Saturday, May 30, 2009

RANCANGAN TIPU DAYA JAHAT "MAKARU"


BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIIM


NABI ‘ISA ‘ALAIHISSALAM DIBAWA KE LANGIT

Pada suatu hari dilihat Nabi ‘Isa ‘Alaihissalam, ramai kaum Yahudi berhimpun di suatu tempat. Mereka berbincang dan merancang hendak membunuh Nabi ‘Isa ‘Alaihissalam.

Nabi ‘Isa ‘Alaihissalam pergi ke tempat mereka berhimpun itu seraya berkata : “Hai sekalian kaum Yahudi bahawa kamu dijadikan Allah Ta’alaa sebagai manusia dan sempurna akal kamu, maka sembahlah DIA dan tiada harus kamu menyembah selain daripadaNYA”. Apabila kaum Yahudi itu mendengar perkataan Nabi ‘Isa ‘Alaihissalam itu, mereka menjadi berang dan marah akan Nabi ‘Isa ‘Alaihissalam dan hendak membunuhnya.

Nabi ‘Isa ‘Alaihissalam pun terus berjalan keluar daripada tempat kaum Yahudi itu berkumpul menuju ke sebuah rumah dan diikuti oleh kaum Yahudi yang hendak membunuhnya.

Sebaik sahaja Nabi ‘Isa ‘Alaihissalam masuk ke dalam rumah itu, dengan perintah Allah Ta’alaa, Jibril ‘Alaihissalam menerbangkan Nabi ‘Isa ‘Alaihissalam naik ke langit yang ke empat.

SABARAGH KENA SALIB

Dengan takdir Allah Ta’alaa seorang Yahudi yang bernama Sabaragh yang terdahulu sekali sampai dan terus memasuki rumah di mana Nabi ‘Isa ‘Alaihissalam telah masuk. Allah Ta’alaa menjadi Sabaragh itu imbasan rupa Nabi ‘Isa ‘Alaihissalam, maka Sabaragh pun ditangkap oleh kaum Yahudi yang ramai itu.

Sabaragh bertanya mereka: “Apa dosaku kamu tangkap aku ini?”.

Kaum Yahudi itu berkata: “Bahawa kami hendak membunuh engkau, supaya lepaslah kami daripada huru hara agamamu, dan engkau senantiasa memberi masyghul kepada kami.”

Sabaragh menjawab: ”Bukan aku ini ‘Isa.”

Kaum Yahudi itu tidak mendengar dan mempercayai kata-kata Sabaragh itu. Mereka membunuh Sabaragh dan mensalibnya (mensulanya).

Kaum Yahudi itu amat gembira kerana pada hati mereka, Nabi ‘Isa ‘Alaihissalam telah dapat dibunuh mereka dan mensalibnya (mensulanya).

ALLAHU TA’ALAA MENGANGKAT NABI ‘ISA ‘ALAIHISSALAM KE LANGIT HIDUP-HIDUP

Allah Ta’alaa telah menyelamatkan Nabi ‘Isa ‘Alaihissalam dari angkara kaum Yahudi yang hendak membunuhnya dan mengangkat Nabi ‘Isa ‘Alaihissalam dengan roh dan jasad (hidup-hidup) ke langit, yang akan turun pada akhir zaman kelak untuk membunuh Dajjal dan menegakkan Agama Islam yang dibawa oleh Junjungan kita Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.

Allah Ta’alaa berfiman dalam Surah A-Li ‘Imraan, Ayat 54 dan Ayat 55 (maksudnya): “Dan orang-orang (Yahudi yang kafir) itupun merancangkan tipu daya (hendak membunuh Nabi ‘Isa ‘Alaihissalam), dan Allah pula membalas tipu daya (mereka); dan (ingatlah), Allah sebijak-bijak yang membalas (dan menggagalkan segala jenis) tipu daya.” Ayat 54.

