Friday, May 24, 2013

ZALIM



PERKATAAN “ZALIM” DALAM AL-QURAN

Terdapat dalam 58 Surah di dalam Al-Quran Al-Kariim sebanyak 227 perkataan “zalim” yang bermaksud orang-orang yang tidak ta’at atau melanggar perintah Allah atau kufur kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala, maka orang-orang itu adalah orang-orang yang zalim dan akan diseksa dengan azab di dunia dan di akhirat.


FAHAMAN ORANG MELAYU

Perkataan “zalim” itu bagi kebanyakan orang-orang Melayu memahaminya sebagai perbuatan jahat yakni merampas, merompak, membunuh, merogol, tidak berlaku adil, menipu dan lain-lain perbuatan tidak berperikemanusiaan.  Maka perkataan “zalim” itu diguna dan difahami di dalam konteks tersebut.


ORANG-ORANG YANG “ZALIM”

Terdapat pemimpin-pemimpin negara-negara orang-orang Islam yang telah diberi ingat dan diperintahkan supaya melaksanakan hukum-hukum dan perintah Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan RasulNya, mereka tetap terus ingkar dan kufur, maka mereka itu adalah sama seperti pemimpin-pemimpin negara-negara orang-orang kafir. 

Pemimpin-pemimpin negara-negara orang-orang Islam yang enggan melaksanakan hukum-hukum dan perintah Allah Ta’ala adalah sama dan jatuh dalam kategori orang-orang yang “zalim”.

Sepertimana firman Allah Ta’ala dalam Surah Al-Maa’idah, Ayat 45, yang bermaksud:

“Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah ORANG-ORANG YANG ZALIM.”  Ayat 45

Dari dahulu lagi, terdapat ramai ulamak-ulamak “ su’ ” (jahat) yang berkepentingan  duniawi semata-semata, menafsir dan menyampaikan ceramah-ceramah bahawa mana-mana pemimpin sesebuah kerajaan yang menyediakan pembangunan ekonomi dan infrastruktur untuk menaiktarafkan kemudahan dan kesenangan rakyatnya demi untuk memakmurkan negara, tidak berlaku zalim.

Biarpun terdapat masjid-masjid yang besar dan indah, sekolah-sekolah agama Islam, Universiti Islam, institut pengajian Al-Quran, mengadakan perbankan Islam, menyediakan urusan Haji dan Umrah dan lain-lain lagi, jika tidak melaksanakan hukum-hukum dan perintah Allah Ta’ala, maka pemimpin-pemimpin negara-negara orang-orang Islam sama sahaja dengan pemimpin-pemimpin negara-negara orang-orang kafir, melakukan kezaliman.


SAMA SAHAJA

Kemudahan-kemudahan yang  tersebut juga, diberikan kepada orang-orang Islam yang bermastautin di negara-negara orang-orang kafir seperti di Eropah, Rusia, Amerika Syarikat, Amerika Selatan, Kanada, dan lain-lain negara kafir.  Di sana terdapat masjid-masjid yang besar dan indah, sekolah-sekolah agama Islam, kemudahan menunaikan Fardhu Haji dan Umrah, berpuasa dan lain-lain urusan mengenai hal ehwal agama Islam, mengikut keperluan jumlah penduduk Islam setempat.

Justeru itu, maka kehidupan orang-orang Islam dalam negara-negara orang-orang Islam dan kehidupan orang-orang Islam dalam negara-negara orang-orang kafir adalah sama kerana pemimpin-pemimpin negara-negara orang-orang Islam dan pemimpin negara-negara orang-orang kafir itu, sama-sama mengadakan kemudahan-kemudahan bagi orang-orang Islam menunaikan ibadat dan menjalani kehidupan seharian.


HUKUM-HUKUM JAHILIYAH

Begitu juga, dari segi penggunaan hukum-hukum “undang-undang”, negara-negara orang-orang kafir menggunakan hukum-hukum jahiliyah rekaan manusia, sama sahaja dengan negara-negara orang-orang Islam yang juga menggunakan hukum-hukum jahiliyah rekaan manusia; walaupun pemimpin-pemimpinnya terdiri daripada orang-orang Islam, termasuk mufti, kadi dan penjawat-penjawat Agama Islam yang diberi amanah dan kuasa untuk mentadbirkan hal ehwal Agama Islam yakni Agama Tauhid, Agama Allah Tuhan sekalian ‘alam Jinn dan Manusia.

Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman dalam Surah Al-Baqarah, Ayat 152, maksudnya:

“Oleh itu, ingatlah kamu kepadaKu (Allah) (dengan mematuhi hukum dan undang-undangKu (Allah)), supaya Aku (Allah) membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepadaKu (Allah) dan janganlah kamu kufur.” Ayat 152

Dan, Allah Ta’ala berfirman dalam Surah Al-Maa’idah, Ayat 50, maksudnya:

“Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum Jahiliyah?  Padahal - kepada orang-orang yang penuh keyaqinan - tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih baik daripada Allah.”  Ayat 50



Hari Jumaat
14 Rejab 1434 Hijriyah
24 Mei 2013

Friday, May 17, 2013

JUMA'AT HARI BESAR UMAT ISLAM


 

BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIM

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman dalam Surah Al-Jumu’ah, Ayat 9, maksudnya:

“Wahai orang-orang yang beriman!  Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan solat pada hari Juma’at, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan solat Juma’at) dan tinggalkanlah berjual beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jka kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).”  Ayat 9   


KELEBIHAN HARI JUMA’AT DALAM ISLAM

Terdapat banyak Hadis-hadis Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam yang menyebut tentang kelebihan Hari Juma’at, di antaranya ialah:

Dari Abu Hurairah radhiallahu ‘anh, katanya Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda:

“Kita (Umat Muhammad), adalah yang terakhir (datang ke dunia), tetapi yang terdahulu (diadili) pada hari kiamat. 

Kita adalah yang paling dahulu masuk syurga, padahal mereka diberi kitab lebih dahulu dari kita, sedangkan kita sesudah mereka.

Kita diberikan petunjuk oleh Allah akan kebenaran yang mereka perselisihkan itu, yang Allah telah tunjukkan kepada kita, iaitu hari Juma’at. 

Maka hari ini (Juma’at) adalah untuk kita.

Besok (Sabtu) untuk kaum Yahudi, dan

Lusa (Ahad) untuk kaum Nasrani.”  Muslim 


Dari Hudzaifah radhiallahu ‘anh, katanya Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda:

“Allah Subhanahu wa Ta’ala menyesatkan orang-orang yang sebelum kita (umat Muhammad) tentang hari berkumpul (Juma’at, atau hari besar).

Bagi orang Yahudi jatuhnya pada hari Sabtu, dan bagi orang Nasrani jatuhnya pada hari Ahad.

Lalu Allah menunjuki kita, iaitu pada hari Juma’at.  Kerana itu terjadilah  berturut-turut tiga hari berkumpul (hari besar), iaitu Juma’at, Sabtu dan Ahad.

Hari kiamat kelak, mereka pun mengikuti kita (umat Muhammad) juga.  Kita yang terakhir ke dunia, tetapi kita yang lebih dahulu diadili sebelum umat-umat yang lain-lain.”  Muslim 


HARI CUTI MINGGUAN

Bagi orang-orang yang memakan upah sama ada ia seorang perdana menteri, menteri, pekerja yang mendapat upah bulanan, upah mingguan atau upah harian, memerlukan hari-hari tertentu untuk beristirahat dan bercuti dalam satu minggu.

Oleh itu mana-mana pihak yang berkuasa dalam kerajaan atau swasta perlu menetapkan hari cuti mingguan.

Adapun bagi orang-orang yang bekerja sendiri seperti nelayan, petani dan lain-lain, bagi mereka bukan sahaja mereka tidak ada hari-hari tertentu yang khusus untuk bercuti tetapi juga mereka bekerja tanpa mengira hari dan masa.

Apabila sesebuah kerajaan mewartakan mana-mana hari tertentu sebagai hari cuti, maka semua pejabat-pejabat kerajaan dan swasta mesti mengikut perintah yang ditetapkan oleh kerajaan itu.

Terdapat kebanyakan negara-negara orang-orang Islam menetapkan hari Juma’at sebagai hari cuti mingguan.

Negara Republik Indonesia, yang juga disebut Nusantara, pernah dijajah oleh Belanda Kristian sejak dari tahun 1602 dan mendapat kemerdekaan pada 17 Ogos 1945.

Bagi negara Republik Indonesia yang terdiri daripada 13,487 buah pulau dan mempunyai penduduk yang beragama Islam kurang lebih 87.2% daripada 273, 424, 383 juta orang penduduk negara itu, telah menetapkan hari Ahad sebagai hari cuti mingguan negara tersebut sehingga ke hari ini.

