Wednesday, December 9, 2009

PAIP AIR PECAH


BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIIM

ASTRO

Di NOSO, pada hari Isnin, 1 haribulan Disember 2009, kami menyambut hari lahir Amiir, genap dua tahun. NOSO ialah nama rumah keluargaku sekarang.

Pada siang hari itu, kami adakan rihlah keluarga dalam kawasan pagar rumah serta membaca doa selamat untuk mendapat keberkatan Allah Subhanahu Wata’alaa.

Tujuan kami ialah untuk bersukaria dan menikmati makan siang di laman rumah.

Daripada pagi sampai ke malam kecuali masa tidur, kaca TV di rumah NOSO seolah-olah berputar-putar disebabkan pertukaran “channel” sering berlaku.

Ada sahaja yang menekan butang “channel” “remote control” dan sekejap lagi ada pula yang menukar ke “channel” yang lain.

Begitulah yang berlaku kerana hendak mencari “channel-channel” yang menayangkan gambar yang baru tetapi kebanyakan cerita-cerita yang di tayangkan oleh Astro, sama ada sinema, komedi, kartun dan apa-apa lain lagi adalah ulang tayangan.

Budak-budak zaman sekarang lain daripada zaman aku semasa kanak-kanak dulu waktu zaman Jepun tahun 1940, tak ada televisyen atau radio.

WAYANG KULIT DAN MAKYONG

Aku masih ingat, pada masa itu aku selalu ikut kawan-kawan pergi tengok wayang kulit. Biasanya cerita Sri Rama dan Sita Devi bersama Sang Hanuman.

Bagiku, sekali sekala terhibur juga dengan pertunjukan itu. Adakala aku tertidur kerana sebenarnya aku tak begitu minat tapi kerana ajakan kawan-kawan, aku ikut juga.

Selain daripada itu aku juga diajak menonton Makyong. Makyong itulah yang amat aku tak suka. Dalam pertunjukan Makyong, kebanyakan pelakon-pelakonnya tua-tua belaka macam datuk-datuk.

Pakaian-pakaian mereka berwarna warni serta muka mereka diconteng tebal-tebal dengan alat kosmetik bagi menyelindungi muka mereka yang hodoh berkedut itu. Namun begitu aku nampak ramai juga orang-orang muda lelaki atau perempuan yang tergila-gila dengan anak (pelakon) Makyong itu.

CERITA KOREA

Dalam masa aku mengelamun imbasan masa zaman kanak-kanak aku itu, aku terhenti bila mendengar suara bising. Rupa-rupanya ada yang sedang berebut-rebut “remote control” Astro kerana pada masa itu cerita Korea sedang ditayangkan.

Bagi yang bersekolah asrama, mereka jarang dapat menonton Astro kerana tayangan-tayangan gambar di kaca televisyen itu kurang memberi manafaat. Ini membuat minda mereka suci daripada pencemaran-pencemaran nilai-nilai yang dibawa oleh orang-orang kafir (Yahudi dan Nasrani [Kristian]).

Tayangan-tayangan gambar yang mempamerkan babak berpeluk-pelukan, bercium-ciuman, pendedahan aurat dan pergaulan bebas di antara lelaki dan perempuan.

Menonjol-nonjolkan karakter anjing dan babi dalam siri-siri kartun di samping aksi-aksi ganas yang melampau seperti memecah barangan dan pergaduhan yang tidak ada kesudahan.

AIR TAK ADA

Selepas solat Maghrib, kami duduk makan ‘asya iaitu makan malam yang diikuti dengan hidangan kek , ais krim dan buah-buahan yang selalu disebut sebagai pencuci mulut. Kadang-kadang terasa anih juga penggunaan perkataan “pencuci mulut”.

Setelah selesai makan dan bacaan doa kesyukuran dengan memuji Allah Subhanahu Wata’alaa kerana telah memberi kami makan dan minum dan menjadikan kami orang-orang Islam.

Arsy, Sofi, Malia dan Ir bergotong royong mengangkat pinggan-pinggan ke dapur untuk dibasuh oleh Sofi. Malam ini, Sofi dengan sukarela mengambil tugasan membasuh pinggan.

