Friday, January 30, 2009

ORANG TUA LANJUT UMURNYA

BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIIM

HADIS RASULULLAH SALLALLAHU 'ALAIHI WASALLAM

Daripada Abi Hurairah katanya:
“Bahawasanya Nabi Sallallahu 'alaihi Wasallam bersabda:
Bermula hati orang tua itu muda ia atas kasihkan dua perkara
Panjang hayatnya dan banyak harta.”


Orang tua lanjut umurnya
Usia lelaki atau wanita di dunia
Masa beramal atau berusaha
Amalan soleh atau sebaliknya

Orang tua lanjut umurnya
Berperingkat-peringkat pengalaman dilaluinya
Dirempuhi jahat atau baiknya
Mencangkupi dosa-dosa atau pahalanya

Orang tua lanjut umurnya
Dari muda mencintai harta dan dunia
Memiliki harta dengan tamak haloba
Kurang ibadat kerana mengira harta

Orang tua lanjut umurnya
Tinggal ugama di masa muda
Beraja di mata bersultan di hatinya
Bergelumang dengan dosa dan noda

Orang tua lanjut umurnya
Siang malam mengumpul harta
Harap menjamin kehidupan sempurna
Menyangka hidup sihat sepanjang masa

Orang tua lanjut umurnya
Arak dan judi serta jantan atau betina
Berminum bermain bersukaria
Bagaikan dunia syurga baginya

Orang tua lanjut umurnya
Masa muda gagah perkasa
Ada harta mewah berbelanja
Ketika sihat berpoya-poya

Orang tua lanjut umurnya
Saban masa bergelak ketawa
Bersukaria tidak terhingga
Bertaulankan syaitan laknatullahi ta'ala

Orang tua lanjut umurnya
Setiap hari membaca akhbar dan berita
Tulisan kafir dan orientalis dibaca dipuja
Al Quran dan Hadis ditinggal dan dihina

Orang tua lanjut umurnya
Berputus asa bila musibah menimpanya
Kini harta tidak dapat menyembuh penyakitnya
Juga taulan dan rakan tidak dapat menolongnya

Orang tua lanjut umurnya
Memperolok-olokkan Allah dan RasulNYA
Dengan sombong dan takaburnya
Macam Abi Lahab dan perempuannya

Orang tua lanjut umurnya
Menipu Allah dengan pelbagai cara
Lupa diri Allah yang menciptanya
Allah berkuasa menghidup memati dan menyiksanya

Orang tua lanjut umurnya
Terus lalai dalam gelak dan bergembira
Tenggelam dengan anak cucu keluarga dan harta
Sehingga datang perkara Allah ke atasnya

Orang tua lanjut umurnya
Perkara Allah itu mati atau bala maknanya
Tidak tersentuh di hati semasa sihat badannya
Orang yang kufur dan lalai semasa hidup di dunia

Orang tua lanjut umurnya
Melihat perkara yang halal dan haram sama sahaja
Tidak nampak baik atau buruknya
Musibah menimpa tidak dikaitkan dengan dosanya

Orang tua lanjut umurnya
Fikirkan dunia mati hatinya
Mempesakai sesat semata-mata
Menjadi kenderaan syaitan sepanjang hidupnya

Orang tua lanjut umurnya
Terlupa syaitan ada senjata
Lalai itu bekalan syaitan dan juga pedangnya
Siapa yang lalai Allah kenakan azab dan seksa

Orang tua lanjut umurnya
Menjadi lalai sembilan perkara
Kasih kaya dan harta
Kasih kemuliaan dan dunia
Kasih pakaian dan perhiasannya
Kasih lelaki atau wanita yang bukan mahramnya
Kasih makan minum dan banyak tidurnya

Orang tua lanjut umurnya
Melepaskan diri dari kejahatan syaitan sembilan perkara
Mengenali Allah dengan ilmu dan makrifatnya
Takutkan Allah Ta'ala setiap masa
Menyucikan diri senantiasa
Solat malam tidak dilupa
Berlapar di siang harinya
Kekalkan wudhu' bersolat berzikir senantiasa

