Sunday, September 28, 2008

BULAN-BULAN DI SISI ALLAH SUBHANAHU WA TA'ALA

BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIIM


Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi penyayang, segala puji-pujian bagi Allah pentadbir sekalian alam, selawat dan salam ke atas semulia-mulia nabi dan Rasul iaitu penghulu kami nabi Muhammad s.a.w. dan di atas keluarganya dan para sahabatnya sekalian.

Hilalun anak bulan
Qamarun bulan
Badrun bulan purnama penuh bulan
Bulan di sisi Allah s.w.t. hendaklah dijadikan ingatan

Muharram, Safar, Rabi'ul Awal, Rabi'ul Akhir
Jamadil Awal, Jamadil Akhir
Rejab, Sya'aban, Ramadhan, Syawal
Dzul Qaedah dan Dzul Hijjah genap dua belas bulan

Muharram tiga puluh hari
Safar dua puluh sembilan hari
Rabi'ul Awal tiga puluh hari
Rabi'ul Akhir dua puluh sembilan hari
Jamadil Awal tiga puluh hari
Jamadil Akhir dua puluh sembilan hari
Rejab tiga puluh hari
Sya'aban dua puluh sembilan hari
Ramadhan tiga puluh hari
Syawal dua puluh sembilan hari
Dzul Qaedah tiga puluh hari
Dzul Hijjah dua puluh sembilan hari

Orang Islam di akhir zaman
Sedikit yang tahu sebut bilangan bulan
Bulan-bulan mulia di sisi Allah s.w.t. dilupakan
Milik Allah s.w.t. dibuat ringan, rekaan kafir jadi gunaan

Segan mengguna bulan-bulan Allah dalam sistem pengurusan
Rasa rendah diri tidak bertepatan
Di antara orang Islam ada yang tinggal Allah mencari kemuliaan
Menukar gantikan hidayah Allah dengan kehinaan


Daripada bulan-bulan itu empat dinamakan bulan haram
Rejab, Dzil Qaedah, Dzil Hijjah dan Muharram
Dzil Qaedah, Dzil Hijjah dan Muharram tiga bulan berturutan
Rejab satu bulan berasingan MUDHARUN sebutan

Bulan haram lantaran dinamakan
Iaitu bulan-bulan kebesaran dan kehormatan
Sebesar-besar dosa jika dilakukan di dalamnya kemaksiatan
Amalan soleh pula diberi pahala berganda-ganda besar ganjaran

Bulan Dzul Qaedah bakal haji ke Makkah mula perjalanan
Bulan Dzul Hijjah amalan ibadat haji dilakukan
Bulan Muharram jema'ah haji pulang selesai kewajipan
Bulan Rejab untuk beribadat umrah setengah tahunan

Peperangan dalam bulan-bulan tersebut diharamkan
Jika orang-orang Islam diganggu ceroboh, peperangan diwajibkan
Bunuhlah musyrikin sekalian sebagaimana mereka membunuh kamu tanpa belas kasihan
Sehingga orang-orang Islam terjamin keselamatan hidup dalam keamanan

Allah s.w.t. berfirman, maksudnya:” Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah ialah dua belas bulan dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram. Ketetapan Ad-din yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu di dalamnya, dan perangilah kaum musyrikin itu seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya, dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa.” Surah At-Taubah, Ayat 36.

Daripada Abu Bakrah berkata sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah bersabda, mafhumnya:” Sesungguhnya zaman itu berputar sejak awal waktu Allah menjadikan langit dan bumi. Satu tahun mengandungi dua belas bulan ini, darinya empat bulan haram, tiga dari empat bulan ini berturutan-turutan iaitu Dzul Qaedah, Dzul Hijjah dan Muharram dan satu bulan berasingan ialah Rejab di antara Jamadi dan Sya'aban”.

