Friday, February 28, 2014

SOMBONG DAN BAKHIL TIDAK BERSOLAWAT

BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIIM


SIAPA ORANGNYA?

Saban hari siang dan malam, terdapat  ramai penceramah-penceramah Agama Islam yang ralit dan terlalu ghairah ketika berceramah apabila ada pendengar-pendengar dan penonton-penonton bergelak ketawa semasa mendengar ceramah mereka.

Mereka bukan sahaja ralit ketika berceramah tetapi juga sombong dan bakhil hendak mengucapkan Solawat dan Salam ke atas Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam setiap kali mereka menyebut nama Baginda Rasul Sallallahu ‘Alahi Wasallam atau ganti nama Baginda.

Ada penceramah-penceramah Agama Islam menyebut nama Baginda Rasul Sallallahu ‘Alaihi Wasallam Muhammad, Ahmad dan lain-lain nama tanpa  Solawat, maka sebutan nama yang tidak ada Solawat, ianya bukan ditujukan kepada Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam kerana terdapat ramai manusia yang bernama Muhammad atau Ahmad, samada yang masih hidup ataupun yang telah mati.

Begitu juga terdapat ramai daripada orang-orang Islam yang jahil, yang jarang-jarang atau sambil lewa bersolawat ke atas Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.


ADA TIPU MUSLIHAT

Adapun bagi pembawa-pembawa ajaran politik fahaman Wahabi/Salafi yang amat taksub kepada pemimpin  mereka iaitu Muhammad bin Abdul Wahab (1703 – 1792), dan begitu juga pengikut-pengikut fahaman Ahmadiyah yang dibawa oleh Mirza Ahmad Qadiani (1835 – 1908), sering kali mereka tidak bersolawat ke atas Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam tatkala mereka menyebut nama atau ganti nama Baginda Rasul Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, atau pada masa-masa yang disebut nama atau ganti nama Baginda Rasul Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, kecuali solawat mereka itu bagi tujuan tipu muslihat  semata-mata.


SOLAWAT ADALAH PERINTAH ALLAH SUBHANAHU WATA’ALA

Solawat dan Salam ke atas Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam adalah perintah Allah Ta’ala ke atas semua orang-orang yang beriman.  Oleh itu mana-mana orang yang beriman yang tidak melaksanakan perintah tersebut adalah melanggar perintah Allah Ta’ala.

Allah Ta’ala berfirman dalam Surah Al-Ahzaab, Ayat 56, maksudnya:

“Sesungguhnya ALLAH dan malaikatNya bersolawat kepada Nabi (Muhammad Sallallahu ‘Alahi Wasallam); wahai orang-orang yang beriman, bersolawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.”  Ayat 56


CELAKA ORANG YANG TIDAK BERSOLAWAT

Diriwayatkan dari Anas radhiAllahu ‘anh, ketika Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam naik ke atas mimbar, Baginda mengucapkan: “Amiin, Amiin, Amiin.”  Maka ada yang bertanya: “Apakah yang engkau aminkan, ya Rasulullah?”  Baginda bersabda:

“Aku telah didatangi oleh Jibril a.s., dia berkata: “Wahai Muhammad, sangat hina orang yang namamu disebutkan di sisinya, namun ia tidak mengucapkan solawat kepadamu, ucapkanlah: “Amiin (semoga Allah mengabulkan)!”  Maka aku pun mengucapkannya.
 
Lalu Jibril a.s. kembali lagi: “Sangat hina orang yang bertemu dengan bulan Ramadhan (hingga hari terakhir), namun tidak ada ampunan baginya, ucapkanlah: “Amiin!”  Maka aku pun mengucapkannya. 

Kemudian Jibril a.s. berkata lagi: “Sangat hina seseorang yang sempat menemui kedua orang tuanya (ketika masih hidup) atau salah satu di antara keduanya (masih hidup), namun keduanya tidak menyebabkannya masuk syurga, ucapkanlah: “Amiin!”  Maka aku pun mengucapkannya.”  At-Tirmidzi


FADHILAT-FADHILAT SOLAWAT 

Terdapat beberapa Hadis-hadis yang menyebutkan fadhilat-fadhilat dan faedah-faedah  bagi sesiapa yang bersolawat kepada Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, di antaranya:

1.      Berganda-ganda rahmat yang dilimpahkan Allah kepadanya.  Rahmat Allah adalah satu perkara yang sangat-sangat dikehendakki dan yang sungguh-sungguh dipohon oleh tiap-tiap orang yang beriman, kerana sebarang nikmat, ilmu pengetahuan, anak pinak, harta benda, pengaruh dan kebesaran, kalau tidak disertai oleh rahmat Allah akan menjadi bala bencana. 