Orang tua lanjut umurnya
Fikirkan akhirat teranglah hatinya
Menjadikan cermin sepanjang hayatnya
Membawa bahagia ke akhirat menjadi pesakanya

HADIS RASULULLAH SALLALLAHU 'ALAHI WASALLAM

Daripada Abdullah bin Basr, berkata ia bahawa seorang arab badawi bertanya:”Ya Rasulullah! Siapakah manusia yang baik?” Bersabdanya:”Orang yang lanjut umurnya dan elok amalannya”.

Hari Jumaat
3 Safar 1430 Hijriyyah
30 Januari 2009

Saturday, January 24, 2009

MUSAFIR HAJI 1429 HIJRIYYAH

BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIIM

UMRAH WAJIB

Mutawif

Mengikut jadual jemaah haji yang mengerjakan haji secara tamattu’ yang datang dengan penerbangan KT82, Maktab 86, yang tiba dari Jeddah terus masuk ke Makkah Al Mukarramah pada tengahari hari Khamis 29 Dzil Qaedah 1429 Hijriyyah bersamaan dengan 27 November 2008 dijadualkan mengerjakan umrah wajib pada pukul 9.30 malam itu.

Umrah wajib ini dipimpin oleh seorang mutawif yang ditugaskan membawa jemaah haji tersebut.

Oleh kerana jemaah haji telah siap sedia berada di lobi hotel lebih awal, maka kami dibawa oleh mutawif keluar daripada hotel pukul 8.50 malam dan berkumpul dalam Masjid Al Haram pukul 9.30 malam disusuli dengan taklimat kerja-kerja umrah malam itu.

Pintu No. 79

Kami dibawa masuk ke dalam masjid melalui pintu No. 79. Pintu 79 ini mengadap terus ke jalan balik ke hotel Al-Barkati. Kami yang baru pertama kali memasuki Masjid Al Haram telah diminta supaya mengingati Pintu No. 79 itu untuk memudahkan kami balik ke hotel jika berlaku ketinggalan dan sebagainya.

Masjid Al Haram mempunyai 112 pintu kesemuanya dan pintu-pintu itu kelihatan sama sahaja bentuknya. Jika jemaah haji tidak mengambil ingatan nombor-nombor pintu mana yang mereka masuk, maka ada kemungkinan akan berlaku kekeliruan jalan hendak balik ke tempat tinggal masing-masing.

Disamping itu juga, bagi jemaah haji yang baru datang diminta berjalan dalam kumpulan yang sama dan elak daripada berjalan-jalan berseorangan sepanjang masa, tak kira waktu malam atau siang.

Tambahan lagi pada masa hampir-hampir jemaah haji hendak bertolak ke Arafah iaitu 10 hari terakhir sebelum wuquf. Ketika ini jemaah haji wanita dinasihatkan supaya tidak keluar bersolat di Masjid Al Haram kerana terdapat terlalu ramai jemaah haji daripada seluruh dunia berada di situ.

Mengerjakan Umrah Tanpa Mutawif

Malam itu aku dan Azian tidak dapat mengikuti mutawif yang ditugaskan untuk memimpin umrah kerana pada saat-saat akhir Azian terpaksa berwudhu’ semula. Aku memaklumkan kepada mutawif berkenaan yang mana aku dan Azian akan mengerjakan umrah sendiri kerana tidak mahu jemaah haji lain menunggu kami. Aku nampak mutawif itu kurang yakin dengan permintaanku itu. Setelah beberapa kali mutawif itu meminta kepastian, maka aku dapat meyakinkannya bahawa aku dan Azian, InsyaAllah, dapat mengerjakan umrah sendiri. Akhirnya mutawif itu mengangguk tanda bersetuju dengan permintaanku itu.