Hari Ahad
28 Ramadhan 1429 Hijriyyah
28 September, 2008

Monday, September 22, 2008

LEKOK LEKOK SI AIR MATA

BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIIM



Air mata kanak-kanak menitis menangis kerana lapar atau sakit

Air mata budak menitis menangis kerana tak dapat barangan yang dikehendakinya

Air mata teruna dan dara menitis menangis kerana tak dapat berjumpa atau hilang kekasihnya

Air mata dara menitis menangis sedih kerana dipaksa kahwin atau ditinggal kekasihnya

Air mata penuntut menitis menangis kerana amat gembira sudah berjaya atau amat sedih kerana gagal dalam peperiksaan

Air mata ibu bapa menitis menangis kerana gembira melihat wajah anaknya yang baru lahir

Air mata orang menitis menangis kerana kesakitan dan dukacita

Air mata orang menitis menangis kerana sedih terkena tipu

Air mata orang menitis menangis kerana dukacita atas kematian ahli keluarga atau orang yang disayanginya

Air mata penipu menitis menangis buat-buat kerana hendak mendapat simpati daripada orang yang hendak ditipunya

Air mata orang yang pura-pura merajuk menitis menangis kerana hendak mengikat mangsa yang lemah jiwa, lalai, bebal lagi dungu, supaya janji-janji yang dihajatinya dapat dan tercapai

Air mata Nabi Adam a.s. dan Siti Hawa menitis menangis selama kira-kira tiga ratus tahun kerana menyesal atas kesalahan mereka dan bertaubat kepada Allah SWT atas hanya satu dosa yang terlanjur melanggar perintah Allah SWT iaitu memakan buah Khuldi atas hasutan syaitan 'alahi la’natullah.

Allah ‘Azza wa Jalla berfirman: “Kemudian Nabi Adam menerima dari Tuhannya beberapa kalimah (kata-kata pengakuan taubat yang diamalkannya sebagai do’a seperti tersebut dalam Surah Al-‘Araaf, Ayat 23), lalu Allah menerima taubatnya; sesungguhnya Allah, Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani”. Surah Al-Baqarah, Ayat 37.

Do’anya: “Wahai Tuhan kami! Kami telah menganiaya akan diri kami sendiri dan jika Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi”. – Surah Al-A’araf, Ayat 23.

Catitan: Peristiwa ini berlaku sebelum Nabi Adam a.s. menjadi Nabi, kerana seseorang Nabi itu “Ma’sum” ya’ni terpelihara dari melakukan dosa. Menurut setengah ahli tafsir, bahawa Nabi Adam a.s. berbahagia dengan lima perkara iaitu mengakui kesalahan, menyesal akan kesalahan itu, menempelak dirinya sendiri, segera bertaubat, dan tidak berputus asa daripada rahmat Allah.

Sebaliknya Iblis/syaitan telah ditimpa celaka disebabkan lima perkara iaitu ia tidak mengaku salah, tidak menyesal, tidak menempelak dirinya sendiri, enggan bertaubat, dan ia pula berputus asa daripada rahmat Allah.


Hari Isnin
22 Ramadhan 1429 Hijriyyah
22 September 2008

Tuesday, September 16, 2008

MANUSIA BERASAL DARI DIRI YANG SATU

BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIIM


Wahai lelaki yang beriman bani Adam
Engkaulah khalifah selepas Adam
Nenekmu Adam cantik rupa badan
Enam puluh hasta tinggi ragam

Nenekmu dizahirkan berseorangan
Tiada rakan tiada pula kawan
Diletakkan dalam syurga penuh keindahan
Bagai kanak melihat dengan kehairanan

Dilihatnya makhluk tiada yang serupa dengannya
Sayu dan pilu dalam kecantikannya
Sunyi sepi sepanjang waktu dan masa
Rindu di hatinya mula berputik rasa

Nenekmu di syurga setengah hari sahaja
Ukuran masa lima ratus tahun di dunia
Itulah masa manusia wajib kira
Berapa singkat jangka hayat di dunia

