Friday, June 26, 2009

A'UDZUBILLAHI MINASY-SYAITAANIRRAJIIM



JINN IBLIS DAN SYAITAN

Adapun Jinn itu dijadikan Allah Subhanahu Wata’alaa daripada api yang tiada asap baginya(Smokeless Flame of Fire). Api itu lain daripada api yang ada dalam dunia ini dan dijadikan Allah Subhanahu Wata’alaa akan Jinn itu amat besar kejadian dan dinamakan dia “Maarij” (iaitulah bapa segala jinn) seperti Firman Allah Subhanahu Wata’alaa dalam Al-Quran, Surah Ar-Rahmaan, Ayat 15 (maksudnya):

“Dan Ia telah menciptakan jinn daripada api yang tiada asap” . Ayat 15.

Pada ketika awalnya, jinn itu bernama ‘Azazil atau ‘Azaziq dan diberi martabat malaikat kerana memiliki ‘ilmu yang dikurniakan Allah Subhanahu Wata’alaa kepadanya.

Tatkala dimurkai Allah Ta’alaa akan dia, maka jinn itu diubahkan namanya kepada iblis seperti yang tersebut dalam Al-Quran. Firman Allah Ta’alaa dalam Surah Al-Kahfi, Ayat 50, (maksudnya):

“Dan (ingatkanlah peristiwa) tatkala Kami berfirman kepada malaikat: “Sujudlah kamu kepada Adam”; lalu mereka sujud melainkan iblis; ia adalah berasal dari golongan jinn, lalu ia menderhaka terhadap perintah Tuhannya. Oleh itu, patutkah kamu hendak menjadikan iblis dan keturunannya sebagai sahabat-sahabat karib yang menjadi pemimpin selain daripadaKu? Sedang mereka itu ialah musuh bagi kamu. Amatlah buruknya bagi orang-orang yang zalim: pengganti yang mereka pilih itu”. Ayat 50.

Ayat 50, Surah Al-Kahfi di atas menjelaskan juga bahawa kekufuran dan maksiat yang dilakukan oleh manusia adalah disebabkan mereka menjadikan iblis dan keturunannya sebagai sahabat karib yang dipatuhi selain dari Allah Ta’alaa. Pilihan yang demikian amatlah buruk lagi zalim.

Sesungguhnya jinn itu ada dan hidup dengan tiga nama yang terkenal iaitu jinn, iblis dan syaitan. Semuanya berasal dari satu unsur dan satu ciptaan tetapi ketiga-tiga jenis itu berbeza diantara satu sama lain; wujudnya, perbuatannya, dan kehidupannya.

Jinn ada yang Islam dan ada yang kafir ( beragama Yahudi, Nasrani, Majusi dan berbagai macam cara ibadat lagi). Jinn-jinn yang kafir itu adalah golongan yang jahat.

Jinn-jinn mempunyai bentuk penghidupan, ilmu pengetahuan dan sistem tersendiri. Jinn juga mempunyai umur yang panjang sehingga ada yang mencapai umurnya sepuluh ribu tahun. Ini kerana bentuk tubuh mereka tidak mengalami kerosakan dan kecacatan dengan cepat disebabkan mereka berasal dari alam “ether” dan di alam itulah mereka hidup.

Namun begitu jinn tidak hidup selama-lamanya sepertimana iblis dan syaitan hidup sampai tiupan pertama di hari kiamat. Akan tetapi mereka mati sebelumnya, generasi demi generasi. Mereka mempunyai ajal seperti manusia yang telah tertulis ajal mereka. Mereka mencapai umur itu, kemudian mati, lalu dibangkitkan untuk menjalani hisab dan hukuman atas perbuatan yang mereka telah lakukan.

Iblis dan syaitan iaitu anak cucu iblis, mereka tidak mati hingga menjelang terjadinya tiupan pertama hari kiamat setelah mereka menyesatkan manusia atau jinn dan memujuknya untuk menempuh jalan kesesatan dan menderhakai Allahu Robbul ‘Alamiin – Allah Tuhan sekalian ‘alam.

Syaitan adalah yang paling rendah di antara jenis-jenis itu dan merekalah yang berbuat kerosakan di bumi. Mereka tidak mempunyai pekerjaan, kecuali hidup dengan mengganggu makhluk-makhluk Allah, mereka itu terkutuk dan terusir dari rahmat Allah Subhanahu Wata’alaa. Mereka menganjur manusia dan jinn agar menderhakai Allah Ta’alaa.