Aku dan Azian memulakan tawaf pada kurang lebih pukul 9.40 malam. Selepas sa’ie kami bertahlul serta berdoa. Ketika itu kami melihat jam kocekku sudah menunjukkan pukul 1.00 pagi hari Jumaat 30 Dzil Qeadah 1429 Hijriyyah bersamaan dengan 28 November 2008. Selesailah sudah umrah wajib kami.

”Ya Allah, kurniakanlah haji yang mabrur, Sa’ie yang diterima, dosa yang diampuni, amal soleh yang diterima dan usaha yang tidak mengalami rugi”.

Solat Jumaat

Hari kedua kami berada di kota Makkah Al Mukarramah ialah hari Jumaat iaitu 8 hari sebelum masuk hari Tarwiyah 8 Dzil Hijjah untuk bertolak ke Arafah. Ketika inilah kota Makkah Al Mukarramah dibanjiri lautan jemaah haji. Jalan-jalan dan lorong-lorong di sekeliling Masjid Al Haram kelihatan penuh dengan jemaah haji. Pada setiap waktu solat kelihatan jemaah haji berjalan pergi dan balik ke masjid berduyun-duyun, bersusun-susun, berbaris-baris memutih seolah-olah macam anai-anai keluar masuk busut sarangnya.

Pemandangan yang indah dimana orang ramai secara bebas berjalan kaki dengan teratur, hormat menghormati hak masing-masing, itu tidak pernah aku lihat di mana-mana kecuali di Masjid Al Haram di Makkah Al Mukarramah dan Masjid Al Nabawi di Madinah Al Munawarah sahaja.

Kurang lebih jam 10.00 pagi aku turun ke Masjid Al Haram untuk bersolat Jumaat dengan harapan mendapat tempat duduk di dalam masjid. Sesampainya aku di sana jemaah haji telah sedia ramai berada di luar dan di dalam masjid. Bila dilihat daripada jauh sudah tiada lagi tempat dan ruang yang kosong. Di dalam masjid jemaah haji telah penuh, ada yang membaca kitab suci Al-Quran Al-Kariim dan ada yang bersolat.

Aku cuba naik ke tingkat satu dan di sana juga penuh. Masjid Al Haram ini ada 4 tingkat iaitu tingkat bawah, tingkat 1(ground floor), tingkat 2, dan bumbung dan mempunyai keluasan keseluruhan bangunan iaitu 76,000 meter persegi termasuk keluasan 4 tingkat tempat solat.

Aku turun balik ke tingkat satu (ground floor) dan lalu celah-celah jemaah haji yang ramai itu terus ke kawasan tawaf. Jemaah haji masih ramai yang mengerjakan tawaf. Aku duduk dalam panas di lingkaran luar sedikit supaya tidak mengganggu halang laluan jemaah haji yang sedang mengerjakan tawaf itu. Aku dapat duduk mengadap Multazam dan Makam Ibrahim. Alhamdu lillah.

Waktu solat Jumaat hari itu ialah pada pukul 12.11 tengahari.

Hari Sabtu
27 Muharram 1430 Hijriyyah
24 Januari 2009

Saturday, January 17, 2009

MUSAFIR HAJI 1429 HIJRIYYAH

BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIIM

KANDUNGAN BUKU “PANDUAN UNTUK JEMAAH HAJI DAN UMRAH”

Bas yang aku dan isteriku naik dari Jeddah bersama-sama dengan jemaah haji lain tiba di hotel Al Barkati yang terletak di Syari’ Jabal Al Ka’bah (Jalan Bukit Ka’bah). Di sinilah kami jemaah-jemaah haji seramai 251 orang ditempatkan sepanjang kami berada di Makkah Al Mukarramah iaitu dari hari Khamis 29 Dzil Qaedah 1429 Hijriyyah bersamaan dengan 27 November, 2008 sehingga hari Ahad 30 Dzil Hijjah 1429 Hijriyyah bersamaan dengan 28 Disember, 2008.