“(Ingatlah) ketika Allah berfirman: “Wahai ‘Isa! Sesungguhnya AKU akan mengambilmu dengan sempurna, dan akan mengangkatmu ke sisiKU, dan akan membersihkanmu dari orang-orang kafir, dan juga akan menjadikan orang-orang yang mengikutmu mengatasi orang-orang kafir (yang tidak beriman kepadamu), hingga ke hari qiamat. Kemudian kepada AKUlah tempat kembalinya kamu, lalu AKU menghukum (memberi keputusan) tentang apa yang kamu perselisihkan.” Ayat 55.

Allah Ta’alaa berfirman dalam Surah An-Nisaa’, Ayat 157 dan Ayat 158 (maksudnya): “Dan juga (disebabkan) da’waan mereka dengan mengatakan: “Sesungguhnya kami telah membunuh Al-Masih ‘Isa Ibni Maryam, Rasul Allah”. Padahal mereka tidak membunuhnya dan tidak mensalibnya (di kayu palang – salib) tetapi diserupakan bagi mereka (oang yang mereka bunuh itu seperti Nabi ‘Isa). Dan sesungguhnya orang –orang yang telah berselisih faham mengenai Nabi ‘Isa, sebenarnya mereka berada dalam keadaan syak tentang menentukan (pembunuhannya). Tiada sesuatu pengetahuan pun bagi mereka mengenainya selain daripada mengikut sangkaan semata-mata; dan mereka tidak membunuhnya denga n yakin.” Ayat 157.

“Bahkan Allah telah mengangkat Nabi ‘Isa kepadaNYA; dan adalah Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” Ayat 158.

TRINITI

Kaum Nasrani (Christian) percaya dan berpegang kepada TRINITI iaitu TIGA dalam ikatan (threefoldness) yang mengandungi; tuhan, anak dan “holy ghost”.

Allah Ta’alaa berfirman dalam Surah An-Nisaa’, Ayat 171 (maksudnya): “Wahai Ahli Kitab ( Yahudi dan Nasrani)! Janganlah kamu melampaui batas dalam perkara agama kamu, dan janganlah kamu mengatakan sesuatu terhadap Allah melainkan yang benar; sesungguhnya Al-Masih ‘Isa Ibni Maryam itu hanya seorang Rasul Allah, dan Kalimah Allah yang telah disampaikanNYA kepada Maryam, dan roh daripadaNYA. Maka berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-rasulNYA , dan janganlah kamu mengatakan: “(Tuhan itu) tiga”. Berhentilah (daripada mengatakan yang demikian), supaya menjadi kebaikan bagi kamu. Hanyasanya Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa, Maha Suci Allah daripada mempunyai anak. Bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Dan cukuplah Allah menjadi Pengawal ( Yang Mentadbirkan sekalian makhlukNYA).” Ayat 171.

Allah Ta'alaa berfirman dalam Surah Al-Maa'idah, Ayat 73 (maksudnya): "Demi sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata : 'Bahawasanya Allah ialah salah satu dari tiga tuhan.' ....." Ayat 73.

WALLAHU A’LAMU BISSAWAB



Hari Jumaat
4 Jamadil Akhir 1430 Hijriyyah
29 Mei 2009

Monday, May 18, 2009

GOLONGAN ELIT JAHILIYAH


BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIIM


KHAMAR (WINE)


Khamar (wine) diperbuat daripada buah anggur. Khamar (wine) atau dengan apa sahaja nama yang disebut, juga boleh diperbuat daripada apa-apa bahan yang lain, mengandungi alkohol hasil daripada prosesan-prosesan tertentu. Khamar (wine) biasanya ada tiga warna iaitu; putih kekuningan (white), merah jambu (pink) dan merah hati (red).


Khamar (wine) dibenarkan minum sebelum datangnya Islam dan pada awal permulaan Islam di zaman junjungan kita Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam yakni sebelum turunnya ayat Al-Quran yang mengharamkannya.