Sekonyong-konyong terdengar suara Sofi berkata: “Air tak ada!”.

Kami semua terkejut dan kehairanan. Semua terdiam. Mungkin menunggu penjelasan daripada Sofi seterusnya. Sofi juga diam.

Aku masuk ke dapur untuk melihat apa yang terjadi sebenarnya.

Memang benar air tak ada.

Aku terdiam kecemasan. Fikiranku mula mencari-cari sebab mengapa tiba-tiba air tak ada.

Aku bergegas keluar rumah untuk melihat kalau-kalau meter air tertutup atau paip besar di luar pecah.

Di kawasan taman perumahan ini dulu selalu paip air pecah kerana paipnya di bawah tanah dan kecil pula saiznya. Aku diberitahu bahawa paip-paip tersebut sudah lama dan kecil pula jadi tidak dapat menahan tekanan air yang kuat.

CEMAS

Sebelum aku dapat kepastian apakah yang menyebabkan air di rumahku tak ada. Mungkinkah rumah-rumah dalam taman perumahan yang sama juga tidak ada air?

Dalam masa mencari-cari jawaban itu, fikiranku mula menjelajah keluar lebih jauh daripada taman yang aku tinggal sekarang ini. Menjelajah hingga ke Iraq, Pakistan, Afghanistan, dan Gaza di Palestin.

Jika aku yang baru sebentar tadi tak ada air, sudah menjadi resah dan gelisah; bagaimana pula saudara-saudara Islam di negara-negara yang mengalami bertahun-tahun keadaan kezaliman tentera-tentera kafir yang menceroboh negara-negara tersebut?

Renungkanlah bagaimana negara Afghanistan telah dicerobohi dan diduduki tentera-tentera asing kurang lebih delapan belas tahun. Sepuluh tahun diduduki tentera Russia dan delapan tahun diduduki pula oleh tentera Amerika dan NATO dari Eropah.

Pengeboman berlaku di sana sini, ramai yang mati; kanak-kanak, wanita dan lelaki. Berapa ramai kanak-kanak menjadi yatim, isteri-isteri menjadi janda, suami kehilangan anak dan isteri.

Bagi yang masih hidup hilang segalanya; harta benda, tempat tinggal dan rumahtangga.

Semua angkara itu dilakukan oleh orang kafir dan juga orang-orang yang mengaku diri mereka Islam tetapi munafik talam dua muka. Orang-orang talam dua muka ini pun telah ada semenjak dari zaman Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam. Mereka bersolat di belakang Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.

Mereka juga mendirikan masjid, mengadakan pembangunan dan kemajuan-kemajuan fizikal yang nampak menarik kepada orang-orang mencintainya.

Ketua munafik tersebut pada zaman Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, namanya ialah Abdullah bin Ubay.

Di hadapan orang-orang mukmin mereka mengaku sebagai orang-orang yang beriman, kononnya jaguh memperjuangkan kebebasan negara, bangsa dan agama. Pada waktu yang lain pula orang-orang munafik itu pergi kepada sekutu-sekutu kafirnya menyatakan yang mereka itu hanya memperbodoh-bodohkan orang-orang yang beriman.

Orang-orang munafik itu sanggup mengajak tentera-tentera kafir datang membunuh kaum-kaum bangsanya sendiri dengan alasan menghapuskan pengganas “terrorist”. Hakikat sebenarnya orang-orang munafik itu tak lain dan tak bukan ialah untuk mendapat kuasa pemerintahan dengan bantuan tentera-tentera kafir.

PENGGANAS SEBENAR

Aku mula membandingkan keadaan di rumahku yang tidak ada air dengan orang-orang yang ditindas dengan kezaliman. Sudah tentu mereka itu lebih menderita dan lebih susah lagi berbanding dengan apa yang aku sedang alami sekarang.

Mereka kekurangan makanan, pakaian, dan serba keperluan harian mereka. Kehidupan mereka tidak dapat mereka uruskan dengan baik bertahun-tahun lamanya.