Hotel ini disewa keseluruhannya oleh Tabung Haji Travel Services bagi menempatkan jemaah-jemaah haji daripada Malaysia sahaja. Pada musim haji tahun ini, jemaah haji yang ditempatkan di sini seramai 251 orang.

Aku dan isteriku Azian tinggal di bilik nombor 1302 di tingkat 13. Hotel ini mempunyai 14 tingkat sahaja. Jauhnya dari hotel ke Masjid Al Haram kurang lebih 300 meter.

Sebaik sahaja kami (aku dan Azian) memasuki bilik kami, aku teringat akan sebuah buku kecil yang bertajuk ”PANDUAN UNTUK JEMAAH HAJI DAN UMRAH SERTA PENGUNJUNG MASJID RASUL SALLALLAHU ’ALAIHI WASALLAM” cetakan Kementerian Hal Ehwal Islam, Wakaf, dan Bimbingan, Riyadh, keluaran tahun 1429 Hijriyyah, yang mana diedarkan sebelum kami melepasi pemeriksaan imigresen di lapangan terbang Jeddah. Buku itu tak sempat aku baca ketika aku berada di atas bas.

Aku mula menyemak tajuk-tajuk isi kandungan buku tersebut dan memilih tajuk ”PERKARA-PERKARA YANG MEMBATALKAN ISLAM” di muka surat 13, untuk dibaca.

Isi kandungannya di bawah tajuk tersebut amat menarik dan amat berkaitan dan hampir sekali dengan sifat-sifat umat Islam semasa ( hadhari, present, current).

Aku telah membacanya berulang kali supaya dapatku sematkan ke dalam ingatanku baik-baiknya. Aku juga telah memikirkan bahawa isi kandungan tajuk tersebut elok dikembang perturunkan sebagai azimat benteng perlindungan hidup anak-anak cucu-cucu dan zuriat keturunanku, InsyaAllah.

Berikut adalah isi kandungannya:

