Friday, March 23, 2012

MINDA DAN AKAL YANG SIHAT PADA BADAN YANG SIHAT

JAGA KEBERSIHAN

Setiap manusia mempunyai dua unsur iaitu rohani dan jasmani atau minda dan fizikal. Rohani mempunyai penyakit begitu juga jasmani ada penyakit, yang masing-masing berlainan bentuk dan sifatnya.

Dalam penulisan ini, hanya akan disentuh mengenai penyakit-penyakit jasmani atau fizikal sahaja. Walaupun penyakit yang menyerang jasmani itu, ada sesetengahnya berpunca daripada panyakit-penyakit yang tumbuh atau berpunca dari dalam hati dan rohani seseorang.

Tidak ada cerdik pandai, tidak ada cendiakawan, tidak ada penyair, tidak ada ahli falsafah, tidak ada doktor, tidak ada ahli sains, tidak ada ahli politik yang berkuasa menafikan bahawa kesihatan badan dan minda itu amat penting bagi seseorang.

Tanpa kesihatan badan dan minda, seseorang itu bukan sahaja tidak berguna kepada dirinya tetapi juga memberati atau menjadi kesusahan bagi orang lain menanggungnya.

Orang-orang yang mengidap penyakit akan menjadi stres,risau, gelisah serta dukacita.

GANGGUAN KEHIDUPAN

Orang yang tidak sihat, susah untuk bergerak bagi menjalankan urusan kehidupan sehariannya. Namun begitu, tidak ada seorangpun yang terlepas daripada sakit, walaupun orang itu benci kepada penyakit atau benci untuk jatuh sakit dan berusaha bersungguh-sungguh menjaga kesihatannya.

Misalannya:

Seorang doktor yang tahu cara menjaga kesihatan disamping ia menasihati ramai pesakitnya supaya menjaga kesihatan, doktor tersebut tidak terlepas dirinya daripada jatuh sakit. Mereka menjadikan orang-orang sekeliling mereka, kaum keluarga, pakar-pakar perubatan, doktor-doktor dan kakitangan perubatan dan bukan perubatan menjadi kalut dengan sebabnya.

Di antara orang-orang yang boleh dijadikan iktibar dan sebagai contoh:

1. Seorang pakar bedah jantung (First Human Heart Transplant) yang ternama pada suatu masa, iaitu Dr. Christiaan Neethling Barnard (Sir Prof Magdi Yacoub), dari Africa Selatan, beliau tidak dapat meneruskan kerjanya kerana ia mendapat penyakit di mana tangannya menggeletar dan meninggal pada 2 September 2001 (8 November 1922-2 September 2001).

2. Seorang mantan perdana menteri Malaysia iaitu Dr. Mahathir Mohamad, seorang doktor tidak dapat menolak sakit jantung dan telah mendapat rawatan dan pembedahan koronari beberapa kali di Institut Jantung Negara Malaysia, sedangkan ia adalah seorang doktor dan isterinya Dr. Hasmah Mohd. Ali juga seorang doktor sebagai doktor peribadi bagi Dr. Mahathir Mohamad dan menjaganya 24 jam tiap-tiap hari.

3. Bekas Presiden Amerika Syarikat, Ronald Reagan (6 February 1911 – 5 June 2004), iaitu presiden sebuah negara yang kononnya negara “Super Power” yang memilikki segala teknologi dan sains, ekonomi, bidang perubatan dan lain-lain lagi. Amerika Syarikat juga menjadi tumpuan pelajar-pelajar dari seluruh dunia termasuklah Malaysia.

Namun begitu mereka tidak dapat menyelamatkan presiden mereka dari penyakit Alzheimer yang merosakkan sel-sel saraf otak yang menjadi sebab presiden itu mati.

4. Professor Stephen Hawking, seorang ahli sains fizik yang lumpuh seluruh anggotanya, tidak berkuasa menjadikan tubuh badannya sendiri sihat dan sempurna.

5. Sigmund Freud, seorang Yahudi dari United Kingdom adalah seorang pakar dalam Neurology, Psychotherapy dan Psychoanalysis. Ia diserang penyakit Leukoplakia iaitu sejenis cancer.

Kerana ia tidak dapat mengatasi penyakitnya itu, ia telah cuba membunuh diri sendiri. Dengan bantuan anaknya, Anna Freud telah menyuntik morfin ke dalam badan bapanya itu dan mati pada 22 September 1939.

ORANG MUKMIN YANG KUAT LEBIH BAIK

Setiap orang mukmin perlu berusaha dan berdoa supaya dirinya diberi Allah Ta’ala sihat dan panjang umur sebagai wadah baginya mendapat rezeki untuk beribadat kepada Allah Ta’ala.

