Friday, June 23, 2017

KAMPUNG HOTEL DAN HOMESTAY


(Bahagian I)


TUNJANG KELUARGA

IBU BAPA TUNJANG DALAM KELUARGA

Lazimnya orang Melayu Islam di Tanah Melayu ini, pada setiap tahun tatkala menyambut hari lebaran ‘Eidul Fitri dan ‘Eidul Adha, yang masih ada kedua-dua orang tuanya atau salah seorang ibu atau bapanya, bagi mereka yang mempunyai kemampuan, kelapangan masa dan kesihatan, mereka akan balik menziarahi orang tua mereka itu.

Terutamanya bagi anak lelaki, ia akan balik ke rumah orang tuanya saban masa sebagai kewajiban ke atas dirinya untuk berbakti sebelum ajal datang menjemput.

Kandati pun begitu, di samping anak-anak lelaki yang ada kemudahan dan kelapangan tersebut, terdapat juga anak-anak yang kurang daya untuk berbuat demikian yakni balik menziarahi orang tua mereka di atas sebab kesempitan hidup atau jauh tempat tinggal.

Walau bagaimanapun  keadaan mereka, disebabkan perasaan tanggungjawab terhadap orang tua mereka, anak-anak lelaki perlu berusaha merancang serta membuat persediaan dan mengatur perjalanan mereka. 

Bagi anak lelaki yang berkeluarga, membawa isteri dan anak-anaknya  balik ke rumah orang tuanya serta tinggal dan berbakti kepada orang tuanya seberapa lama yang dapat selagi masih ada hayat orang tuanya, maka ia merancang dan menguruskan hal kewangan, perbelanjaan, jadual kerja serta cuti dan sebagainya dari awal-awal lagi.

Sekiranya kedua orang tua mereka sudah tiada lagi, perkara-perkara di atas tidak lagi ada keperluan untuk mereka bersusah payah melakukannya.


BALIK KAMPUNG

Istilah “balik kampung” – apakah maksudnya.  Dulu jika disebut “balik kampung”, terbayang rumah kampung diperbuat dari kayu, dalam kawasan sawah padi atau ladang atau kebun yang udaranya basa basi dan nyaman sekali.

Sekarang ini, sudah tidak wujud lagi perkampungan seperti itu kerana telah ditukar ganti dengan taman-taman perumahan, pekan yang dibangunkan dengan “mall-mall” dan kompleks membeli-belah.

Kebanyakan orang Melayu Islam dipindahkan dan tinggal di taman-taman perumahan samada rumah tersebut disewa atau dibeli di pinggir-pinggir pekan, bandar atau kota.  Ada juga yang tinggal di kondo atau “flat” di dalam bandar.

Ada sesetengah rumah orang Melayu Islam hanya selesa bagi satu keluarga sahaja iaitu rumah tersebut mempunyai tiga bilik tidur, satu ruang tamu, satu dapur dan bilik air dan ada juga yang lebih kecil dari itu.


RUMAH IBU BAPA

Ibu bapa adalah tunjang bagi anak lelaki maka mereka harus diberi segala keistimewaan dan tinggal berasingan di rumah mereka sendiri untuk keselesaan mereka dan untuk memudahkan anak lelaki mereka dan keluarganya untuk menjenguk dan menziarahi mereka pada bila-bila masa.

Anak lelaki, terutamanya, hendaklah sentiasa menghargai dengan nilai yang tinggi  jasa ibu bapanya kerana ibu bapanya itulah tempat percambahan nasab keturunan melalui zuriat lelaki dalam keluarga yang dibina.

Jika dapat, sebaik-baiknya tempat tinggal ibu bapa yakni rumah mereka berada berdekatan dengan rumah anak-anak mereka dalam kawasan perumahan yang sama atau bersebelahan dengan rumah anak-anak mereka.

Ini membolehkan dan bersesuaian rumah ibu bapa mereka menjadi tempat berhimpun, berjemaah, tempat bermuzakarrah dan bermesyuarat serta lain-lain kegiatan silaturrahim.

Walau apapun, segala-galanya terletak di atas bahu anak-anak lelaki untuk memungkinkan dan merealisasikan perkara-perkara tersebut berlaku.


BERKUMPUL PADA HARI RAYA

Bagi anak lelaki rumah ibu bapanya adalah tempat ia berkumpul untuk menyambut perayaan Hari Raya atau majlis-majlis yang khususnya melibatkan ibu bapa dan adik beradik.

Keutamaan diberikan kepada ibu bapa anak lelaki dan isteri serta anak-anaknya harus memahami heraki tersebut. 

Bagi anak-anak perempuan, ibu bapa mereka menjadi keutamaan yang terkemudian selepas suami mereka, ibu bapa mertua mereka.  Inilah heraki yang telah ditetapkan bagi orang Melayu Islam.


BUKAN TEMPAT PERSINGGAHAN

Anak-anak lelaki hendaklah meletakkan niat hajat hasrat secara khusus untuk semata-mata hendak berjumpa dan melihat kedua-dua atau salah seorang orang tuanya yang masih hidup dan menjadikannya “the top most priority” dalam kehidupannya, bukan menjadikan ziarah tersebut sebagai tempat persinggahan “transit” dalam perjalanan ke destinasi lain atau sebagai sampingan dalam menjalankan urusan-urusan lain. 


PERINTAH ALLAH SUBHANAHU WA TA’ALA

ALLAH TA’ALA berfirman dalam Surah Al-Israa’, Ayat 23, maksudnya:

“Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik (berbakti) kepada kedua ibu bapa.”   ( Ayat 23)

Susunan tingkat keutamaan berbuat baik dan berbakti kepada kedua ibu bapa juga diatur mengikut susunan taraf martabat di antara bapa, ibu, kerabat (saudara-saudara) terdekat dan kerabat (saudara mara) yang jauh sebagaimana tersebut dalam Hadis-Hadis dan di antaranya adalah seperti tersebut di bawah ini:

1.  Daripada ‘Abdullah bin ‘Amru, daripada Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, mafhumnya:

“Redho Tuhan Rabb pada redho bapanya, dan marah Tuhan Rabb pada marah bapanya.” (atTirmizi)

2.  Daripada Miqdam bin Ma’dikarib,  dari Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, mafhumnya:

“Sesungguhnya ALLAH TA’ALA berwasiat kepadamu untuk berbakti kepada bapamu,

sesungguhnya ALLAH TA’ALA berwasiat kepadamu untuk berbakti kepada ibumu, sesungguhnya ALLAH TA’ALA berwasiat kepadamu untuk berbakti kepada ibumu, sesungguhnya ALLAH TA’ALA berwasiat kepadamu untuk berbakti kepada ibumu,

sesungguhnya ALLAH TA’ALA berwasiat kepadamu untuk berbakti kepada keluarga-keluargamu, yang lebih dekat sebelum yang lebih jauh.”   (Ahmad)


3.  Daripada Abi Hurairah radhiallahu ‘anh, dari Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, mafhumnya:

“Dia celaka! Dia celaka! Dia celaka!”

Lalu Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wasallam ditanya orang:

“Siapakah yang celaka, ya Rasulullah?”

Jawab Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam:

“Siapa yang mendapati kedua ibu bapanya (dalam usia lanjut), atau salah satu dari keduanya, tetapi dia tidak berusaha masuk syurga (dengan berbuat baik dan berbakti kepada mereka).”   (Muslim)  


Hari Juma’at
23 Jun 2017