Saudara muslim! Ketahuilah, bahawa terdapat beberapa perkara yang boleh membatalkan Islam seseorang. Antara yang paling banyak terjadi ialah sepuluh perkara. Maka
hindarilah diri anda daripadanya.
Pertama:
Syirik iaitu mempersekutukan Allah dalam ibadat. Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala: ”Sesungguhnya sesiapa yang mempersekutukan Allah, nescaya Allah, mengharamkan Syurga baginya dan tempat tinggalnya (kelak) adalah neraka, dan tiada penolong bagi orang-orang yang zalim”. (Surah Al-Maidah, Ayat 72)
Antara perbuatan syirik tersebut ialah: Meminta doa dan pertolongan dari orang-orang yang telah mati, bernazar dan menyembelih korban kepada mereka.
Kedua:
Menjadikan sesuatu sebagai perantara di antara dirinya dengan Allah, meminta doa dan syafaat serta berserah diri (tawakkal) kepada perantara itu. Orang yang melakukan perkara tersebut, menurut kesepakatan (ijma’) ulama’ adalah kafir.
Ketiga:
Tidak mengkafirkan orang musyrik atau ragu-ragu terhadap kekufuran mereka atau membenarkan fahaman mereka. Dengan melakukan demikian, ia telah kafir.
Keempat:
Berkeyakinan bahawa petunjuk yang lain daripada pertunjuk Nabi sallallahu ’alaihi wasallam adalah lebih sempurna atau berkeyakinan bahawa hukuman yang lain daripada hukuman Nabi sallallahu ’alaihi wasallam seperti mereka yang mengutamakan peraturan thaghut (peraturan manusia yang melampaui batas dan menyimpang dari hukum Allah) dan mengenepikan hukum Rasulullah sallallahu ’alaihi wasallam. Maka orang yang berkeyakinan seperti itu adalah kafir.
Sebagai contoh:
a- Berkeyakinan bahawa peraturan atau perundangan yang dibuat oleh manusia lebih utama daripada Syariat Islam;
· atau perundangan Islam tidak sesuai dilaksanakan di abad kedua puluh satu.
· atau Islam adalah sebab kemunduran kaum muslimin.
· atau Islam hanya mengatur hubungan manusia dengan Tuhannya sahaja dan bukan urusan kehidupan dunia.
b- Berpendapat bahawa melaksanakan hukum Allah Subhanahu Wa Ta’ala dalam perkara hukum hudud seperti memotong tangan pencuri dan merejam penzina yang telah berkahwin (muhsan) tidak sesuai lagi pada masa kini.
c- Berkeyakinan bahawa dibolehkan untuk mengamalkan perundangan yang lain daripada syariat yang diturunkan oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala samada dalam hukum mu’amalat (perdagangan) atau dalam melaksanakan hukum hudud (jenayah) atau lainnya sekalipun tidak disertai dengan keyakinan bahawa hukum-hulum tersebut lebih utama daripada Syariat Islam, kerana dengan sedemikian ia telah menghalalkan perkara yang diharamkan oleh Allah menurut ijma’ ulama.
Setiap orang yang menghalalkan perkara yang sudah jelas dan tegas diharamkan oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala dalam agama seperti zina, arak, riba dan melaksanakan perundangan yang lain dari syariat Islam adalah kafir menurut kesepakatan umat Islam (ijma’).
Kelima:
Membenci sesuatu yang telah ditetapkan oleh Rasulullah sallallahu ’alaihi wasallam sebagai syariat walaupun ia mengamalkannya. Dengan melakukan demikian, ia telah menjadi kafir, kerana firman Allah: ”Demikian itu adalah kerana mereka benci terhadap sesuatu yang diturunkan olah Allah, maka Allah menghapuskan (pahala) segala amal perbuatan mereka”. (Surah Muhammad, Ayat 9)
Keenam:
Mempersendakan Allah Subhanahu Wa Ta’ala atau kitabNya atau Rasulullah sallallahu ’alaihi wasallam atau sesuatu daripada ajaran agama, maka ia telah menjadi kafir, kerana firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala: ”Katakanlah (wahai Muhammad): Adakah terhadap Allah dan ayat-ayatNya serta RasulNya kamu sekalian memperolok-olok main? Tiada ertinya kamu meminta maaf kerana kamu telah kafir setelah beriman”. (Surah At-Taubah, Ayat 65-66)
Ketujuh:
Sihir, di antaranya ilmu guna-guna (sarf), iaitu mengubah kecintaan seorang suami terhadap isterinya menjadi benci dan ilmu pengasih, iaitu menjadikan seseorang mencintai sesuatu yang tidak disenanginya dengan cara-cara syaitan. Mereka yang mengamalkan sihir atau rela dengannya adalah kafir kerana firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala: ” Sedangkan kedua-dua malaikat itu tidak mengajarkan (suatu sihir) kepada sesiapa pun sebelum mengatakan: sesungguhnya kami hanya cubaan bagimu, oleh itu janganlah kamu menjadi kafir”. (Surah Al-Baqarah, Ayat 102)
Kelapan:
Membantu dan menolong orang musyrikin untuk memusuhi kaum muslimin kerana firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala: ”Dan barangsiapa di antara kamu yang mengambil mereka (Yahudi dan Nasrani) menjadi pemimpin maka dia termasuk di dalam golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim”. (Surah Al-Maidah, Ayat 51)
Kesembilan:
Berkeyakinan bahawa sesetengah individu diperolehkan untuk tidak mengikuti syariat Muhammad sallallahu ’alaihi wasallam. Orang yang berkeyakinan sedemikian adalah kafir kerana firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala: ”Dan sesiapa yang menghendaki selain Islam sebagai agama, maka tidak akan diterima agama itu darinya, dan di akhirat ia tergolong di kalangan orang-orang yang rugi”. (Surah Aali Imran, Ayat 85)
Kesepuluh:
Berpaling daripada agama Allah Subhanahu Wa Ta’ala atau perkara-perkara yang menjadi syarat sah sebagai muslim tanpa mempelajarinya dan tanpa melaksanakan ajarannya. Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala: ”Tiada yang lebih zalim daripada orang-orang yang telah mendapat peringatan melalui ayat-ayat Tuhannya kemudian ia berpaling daripadanya. Sesungguhnya kami akan menimpakan balasan kepada orang-orang yang berdosa”. (Surah As-Sajadah, Ayat 22)
Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala: ”Dan orang-orang yang kafir berpaling daripada perkara yang diperingatkan kepada mereka”. (Surah Al-Ahqaf, Ayat 3)
Dalam perkara yang membatalkan Islam ini, hukumnya tidak berbeza sama ada secara bergurau atau bersungguh-sungguh, sengaja melakukannya atau takut, kecuali apabila diancam dan dipaksa.
Semoga Allah melindungi kita semua daripada melakukan perbuatan yang mendatangkan kemurkaan Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan seksaan yang sangat pedih.

