Monday, January 28, 2008

BERBAKTI KEPADA IBU BAPA SEMASA HAYAT




BISMILLAH AR-RAHMAAN AR-RAHIIM.




Dengan nama Allah yang pemurah lagi penyayang, segala puji-pujian bagi Allah pentadbir sekalian alam, selawat dan salam ke atas semulia-mulia nabi dan Rasul iaitu penghulu kami Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wasallam dan di atas keluarganya dan para sahabatnya sekalian.




Semasa Tok Ayah bermuzakarah dengan uncle Azza pada hari Jumaat 16 Muharram 1429 Hijriyyah bersamaan 25 Januari 2008, uncle Azza mengesyorkan supaya Tok Ayah menceritakan bagaimana cucunda-cucunda boleh berbakti kepada kedua ibu bapa semasa hayat mereka.




Berbakti kepada kedua ibu bapa itu adalah setengah daripada amalan-amalan utama. Kata Imam Ghazali di dalam Ihya'; Nabi sallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Berbakti akan kedua ibu bapa itu lebih utama daripada solat sunat dan sedekah dan puasa dan Haji dan Umrah dan perang sabilillah". Khususnya bagi anak lelaki perlu mengambil perhatian bersungguh-sungguh untuk berbakti kepada dua ibu bapa supaya tidak terlanjur salah laku yang membawa kepada ditimpa kecelakaan dimurkai Allah Subhanahu Wa Ta'ala.




Anak lelaki wajib terus berbakti kepada kedua ibu bapa walaupun anak lelaki itu sudah berkahwin dan ada keluarga sendiri. Bagi anak perempuan pula wajib mentaati suami iaitu suami yang beriman dan bertaqwa, yang taat kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala dan RasulNya Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wasallam.




Hadith Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam yang dikeluarkan oleh Abu 'Isa At-Termizi katanya: Diriwayatkan daripada Ibni Mas'ud katanya: "Telah aku tanya Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam maka kataku 'Ya Rasulullah, apakah amal-amal yang terutama?' Sabdanya 'Solat pada waktunya'. 'Kemudian apa ia, Ya Rasulullah?' Sabdanya ' Kebaktian dua ibu bapa'."




Menurut perintah dua ibu bapa itu wajib pada syara' dan haram menyalahinya selama tiada disuruh atau diperintahnya berbuat maksiat kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala.




Adalah sangat terpuji kepada syara', seseorang itu memberi suka hati keduanya sebagaimana tersebut didalam Hadith yang dikeluarkan oleh Abu 'Isa At-Termizi katanya: Daripada Abdullah bin'Amru daripada Nabi sallallahu 'alaihi wasallam sabdanya : "Redha Tuhan pada redha bapa, dan marah Tuhan pada marah bapa".




Memuaskan hati dua ibu bapa itu sebaik-baik dan seelok-elok pintu syurga dan jalan masuknya yang disediakan daripada kepuasan hati dua ibu bapa itu. Maka apakala seseorang daripada dua ibu bapa itu diikut apa kehendaknya, dan menjauhkan apa yang tiada sukanya tentulah puas hatinya. Hingga jikalau seseorang anaknya itu beristeri, dan benci seorang daripada keduanya akan isteri anaknya, kemudian suruhnya ceraikan, maka anaknya pun menceraikan, tentulah itu kepuasan ibu atau bapa itu.




Maka sudahlah anak itu mempersediakan sebaik-baik pintu syurga, sebagai tersebut didalam Hadith yang dikeluarkan oleh Abu 'Isa At-Termizi katanya: Daripada Abi Al-Dardaa bahawasanya satu lelaki datang akan dia maka katanya: "Bahawasanya bagiku isteri, dan bahawasanya ibuku menyuruh aku ceraikan dia". Kata Abi Al-Dardaa: "Telah aku dengar Rasululluh sallallahu 'alaihi wasallam bersabda ia: 'Bapa itu sebaik-baik pintu syurga, maka jika engkau kehendak maka letaklah itu pintu atau peliharakan dia'." Soheh.




Pada menyatakan masalah seorang lelaki yang menuntut akan dia oleh bapanya bahawa ia ceraikan isterinya. Adalah mencari isteri yang boleh bersetuju-tujuan dengan suaminya didalam hal kehidupan di dunia ini baik muafakat dan kasih-kasihan jarang jua didapati. Ada juga berjumpa dengan yang demikian itu tetapi didapati pula orang yang mencelakan antara dua laki isteri yang bersetuju-tujuan itu. Adakalanya yang mencela itu bapanya atau ibunya atau saudara-saudaranya atau orang lain. Maka celaan yang datang daripada bapanya ialah apakala jadi bapanya itu tiada sukakan isterinya, maka disuruhnya anaknya itu ceraikan, demikian juga boleh jadi daripada ibunya.