Oleh sebab itu Allah memerintah  orang-orang yang beriman bergembira dengan rahmat kasih sayangNya sahaja.

2.      Tempat-tempat yang berdekatan dengan Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam pada hari qiamat kelak di mana sahaja Baginda berada.

3.      Keutamaan beroleh syafa’at yang khas dari Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam pada hari qiamat.

4.      Doa Solawat malaikat yang sentiasa bersolawat kepadanya selama ia bersolawat kepada Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.

5.      Jaminan terpeliharanya dan terselamatnya daripada segala apa yang mendukacitakannya dan yang membimbangkannya dari perkara-perkara dunia dan akhirat.

6.      Habuan yang menyelamatkan dia daripada ditimpa keburukan yang menimpa orang yang tidak bersolawat kepada Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.

Berikut adalah beberapa Hadis rujukan:

1.  “Dari Abi Hurairah radhiAllahu ‘anh, bahawa Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda:

“Sesiapa yang bersolawat kepadaku sekali solawat, nescaya Allah limpahkan sepuluh rahmat kepadanya dengan sebab sekali solawat itu.” – Muslim, Tirmidzi, Abu Daud, Nasai, Imam Ahmad dan Ibn Habban.”

2.  “Dari Anas radhiAllahu ‘anh, bahawa Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda:

“Sesungguhnya orang yang lebih hampir kepadaku  dari kalangan kamu pada hari qiamat pada setiap tempat yang aku berada padanya ialah orang yang lebih banyak solawatnya kepadaku di dunia.” – AlBaihaqi.”

3.  “Dari Ibn Mas’ud radhiAllahu ‘anh, bahawa Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda:

“Orang yang lebih berhak mendapat syafa’atku pada hari qiamat ialah orang yang lebih banyak solawatnya kepadaku.” – AtTarmidzi.”

4  “Dari ‘Amir bin Rabi’ah radhiAllahu ‘anh, bahawa Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda:

“Sesiapa yang bersolawat kepadaku dengan sesuatu Solawat, sentiasalah malaikat berdoa untuknya selama ia bersolawat kepadaku; oleh itu terpulanglah kepada seseorang samada ia hendak bersolawat sedikit atau banyak.” – Imam Ahmad dan Ibn Majah.”

5.  “Dari Ubai bin Ka’b radhiAllahu ‘anh, katanya:

“Ya Rasulullah!  Aku banyak menggunakan masa berdoa memohon rahmat untuk diriku, sekarang aku hendak untukkan masa bersolawat bagi tuan, maka sebanyak mana yang elok aku untukkan? 

Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: Sekadar mana yang engkau suka”;  

Aku berkata: “Aku hendak untukkan sesuku dari masaku”;

Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda; “Sekadar mana yang engkau suka dan jika engkau lebihkan lagi, maka itu lebih baik untukmu”; 

Aku berkata: “Kalau begitu aku untukkan setengah dari  masaku”;

Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda:  “Suka hatimulah, dan jika engkau lebihkan lagi, maka itu  lebih baik untukmu”;

Aku berkata: “Kalau demikian, aku untukkan dua pertiga dari masaku”;

Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: Suka hatimulah, dan jika engkau lebihkan lagi, maka itu lebih baik untukmu”;

Aku berkata: “(kalau begitu) aku jadikan masa berdoaku semuanya untuk bersolawat kepada tuan”;

Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: “Jika demikian, terpeliharalah dan terselamatlah engkau dari apa  yang mendukacitakan dan membimbangkanmu, samada perkara dunia mahupun perkara akhirat, dan diampunkan dosamu.” – AtTirmidzi, Imam Ahmad, AlHakam.”



Hari Jumaat
28 Rabi’ulAkhir 1435 Hijriyah
28 Februari 2014