Habis membaca peringatan-peringatan tersebut di atas, aku keluarkan jam kocek ”Rapport Pocket Watch” yang aku beli dengan Ahmad Rohi pada 12 Julai, 1999 di kedai Triggs Jewellers, London Road, Birmingham, U.K. selepas 3 hari Ahmad Rohi menerima Ijazah PhDnya dari The University of Birmingham iaitu pada hari Jumaat 9 Julai, 1999 pukul 4.45 petang.

Jarum jam menunjukkan pukul 2.30 petang. Aku dan Azian berehat-berehat sekejap sambil menunggu masuk waktu ‘Asar pada pukul 3.17 petang.

Hari Sabtu
20 Muharram 1430 Hijriyyah
17 Januari 2009




Friday, January 16, 2009

MUSAFIR HAJI 1429 HIJRIYYAH

BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIIM

SEBUAH CATITAN DARI RUMAH KUALA KUBU BHARU KE LAPANGAN TERBANG ABDUL AZIZ, JEDDAH.

Pada petang hari Rabu 26hb November 2008, hujan agak lebat juga. Kurang lebih jam 5.30 petang selepas solat Asar, aku dan isteriku Azian keluar dari rumah dibawa oleh anak-anak kami Dzil Azza (Azza) dan Ahmad Rohi (Ei) untuk pergi ke Kompleks Tabung Haji di Kelana Jaya, Selangor. Tujuannya untuk menghantar kami berdua pergi ke tanah suci Makkah Al Mukarramah menunaikan ibadat haji iaitu rukun Islam yang kelima.

Dalam perjalanan kami ke sana, kami singgah di masjid Kelana Jaya untuk bersolat sunat ihram. Di situ sempat juga kami makan nasi ikan yang sedia dibawa sebagai bekalan. Nasi ikan ini disebut macam juga ”nasi ayam” yang mana kedua-duanya bukan bererti nasi makanan ikan atau nasi makanan ayam. Kadang-kadang sebutan-sebutan sebegitu mengelirukan juga. Apa pun itulah bahasanya.

Di masjid Kelana Jaya ini juga aku memakai ihram dan kami berdua sama-sama berniat ihram umrah. Mula dari sini kami wajib meninggalkan larangan-larangan dalam ihram. Umumnya larangan-larangan itu terbahagi kepada 5 kategori iaitu: 1- Pakaian, 2- Wangian, 3- Kecantikan, 4- Alam sekitar, dan 5-Hubungan kelamin.

Niat umrah ini hendaklah dilakukan samada berada di Miqat atau sebelumnya. Kerana kami mengerjakan haji tamattu’ dan perjalanan kami dari tanah air terus ke Makkah Al Mukaarramah, maka Miqat kami ialah Qarn Al Manazil.

Mengerjakan haji tamattu’ bermaksud berniat umrah pada bulan-bulan haji dan menunaikan semua amal ibadat yang berkaitan dengan umrah. Apabila tiba waktu haji pada tahun yang sama ia akan berihram haji pula dan menunaikan amal ibadat yang berkaitan dengan haji.

Terdapat tiga cara menunaikan haji iaitu:-
1. Haji Tamattu’
2. Haji Ifrad dan
3. Haji Qiran

Sesampainya kami di Kompleks Haji, keadaan masih hujan lagi. Orang ramai samada jemaah haji atau kaum keluarga yang menghantarnya pada ketika kami sampai telah penuh duduk di bawah khemah-khemah yang disediakan. Khemah-khemah itu tidak dapat menampung orang-orang yang hadir pada malam itu.

Orang ramai yang datang lambat berpusu-pusu mencari tempat perlindungan daripada cucuran air hujan. Termasuklah kami bertiga beranak (aku, isteriku dan anak kami Azza). Ei terpaksa menunggu dalam kereta kerana kesusahan ”parking” .

Azza berlari-lari membawa beg besar kami mencari kaunter pendaftaran. Kami juga ikut berkejar-kejar ke sana kemari, masing-masing membawa ”hand luggage”. Akhirnya Azza hantarkan beg besar kami yang dibawanya itu melalui pintu pemeriksaan tanpa mendaftar terlebih dahulu. Dalam keadaan sebegitu mana-mana urusan yang boleh dilakukan dahulu bolehlah diterima bagi mengurangkan kekalutan keadaan semasa.

Selepas Azza menghantarkan kami berdua masuk melalui lorong pemeriksaan, kami diminta berbaris – barisan untuk lelaki dan barisan untuk wanita. Tujuannya hanya untuk mengambil paspot haji kami dan untuk timbang beg besar. Oleh kerana kaunter berasingan dan jumlah bilangan orang yang beratur tak sama lelaki dan wanita dan masa berurusan yang diambil oleh petugas kaunter berbeza, maka aku yang mendapat paspot lebih awal terpaksa menunggu isteriku yang masih berada di kaunter paspot.

Di luar Kompleks Haji hujan masih tak reda-reda – lebat lebi.

Selepas mengambil paspot, kami diminta masuk ke dalam bilik taklimat. Di sana kami mula teringat Ei yang menunggu dalam keretanya. Kami tak sempat berjumpa dengannya. Di mana Ei menunggu Azza dalam hujan lebat itu?

Selesai mendengar taklimat berkaitan dengan perjalanan haji kami, kami diminta menaiki bas-bas yang sedia menunggu untuk membawa 442 orang jemaah haji terus ke KLIA.

Ketika dalam perjalanan ke KLIA itu hujan masih lagi turun. Bas-bas terus berjalan dengan diiringi polis trafik yang mengawal lalu lintas supaya bas-bas yang kami naiki selamat sampai dan tepat pada masa yang dijadualkan.

Semasa menaiki kapalterbang Saudi Air, jemaah-jemaah berjalan masuk ke dalam kapalterbang kebanyakannya tidak bersuara. Kami tidak mengerti mengapa jadi begitu. Kapalterbangnya besar namun tempat duduknya disusun rapat-rapat menjadikan kelas ekonomi semua sekali.

Kapalterbang Saudi Air berlepas dari KLIA ke Jeddah kurang lebih jam 1.30 pagi pada hari Khamis 27 November 2008.

Dalam penerbangan ini jemaah haji juga diam-diam sahaja dan terus sunyi kecuali pelayan-pelayan kapalterbang yang sibuk dengan urusan mereka sendiri. Kami mula merasa hairan dengan keadaan senyap sunyi di dalam sebuah kapalterbang yang besar yang penuh dengan penumpang. Dengan keadaan sebegitu kami pun sama-sama diam. Sekali sekala kami berbisik diantara satu sama lain bila perlu nak bercakap.

Selepas kurang lebih 8 jam penerbangan dari KLIA, maka Saudi Air pun mendarat di lapangan terbang Abdul Aziz, Jeddah, pada pukul 3.00 pagi waktu tempatan bersamaan jam 8.00 pagi waktu kita di tanah air. Suhu di Jeddah ketika ini ialah 23 degree celcius. Jemaah-jemaah Haji yang tadi senyap di dalam kapalterbang, dah mula bercakap-cakap dan sedikit hingar bercampur dengan bunyian pergerakan jemaah-jemaah bangun dan mengambil barang-barang milik sendiri yang dibawa bersama.

Waktu solat subuh hari Khamis itu ialah jam 5.15 pagi waktu tempatan. Kami bersolat subuh di ruang menunggu imigresen. Tiada musalla disediakan.

Kami bertolak dari Jeddah dengan menaiki bas ke Makkah Al Mukarramah pada jam 9.30 pagi dan sampai di kota Makkah Al Mukarramah kurang lebih jam 12.00 tengahari, 29 Dzil Qaedah 1429 Hijriyah bersamaan 27 November, 2008. Kami telah dijadualkan untuk mengerjakan ibadat Umrah Wajib malam itu juga iaitu jam 9.30 malam waktu Makkah Al Mukarramah.

Hari Jumaat
19 Muharram 1430 Hijriyyah
16 Januari 2009

Friday, January 9, 2009

RahmatMU Melimpahi Do'aku


BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIIM

Dengan nama Allah yang pemurah lagi penyayang, segala puji-pujian bagi Allah pentadbir sekalian alam, selawat dan salam ke atas semulia-mulia nabi dan Rasul iaitu penghulu kami nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam dan ke atas keluarganya dan para sahabatnya sekalian.

“Ya Allah, Engkau pemeliharaku, tiada tuhan selain Engkau yang menciptakan aku, aku ini hambaMU, memenuhi janji dan ikatan padaMU sebanyak mana kemampuanku, aku berlindung padaMU daripada kejahatan yang telah aku lakukan, aku akui segala nikmat daripadaMU dan aku akui dosa-dosaku, maka ampunilah dosa-dosaku.”

“Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMU yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada kedua ibubapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadaMU).”

Ya Allah!
Dengan rahmatMU, Engkau telah menghantar aku dan isteriku balik ke tanah air dengan selamatnya setelah kami mengunjungi rumahMU Baitullahilharam dan menziarahi RasulMU sallallahu ‘alaihi wasallam di Madinah Al Munawarah.

Ya Allah!
Kami tak layak memijak kaki kami dan memasuki ke dalam rumahMU tanpa rahmatMU dan kasih sayangMU kepada kami berdua hambaMU yang dhaif lagi berdosa ini.

Ya Allah!
Sepanjang masa kami berdua di rumahMu, Engkau telah menjaga dan memelihara kami dengan baiknya. Ya Allah! Engkau juga telah menjaga anak-anak dan cucu-cucu kami dengan sempurna di mana mereka berada dan Engkau juga telah menjaga harta benda dan rumahtangga kami dengan sebaik-baiknya.

Ya Allah!
Kami berdua berhajat dengan izin dan rahmatMU, Engkau memberi umur panjang yang berkat, rizki serta kesihatan menziarahi rumahMU lagi bersama-sama dengan anak cucu kami.

Ya Allah!
Seterusnya kami memohon kepadaMU supaya memelihara anak-anak kami Dzil Azza dan Ahmad Rohi yang datang menyambut kami pulang dari rumahMU sebagaimana Engkau menjaga dan menolong orang-orang yang Engkau muliakan iaitu orang-orang yang sentiasa berbuat amalan soleh, ta’at dan taqwa kepadaMU. Ya Allah! Begitu juga Engkau peliharakan anak-anak kami Dzil Razman dan Ahmad Riza yang mana kedua-dua mereka tidak dapat bersama-sama kami sekarang.

Ya Allah!
Limpahilah rahmatMU yang Engkau kurniakan kepada kami dan yang terbaik dan segala keberkatan kepada anak-anak kami dan seterusnya kepada zuriat keturunan kami. Amiin, Ya Rabbal ’Alamiin.


Hari Rabu
10 Muharram 1430 Hijriyyah
07 Januari 2009