Apakala berlaku demikian itu ke atas seoarng yang beristeri kemudian daripada beberapa helah yang didatangkan kepada dua ibu bapanya supaya redha keduanya atas isterinya itu, tiada jua mahu ibu atau bapanya redha. Bahkan disuruh oleh keduanya ceraikan juga-juga akan isterinya, nescaya wajiblah atas anaknya taat.




Bermula dalil yang menunjukkan atas yang demikian itu ialah sebagai Hadith yang dikeluarkan oleh Abu 'Isa At-Termizi: Daripada Ibni 'Umar katanya: "Adalah dibawahku perempuan yang aku kasih akan dia dan adalah bapaku benci akan dia, maka menyuruh bapaku akan daku bahawa aku cerai akan dia. Maka datang aku, maka aku sebutkan yang demikian itu bagi Nabi sallallahu 'alaihi wasallam maka sabdanya: 'Ya Abdullah anak 'Umar, ceraikan isteri engkau'." Hasan soheh.




Pada Hadith itu, menunjukkan bahawa Saidina 'Umar radhiyallahu 'anhu menyuruh anaknya bercerai dengan isterinya. Maka tiadalah dapat kita katakan Saidina 'Umar radhiyallahu 'anhu itu tiada baik kerana ia seorang yang setinggi-tinggi akal dan satu daripada Khulafa-Urrasyidiin. Tiadalah boleh kita kata akan dia seperti setengah daripada bapa orang-orang sekarang menurut nafsunya jua. Bahkan telah berkata 'ulama Saidina 'Umar radhiyallahu 'anhu menyuruh anaknya menceraikan isterinya itu kerana memeliharakan muslihat anaknya yang tiada diketahui oleh anaknya.




Seorang yang kasih akan isterinya menurut sebagai kasih yang diharuskan oleh syara' tiba-tiba datang bapanya atau ibunya benci akan isterinya serta disuruh oleh keduanya ceraikan dia, maka harus bagi anak itu mencarikan helah supaya dua ibu bapanya kasihkan isterinya seperti dicarikan orang-orang memperdamaikannya atau menasihatkan antara keduanya dan sebagainya. Maka jika sekiranya tiada helah maka menurut kata ibu bapa itu lebih aula (utama).




KEBAHAGIAAN KERANA BERBAKTI KEPADA DUA IBU BAPA




Seperti tersebut daripada Hadith-hadith Nabi sallallahu 'alaihi wasallam iaitu :-


Pertama - Ialah memuliakan keduanya itu satu daripada amal yang disukai Allah Ta'ala dan menyamai amal itu dengan pahala perang sabilillah, bahkan ia lebih afdal daripadanya.


Kedua - Menyamai ia akan pahala Haji dan Umrah.


Ketiga - Menyampaikan kepada nikmat-nikmat syurga.


Keempat - Menambahkan umur, dan dimurahkan Allah rezeki, dan sebab bagi berkat pada harta. Semuanya itu dengan sebab menghormatkan kedua ibu bapa itu dijadikan Allah cerdik pintar anak-anak, dan bersih suci, dan berpertunjuk, dan dapat taufik, maka jadi biasa atas kasih kedua ibu bapanya.


Kelima - Peluang yang baik bagi jamin masuk syurga. Maka sesiapa mensia-sia akan dia nescaya rugilah ia.


Keenam - Menghilangkan dukacita dan susah hati dan mendatangkan sukacita, dan menjamin akan dapat kemenangan.


Ketujuh - Telah disertakan Allah Ta'ala akan redhaNya dengan keredhaan dua ibu bapa itu.




KECELAKAAN KERANA DERHAKAKAN DUA IBU BAPA




Seperti yang tersebut daripada Hadith-hadith Nabi sallallahu 'alaihi wasallam iaitu :-


Pertama - Telah diharamkan Allah derhaka kepada dua ibu bapa itu, dan dibenci Ia akan demikian.


Kedua - Derhakakan dua ibu bapa itu sebesar-besar dosa yang membinasakan lagi yang menyampaikan masuk ke dalam Neraka Jahiim.


Ketiga - Tidak memakai bau-bauan syurga dan mencium baunya jua.


Keempat - Tidak Allah Ta'ala terima apa amal orang yang derhakakan dua ibu bapanya.


Kelima - Orang derhakakan dua ibu bapa itu menyalahi barang yang ditegah Allah dan RasulNya.


Keenam - Dapat kepada orang yang derhaka itu balas derhakanya di dalam dunia sebelum matinya daripada kehinaan dan sehabis-habis papa, dan beberapa penyakit, dan marah ahlinya, dan berjauh ia dengan dia.