Adapun iblis dan syaitan, mereka mempunyai kehidupan yang panjang seperti yang disebut di atas. Ketika Iblis diusir dari rahmat Allah dan dilaknat oleh Allah Ta’alaa terus menerus hingga ke hari kiamat kerana ia tidak mahu sujud kepada Adam, lalu iblis memohon kepada Tuhan supaya ia diberi tempoh sepertimana Firman Allah Subhanahu Wata’alaa dalam Surah Al-Hijr, Ayat 36, Ayat 37 dan Ayat 38 (maksudnya):

“(Iblis berkata) “Wahai Tuhanku! Jika demikian berilah tempoh kepadaku hingga ke hari mereka dibangkitkan (hari kiamat).” Ayat 36.

“Allah berfirman: “Dengan permohonanmu itu, maka sesungguhnya engkau dari golongan yang diberi tempoh -” Ayat 37.

“Hingga ke hari - masa yang termaklum.” Ayat 38.

NAMA ANAK-ANAK IBLIS

Iblis mempunyai kerajaan yang besar: Ada ketua kerajaan (Agong, presiden, perdana menteri, menteri-menteri dan pejabat yang besar. Iblis mempunyai lima anak sebagai wakilnya (Suruhanjaya dan dutanya).

Dari Zaid bin Mujahid, dia berkata, “Iblis itu mempunyai lima anak (sebagai wakilnya), yang masing-masing anak itu diberi tugas tersendiri, lalu dia memberikan nama kepada mereka, iaitu:

1. TSABR Dia adalah ditugaskan ke tempat orang-orang yang kena musibah, menganjurkan supaya orang-orang yang kena musibah itu berduka, menangis, menempeling pipi, melakukan perbuatan-perbuatan yang dilarang oleh agama dan pengakuan-pengakuan jahiliyah lainnya.

2. A’WAR Dia adalah pembawa zina, yang menyuruh manusia kepada zina dan menganggapnya baik dan bagus. Mereka menghiasi bahagian bawah dari tubuh kaum wanita ketika mereka keluar rumah, sehingga menimbulkan rangsangan bagi setiap lelaki yang memandangnya.

3. MISWATH Dia adalah pembawa dusta dan mengumpat, fitnah dan mengadu. Bahkan dia kadangkala memasuki manusia menjadikannya syaitan, mengkhabarkan suatu fitnah yang akhirnya menimbulkan permusuhan bahkan peperangan.

4. DASIM Dia ditugaskan menyusup ke dalam diri seseorang manusia tatkala ia menemui keluarganya, lalu dia menampakkan buruk cela mereka di matanya sehingga membuatnya marah-marah. Dia juga selalu berusaha dengan segala cara untuk mencerai-beraikan ikatan perkahwinan suami isteri yang sah. Dia juga menanamkan rasa kebencian dan permusuhan di kalangan suami isteri itu, sehingga terjadi perceraian. Dia sangat disayangi oleh iblis kerana kepatuhannya dan kecekapannya menggoda manusia.

5. ZAKNABUR Dia adalah menguasai pasar dan mengibarkan benderanya di pasar. Dialah yang menimbulkan pergaduhan di antara sesama manusia. Dia menyuruh peniaga-peniaga supaya curang dalam timbangan dan menimbulkan ketidakstabilan harga barangan.

“Saudara Saudari Ikatan Syaitan” adalah nama yang sesuai bagi pertubuhan puak-puak yang tersebut di atas iaitu puak-puak jinn kafir, iblis, syaitan serta anak-anaknya termasuk syaitan-syaitan jinn dan syaitan-syaitan manusia. Mereka itu mengurus, menyusun dan melaksanakan gerak kerja agenda-agenda rancangan tipudaya “MAKARU” yang menyesatkan di dalam satu ikatan.

InsyaAllah, akan disambungkan “Gerak kerja dan agenda-agenda saudara saudari ikatan syaitan” itu dalam post yang akan datang.