Ladang-ladang poppy, jagung dan lain tanaman yang menjadi mata pencarian orang-orang yang ditindas itu dimusnahkan oleh penceroboh kafir dan orang-orang munafik yang zalim lagi ganas itu. Tujuan mereka semata-mata untuk melemahkan kehidupan dan ekonomi orang-orang Islam yang beriman.

Dalam keadaan kebanyakan daripada rakyat negara itu menjadi susah dan miskin, orang-orang munafik bersenang lenang tinggal dalam istana presiden dan menteri-menteri menjadi kaya raya. Mereka duduk makan malam, minum teh dengan pemimpin-pemimpin dunia kafir di White House, German, Brussel dan lain-lain tempat lagi.

TERMENUNG

Balik kepada keadaan rumahku yang tidak ada air, rupa-rupanya paip yang diletak alat penapisan air menyembur keluar air. Bila aku perhatikan dengan lebih dekat, aku dapati alat penapis air itu telah pun pecah mengakibatkan rumahku tidak berair.

Aku terus menutup kepala paip meter di luar kawasan rumah untuk mengelakkan air daripada memancut terus keluar begitu sahaja.

Aku mula memikirkan bagaimana keadaan kami malam itu dan esok harinya, apabila air tangki di atas bumbung rumah juga kehabisan nanti? Bagaimana hendak mandi, bersuci, berwuduk dan juga keperluan yang lain-lain lagi?

AIR TANGKI KEHABISAN SELEPAS SOLAT SUBUH

Alhamdulillah, esok paginya kami semua dapat menunaikan solat subuh barulah kehabisan air tangki.

Kurang lebih pukul delapan aku hidupkan kereta terus ke kedai cina penjual “hardware” menanyakan alat penapis air.

Cina itu belum pun menjawab pertanyaanku, sebaliknya dia bertanyakan aku bagaimana alat penapis air itu boleh pecah. Aku kehairanan dengan pertanyaan itu sedangkan aku sendiri tidak tahu bagaimana alat itu boleh pecah.

TIDAK ADA KEDAI HARDWARE MELAYU

Ini bukan kali pertama aku bertanya-tanyakan diriku sendiri; mengapa setelah lima puluh dua tahun Malaysia mencapai kemerdekaan, belum ada orang-orang Melayu yang dapat membuka kedai hardware mereka sendiri. Atau sekurang-kurangnya membuka kedai menjual paip-paip serta peralatan kelengkapan kerja-kerja air untuk kemudahan pengguna-pengguna di luar bandar.

Aku pernah mendengar pemimpin-pemimpin negara mungucapkan kata-kata gerak semangat kepada rakyat di antaranya: “ Kita orang-orang Melayu perlu ada kuasa politik dan mempertahankan kedudukan ketuanan Melayu” .

Mantan Perdana Menteri Mahathir Mohamed pernah menyebut: “Kita orang-orang Melayu perlu berniaga secara “Ali Baba” iaitu berkongsi dengan bangsa asing khususnya taikun-taikun cina supaya dapat kita belajar selok belok perniagaan.”

Tambahnya lagi: “ Malaysia ini jika tidak ada orang cina, maka tak ada perniagaan dapat dijalankan.”

NYANYIAN YANG TAK DAPATKU LUPAKAN

Akhirnya aku ke Batang Kali, bandar kecil dalam daerah Hulu Selangor. Di sana ada sebuah kedai hardware kepunyaan cina yang terbesar bagi seluruh daerah ini.

Di situ aku dapat beli alat penapis air yang sama jenama dengan harga 34 ringgit.

Setelah aku pasang alat penapis yang baru itu, maka teringatlah aku akan nyanyian yang didendangkan oleh kanak-kanak anak orang Melayu di luar bandar. Lagu nyanyian itu memikat hatiku kerana susunan seni katanya amat mudah serta dalam ertinya.

Seni katanya berbunyi seperti berikut:

BUAI LAJU-LAJU

SAMPAI KE PUCUK SENA

BELI BAJU BARU

DI KEDAI CINA



Hari Rabu

22 Dzil Hijjah 1430 Hijriyah

9 Disember 2009