Muharram tiga bulan berturutan
Rejab satu bulan berasingan MUDHARUN sebutan

Bulan haram lantaran dinamakan
Iaitu bulan-bulan kebesaran dan kehormatan
Sebesar-besar dosa jika dilakukan di dalamnya kemaksiatan
Amalan soleh pula diberi pahala berganda-ganda besar ganjaran

Bulan Dzul Qaedah bakal haji ke Makkah mula perjalanan
Bulan Dzul Hijjah amalan ibadat haji dilakukan
Bulan Muharram jema'ah haji pulang selesai kewajipan
Bulan Rejab untuk beribadat umrah setengah tahunan

Peperangan dalam bulan-bulan tersebut diharamkan
Jika orang-orang Islam diganggu ceroboh, peperangan diwajibkan
Bunuhlah musyrikin sekalian sebagaimana mereka membunuh kamu tanpa belas kasihan
Sehingga orang-orang Islam terjamin keselamatan hidup dalam keamanan

Allah s.w.t. berfirman, maksudnya:” Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah ialah dua belas bulan dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram. Ketetapan Ad-din yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu di dalamnya, dan perangilah kaum musyrikin itu seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya, dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa.” Surah At-Taubah, Ayat 36.

Daripada Abu Bakrah berkata sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah bersabda, mafhumnya:” Sesungguhnya zaman itu berputar sejak awal waktu Allah menjadikan langit dan bumi. Satu tahun mengandungi dua belas bulan ini, darinya empat bulan haram, tiga dari empat bulan ini berturutan-turutan iaitu Dzul Qaedah, Dzul Hijjah dan Muharram dan satu bulan berasingan ialah Rejab di antara Jamadi dan Sya'aban”.

Hari Ahad
28 Ramadhan 1429 Hijriyyah
28 September, 2008

Monday, September 22, 2008

LEKOK LEKOK SI AIR MATA

BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIIM



Air mata kanak-kanak menitis menangis kerana lapar atau sakit

Air mata budak menitis menangis kerana tak dapat barangan yang dikehendakinya

Air mata teruna dan dara menitis menangis kerana tak dapat berjumpa atau hilang kekasihnya

Air mata dara menitis menangis sedih kerana dipaksa kahwin atau ditinggal kekasihnya

Air mata penuntut menitis menangis kerana amat gembira sudah berjaya atau amat sedih kerana gagal dalam peperiksaan

Air mata ibu bapa menitis menangis kerana gembira melihat wajah anaknya yang baru lahir

Air mata orang menitis menangis kerana kesakitan dan dukacita

Air mata orang menitis menangis kerana sedih terkena tipu

Air mata orang menitis menangis kerana dukacita atas kematian ahli keluarga atau orang yang disayanginya

Air mata penipu menitis menangis buat-buat kerana hendak mendapat simpati daripada orang yang hendak ditipunya

Air mata orang yang pura-pura merajuk menitis menangis kerana hendak mengikat mangsa yang lemah jiwa, lalai, bebal lagi dungu, supaya janji-janji yang dihajatinya dapat dan tercapai

Air mata Nabi Adam a.s. dan Siti Hawa menitis menangis selama kira-kira tiga ratus tahun kerana menyesal atas kesalahan mereka dan bertaubat kepada Allah SWT atas hanya satu dosa yang terlanjur melanggar perintah Allah SWT iaitu memakan buah Khuldi atas hasutan syaitan 'alahi la’natullah.

Allah ‘Azza wa Jalla berfirman: “Kemudian Nabi Adam menerima dari Tuhannya beberapa kalimah (kata-kata pengakuan taubat yang diamalkannya sebagai do’a seperti tersebut dalam Surah Al-‘Araaf, Ayat 23), lalu Allah menerima taubatnya; sesungguhnya Allah, Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani”. Surah Al-Baqarah, Ayat 37.

Do’anya: “Wahai Tuhan kami! Kami telah menganiaya akan diri kami sendiri dan jika Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi”. – Surah Al-A’araf, Ayat 23.

Catitan: Peristiwa ini berlaku sebelum Nabi Adam a.s. menjadi Nabi, kerana seseorang Nabi itu “Ma’sum” ya’ni terpelihara dari melakukan dosa. Menurut setengah ahli tafsir, bahawa Nabi Adam a.s. berbahagia dengan lima perkara iaitu mengakui kesalahan, menyesal akan kesalahan itu, menempelak dirinya sendiri, segera bertaubat, dan tidak berputus asa daripada rahmat Allah.

Sebaliknya Iblis/syaitan telah ditimpa celaka disebabkan lima perkara iaitu ia tidak mengaku salah, tidak menyesal, tidak menempelak dirinya sendiri, enggan bertaubat, dan ia pula berputus asa daripada rahmat Allah.