Orang-orang kafir dan orang-orang jahiliyah minum khamar (wine) sebagai keistimewaan dalam masyarakat mereka. Mereka menjadikan minuman khamar (wine) sebelum sesuatu perjumpaan atau sesuatu upacara yang khusus. Ada kala minuman itu juga diadakan selepas perjumpaan atau selepas upacara tertentu.

KHAMAR MENGALIR DI JALAN-JALAN

Peristiwa khamar mengalir di jalan-jalan berlaku sebaik sahaja turunnya ayat Al-Quran yang mengharamkan orang-orang Islam minum khamar seperti tersebut dalam sebuah Hadis dalam Sohih Muslim:

Dari Anas bin Malik r.a. katanya: ”Aku bertugas menjadi pelayan menuangkan minuman kepada para tamu di rumah Abu Thalhah pada hari minuman khamar diharamkan. Minuman mereka terbuat dari campuran kurma muda dan kurma kering. Tiba-tiba terdengar orang meneriakkan suatu pengumuman. “Keluarlah dan dengarkan!”, kata Abu Thalhah. Lalu aku pergi ke luar, kiranya orang mengumumkan suatu pengumuman: “Perhatian sesungguhnya khamar telah diharamkan!” Ku lihat di jalan-jalan mengalir minuman khamar. Kata Abu Thalhah kepadaku, “Keluarlah! Tumpahkan minuman itu!” Lalu ku tumpahkan minuman itu semuanya.”

MEMALINGKAN DARIPADA MENGINGATI ALLAH SUBHANAHU WATA’ALAA

Allah Subhanahu Wata’alaa berfirman dalam Surah Al-Maa’idah, Ayat 90 dan Ayat 91(maksudnya): “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya khamar, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.” Ayat 90.


“Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab khamar dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan solat. Oleh itu, mahukah kamu berhenti ( daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil?)” Ayat 91.

MENGHALALKAN MINUMAN KHAMAR (WINE)

Pada akhir-akhir ini ada golongan dan kumpulan-kumpulan yang mana ahli-ahlinya terdiri daripada orang-orang yang dilahirkan Islam yang mengaku diri mereka sebagai orang-orang yang ‘beriman’ dan moderate yang menyebarkan Islam. Mereka bukan sahaja tidak mementingkan pakaian yang menutup aurat bagi lelaki dan wanita bahkan selalu mempertikaikan huhum-hukum syari’e yang sedia ada diguna pakai dan juga mempersoalkan perintah-perintah Allah Subhanahu Wata’alaa dan RasulNya Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.

Mereka itu menghalalkan minuman khamar (wine) mengikut alasan-alasan dan justifikasi nafsu mereka sendiri. Mereka menghidangkan minuman-minuman khamar (wine) kepada pengikut-pengikut atau jemputan majlis yang hadir sebelum atau selepas perjumpaan atau upacara yang diadakan. Maka kumpulan-kumpulan itu bolehlah diberi nama kumpulan elit jahiliyah.

Golongan dan kumpulan-kumpulan yang tutur kata mereka tidak selari dengan apa yang berada dalam hati mereka itu ada pada bila-bila masa, dan mereka adalah golongan dan kumpulan-kumpulan yang dikutuk dan dimurkai Allah Subhanahu Wata’alaa.

Firman Allah Subhanahu Wata’alaa (maksudnya): “Dan di antara manusia ada yang berkata: “Kami telah beriman kepada Allah dan kepada hari akhirat”; padahal mereka sebenarnya tidak beriman.” Surah Al-Baqarah, Ayat 8.

WALLAHU A’LAMU BISSAWAB.

