Friday, August 27, 2010

PULUN


BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIIM

Ahlan Wasahlan Ramadhan 1431 Hijriyyah

Rata-rata orang-orang Islam menyambut kedatangan Ramadhan setiap tahun dengan penuh kegembiraan kerana dalam bulan yang berkat itulah mereka dapat menunaikan segala amal ibadat dan bermunajat kepada Allah Subhanahu Wa Ta’alaa dengan sebaik-baiknya.

Dalam bulan Ramadhan juga terdapat satu malam yang dinamakan Lailatulqadar. Amal ibadat yang dikerjakan pada malam Lailatulqadar yang mulia itu lebih besar pahalanya daripada amal ibadat yang dikerjakan pada seribu bulan yang lain. Peluang yang bertuah itu datang hanya sekali setahun sahaja mengikut taqwim hijriyyah.

Ramadhan pasti datang dari tahun ke tahun sama ada orang-orang Islam menunggu untuk menyambutnya atau tidak. Ramadan tetap tiba dengan membawa rahmat dan keberkatan dan pasti pergi dengan membawa segala amalan soleh orang-orang mukminin.

Dengan setiap kali perginya Ramadhan, terdapat sesetengah orang-orang mukminin yang sedih dan menyesal kerana mereka merasai bahawa mereka tidak sempat melakukan amal ibadat yang secukupnya atas sebab-sebab halangan tertentu atau dengan sebab-sebab keuzuran syari’e yang tak dapat dielakkan.

Jika terdapat di antara orang-orang Islam yang sengaja mengelakkan atau sengaja melengah-lengahkan untuk melakukan amal ibadat kepada Allah Subhanahu Wa Ta’alaa atas sebab-sebab peribadi yang diada-adakannya sendiri dan mereka mengharap akan dapat melakukannya dalam bulan Ramadhan pada tahun-tahun yang akan datang maka ianya mungkin menjadi kenyataan dan beruntung.

Sebaliknya adalah tersangat malang dan tersangat rugi bagi mereka, jika Ramadhan yang datang pada masa hadapan itu tanpa kehadiran diri mereka lagi.

Justeru itu, mudah-mudahan kita sama-sama PULUN mengerjakan amal-amal ibadat kepada Allah Subhanahu Wa Ta’alaa dengan sebaik-baiknya dan sesempurnanya yang boleh dalam bulan Ramadhan ini sebelum ianya meninggal pergi.

Wallahu ‘Alamu Bissawab.

Hari Jumaat
17 Ramadhan 1431 Hijriyyah
27 Ogos 2010 Miladiyah