Hari Isnin
22 Ramadhan 1429 Hijriyyah
22 September 2008

Tuesday, September 16, 2008

MANUSIA BERASAL DARI DIRI YANG SATU

BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIIM


Wahai lelaki yang beriman bani Adam
Engkaulah khalifah selepas Adam
Nenekmu Adam cantik rupa badan
Enam puluh hasta tinggi ragam

Nenekmu dizahirkan berseorangan
Tiada rakan tiada pula kawan
Diletakkan dalam syurga penuh keindahan
Bagai kanak melihat dengan kehairanan

Dilihatnya makhluk tiada yang serupa dengannya
Sayu dan pilu dalam kecantikannya
Sunyi sepi sepanjang waktu dan masa
Rindu di hatinya mula berputik rasa

Nenekmu di syurga setengah hari sahaja
Ukuran masa lima ratus tahun di dunia
Itulah masa manusia wajib kira
Berapa singkat jangka hayat di dunia

Dalam kehairanan nenekmu terlena
Dalam hatinya membawa rindu cinta
Rindu dan cintanya tiada tafsirannya
Rindu dan cintanya hanyut ke mana-mana

Allah Maha mengetahui lagi bijaksana
Segala isi hati dan rahsia di dalam dada
Mengurniakan di sisinya seorang wanita bernama Hawa
Nenekmu takjub melihatnya secantik rupa

Daripada tulang rusuk kiri nenekmu diciptakan Hawa
Dijadikan punca teman akrab lelaki dan wanita
Pasangan hidup sepanjangan di dalam dunia
Dan hidup di akhirat kekal sentosa.

Nenekmu Adam wafat pada hari Jumaat
Waktu tengahari gelincir matahari tersurat
Meninggalkan anak cucu ketika wafat
Empat puluh ribu orang mengikut riwayat.

Umur nenekmu dikurniakan Allah Subhanahu Wa Taala
Sembilan ratus tiga puluh tahun mengikut khilafnya
Atau seribu tahun umurnya Allah yang lebih mengetahuinya
Nenek moyangmu itulah asal usul sekalian manusia.


Allah s.w.t. berfirman: “Wahai sekalian manusia!
Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan
kamu bermula dari diri yang satu (Adam), dan yang
menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (Hawa),
dan juga yang membiakkan dari keduanya zuriat keturunan
lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah
kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan
menyebut-nyebut namaNya, serta peliharalah hubungan
silaturrahim kaum kerabat; kerana sesungguhnya
Allah senantisa memerhati mengawas kamu”.
Surah An-Nisaa, Ayat 1


Hari Sabtu
17 Ramadhan 1429 Hijriyah
17 September 2008

Wednesday, September 10, 2008

HIKMAH ALLAH 'AZZA WA JALLA DALAM PERUBATAN

BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIIM

Islam menggalakkan setiap orang muslim berubat apabila ada penyakit yang dihidapinya.

Hadis-hadis Rasulullah s.a.w. yang mengisyaratkan bagi setiap penyakit pasti ada ubatnya. Sedang ubat tersebut hanya dapat diketahui sebahagian orang, sedang orang lainnya tidak mengetahui. Dan apabila ubat itu sesuai dengan penyakit maka sembuhlah penyakit dengan izin Allah ‘Azza Wa Jalla.

Rasulullah s.a.w. bersabda dikhabarkan dalam sebuah Hadis; “Dari Usamah bin Syuraith, katanya: Rasulullah s.a.w. berada di samping saya, tiba-tiba seorang badwi datang, lalu berkata; “Ya, Rasulullah, apakah kami boleh berubat?” Rasulullah menjawab: “Ya. Wahai para hamba Allah, berubatlah kamu, kerana sesungguhnya Allahu ‘Azza Wa Jalla tidak menurunkan penyakit kecuali Dia turunkan ubatnya. Ubat tersebut dapat diketahui oleh orang-orang yang ‘alim (berpengetahuan), dan tidak diketahui oleh orang-orang jahil (tiada berpengetahuan). ( Dan Rasulullah s.a.w. bersabda: “Apabila ubat sesuai dengan penyakit , sembuhlah penyakit dengan izin Allah ‘Azza Wa Jalla”.)

Bagi muslimin yang diberi Allah ‘Azza Wa Jalla, pengetahuan dan kebolehan dalam sains perubatan, tidak kira dalam bidang mana sekalipun, bangun dan maju untuk membina dan menjaga kesihatan umat Muhammad s.a.w.

Adalah diperhatikan pada masa kini ada di antara pengamal perubatan samada yang diiktiraf atau yang tidak diiktiraf memakai nama “Perubatan Islam” sebagai daya tarikan, sedang perkhidmatan yang diberi di antaranya amat memalukan dari sudut pandangan Islam.

