Friday, November 6, 2015

ADAB BERTANDANG


AYAT-AYAT AL-QURAN AL-KARIIM

ALLAH SUBHANAHU WATA’ALA  berfirman dalam Surah An-Nur, Ayat 27, Ayat 28 dan Ayat 29, maksudnya:

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada ahlinya; yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, supaya kamu beringat (mematuhi cara dan peraturan yang sopan itu).”   Ayat 27

“Maka sekiranya kamu tidak mendapati sesiapa (yang berhak memberi izin), maka janganlah masuk ke dalam rumah itu sehingga kamu diberi izin; dan jika dikatakan kepada kamu “baliklah”, maka hendaklah kamu berundur balik; cara yang demikian adalah lebih suci bagi kamu; dan (ingatlah) ALLAH Maha Mengetahui akan apa yang kamu lakukan.”   Ayat 28

“Tidaklah menjadi salah kamu memasuki (dengan tidak meminta izin) mana-mana rumah yang tidak didiami orang, yang ada keperluan kamu padanya; dan (ingatlah) ALLAH mengetahui akan apa yang kamu zahirkan dan apa yang kamu sembunyikan.”   Ayat 29 


HADIS-HADIS NABI SALLALLAHU ‘ALAIHI WASALLAM

Daripada Huzail rahimahullah meriwayatkan bahawa Sa’ad radhiallahu ‘anh telah datang lalu berdiri tepat di hadapan pintu rumah Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam untuk meminta izin (masuk ke rumah Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wasallam) lalu Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda kepadanya, mafhumnya:

“(Janganlah kamu berdiri di hadapan pintu) sebaliknya berdiri di kanan atau di kiri pintu (kerana berdiri di hadapan pintu boleh menyebabkan kamu ternampak apa-apa yang ada dalam rumah sedangkan) meminta izin adalah semata-mata untuk mengelak daripada terlihat apa-apa yang tidak elok dalam rumah.”   (Abu Daud)

Daripada Abi Hurairah radhiallahu ‘anh meriwayatkan bahawa Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, mafhumnya:

“Apabila pandangan telah masuk ke dalam rumah (yang ditandang), maka meminta izin tidak memberi apa-apa makna yakni tiada faedah untuk meminta izin.”   (Abu Daud)


Hari Juma’at
24 Muharram 1437 Hijriyah
6 November 2015