WALLAHU A'LAMU BISSAWAB

Hari Jumaat
3 Rejab 1430 Hijriyah
26 Jun 2009

Sunday, June 21, 2009

HARI-HARI HARI BAPA


BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIIM

Hari-hari hari bapa
Untuk menyedarkan bapa
Bapa yang lalai dan lupa
Tanggungjawab dan kewajibannya

Hari-hari hari bapa
Bapa yang lari dari kerja
Bapa yang abai rumahtangga
Tinggal isteri anak sekeluarga

Hari-hari hari bapa
Bapa bekerja curi masa
Kata orang “makan gaji buta”
Dibayar dengan dana rakyat jelata

Hari-hari hari bapa
Bapa yang bergaji kecil hendak bergaya
Bapa yang berniaga untung tak seberapa
Banyak habuan dan hasil dari tipu daya

Hari-hari hari bapa
Bapa yang lagak gagah perkasa
Bergaduh dengan sesiapa sahaja
Tunjuk kekuatan tenaga dan kuasa

Hari-hari hari bapa
Bapa pembesar negara
Kaya bergelar dan ternama
Hidup mewah gadai negara

Hari-hari hari bapa
Bapa yang lalai dan lupa
Hidup sihat habiskan masa
Melakukan maksiat lupakan dosa

Hari-hari hari bapa
Bapa yang suka berpoya-poya
Bersama jantan dan betina
Habis harta papa kedana

Hari-hari hari bapa
Bapa yang hidup kafir durhaka
Anak harus berbaik dengannya
Tidak wajib menta’atinya

Hari-hari hari bapa
Bapa yang beriman dan bertaqwa
Ber’abdi kepada Allah Yang Maha Esa
Sebagai hamba kepada Yang Maha Kuasa

Hari-hari hari bapa
Bapa beriman dan bertaqwa
Berbelanja ikut kemampuannya
Anak isteri bersyukur seadanya

Hari-hari hari bapa
Bapa yang beriman dan bertaqwa
Anak isteri dan keluarga dijaga selia
Semuanya menjadi ibadat belaka

Hari-hari hari bapa
Bapa yang beriman dan bertaqwa
Keluarga di bawah perintahnya
Mengikut hukum Allah dan RasulNYA

Hari-hari hari bapa
Bapa yang beriman dan bertaqwa
Allah perintahkan anak lelaki berbakti kepada bapa
Kerana “Redha Allah melalui redha bapanya”

Hari-hari hari bapa
Bapa yang beriman dan bertaqwa
Berdo’a untuk keturunan zuriatnya
Di dunia dan di akhirat mendapat bahagia

Hari-hari hari bapa
Bapa yang beriman dan bertaqwa
Tonggak silaturrahim dalam keluarga
Sumber anak-anak mendapat sejahtera

Hari-hari hari bapa
Bapa yang beriman dan bertaqwa
Bapa segar jiwa dan raga
Bila anak ada bersama-samanya

Hari-hari hari bapa
Bapa beriman dan bertaqwa
Anak yang soleh menanya berita
Menjadi penawar penyejuk hati bapa

Hari-hari hari bapa
Bapa beriman dan bertaqwa
Dalam hati sentiasa ada bapa
Diberi Allah berkat hidupnya

Hari-hari hari bapa
Bapa beriman dan bertaqwa
Menerima anak dalam semua keadaannya
Kasih dan sayang anak dalam kesyukurannya

Hari-hari hari bapa
Bapa yang beriman dan bertaqwa
Bandingan emas perak bukan harganya
Kehadiran anak lebih tinggi nilai kepadanya

Hari-hari hari bapa
Bapa yang beriman dan bertaqwa
Memasuki syurga dengan rahmat Allah Ta’ala
Bersama anak dan isteri yang soleh amalan mereka


Hari Ahad
27 Jamadil Akhir 1430 Hijriyah
21 Jun 2009

Saturday, June 13, 2009

SATU PEMANDANGAN DI SUATU KENDURI PERKAHWINAN MELAYU


BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIIM

Majlis perkahwinan diadakan dengan bunyi-bunyian
Memeriahkan suasana dan menggembirakan jemputan
Bunga-bunga manggar menghiasi sekeliling kediaman
Lampu-lampu bergemerlapan dan berkelip-kelipan

Tuan rumah berpakaian serba baru
Menunggu tamu dan jemputan di muka pintu
Bersama dengan ahli keluarga yang membantu
Setiap tamu disambut dengan penuh adat Melayu