Dalam konteks “Perubatan Islam” yang difahami sekarang ini oleh sesetengah orang, amat terhad kepada suatu sudut yang teramat sempit dan menyempitkan orang lain. Biasanya terdapat apa yang dinamakan “Perubatan Islam” itu khusus kepada jampi serapah samada menggunakan ayat-ayat Al-Quran dan sebagainya yang bercampur aduk dengan mentera-mentera lain yang tidak ada nas-nas yang sahih daripada Hadis-hadis Rasulullah s.a.w. Ada juga terdapat pengamal perubatan itu menggunakan akar-akar kayu, herba-herba dan sebagainya yang pemperosesannya tidak teratur, kotor dan bahan-bahan itu telah menjadi rosak yang mana tidak ada nilai-nilai khasiatnya lagi.

Ada setengah daripada pengamal kononnya “Perubatan Islam” yang mendakwa bahawa mereka mampu memberi khabar baik buruk seseorang pesakit serta tahu rahsia-rahsia ghaib dan kejadian-kejadian yang akan berlaku di hari muka, melalui tenung, ramal,sihir, dan sebagainya lagi. Tersebut dalam kitab “Al-Sunan ”, orang-orang seperti ini diketahui sebagai Kahin dan ‘Araf. Perbuatan mereka itu adalah merupakan syirik belaka.

Allah ‘Azza Wa Jalla berfirman:” Mahukah, Aku khabarkan kepada kamu, kepada siapakah Syaitan-syaitan itu selalu turun?” Surah Asy-Syu’araa’ Ayat 221.
(Yakni sebenarnya Syaitan-syaitan itu turun kepada golongan pendusta yang berdosa – pawang-pawang dan ahli sihir yang mendakwa mengetahui perkara-perkara yang ghaib ; bukan kepada Nabi-nabi atau orang-orang yang mewarisinya).

Allah ‘Azza Wa Jalla berfirman : “Mereka selalu turun kepada tiap-tiap pendusta yang berdosa,” Surah Asy-Syu’araa’ Ayat 222.

Allah ‘Azza Wa Jalla berfirman: “ Yang mendengar bersungguh-sungguh (apa yang disampaikan oleh Syaitan-syaitan itu), sedang kebanyakan beritanya adalah dusta”.
Surah Asy-Syu’araa’, Ayat 223.

Sebagaimana disebutkan pada awalan tadi bahawa dalam Islam, semua bidang perubatan sekalian alam ini semuanya adalah daripada hikmah Allah ‘Azza Wa Jalla.

Perkara yang wajib dijaga ialah tentang pengurusan perubatan itu mengikut ciri-ciri keIslaman, seperti pengurusan tempat tinggal pesakit lelaki dan perempuan, tempat dan proses penyediaan makanan dan minuman dan perkara-perkara yang ada hubungkait dengannya. Ianya hendaklah mengikut dan sesuai dengan batasan-batasan hukum; Wajib, Haram, Sunat, Makruh dan Harus, perlu diletakkan pada tempatnya yang benar lagi betul.

Perubatan Islam itu bukan kata-kata, saduran-saduran, pameran-pameran, iklan-iklan yang cantik di luaran semata-mata. Perubatan Islam hendaklah diamalkan dengan ilmu dan pengetahuan, mengikut prosedur-prosedur yang telah sedia ada dan ditetapkan dalam Islam yang mana nilainya tinggi di dunia dan akhirat.

Hari Khamis
4 Ramadhan 1429 Hijriyah
4 September 2008

Wednesday, September 3, 2008

PESANAN RINGKAS TERBUKA SEMASA

BISMILLAH AR-RAHMAAN AR-RAHIIM

Untuk mengelak dan menjauhkan daripada orang-orang yang mempermain-mainkan kata-kata, hukum-hukum dalam Islam bukan sahaja oleh orang-orang bukan Islam tetapi juga oleh setengah-setengah orang melayu Islam sendiri, hendaklah kita memerhatikan akhlak dan penghayatan hidupnya. Orang-orang yang memperolok-olokan Al-Quran dan Hadis Nabi s.a.w. adalah sebenarnya terdiri daripada mereka yang tidak mengamalkan Islam sepenuh dalam kehidupannya.

HarakahDaily bertarikh 2 September, 2008, melaporkan bahawa Ketua Menteri, Pulau Pinang yang bukan Islam semasa berucap, disebut telah memberi ucapan yang berbunyi diantara lain-lain “Hanya Amar Makruf Nahi Munkar sebagai jalan terbaik untuk atasi gejala maruah di negara kita ini”.
Amar makruf nahi munkar adalah dipetik daripada Firman Allah S.W.T. :
“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik, dan melarang daripada perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)”.
Surah Aali-Imran Ayat 110. (Lihat juga Ayat 104 Surah yang sama).

Amar makruf nahi munkar tidak boleh sekali-sekali disama taraf atau disama nilai dengan erti buat baik dan mencegah keburukan mengikut fahaman dan nilai-nilai agama yang lain daripada Islam.