Allah Ta’ala lebih suka kepada orang mukmin yang kuat dari segi rohani, minda, akal fikiran dan fizikal badan, jasmani dalam keadaan mana pun mengikut fizikal kejadian yang Allah Yang Maha Bijaksana telah jadikan dan anugerahkan kapada seseorang itu, daripada orang mukmin yang lemah semangat, akal fikiran dan lemah keadaan fizikal untuk bergerak, sepertimana tersebut dalam Hadis berikut:

Dari Abu Hurairah r.a., katanya: “Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, mafhumnya:

“Orang mukmin yang kuat lebih baikdan lebih disukai Allah daripada orang mukmin yang lemah. Namun dua-duanya baik. Oleh itu hendaklah engkau berusaha bersungguh-sungguh memperolehi apa yang memberi manafaat kepadamu, serta hendaklah memohon pertolongan kepada Allah dan janganlah engkau bersikap segan dan malas; dan jika sekiranya engkau ditimpa sesuatu maka janganlah engkau berkata: “Kalau aku berbuat begini, tentu akan jadi begini”, tetapi katakanlah: “Allah telah takdirkan, dan apa yang dikehendaki oleh kebijaksanaanNya, Ia (Allah) lakukan” Ingatlah bahawa perkataan “Kalau” itu membuka jalan kepada hasutan syaitan.” Muslim

Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam menasihatkan umatnya supaya sentiasa bersih, suci, rapi dalam segala gaya hidupnya supaya diberi Allah Ta’ala sihat dan selesa, sepertimana tersebut dalam sebuah Hadis, Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, mafhumnya:

“Sesungguhnya Allah adalah Maha Indah menyukai keindahan. Allah adalah Maha Bersih menyukai kebersihan. Allah Maha Pemurah menyukai kepemurahan, Maha Dermawan dan menyukai kedermawanan. Oleh kerana itu hendaklah kamu membersihkan halaman rumah-rumah kamu dan janganlah meniru orang-orang Yahudi.” At-Tarmidzi

BERUBAT ITU ADALAH TAKDIR

Berubat penyakit adalah sunat. Berusaha untuk berubat itu adalah takdir Allah Ta’ala jua, sepertimana tersebut dalam sebuah Hadis yang dikeluarkan oleh Abu ‘Isa At-Tarmidzi:

“Daripada Abi Khuzamah katanya: “Telah aku tanya Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, maka kataku : “Ya Rasulullah! Apa fikiran tuan hamba akan jampi yang kami jampi dengan dia dan ubat yang kami berubat dengan dia dan peliharaan yang kami pelihara dengan dia, adakah menolak daripada qadar (takdir) Allah sesuatu?” Sabda Baginda: “Ia daripada qadar (takdir) Allah.” Hasan Sahih

Bagi orang-orang yang beriman, berubat itu adalah sunat dan sebagai usaha. Oleh itu, berubatlah dengan apa-apa cawangan perubatan yang dibenarkan lagi halal yang boleh menyembuhkan penyakit, kerana Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, mafhumnya:
“Allah Ta’ala tidak menurunkan suatu penyakit kecuali diturunkan bersamanya ubat.” Ibnu Majah

PANTANG ITU KEPALA UBAT

Kepala ubat itu pula ialah berpantang serta mencegah daripada minum dan makan benda-benda yang merbahaya dan yang menyebabkan sesuatu penyakit itu bertambah sakitnya.

Maka dengan berpantang dan mencegah, seseorang itu terlepas daripada sakit, sepertimana tersebut dalam sebuah Hadis yang dikeluarkan oleh Abu Isa At-Tirmidzi:

“Daripada Umm Al-Munzir katanya: “Masuk atasku (yakni datang kerumahnya) Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dan bersamanya Ali, dan bagi kami tandan-tandan bergantung (yakni tandan kurma digantung menunggu masak dan dimakan buah yang mana-mana masak dahulu), maka tampil Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam (yakni Baginda datang menziarah ke rumah perawi) dan makan, dan Ali (yang ada bersamanya) mahu makan, maka Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam makan ia (kurma) dan Ali sertanya mahu makan. Maka bersabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bagi Ali: “Berhenti! Berhenti! Ya Ali, maka bahawasanya engkau baru sembuh sakit (yakni baru sembuh daripada sakit mata).” Kata perawi: “Maka duduk Ali dan Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam makan Baginda seorang diri.” Kata perawi: “Maka aku masakan bagi mereka itu “silqa dan syai’r”. Maka Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: “Ya Ali! Daripada (masakan) ini, maka ambillah makan akan dia, (kerana) bahawasanya ia bersetuju bagimu (sesuai lagi serasi) dengan sakit engkau itu.” Hasan, Gharib

Orang-orang Inggeris telah mengutip daripada pengajaran yang tersebut di atas, digunakan dalam dunia perubatan, sepertimana tersebut dalam peribahasanya:

“Prevention is better than cure.” (Berpantang serta mencegah itu lebih baik daripada berubat).

“An ounce of prevention is worth a pound of cure.” (Satu auns berpantang serta mencegah itu nilainya satu pound berubat).