Cina keling dan hindu turut dijemput sama
Bagi mera’i dan memuliakan pengantin berdua
Memberi ucapan selamat pengantin baru kepada mereka
Keceriaan kedua-dua pengantin menyerikan suasana

Makanan dan minuman disediakan beranika
Diatur dan disusun penuh di atas meja
Tamu lelaki dan perempuan bercampur sama
Mengambil makanan layandiri mengikut selera

Bilangan tempat duduk cukup disediakan
Mengikut susunan dan bilangan jemputan
Jemputan biasa makan tempat duduk rapat susunan
Jemputan kenamaan makan di meja berasingan

Sambil tetamu-tetamu menjamah makanan
Hadiah dan bunga telur diedar-edarkan
Sebagai tanda terima kasih kepada tamu jemputan
Membawa balik buat kenang-kenangan

Lelaki Melayu ada bersongkok dan bersamping bergaya
Perempuan pula ada yang bertudung berbaju kebaya
Menghormati ibu bapa pengantin dan ahli keluarganya
Duduk makan beradab dan bersopan santun berbudaya

Ada yang membawa anak-anak bersama-sama
Anak lelaki memakai baju melayu “teluk belanga”
Anak perempuan memakai baju labuh tutup kepala
Melangkah berjalan masuk dengan adabnya

Lelaki hindu berpakaian baju “T” belah dada
Perempuannya pula bersari nampak perut sanggul selit bunga
Ada yang membawa kanak-kanak ikut serta
Berjalan masuk dahulu kemudian macam ke pasaraya

Lelaki cina ada yang pakai seluar pendek “Bermuda”
Perempuannya pula pakai baju pendek leher terbuka
Ada yang membawa anak teruna dan anak dara
Memakai pakaian serupa macam ibu bapa mereka

Hari Ahad
20 Jamadil Akhir 1430 Hijriyah
14 Jun 2009

Saturday, June 6, 2009

KAFIR TERBAHAGI KEPADA TIGA PUAK


BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIIM

PUAK KAFIR

Pada zaman ini perkataan “kafir” itu sudah dikelirukan oleh orang kafir supaya kefahaman “kafir” yang sebenar itu menjadi celaru dan kabur maknanya. Siapakah sebenarnya orang-orang kafir yang disebut di dalam Al-Quran dan Hadis?


Bagi sesetengah orang yang dilahirkan Islam tidak merasa bersalah dan marah jika seseorang itu dikatakan “kufur” tetapi jika orang itu disebut “kafir” maka menjadi melenting-lenting ia dengan kemarahannya. Sedangkan perkataan “kufur” itu menunjukkan kepada perbuatan dan “kafir” itu pelaku.


Orang-orang Yahudi dan Nasrani (kristian) pula mangaku dan memberitahu melalui dakyah mereka bahawa mereka bukan orang-orang kafir kerana mereka tidak kufur. Mereka adalah ahli kitab agama samawi (langit)mempercayakan Nabi Musa ‘Alaihissalam dan Nabi ‘Isa ‘Alaihissalam serta mempercayakan adanya tuhan.

TIGA PUAK

Orang-orang kafir terbahagi kepada tiga puak yang jelas iaitu:

Puak yang pertama tidak beriman kepada Allah Subhanahu Wata’alaa dan Rasul-Rasul seluruhnya.

Puak yang kedua beriman kepada Allah Subhanahu Wata’alaa sahaja dan tidak beriman kepada Rasul-RasulNYA.

Puak yang ketiga pula beriman kepada setengah Rasul-rasul dan kufur (ingkar) kepada setengahnya yang lain, seperti Yahudi yang beriman kepada Nabi Musa ‘Alaihissalam dan kufur (ingkar) kepada Nabi ‘Isa ‘Alaihissalam dan Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.


Nasrani (kristian) beriman kepada Nabi ‘Isa ‘Alaihissalam dan Nabi Musa ‘Alaihissalam, tetapi tidak beriman kepada Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.

Puak yang ketiga itulah yang banyak membuat angkara jahat dan mengadakan peperangan demi peperangan sama ada dalam bentuk peperangan ketenteraan dan persenjataan atau peperangan saraf (psychological warfare) atau peperangan ideologi mereka terhadap Islam dari zaman berzaman hingga ke hari ini. Yahudi dan Nasrani juga menggunakan dakyah-dakyah mereka melalui pendidikkan, gaya hidup, ekonomi, hiburan dan berbagai-bagai lagi.