Hari Isnin
23 Jamadil Awal 1430 Hijriyyah
18 Mei 2009

Saturday, May 9, 2009

HARI-HARI HARI IBU


BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIIM

Semasa kecil bersama ibu
Sudah besar bekerja dan menuntut ilmu
Bila berjaya sudah tiada ibu
Rasa sedih dan pilu

Rasa sedih dan pilu
Anak yang soleh berdoa selalu
Berbakti kepada ibu tiada jemu
Hukum Allah Tuhan Yang Satu

Hukum Allah Tuhan Yang Satu
Ibu atau bapa ke rahmatullah dahulu
Tiada bapa ada ibu
Ada bapa tiada ibu

Ada bapa tiada ibu
Kepada bapa minta restu
Ibu bapa meninggal dahulu
Anak menjadi yatim piatu

Anak menjadi yatim piatu
Rindukan bapa dan ibu
Siang malam sedih dan pilu
Harap kasih sayang akan ketemu

Hari Ahad
15 Jamadil Awal 1430 Hijriyyah
10 Mei 2009

Friday, May 8, 2009

PERMAINAN "MUSICAL CHAIRS"


BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIIM




"MUSICAL CHAIRS"



Permainan “musical chairs” ini dimainkan oleh ramai kanak-kanak tadika dan orang-orang dewasa dalam sesebuah majlis keramaian untuk memeriahkan suasana ketika itu.


Cara bermainnya ialah dengan menyediakan kerusi-kerusi yang hendak direbut duduk, muzik dan pemain-pemain yang akan berlawan rebut kerusi-kerusi.


Contohnya bilangan pemain-pemain itu katakan 7 orang dan kerusi yang disediakan ialah 6 buah sahaja. Pemain-pemain diminta berjalan dan berpusing mengikut alunan muzik dan mengelilingi kerusi-kerusi yang telah disusun membulat lingkarannya. Mereka akan berhenti dan duduk di atas kerusi-kerusi yang dapat direbutnya sebaik sahaja alunan muzik itu diberhentikan. Hanya 6 pemain sahaja yang dapat merebut duduk di kerusi-kerusi yang telah disediakan dan sudah tentu seorang daripada pemain-pemain tersebut terkeluar daripada permainan itu.

Kemudian muzik terus dimainkan dengan baki 6 orang untuk merebut 5 kerusi pula. Begitulah seterusnya permainan itu berjalan sehingga akhirnya hanya tinggal satu kerusi sahaja dan pemain yang berjaya menduduki kerusi tersebut itu diisytiharkan pemenang dan ia berhak diberi hadiah.


DAERAH BELUM BERNAMA


Sekarang permainan “musical chairs” itu telah menjadi kegemaran dan popular bukan sahaja di kalangan kanak-kanak kelas tadika bahkan disukai oleh orang dewasa dan orang-orang yang ternama dalam daerah.


Sindrom permainan “musical chairs” itu sudah menjalar kepada suatu fenomena epidemik sebagai mana epidemik virus selsema babi sekarang ini yang menyerang 24 buah negara dan 41 negeri di Amerika Utara (USA).


Sekarang pemain-pemain “musical chairs” itu sudah mula bermain secara helat iaitu mereka bukan sahaja merebut kerusi-kerusi tetapi juga sanggup berkasar, tolak menolak, jatuh menjatuhkan di antara satu sama lain sehingga ada yang terdera dan ada di antaranya dibawa ke mahkamah untuk dibicarakan bagi menyelesaikan perebutan tersebut. Di samping itu ada juga di antara pemain-pemain helat itu cuba lompat kerusi.


Itulah serba sedikit kisah sebuah permainan “musical chairs” yang ada di suatu daerah yang belum bernama.

Hari Jumaat
13 Jamadil Awal 1430 Hijriyyah
8 Mei 2009


Sunday, May 3, 2009

PENYAKIT BABI


BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIIM

"WHO" YANG GAGAL

Pada awal bulan Mei 2009, kita di sogokkan dengan berita-berita “Swine Flu (H1N1)” melalui semua media. Orang-orang dunia menjadi panik bila mengetahui bahawa wabak Swine Flu (H1N1) tiba-tiba muncul di Mexico, Amerika Selatan. Pertubuhan badan kesihatan sedunia (WHO), sebagai pihak yang mengawal wabak dan penyakit sedunia, lebih-lebih lagi gempar kerana tidak dapat membendung wabak-wabak dan penyakit sebelum ianya muncul.