Terdapat sebahagian daripada orang-orang Islam pula menerima ucapan-ucapan orang-orang bukan Islam atau munafik yang mengguna sedutan-sedutan daripada Al-Quran dan Hadis Nabi S.A.W. serta terpesona dengannya tanpa mengambil tahu dan melihat diri siapa yang bercakap itu.

Kita tidak boleh mengandai samada orang yang bukan Islam yang mengguna Ayat-ayat Al-Quran dan Hadis Nabi S.A.W. itu akan memeluk Islam atau tidak. Sebaliknya kita orang-orang Islam yang beriman diajar untuk memerhati dan melihat kepada budi pekerti dan akhlaknya dalam kehidupan biasanya supaya kita tidak terkeliru dan tertipu.
Ingatlah bahawa Hidayah Islam itu adalah dalam urusan Allah ‘Azza Wa Jalla sahaja. Tidak ada sesiapa yang boleh memberi hidayah Islam kepada manusia walaupun dari kalangan rasul-rasul atau nabi-nabi atau ulama-ulama atau ustaz-ustaz dan sebagainya.


Allah S.W.T. berfirman: "Dan di antara manusia ada yang berkata; “Kami telah beriman kepada Allah dan kepada hari akhirat”, pada hal mereka sebenarnya tidak beriman (Orang-orang bermuka dua, perkataanya tidak menggambarkan apa yang ada di dalam hatinya, itulah sifat orang-orang yang munafik. Golongan seperti ini terdapat pada bila-bila masa, dan mereka adalah dari golongan orang-orang yang dikutuk dan dimurkai Allah)".
Surah Al-Baqarah, Ayat 8.

Allah S.W.T. berfirman lagi: "Mereka hendak memperdayakan Allah dan orang-orang yang beriman, pada hal mereka hanya memperdaya dirinya sendiri, sedang mereka tidak menyedarinya".
Surah Al-Baqarah, Ayat 9.

Allah S.W.T. berfirman: "Di dalam hati mereka terdapat penyakit, maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka, dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dengan sebab mereka dusta".
Surah Al-Baqarah, Ayat 10.

Allah S.W.T. berfirman: "Dan apabila dikatakan kepada mereka; “Janganlah kamu membuat bencana dan kerosakan di muka bumi”, mereka menjawab, “Sesungguhnya kami orang-orang yang hanya membuat kebaikan”.
Surah Al-Baqarah, Ayat 11.

Allah S.W.T. berfirman: "Ketahuilah! Bahawa sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang sebenar-benarnya membuat bencana dan kerosakan, tetapi mereka tidak menyedarinya".
Surah Al-Baqarah, Ayat 12.

Hari Rabu
3 Ramadhan 1429 Hijriyyah
3 September 2008



Saturday, August 2, 2008

NISFU SYAABAN DALAM INGATAN


BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIIM


Menjelang malam lima belas Syaaban

Malam yang subur dalam ingatan

Malam akhir genap hitungan

Ke atas hamba Allah Zakiah Rajihan


Nisfu Syaaban ini sembilan tahun ditelan masa

Semoga Allah ketemukan kita dalam doa senantiasa

Sebagai penganti bakti dan pengenap masa

Tatkala semasa hayatmu kami sekalian alpa


Assalamu'alaiki selamat sejahtera ke atasmu

Engkau telah pergi mendahului kami keluargamu

Mudah-mudahan Allah Ar-Rahiim menyayangimu

InsyaAllah, bila tiba masanya, kami akan menyusulimu


Hari Sabtu

1 Syaaban 1429 Hijriyyah

2 Ogos 2008

Monday, July 7, 2008

WAHAI ANAK ADAM MENGAPA?


BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIIM


Dengan nama Allah yang pemurah lagi penyayang, segala puji-pujian bagi Allah pentadbir sekalian 'alam, selawat dan salam ke atas semulia-mulia nabi dan Rasul iaitu penghulu kami Nabi Muhammad S.A.W. dan di atas keluarganya dan para sahabatnya sekalian.



WAHAI ANAK ADAM


Mengapa engkau tinggalkan ibumu?
Syurga itu di bawah tapak kaki ibumu yang solehah


Mengapa engkau tinggalkan bapamu?
Redha Allah pada redha bapamu yang soleh


Mengapa engkau tinggalkan anakmu?
Anak yang soleh mendoakan untukmu


Mengapa engkau tidak mengasihi cucu-cucumu?
Rasulullah S.A.W. bersabda: "Siapa yang tidak penyayang
tidak disayangi"


Mengapa engkau putuskan silaturrahim?
"Al-Qati'" pemutus silaturrahim tidak masuk syurga


Mengapa engkau lari dari kerabatmu?
Mati akan tetap menceraikan engkau dan kerabatmu


WAHAI ANAK ADAM

Mengapa engkau tidak memilih jodoh?
Nabi S.A.W. bersabda: "Berkahwin akan perempuan itu kerana hartanya
dan eloknya dan kerana bangsanya dan kerana agamanya (Islam),
maka lazimkan olehmu berkahwin dengan perempuan yang mempunyai agama (Islam)"

Mengapa engkau tidak jaga, belai dan didik isterimu?
Allah telah mengamanahkan perempuan sebagai isteri kepadamu

Mengapa engkau tidak bimbing dan pimpin isterimu?
Allah berfirman: "Masuklah ke dalam syurga bersama-sama
isteri-isterimu yang beriman"

Mengapa engkau biarkan isterimu buat derhaka?
Di syurga bidadari menunggu-nunggumu

Mengapa engkau terpikat dengan perempuan yang rendah pekerti?
Rasulullah S.A.W. bersabda: "Jauhkan dirimu daripada tumbuh-tumbuhan
yang tumbuh di tempat pembuangan sampah (Khudra uddamni)"

WAHAI ANAK ADAM

Mengapa engkau mengenang hidupmu dahulu?
Umurmu tidak berundur lagi

Mengapa engkau panjangkan angan-anganmu?
Ajalmu tidak sesaat dahulu dan tidak sesaat terkemudian

Mengapa engkau mencela keburukkan orang lain?
Ke'aipan dirimu tidak engkau lihat

Mengapa engkau menolong manusia tanpa mengira perbuatannya?
Allah berfirman: "Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat
kebajikan dan bertaqwa, dan jangan kamu bertolong-tolongan
pada melakukan dosa (maksiat) dan berseteru"

Mengapa engkau menyorok melakukan maksiat?
Allah Maha Mengetahui lagi Maha Melihat

Mengapa engkau menipu Allah?
Tipu Allah umpama semut hitam dalam gelap

Mengapa engkau berkira-kira hidup seribu tahun?
Umurmu bukan hak ditanganmu

WAHAI ANAK ADAM

Mengapa engkau tertarik dengan kehidupan kafir?
Kafir pedagang tiada kampung (syurga Allah)

Mengapa engkau takut akan manusia dan jin?
Allah yang memerintah sekalian 'alam, manusia dan jin

Mengapa engkau kagum dengan teknologi?
Allah yang menciptakan langit dan bumi
serta segala yang ada di antara keduanya

Mengapa engkau lemah semangat menghadapi musuh?
Muslim yang kuat dan pintar adalah terlebih baik

WAHAI ANAK ADAM

Mengapa engkau berduka kerana harta?
Gedung khazanah Allah tak habis engkau mempesakainya

Mengapa engkau berduka kerana sakit?
Sakit di dunia hanya sementara

Mengapa engkau berduka kerana kehilangan sesuatu?
Allah berfirman: "Apa yang ada pada kamu akan habis
dan hilang lenyap, dan apa yang ada di sisi Allah tetap kekal"

Mengapa engkau berduka ditinggalkan rakan?
Cukuplah hanya Allah sahaja temanmu

Mengapa engkau berduka kerana gagal dalam peperiksaan?
Sijil dan ijazah bukan penjamin rezeki

Mengapa engkau berduka dengan kekurangan dan kecacatan?
Kesempurnaan diganti Allah di akhirat bila engkau sabar dan solat

WAHAI ANAK ADAM

Mengapa engkau tidak merasai senang dalam hidupmu?
Berpadalah dengan apa yang ada yang dikurniakan Allah kepadamu

Mengapa engkau rasa tersangat pedih dan sakit hatimu?
Keluarkan olehmu sifat hasad dengki dari hatimu

Mengapa engkau tiada zahir kasih dalam dirimu?
Tinggalkan olehmu akan umpat mengumpat ke atas saudaramu

WAHAI ANAK ADAM

Mengapa engkau tidak melihat ramai manusia terjerat dengan hiasan syaitan?
Allah berfirman: "Syaitan memperelokkan pada pandangan mereka amal-amal
mereka yang jahat lalu ia menghalangi mereka dari jalan Allah; padahal mereka
orang yang bijak pandai dan berakal yang tidak dapat membezakan yang benar
dan yang salah"


Hari Selasa
5 Rejab 1429 Hijriyyah
8 Julai 2008



Tuesday, May 20, 2008

BALA' BENCANA


Tahun 2008 sekali lagi dunia menjadi gawat

Harga minyak melambung tak tersekat

Harga makanan naik melompat

Akibat kemarau, banjir, taufan kuat


Negara miskin, negara membangun menghadapi tekanan

Negara maju sama menghadapi kesukaran

Kurang bahan api dan makanan

Hilanglah takabbur hendak membasmi kemiskinan


Kalau tidak kerana ada orang yang masih ruku' lagi

Kalau tidak kerana ada anak menyusu setiap hari

Kalau tidak kerana ada binatang yang melata di bumi

Allah jadikan langit keping-keping besi


Tiada setitis hujan turun mencurahi

Tanah jadi kering berdebu tiada dibasahi

Tiada biji-bijian yang tumbuh menyuburi

Bagi orang kafir azab seksa tak terperi


"Telah timbul berbagai kerosakan dan bala' bencana

di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan

oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana

Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan

perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan,

supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)."