Dalam kehairanan nenekmu terlena
Dalam hatinya membawa rindu cinta
Rindu dan cintanya tiada tafsirannya
Rindu dan cintanya hanyut ke mana-mana

Allah Maha mengetahui lagi bijaksana
Segala isi hati dan rahsia di dalam dada
Mengurniakan di sisinya seorang wanita bernama Hawa
Nenekmu takjub melihatnya secantik rupa

Daripada tulang rusuk kiri nenekmu diciptakan Hawa
Dijadikan punca teman akrab lelaki dan wanita
Pasangan hidup sepanjangan di dalam dunia
Dan hidup di akhirat kekal sentosa.

Nenekmu Adam wafat pada hari Jumaat
Waktu tengahari gelincir matahari tersurat
Meninggalkan anak cucu ketika wafat
Empat puluh ribu orang mengikut riwayat.

Umur nenekmu dikurniakan Allah Subhanahu Wa Taala
Sembilan ratus tiga puluh tahun mengikut khilafnya
Atau seribu tahun umurnya Allah yang lebih mengetahuinya
Nenek moyangmu itulah asal usul sekalian manusia.


Allah s.w.t. berfirman: “Wahai sekalian manusia!
Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan
kamu bermula dari diri yang satu (Adam), dan yang
menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (Hawa),
dan juga yang membiakkan dari keduanya zuriat keturunan
lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah
kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan
menyebut-nyebut namaNya, serta peliharalah hubungan
silaturrahim kaum kerabat; kerana sesungguhnya
Allah senantisa memerhati mengawas kamu”.
Surah An-Nisaa, Ayat 1


Hari Sabtu
17 Ramadhan 1429 Hijriyah
17 September 2008

Wednesday, September 10, 2008

HIKMAH ALLAH 'AZZA WA JALLA DALAM PERUBATAN

BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIIM

Islam menggalakkan setiap orang muslim berubat apabila ada penyakit yang dihidapinya.

Hadis-hadis Rasulullah s.a.w. yang mengisyaratkan bagi setiap penyakit pasti ada ubatnya. Sedang ubat tersebut hanya dapat diketahui sebahagian orang, sedang orang lainnya tidak mengetahui. Dan apabila ubat itu sesuai dengan penyakit maka sembuhlah penyakit dengan izin Allah ‘Azza Wa Jalla.

Rasulullah s.a.w. bersabda dikhabarkan dalam sebuah Hadis; “Dari Usamah bin Syuraith, katanya: Rasulullah s.a.w. berada di samping saya, tiba-tiba seorang badwi datang, lalu berkata; “Ya, Rasulullah, apakah kami boleh berubat?” Rasulullah menjawab: “Ya. Wahai para hamba Allah, berubatlah kamu, kerana sesungguhnya Allahu ‘Azza Wa Jalla tidak menurunkan penyakit kecuali Dia turunkan ubatnya. Ubat tersebut dapat diketahui oleh orang-orang yang ‘alim (berpengetahuan), dan tidak diketahui oleh orang-orang jahil (tiada berpengetahuan). ( Dan Rasulullah s.a.w. bersabda: “Apabila ubat sesuai dengan penyakit , sembuhlah penyakit dengan izin Allah ‘Azza Wa Jalla”.)

Bagi muslimin yang diberi Allah ‘Azza Wa Jalla, pengetahuan dan kebolehan dalam sains perubatan, tidak kira dalam bidang mana sekalipun, bangun dan maju untuk membina dan menjaga kesihatan umat Muhammad s.a.w.

Adalah diperhatikan pada masa kini ada di antara pengamal perubatan samada yang diiktiraf atau yang tidak diiktiraf memakai nama “Perubatan Islam” sebagai daya tarikan, sedang perkhidmatan yang diberi di antaranya amat memalukan dari sudut pandangan Islam.