ALLAH MAHA PENGASIH

Allah Ta’ala, kerana kasihNya kepada hamba-hambaNya, melarang hamba-hambaNya yakni mencegah mereka itu supaya tidak meminum dan memakan benda-benda yang diharamkan kerana di antara benda-benda yang dilarang (diharamkan)itu, ada di antaranya memberi mudarat yang tidak diketahui oleh manusia atau ianya mengandungi unsur-unsur yang tidak baik seperti mengandungi toksik, racun, benda-benda yang memabukkan, bahan-bahan yang basi, hodoh lagi jijik, dan lain-lain lagi.

Oleh itu, Allah Ta’ala memerintahkan orang-orang yang beriman supaya makan benda-benda yang halal lagi baik sahaja, sepertimana firmanNya dalam Surah Al-Nahl, Ayat 114, maksudnya:

“Oleh itu, makanlah (wahai orang-orang yang beriman) dari apa yang telah dikurniakan Allah kepada kamu dari benda-benda yang halal lagi baik, dan bersyukurlah akan nikmat Allah, jika benar kamu hanya menyembahNya (Allah) semata-mata.” Ayat 114

BUKAN UBAT PADA BENDA YANG HARAM

Di antara pelbagai cara perubatan yang diketahui seperti perubatan yang diajar oleh Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dan lain-lain cara perubatan, kecuali ubat-ubatan atau bahan-bahan yang berasaskan benda-benda yang haram seperti enzim-enzim dari babi dan anjing dan lain-lain bahan yang diharamkan Allah Ta’ala, sepertimana tersebut dalam sebuah Hadis:

Daripada Abu Darda’ radhiallahu ‘anh, Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, mafhumnya:

“Sesungguhnya Allah yang menurunkan penyakit dan ubatnya, dan menjadikan bagi setiap penyakit ada ubat, maka berubatlah tetapi jangan sesekali berubat dengan sesuatu yang diharamkan.” Abu Daud

Walau apa usaha sekalipun untuk mengubatkan penyakit, ada satu penyakit yang tidak ada ubat, seperti tersebut dalam sebuah Hadis yang dikeluarkan oleh Abu ‘Isa At-Tarmidzi:

“Daripada Usamah bin Syuraik katanya: “Telah berkata seorang Al-A’rab: “Ya Rasulullah! Tidakkah boleh kita berubat? Sabda Baginda: “Bahkan, hai hamba-hamba Allah hendaklah berubat kerana bahawasanya Allah itu tiada menghantarkan satu penyakit melainkan dihantarkan baginya menyembuhnya, atau sabda Baginda: “Ubat melainkan penyakit yang satu.” Kata mereka itu: “Ya Rasulullah! Dan apa ia?” Sabda Baginda: “Tua.”” Hasan Sahih

Tua itu, mengapakah dinamakan dia penyakit? Jawabnya, sebabpun dinamakan penyakit kerana tua itulah membawa kepada binasa, sebab tua itulah yang mendaifkan badan dengan berbagai sakit sampai dibawanya mati.

KESUDAHAN PERUBATAN

Nabi-nabi dan Rasul-rasul Allah, tatkala mereka mendapat bala dan sakit, mereka berubat serta berdoa kepada Allah Ta’ala bagi menolakkan bala dan menyembuhkan penyakit mereka.

Nabi Aiyub ‘Alaihissalam berdoa dan berubat bagi menghapuskan penyakitnya, sepertimana firman Allah Ta’ala dalam Surah Saad, Ayat 41 dan Ayat 42, maksudnya:

“Dan (ingatkanlah peristiwa) hamba Kami (Allah): Aiyub, ketika ia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: “Sesungguhnya aku diganggu oleh syaitan dengan (hasutannya semasa aku ditimpa) kesusahan dan azab siksa (penyakit).” Ayat 41

“(Maka Kami (Allah) kabulkan permohonannya serta Kami(Allah) perintahkan kepadanya): “Hentakkanlah (bumi) dengan kakimu,” (setelah ia melakukannya maka terpancarlah air, lalu Kami (Allah) berfirman kepadanya): “Ini ialah air sejuk untuk mandi dan untuk minum (sebagai ubat bagi menyembuhkan penyakitmu zahir dan batin).” Ayat 42

Nabi Ibrahim ‘Alaihissalam berkata sepertimana tersebut dalam firman Allah Ta’ala, dalam Surah Asy-Syu’araa, Ayat 78, Ayat 79, Ayat 80, Ayat 81, Ayat 82 dan Ayat 83, maksudnya:

Tuhan (Allah) yang menciptakan daku (dari tiada kepada ada) maka Dialah (Allah) yang memimpin dan memberi pertunjuk kepadaku;” Ayat 78

“Dan Tuhan (Allah) yang Dialah (Allah) jua memberiku makan dan memberi minum,” Ayat 79

“Dan apabila aku sakit, maka Dialah (Allah) yang menyembuhkan penyakitku;”
Ayat 80


Hari Jumaat
30 Rabi’ulAkhir 1433 Hijriyah
23 Mac 2012

No comments: