Friday, June 15, 2012

TERUNA DAN GADIS DALAM SYURGA



RAHMAT ALLAH

Syurga adalah perkara ghaib yang wajib bagi tiap-tiap orang Islam  beriman dengannya.  Syurga diciptakan khusus bagi orang-orang yang berbahagia di akhirat.

Sifat-sifat dan keadaannya adalah di luar ilmu dan pengetahuan  manusia dan jinn kecuali apa yang diwahikan oleh Allah Ta’ala di dalam Al-Quran dan melalui Hadis Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.

Beriman bahawa adanya syurga adalah tingkatan perasaan cinta dan rindu seseorang itu kepada Allah Yang Maha Pencipta sekalian alam ini.

Begitu juga tidak sesiapa pun yang mengetahui sama ada ia akan dimasukkan ke dalam syurga atau tidak kerana seseorang itu dimasukkan ke dalam syurga hanya bergantung kepada semata-mata dengan rahmat Allah Ta’ala sahaja setelah ia beriman dan mengerjakan segala suruhan Allah dan meninggalkan segala laranganNya semasa ia hidup di dunia ini.


TERUNA-TERUNA


Segala nikmat yang disediakan Allah Ta’ala di dalam syurga untuk ahli-ahli syurga tidak dapat diceritakan, mahupun digambarkan sifat-sifatnya dan keadaannya di atas muka bumi ini kerana semua yang ada di dalam syurga itu tidak menyerupai apa yang terdapat di dalam dunia ini.

Allah Ta’ala telah menwahikan melalui firman-firmanNya dan Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam telah bersabda melalui  Hadis-hadis Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam secara bandingan, “parables” dan analogi supaya dapat difahami dan dibayangkan nikmat-nikmat yang disediakan di dalam syurga itu khas untuk ahli-ahli syurga lelaki dan perempuan.

Nikmat-nikmat Allah Ta’ala sediakan bagi  ahli-ahli syurga itu tidak dapat dihitung dan dibilang dan di antara cerita-cerita nikmat yang dikhabarkan ialah mengenai teruna-teruna dan gadis-gadis ahli syurga.

Allah Ta’ala berfirman dalam Surah Al-Waaqi’ah, Ayat 14, Ayat 15, Ayat 16 dan Ayat 17, maksudnya:

“Dan sebilangan kecil dari orang-orang yang datang kemudian.”  Ayat 14,
 Yakni semenjak Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam hingga hari qiamat.

“(Mereka duduk di dalam syurga itu) di atas takhta-takhta kebesaran yang bertatahkan permata;”  Ayat 15

“Sambil bertelegu di atasnya dengan berhadap-hadapan.”  Ayat 16

“Mereka dilayani oleh teruna-teruna yang tetap kekal (dalam keadaan mudanya), yang sentiasa beredar di sekitar mereka,”  Ayat 17

Kebanyakan orang Islam jarang mendengar dan ada di antara mereka yang tidak tahu tentang adanya teruna-teruna yang sentiasa muda dan kacak di dalam syurga.  

Perkara ini berlaku, kerana di antara sebab-sebabnya ialah hal tersebut jarang diceritakan dan disampaikan oleh penceramah-penceramah Agama. 

Apa yang mereka selalu dengar ialah di dalam syurga itu selalu disebut orang, gadis-gadis di dalam syurga itu sebagai “bidadari-bidadari”, sedangkan di dalam syurga Allah Ta’ala ciptakan juga teruna-teruna sebagaimana tersebut di dalam firman Allah Ta’ala dalam Surah Al-Waaqi’ah, Ayat 17 di atas.

Maka dengan Ayat 17 ini terjawablah bahawa di dalam syurga ada terdapat teruna-teruna yang elok dan sentiasa muda, tidak tua, tidak beruban dan tidak berubah rupa; yakni sentiasa segak dan kacak rupanya yang disebut “Wildaanun”.

Oleh itu bagi perempuan-perempuan Islam yang beriman dan beramal soleh dengan rahmat Allah Ta’ala akan ketemu mereka di sana.



PERAWAN-PERAWAN MATA JELI

Bagi lelaki-lelaki Islam yang beriman dan beramal soleh, dengan rahmat Allah Ta’ala, ia akan dijodohkan dengan gadis-gadis perawan “bidadari-bidadari” yang jelita dan rupawan sebagaimana tersebut dalam firman Allah Ta’ala dalam Surah Al-Waaqi’ah, Ayat 22 dan Ayat 23, maksudnya:

“Dan (mereka dilayani) gadis-gadis yang bermata jeli.”  Ayat 22 

“Laksana mutiara yang tersimpan (terjaga) dengan sebaik-baiknya.”  Ayat 23

 Yakni, mereka seolah-olah mutiara yang basah dalam warna (kulit)nya yang putih bersih, sebagaimana yang disebutkan di dalam firman Allah Ta’ala dalam Surah As-Saaffaat, Ayat 49, maksudnya:

“Seakan-akan mereka adalah telur (burung unta) yang tersimpan dengan baik.”  Ayat 49

Firman Allah Ta’ala dalam Surah Al-Waaqi’ah, Ayat 24, maksudnya:

“(Semuanya itu) sebagai balasan bagi (amal-amal baik) yang mereka telah kerjakan.”  Ayat 24

Dan, Allah Ta’ala berfirman dalam Surah Ar-Ruum, Ayat 60, maksudnya:

“Oleh itu, bersabarlah (Wahai Muhammad), sesungguhnya janji Allah itu benar;  dan janganlah orang-orang yang tidak meyakini apa yang engkau sampaikan itu menjadikan engkau resah gelisah.”  Ayat 60


WALLAHU A’LAMU BISSAWAB.


Hari Jumaat
25 Rejab 1433 Hijriyah
15 Jun 2012