Ar-Ruum,V30:41

Saturday, May 10, 2008

PESANAN AYAHANDA GHAZALI KEPADA ANAKANDA-ANAKANDA DZIL RAZMAN, DZIL AZZA, AHMAD ROHI, AHMAD RIZA


BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIIM

Dengan nama Allah yang pemurah lagi penyayang, segala puji-pujian bagi Allah seru sekalian ‘alam, selawat dan salam ke atas semulia-mulia nabi dan Rasul iaitu penghulu kami nabi Muhammad S.A.W. dan di atas keluarganya dan para sahabatnya sekalian.

Engkau anak lelaki ayah
Engkau diberi kekuatan oleh Allah
Bijak minda badan gagah
Dalam duniamu engkaulah khalifah

Jangan lemah dengan dugaan
Selagi Allah menjadi pegangan
Memimpin hidupmu dalam iman
Engkau berdiri atas kebenaran

Sedih jangan duka pun jangan
Menghadapi jalan kebenaran
Jalan Allah jadikan bimbingan
Hidayah Allah selalu dipohonkan

Mengapa engkau bersedih dan berduka
Bukankah bumi Allah luas sayujana
Khazanah Allah tidak habis diguna
Kecantikan Allah mengatasi segala-galanya

Hidup di dunia hanya tipuan
Berlian dan intan bertaburan
Digunakan orang untuk perhiasan
Engkau ambillah ia sebagai batu batan

Dunia ini adalah tempat permainan
Tempat berhibur dan bersuka-sukaan
Sementara nyawa dikandung badan
Ingatlah leka dan lalai rugi amalan

Bahawa amalanmu kepada Allah itu bekalan
Segala perhiasan harta ditinggalkan
Solatmu ibadatmu yang berkekalan
Adalah temanmu yang setia berdampingan

Engkau lelaki berani sifatmu
Tegas dan kuat semangatmu
Hanya kepada Allah sahaja taqwamu
Segala kesukaran tidak akan menyentuhmu


Hari Ahad 6 Jamadil Awal 1429 Hijriyyah
Bersamaan 11 Mei 2008

Sunday, April 20, 2008

AMANAT AYAHANDA GHAZALI MUHAMMAD NUR DAUD ABDUL RAHMAN


BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIIM


Dengan nama Allah yang pemurah lagi penyayang, segala puji-pujian bagi Allah pentadbir sekalian alam, selawat dan salam ke atas semulia-mulia nabi dan Rasul iaitu penghulu kami Nabi Muhammad S.A.W. dan di atas keluarganya dan para sahabatnya sekalian.


Ayah amat bersyukur kepada Allah SWT atas limpah kurnia nikmatNya menganugerahkan masa yang berbahagia ini serta memberi segala kesihatan kepada kita sekalian dapat berjumpa di rumah Kuala Kubu Bharu pada hari ini.


Allah 'Azza Wa Jalla dengan kehendak kudrat iradatNya telah menentu dan menetapkan sebagai suratan bahawa kita dizahirkan dalam keluarga yang ada ini.


Sesungguhnya Allah 'Azza Wa Jalla Maha Pencipta sesuatu. Sesungguhnya Allah yang Maha Mengetahui lagi Amat Bijaksana. Allah SWT tidak menciptakan sesuatu itu sia-sia begitu sahaja.

Seperti FirmanNya :


"Wahai Tuhan kami, tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka"

Surah A-Li 'Imraan Ayat 191


Sesungguhnya dalam 'amal ibadat menyambungkan silaturrahim dengan kerabat yang terdekat ini ianya menghadapi banyak cabaran dan dugaan-dugaan. Sesuatu amalan samada perintah atau larangan Allah Ta'ala itu senantiasa ditentangi oleh syaitan-syaitan yang cuba mengagalkannya. Syaitan-syaitan sedia tahu bahawa seseorang itu tidak akan sekali-kali masuk ke syurga Allah, hanya dengan melakukan satu kesalahan sahaja iaitu memutuskan silaturrahim. Oleh itu, syaitan-syaitan dan kuncu-kuncunya bekerja kuat untuk mencantas silaturrahim agar mangsa-mangsa mereka itu masuk ke neraka jahannam bersama-sama mereka.
Seperti Firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah Ayat 27 :
"Those who break Allah's Convenant after ratifying it, and sever what Allah has ordered to be joined (as regards Allah's religion of Islamic Monotheism, and to practise its laws on the earth and also as regards keeping good relations with kith and kin(2) ), and do mischief on earth,
it is they who are the losers."