Oleh itu amat perlu dan menjadi tanggungjawab setiap umat Islam membaca dan mengambil i’tibar daripada kisah-kisah kafir puak yang ketiga itu yang dikisahkan oleh Allah Subhanahu Wata’alaa dalam Al-Quran Al-Karim dan Hadis-hadis Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam supaya dapat mengekang sebaran-sebaran dakyah mereka yang salah dan bertujuan jahat itu.

Allah Subhanahu Wata’alaa berfirman dalam Surah An-Nisaa’, Ayat 150, dan Ayat 151 (maksudnya): “Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar kepada Allah dan Rasul-rasulNYA, dan (orang-orang yang) hendak membeza-bezakan iman mereka di antara Allah dan Rasul-rasulNYA, dan (orang-orang yang) berkata: “Kami beriman kepada setengah Rasul-rasul itu dan kufur ingkar kepada setengahnya yang lain”, serta bertujuan hendak mengambil jalan lain antara iman dan kufur itu:” Ayat 150.

“Mereka itulah orang-orang yang kafir dengan sebenar-benarnya. Dan KAMI telah menyediakan bagi orang-orang kafir itu ‘azab siksa yang menghina.” Ayat 151.

NABI ALLAH ‘UZAIR “EZRA” ‘ALAIHISSALAM

Nabi Allah ‘Uzair “Ezra” ‘Alaihissalam adalah seorang Nabi bani Israel. Nabi Allah ‘Uzair ‘Alaihissalam seorang hafiz kitab Taurat dan tidak terkenal dalam kaum bani Israel, tinggal di sebuah dusun yang berjauhan daripada Baitul Maqdis.

Pada suatu hari Jibril ‘Alaihissalam datang seraya meminta Nabi Allah ‘Uzair ‘Alaihissalam pergi ke Baitul Maqdis untuk menghimpunkan bani Israel dan mengajar kitab Taurat kepada mereka. Nabi Allah ‘Uzair ‘Alaihissalam pun keluar dengan menaiki keldai. Dalam perjalanannya, Nabi Allah ‘Uzair ‘Alaihissalam melalui negeri Baitul Maqdis yang telah ranap hancur lebur dan penduduk-penduduknya bertempiaran lari ke sana sini. Ramai pula yang mati dibunuh bergelimpangan merata-rata tempat.

Sebelum tibanya Nabi Allah ‘Uzair ‘Alaihissalam di Baitul Maqdis, seorang raja yang kuat dan zalim bernama Bakhtun-Nasr dengan bala tenteranya telah menyerang dan membunuh penduduk-penduduk di situ, orang-orang alim dan semua hafiz-hafiz kitab Taurat. Bukan itu sahaja yang dilakukannya, Bakhtun-Nasr juga mengarahkan askar-askarnya supaya meruntuh rumah-rumah tempat ibadat dan mengoyak serta membakar habis-habisan segala kitab-kitab Taurat sehingga tiada lagi tertinggal.

Tatkala Nabi Allah ‘Uzair ‘Alaihissalam melihat keadaan yang menyayatkan hati itu dan melihat ramai orang-orang yang mati, maka tergerak lintasan pertanyaan dalam hati kecil Nabi Allah ‘Uzair ‘Alaihissalam bahawa bagaimana Allah Subhanahu Wata’alaa akan menghidupkan negeri ini setelah matinya.

Dalam sepintas kilat laluan ingatan Nabi Allah ‘Uzair ‘Alaihissalam itu, Allah Subhanahu Wata’alaa mematikan Nabi Allah ‘Uzair ‘Alaihissalam dan keldainya di situ selama seratus tahun.