Malaysia yang mempunyai 13 buah negeri dan 3 wilayah persekutuan dan Islam adalah agama bagi Persekutuan mengikut Perkara 3 (1) dalam Perlembagaan Persekutuan, di mana terdapat 10 negeri dan 3 wilayah persekutuannya mengambil hari Ahad menjadi hari cuti mingguan.

Semasa Tanah Melayu berada di bawah jajahan Kerajaan British yang beragama Kristian, negeri-negeri di Tanah Melayu tidak dipaksa atau tidak dicadangkan supaya negeri-negeri tersebut menjadikan hari Ahad sebagai hari cuti mingguan.

Selama di bawah pemerintahan British itu, beberapa buah negeri Tanah Melayu mengambil hari Juma’at menjadi hari cuti mingguan.  Tanah Melayu mendapat kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. 

Tun Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri, Malaysia dari tahun 1981 hingga tahun 2003, dalam masa pentadbirannya, telah mencadangkan supaya semua negeri-negeri dalam Malaysia diselaraskan mengambil hari Ahad sebagai hari cuti mingguan. 

Hasil daripada cadangan itu, ada di antara negeri-negeri Tanah Melayu yang dahulunya menetapkan hari Juma’at sebagai hari cuti mingguan, telah menukar dan mewartakan hari Ahad menjadi hari cuti mingguan mereka, kecuali negeri Kelantan, Kedah dan Terengganu.


ISLAM TIDAK MENETAPKAN HARI CUTI MINGGUAN

Sesungguhnya Islam tidak mewajibkan secara khusus mana-mana hari dalam satu  minggu itu dijadikan cuti atau istirahat daripada kerja, kerana bekerja itu adalah salah satu daripada ibadat apabila kerja-kerja itu dibuat kerana Allah Ta’ala.

Islam mahukan umatnya terus bekerja dan berusaha di samping beramal untuk kejayaan hidup di dunia ini dan kejayaan di akhirat kelak.

Namun begitu, Islam mengingatkan umatnya bahawa dalam tempoh 7 hari dalam satu minggu, ada satu hari yang ditetapkan Allah Ta’ala sebagai hari raya (hari besar mingguan) bagi orang-orang Islam iaitu hari Juma’at, penghulu segala hari.

Bagi orang-orang yang beragama Yahudi, maka hari besar untuk mereka ialah hari Sabtu, dan orang-orang yang beragama Kristian pula hari Ahad.

Justeru itu, umat Islam wajib menghargai dan menghormati hari Juma’at yang dianugerahkan Allah Ta’ala kepada mereka.

Kini terdapat pemimpin-pemimpin negara, mufti-mufti, kadi-kadi dan orang-orang yang memegang jawatan-jawatan dalam hal ehwal Agama Islam yang diamanahkan Allah Ta’ala kepada mereka bersekongkol sesat dalam kehidupan dunia.  Mereka telah hilang haluan dan tidak lagi mempunyai jati diri sebagai umat Islam.

Mereka wajib sedar bahawa mereka telah dipilih dan diberi jawatan dan pangkat untuk menolong Agama Allah Agama Tauhid dengan menjalankan amanah Allah Subhanahu wa Ta’ala kerana Allah yang memberi kuasa kepada sesiapa yang Allah kehendaki dan mencabut kuasa daripada sesiapa yang Allah kehendaki.

Sekarang ini, terdapat ramai pemimpin-pemimpin, mufti-mufti, kadi-kadi dan orang-orang yang memegang jawatan dalam hal ehwal Agama Islam terikut-ikut dengan jalan dan cara yang dibawa oleh kafir Yahudi dan Kristian. 

Contohnya;  mereka kini lebih mengutamakan serta mendahulukan hari Sabtu dan hari Ahad yang diberi kepada Yahudi dan Kristian dijadikan hari cuti, sedangkan Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam telah bersabda bahawa orang-orang Yahudi dan Kristian akan duduk di belakang umat Islam sepertimana tersebut dalam Hadis-hadis di atas.


BALIK KEPADA HARI JUMA’AT

Adalah menjadi satu harapan agar negara-negara orang-orang Islam yang sekarang ini mengambil hari Sabtu dan Ahad menjadi hari cuti mingguan mereka menukarkannya semula kepada hari Juma’at, InsyaAllah.



Hari Jumaat
7 Rejab 1434 Hijriyah
17 Mei 2013