(2) - Narrated Jubair bin Mut'im r.a. that he heard the Prophet S.A.W. saying, "[Al-Qati' (the person who severs the bond of kinship) will not enter Paradise" [Sahih Al-Bukhari, 8/5984(O.P.13)]

Ramai manusia Islam yang terjerat, terbabas dan tersungkur terkena jerangkap samar syaitan dek kerana kemahuan diri dan hati mereka sendiri. 'Na'udzubillahi min zalik' - Kami berlindung dengan Allah daripada demikian itu.

Mengenai dana famili, untuk diri Ayah dan kak Azian, kami berharap bahawa dana ini hendaklah dihidupkan dan dijadikan sebagai amalan jariah. Ia bukan sahaja untuk dinilaikan dengan jumlah tabungan banyak atau sedikit sebaliknya ia hendaklah selalu dinilaikan kepada pahala yang berpanjangan hingga ke akhirat kelak.


InsyaAllah, dengan limpah kurnia Allah SWT diberi kesihatan dan panjang umur, jika ada diantara kita mempunyai kemudahan dan rezeki, boleh mengadakan tabungan sendiri. Namun begitu adalah menjadi harapan Ayah bahawa tabung dana famili kita ini hendaklah diteruskan juga di atas dasar ikatan silaturrahim. Dana famili ini mudah-mudahan dengan izin Allah Ta'ala berterusan sehingga ke anak cucu cicit turun temurun.


Bagi diri Ayah sendiri dengan penubuhan dana famili ini, dengan izin Allah Ta'ala, Ayah memohon kehadrat Ilahi supaya ianya menjadi wadah yang dapat mengkifaratkan segala kesalahan dan menebus segala dosa Ayah yang telah lalu yang mana Ayah telah mengabaikan tanggungjawab Ayah tentang memberi pendidikan agama Allah dengan sempurna semasa anak-anak Ayah masih kecil sampai ke 'aqil baligh. Disini juga Ayah meminta kemaafan daripada anak-anak Ayah sekalian, di dunia dan di akhirat, Lillahi Ta'ala. Ayah mendapat nikmat sepenuhnya dari Allah SWT apabila Ayah mendengar kemaafan yang diberi anak-anak Ayah maka hilanglah segala dukacita yang terbuku di dalam sanubari hati kecil Ayah selama ini. Jazakumullahu khairan kathiraa.


Maha Suci Engkau Ya Allah, dengan segala pujian kepada Engkau, tiada tuhan yang disembah melainkan Engkau, aku memohon keampunanMu dan aku bertaubat kepadaMu.


"Demi masa!

Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian

Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar"

Surah Al-'Asr Ayat 1-3


Wassalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.


Amanat ini diberi dalam mesyuarat Dana Famili kali yang kedua pada hari Ahad 7 Rabi'ul Akhir 1429 Hijriyyah bersamaan 13 April 2008 jam 9.00 pagi bertempat di rumah 50 Jalan Bunga Tanjung, Taman Kuala Kubu Utama, 44000 Kuala Kubu Bharu, Selangor Darul Ehsan.





Thursday, April 17, 2008

IBUMU DALAM KENANGAN




BISMILLAH AR-RAHMAAN AR-RAHIIM



Dalam kenanganmu


Bandingan setitis air


Daripada tujuh lautan




Lautan doa




Lautan cinta




Lautan jasa




Lautan hati




Lautan budi




Lautan kasih dan harapan




Lautan sayang dan korban




Dalam kenanganmu


Ada manis ada masinnya


Hanya setitis air sahaja


Dikira belum pada




Setitis air yang ada


Jatuh ke dalam tujuh lautan jasa


Entah kemana-mana

Resap hilang nampak tiada


Benih yang baik nampak nyata

Menjadi pulau menafaat kepada semua






Dalam kenanganmu


Hapuskan masin dan pahitnya


Kecap hirup rasa manis sepuasnya


Hilang kusut lenyap nestapa




Dengan taubat dan doa


Sebagai penawar bersih dosa


Anak lelaki wajib berbakti semasa ada


Beramal soleh berdoa bermunajat kepada Allah SWT senantiasa




Mudah-mudahan hayatmu berkat selama di dunia


Berjaya pula hidupmu di akhirat sana







Nukilan ini bagi jawaban kepada e-mail anakanda Dzil Azza pada hari Khamis 11 Rabi'ul Akhir 1429 Hijriyyah bersamaan 17 April 2008

Tuesday, April 8, 2008

PENGAJARAN YANG INDAH BAGI HATI


BISMILLAH AR-RAHMAAN AR-RAHIIM


Petikan dari Kitab Al-Mawa'izd Al-Badi'ah karangan Wali Allah Maulana Asy-Syeikh 'Abdul Ra'uf Fanshuri Acheh


Kata Ka'ab Al-Ahkbar r.a. : Aku lihat akan Taurat dan Injil dan Zabbur dan Qur'an Al-Adzim, maka aku pilih daripadanya dua belas kalimah aku surat akan dia pada kertas dan aku gantung akan dia pada leherku.