Dalam konteks “Perubatan Islam” yang difahami sekarang ini oleh sesetengah orang, amat terhad kepada suatu sudut yang teramat sempit dan menyempitkan orang lain. Biasanya terdapat apa yang dinamakan “Perubatan Islam” itu khusus kepada jampi serapah samada menggunakan ayat-ayat Al-Quran dan sebagainya yang bercampur aduk dengan mentera-mentera lain yang tidak ada nas-nas yang sahih daripada Hadis-hadis Rasulullah s.a.w. Ada juga terdapat pengamal perubatan itu menggunakan akar-akar kayu, herba-herba dan sebagainya yang pemperosesannya tidak teratur, kotor dan bahan-bahan itu telah menjadi rosak yang mana tidak ada nilai-nilai khasiatnya lagi.

Ada setengah daripada pengamal kononnya “Perubatan Islam” yang mendakwa bahawa mereka mampu memberi khabar baik buruk seseorang pesakit serta tahu rahsia-rahsia ghaib dan kejadian-kejadian yang akan berlaku di hari muka, melalui tenung, ramal,sihir, dan sebagainya lagi. Tersebut dalam kitab “Al-Sunan ”, orang-orang seperti ini diketahui sebagai Kahin dan ‘Araf. Perbuatan mereka itu adalah merupakan syirik belaka.

Allah ‘Azza Wa Jalla berfirman:” Mahukah, Aku khabarkan kepada kamu, kepada siapakah Syaitan-syaitan itu selalu turun?” Surah Asy-Syu’araa’ Ayat 221.
(Yakni sebenarnya Syaitan-syaitan itu turun kepada golongan pendusta yang berdosa – pawang-pawang dan ahli sihir yang mendakwa mengetahui perkara-perkara yang ghaib ; bukan kepada Nabi-nabi atau orang-orang yang mewarisinya).

Allah ‘Azza Wa Jalla berfirman : “Mereka selalu turun kepada tiap-tiap pendusta yang berdosa,” Surah Asy-Syu’araa’ Ayat 222.

Allah ‘Azza Wa Jalla berfirman: “ Yang mendengar bersungguh-sungguh (apa yang disampaikan oleh Syaitan-syaitan itu), sedang kebanyakan beritanya adalah dusta”.
Surah Asy-Syu’araa’, Ayat 223.

Sebagaimana disebutkan pada awalan tadi bahawa dalam Islam, semua bidang perubatan sekalian alam ini semuanya adalah daripada hikmah Allah ‘Azza Wa Jalla.

Perkara yang wajib dijaga ialah tentang pengurusan perubatan itu mengikut ciri-ciri keIslaman, seperti pengurusan tempat tinggal pesakit lelaki dan perempuan, tempat dan proses penyediaan makanan dan minuman dan perkara-perkara yang ada hubungkait dengannya. Ianya hendaklah mengikut dan sesuai dengan batasan-batasan hukum; Wajib, Haram, Sunat, Makruh dan Harus, perlu diletakkan pada tempatnya yang benar lagi betul.

Perubatan Islam itu bukan kata-kata, saduran-saduran, pameran-pameran, iklan-iklan yang cantik di luaran semata-mata. Perubatan Islam hendaklah diamalkan dengan ilmu dan pengetahuan, mengikut prosedur-prosedur yang telah sedia ada dan ditetapkan dalam Islam yang mana nilainya tinggi di dunia dan akhirat.

Hari Khamis
4 Ramadhan 1429 Hijriyah
4 September 2008

Wednesday, September 3, 2008

PESANAN RINGKAS TERBUKA SEMASA

BISMILLAH AR-RAHMAAN AR-RAHIIM

Untuk mengelak dan menjauhkan daripada orang-orang yang mempermain-mainkan kata-kata, hukum-hukum dalam Islam bukan sahaja oleh orang-orang bukan Islam tetapi juga oleh setengah-setengah orang melayu Islam sendiri, hendaklah kita memerhatikan akhlak dan penghayatan hidupnya. Orang-orang yang memperolok-olokan Al-Quran dan Hadis Nabi s.a.w. adalah sebenarnya terdiri daripada mereka yang tidak mengamalkan Islam sepenuh dalam kehidupannya.