Ketujuh - Dilaknat Allah dan RasulNya dan malaikat dan orang-orang semuanya.


Kelapan - Datang kepada orang yang derhaka itu tidak baik pada akhir umurnya, dan butakan Allah matahatinya, dan cabut iman daripadanya, tiada upaya bertutur dengan dua kalimah syahadah.


Kesembilan - Jadi hodoh rupa muka orang yang derhaka itu dan berubah rupa anak adamnya kepada rupa keldai.




Wallahu a'lamu bissawab.
















Saturday, January 12, 2008

PUASA SUNAT 'ASYURAA


BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIIM.


Dengan nama Allah yang pemurah lagi penyayang, segala puji-pujian bagi Allah pentadbir sekalian alam, selawat dan salam ke atas semulia-mulia nabi dan Rasul iaitu penghulu kami nabi Muhammad sallahu 'alaihi wasallam dan di atas keluarganya dan para sahabatnya sekalian.


Sepuluh haribulan Muharram ialah dimana Allah Subhanahu Wa Ta'ala telah menyelamatkan Bani Israel dari musuh-musuh mereka. Bani Israel adalah Yahudi. Israel ialah gelaran Nabi Ya'akub bin Ishak bin Ibrahim 'alaihi mussalam. Musuh mereka adalah fir'aun dan kaumnya.


Nabi Nuh 'alaihissalam berpuasa pada sepuluh Muharram sebagai tanda kesyukuran kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala yang telah menyelamatkan Nabi Nuh 'alaihissalam dan sekalian yang berada dalam bahteranya daripada tenggelam banjir besar dunia. Nabi Nuh 'alaihissalam serta orang-orang beriman dan sekalian makhluk yang berada dalam bahtera itu mulai daripada sembilan Rejab, Sya'aban, Ramadhan, Syawal, Dzil Kaedah, Dzil Hijjah sampai sepuluh Muharram. Bahtera Nabi Nuh 'alaihissalam telah terhenti di atas Bukit Juudii pada hari itu.


Nabi Musa 'alaihissalam berpuasa pada sepuluh haribulan Muharram sebagai tanda kesyukuran kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala lantaran menyelamatkannya dan pengikut-pengikutnya yang beriman dari tenggelam di dalam Laut Merah dan dari kejahatan musuhnya iaitu fir'aun dan kaumnya.


Nabi Muhammad sallahu 'alaihi wasallam juga berpuasa pada sepuluh haribulan Muharram bila baginda mula sampai ke Madinah. Baginda juga memerintahkan sahabat-sahabatnya dan orang-orang Islam berpuasa pada hari tersebut sehingga Allah Subhanahu Wa Ta'ala turunkan ayat memerintahkan wajib berpuasa bulan Ramadhan sebagaimana tersebut di dalam Hadith yang dikeluarkan oleh Abu 'Isa At-termizi katanya : Daripada 'Aishah katanya "Adalah hari 'Asyura itu satu hari yang puasa akan dia oleh kafir Quraisy pada zaman jahiliyyah dan adalah Rasulullah sallahu 'alaihi wasallam pun puasa ia akan dia dan disuruhnya orang-orang dengan puasanya, maka tatkala difardhukan akan puasa Ramadhan jadilah puasa Ramadhan itu ianya fardhu dan ditinggalnya 'Asyura, maka siapa berkehendak puasa ('Asyura) akan dia, dan siapa berkehendak tinggalkan dia ('Asyura)."


Dari Abu Musa Al-Asy'ari r.a. katanya : Hari 'Asyura itu dibesarkan oleh orang Yahudi dan mereka jadikan sebagai hari raya. Maka bersabdalah Rasulullah sallahu 'alaihi wasallam : "Puasakanlah hari itu oleh kamu sendiri!"


Diriwayatkan oleh Al-Imam Ahmad bin Hanbal daripada Ibnu 'Abbas r.a. katanya : Telah bersabda Rasulullah sallahu 'alaihi wasallam "Berpuasa oleh kamu sekalian akan hari 'Asyura dan lainkan puasa sekalian kamu akan puasa Yahudi, maka menyalahi dan memperlainkan puasa kamu dengan Yahudi itu yakni puasalah sekalian kamu dahulu daripadanya sehari dan kemudian daripadanya sehari."


Orang-orang beriman boleh berpuasa pada sembilan Muharram iaitu hari "Taasu'aa" atau pada hari kesembilan Muharram (Taasu'aa) dan pada sepuluh Muharram ('Asyura), atau pada sepuluh Muharram ('Asyura) dan sebelas Muharram atau pada sembilan Muharram (Taasu'aa) dan sepuluh Muharram ('Asyura) dan sebelas Muharram.


Wallahu a'lamu bissawab.