Allah Subhanahu Wata’alaa berfirman dalam Surah Al-Baqarah, Ayat 259 (maksudnya): “Atau (tidakkah engkau pelik memikirkan wahai Muhammad) tentang orang yang melalui sebuah negeri yang telah runtuh segala bangunannya, orang itu berkata: “Bagaimana Allah akan menghidupkan negeri ini sesudah matinya?”. Lalu ia dimatikan oleh Allah (dan dibiarkan tidak berubah) selama seratus tahun, kemudian Allah hidupkan dia semula lalu bertanya kepadanya: “Berapa lama engkau tinggal (di sini)?” Ia menjawab: “Aku telah tinggal (di sini) sehari atau setengah hari”. Allah berfirman: “(Tidak benar), bahkan engkau telah tinggal (berkeadaan demikian) selama seratus tahun. Oleh itu, perhatikanlah kepada makanan dan minumanmu, masih tidak berubah keadaannya, dan perhatikan pula kepada keldaimu (hanya tinggal tulang-tulangnya bersepah), dan KAMI (lakukan ini ialah untuk) menjadikan engkau sebagai tanda (kekuasaan KAMI) bagi umat manusia; dan lihatlah kepada tulang-tulang (keldai) itu, bagaimana KAMi menyusunnya kembali kemudian KAMi menyalutnya dengan daging. Maka apabila telah jelas kepadanya (apa yang berlaku itu), berkatalah ia : “Mengetahuilah aku sekarang (dengan yakin), sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu”. Ayat 259.

YAHUDI MENGAKU NABI ALLAH ‘UZAIR “EZRA” ‘ALAIHISSALAM ANAK ALLAH

Setelah Allah Subhanahu Wata’alaa menghidupkan semula Nabi Allah ‘Uzair ‘Alaihissalam beserta dengan keldainya, Allah Subhanahu Wata’alaa memerintahkan supaya ia memasuki Baitul Maqdis dan menghimpunkan bani Israel serta mengajar mereka itu kitab Taurat. Ketika itu tiada seorang pun yang tahu membaca kitab Taurat.

Nabi Allah ‘Uzair ‘Alaihissalam menyeru orang ramai serta memperkenalkan dirinya ialah Nabi ‘Uzair ‘Alaihissalam. Orang ramai dari bani Israel itu meminta Nabi Allah ‘Uzair ‘Alaihissalam membaca kitab Taurat bagi meyakinkan mereka kerana setahu mereka bahawa Nabi Allah ‘Uzair ‘Alaihissalam fasih dan hafiz kitab Taurat. Nabi Allah ‘Uzair ‘Alaihissalam meminta orang ramai pergi ke kaki tiang sebuah bangunan dan mengambil sebuah kitab Taurat yang tertulis dengan dakwat emas yang ditanam oleh seorang wali Allah supaya mereka menyemak bacaannya.

Bacaan hafazan kitab Taurat oleh Nabi Allah ‘Uzair “Alahissalam tiada salah silap walau satu huruf pun. Bacaannya itu nyaring dan merdu sehingga orang ramai tiada tertahan mencintainya dan menyerbu datang dengan tangisan dan hendak menyembah Nabi Allah ‘Uzair ‘Alaihissalam. Mereka mengaku bahawa Nabi Allah ‘Uzair ‘Alaihissalam itu adalah anak Allah.

NASRANI (CHRISTIAN) MENGAKU NABI ‘ISA ‘ALAIHISSALAM ANAK ALLAH

Allah Subhanahu Wata’alaa berfirman dalam Surah At-Taubah, Ayat-Ayat 30, 31, dan 32 (maksudnya): “Dan orang-orang Yahudi berkata: “’Uzair ialah anak Allah”, dan orang-orang Nasrani (kristian) berkata: “Al-Masih ialah anak Allah”. Demikianlah perkataan mereka dengan mulut mereka sendiri, (iaitu) menyamai perkataan orang-orang kafir dahulu ; semoga Allah binasakan mereka. Bagaimanakah mereka boleh perpaling dari kebenaran?” Ayat 30.

CAHAYA ALLAH (AGAMA ISLAM)

“Mereka menjadikan pendita-pendita dan ahli-ahli agama mereka sebagai pendidik-pendidik selain dari Allah, dan juga (mereka mempertuhankan) Al-Masih Ibni Maryam, padahal mereka tidak diperintahkan melainkan untuk menyembah Tuhan Yang Maha Esa; tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan DIA. Maha Suci Allah dari apa yang mereka sekutukan.” Ayat 31.

“Mereka hendak memadamkan cahaya Allah (Agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tidak menghendaki melainkan menyempurnakan cahayaNYA, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian).” Ayat 32.

WALLAHU A’LAMU BISSAWAB

Hari Jumaat
11 Jamadil Akhir 1430 Hijriyyah
5 Jun 2009