Bermula aku tilik kepadanya pada tiap-tiap hari tiga kali :




  1. Berkata Allah Ta'ala : (Hai anak Adam), jangan engkau takut akan luput rezekimu selama perbendaharaanKu itu penuh, maka bahawasanya perbendaharaanKu itu tiada habis dan tiada kurang selama-lamanya.


  2. Berkata Allah Ta'ala : (Hai anak Adam), bahawasanya Aku dengan hakmu itu yang mengasih bagimu dan dengan hakmu jadikan olehmu yang mengasih.


  3. Berkata Allah Ta'ala : (Hai anak Adam), jangan engkau sentosakan tipuKu hingga engkau lalukan Sirathal Mustaqim dan engkau lihat akan sucimu di dalam syurga.


  4. Berkata Allah Ta'ala : (Hai anak Adam), Aku jadikan akan segala perkara semuanya itu keranamu, dan Aku jadikan akan dikau kerana Aku.


  5. Berkata Allah Ta'ala : (Hai anak Adam), jangan engkau takut yang lain daripada Aku selama-lama kerana Aku itu kekal selama-lama.


  6. Berkata Allah Ta'ala : (Hai anak Adam), jangan engkau marahkan atasKu daripada kerana dirimu tetapi engkau marahkan atas dirimu daripada kerana Aku.


  7. Berkata Allah Ta'ala : (Hai anak Adam), daripada 'Arasy hingga ke bawah tujuh petala bumi sekalian mereka itu menuntut mereka itu akan Daku. Bermula menuntut akan Daku padahal engkau itu engkau lari daripada Aku.


  8. Berkata Allah Ta'ala : (Hai anak Adam), jangan engkau percaya yang lain daripada Aku. Bermula engkau manakala engkau menuntut akan Daku nescaya engkau dapat akan Daku.


  9. Berkata Allah Ta'ala : (Hai anak Adam), jangan engkau tuntut daripada Aku akan esok dan Aku tiada Aku tuntut daripadamu akan amal esok.


  10. Berkata Allah Ta'ala : (Hai anak Adam), Aku jadikan akan dikau daripada Nutfah maka tiada Aku tinggalkan akan rezekimu, Aku dahulukan akan dia kepada perutmu.


  11. Berkata Allah Ta'ala : (Hai anak Adam), jika engkau redhakan dengan barang yang telah Aku bahagikan bagimu itu nescaya Aku pusakakan akan hatimu dan badanmu dan jika tiada engkau redhakan dengan barang yang telah Aku bahagikan bagimu nescaya Aku keraskan atasmu dunia hingga engkau tuntut akan dia seperti engkau tuntut akan binatang yang liar di dalam hutan, maka demi kemuliaanKu dan kebesaranKu telah Aku takdirkan bagimu padahal engkau itu dicelakan di dalam segala manusia.


  12. Berkata Allah Ta'ala : (Hai anak Adam), barangsiapa tiada redha ia dengan qadhaKu dan tiada sabar ia atas bala'Ku dan tiada syukur ia atas ni'matKu dan tiada memadai ia dengan pemberianKu dan hendaklah menuntut ia akan tuhan yang lain daripada Aku.



Tuesday, March 11, 2008

SETITIS AIRMATA SEBUTIR CINTA











BISMILLAH AR-RAHMAAN AR-RAHIIM





Hanya cinta kerana Allah dan Rasul sahaja




Tinggi menembusi angkasaraya




Melintasi segala cakerawala








Memaut teguh banjaran dan gunung




Menjadi pasak paku bumi




Menjadi imbangan putaran paksi




Cinta sebenar kekal abadi








Bagai kasih Allah akan Nabi




Bagai cinta Nabi akan Allah 'Azza Wa Jalla




Bagai cinta Nabi akan umatnya




Membawa kasih, sayang dan cinta




Dari dunia ke akhirat kekal selama-lamanya








Ya Allah, ikatkanlah kami dengan rasa syukur dan cinta




Ya Robbal 'Alamin, Tuhan sekalian 'alam, jinn dan manusia








(Nukilan di atas sumbangan kepada Munajat Rakyat Kelantan pada hari Jumaat 29 Safar 1429 Hijriyyah bersamaan 7 Mac 2008)








Catatan pada hari Selasa 3 Rabi'ul Awal 1429 Hijriyyah bersamaan 11 Mac 2008