HarakahDaily bertarikh 2 September, 2008, melaporkan bahawa Ketua Menteri, Pulau Pinang yang bukan Islam semasa berucap, disebut telah memberi ucapan yang berbunyi diantara lain-lain “Hanya Amar Makruf Nahi Munkar sebagai jalan terbaik untuk atasi gejala maruah di negara kita ini”.
Amar makruf nahi munkar adalah dipetik daripada Firman Allah S.W.T. :
“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik, dan melarang daripada perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)”.
Surah Aali-Imran Ayat 110. (Lihat juga Ayat 104 Surah yang sama).

Amar makruf nahi munkar tidak boleh sekali-sekali disama taraf atau disama nilai dengan erti buat baik dan mencegah keburukan mengikut fahaman dan nilai-nilai agama yang lain daripada Islam.

Terdapat sebahagian daripada orang-orang Islam pula menerima ucapan-ucapan orang-orang bukan Islam atau munafik yang mengguna sedutan-sedutan daripada Al-Quran dan Hadis Nabi S.A.W. serta terpesona dengannya tanpa mengambil tahu dan melihat diri siapa yang bercakap itu.

Kita tidak boleh mengandai samada orang yang bukan Islam yang mengguna Ayat-ayat Al-Quran dan Hadis Nabi S.A.W. itu akan memeluk Islam atau tidak. Sebaliknya kita orang-orang Islam yang beriman diajar untuk memerhati dan melihat kepada budi pekerti dan akhlaknya dalam kehidupan biasanya supaya kita tidak terkeliru dan tertipu.
Ingatlah bahawa Hidayah Islam itu adalah dalam urusan Allah ‘Azza Wa Jalla sahaja. Tidak ada sesiapa yang boleh memberi hidayah Islam kepada manusia walaupun dari kalangan rasul-rasul atau nabi-nabi atau ulama-ulama atau ustaz-ustaz dan sebagainya.


Allah S.W.T. berfirman: "Dan di antara manusia ada yang berkata; “Kami telah beriman kepada Allah dan kepada hari akhirat”, pada hal mereka sebenarnya tidak beriman (Orang-orang bermuka dua, perkataanya tidak menggambarkan apa yang ada di dalam hatinya, itulah sifat orang-orang yang munafik. Golongan seperti ini terdapat pada bila-bila masa, dan mereka adalah dari golongan orang-orang yang dikutuk dan dimurkai Allah)".
Surah Al-Baqarah, Ayat 8.

Allah S.W.T. berfirman lagi: "Mereka hendak memperdayakan Allah dan orang-orang yang beriman, pada hal mereka hanya memperdaya dirinya sendiri, sedang mereka tidak menyedarinya".
Surah Al-Baqarah, Ayat 9.

Allah S.W.T. berfirman: "Di dalam hati mereka terdapat penyakit, maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka, dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dengan sebab mereka dusta".
Surah Al-Baqarah, Ayat 10.

Allah S.W.T. berfirman: "Dan apabila dikatakan kepada mereka; “Janganlah kamu membuat bencana dan kerosakan di muka bumi”, mereka menjawab, “Sesungguhnya kami orang-orang yang hanya membuat kebaikan”.
Surah Al-Baqarah, Ayat 11.

Allah S.W.T. berfirman: "Ketahuilah! Bahawa sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang sebenar-benarnya membuat bencana dan kerosakan, tetapi mereka tidak menyedarinya".
Surah Al-Baqarah, Ayat 12.

Hari Rabu
3 Ramadhan 1429 Hijriyyah
3 September 2008