99 LORONG MATI

Sejak 30 April 2009, wabak Swine Flu (H1N1) telah dilaporkan merebak kepada 27 negara . Orang-orang dunia menjadi kalut dan takut kapada wabak tersebut. Hakikatnya mereka itu bukan ketakutan terhadap Swine Flu sebenarnya, tetapi mereka takutkan MATI. MATI mempunyai Sembilan Puluh Sembilan (99) lorong-lorong mati. Jika mereka manusia masuk berlindung dalam dinding-dinding yang tebal dan kukuh sekalipun, mereka akan tetap menemui MATI. Firman Allahu ‘Azza Wa Jallaa (maksudnya): “Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu, sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh…” Surah An-Nisaa', Ayat 78.

SIAPA YANG BERSALAH?

Pada masa yang sama ada pula orang-orang yang tidak bersetuju dan terus membantah dengan penggunaan nama Swine Flu- Selsema babi itu, dengan alasan bahawa babi tidak boleh dipersalahkan. Sebaliknya pula mereka tidak membantah penggunaan nama Bird Flu (H5N1) - Selsema Burung (unggas) sedangkan burung juga tidak boleh dipersalahkan. Mana-mana negara yang mengesyaki ada selsema burung telah diarahkan supaya memusnahkan sama ada burung-burung itu diternak secara ladang atau diternak sebagai peliharaan kegemaran peribadi.
Sebelum ini babi telah dikenalpasti sebagai pembiakan dan punca Japanese Encephalitis (JE) dan virus Nipah.

DATANG DAN PERGI TANPA KHABAR

Mengikut catitan, wabak influenza terjadi di Eropah pada tahun 1918, di Asia pada tahun 1957, dan di Hong Kong pada tahun 1968, yang mana tidak menyebabkan kematian di merata dunia. Pada tahun 1976, Swine Flu telah pernah muncul di Amerika Utara. Tanpa diduga dan dengan penuh misteri serta jangkamasa yang tertentu; menjadi tanda tanya bagaimana wabak-wabak tersebut muncul dan ajaibnya hilang begitu sahaja.

PERSOALANNYA

Adakah ianya datang dan pergi wabak-wabak tersebut atas usaha-usaha WHO, saintis-saintis dan pakar-pakar perubatan ?

I’TIQAD YANG SALAH

Dengan beri’tiqadkan adanya penyakit jangkit berjangkit, berjalan ia dari seorang kepada seorang dengan menurut pandangan mata kepala itu ialah I’tiqad yang salah di sisi syara’. Perkara ini ditunjukkan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam, dalam Hadis yang dikeluarkan oleh Tirmidzi: Daripada Abdullah bin Mas’ud katanya: “Telah berdiri di dalam kami Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam, maka baginda bersabda: “Tiada menjangkit sesuatu akan sesuatu” (Yakni tak usahlah siapa-siapa I’tiqadkan sebagaimana pandangan mata kepala apabila bercampur dengan satu penyakit dikatakan menjangkit yakni berjalan dan berpindah ia ke tubuh asing, bahkan hendaklah i’tiqad akan bukannya demikian itu iaitu Allah Ta’ala sendiri menjadikan penyakit yang serupa dengan penyakit yang dikatakan menjangkitkan itu berbetulan dengan masa bercampur gaul atau pun pada masa bercampuran-campuran itu.) Manakala habis sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam yang demikian itu, maka berkata seorang A’rabi: “Ya Rasulullah, perkataan Tuan Hamba itu seperti menyalahi zahir pandangan mata kepala, bermula seekor unta kurap yang buruk di ekornya datang mencampuri unta-unta yang sihat, maka jadi kurap semuanya, maka dari mana datangnya itu ya Rasulullah; bukankah daripada unta yang membawa benihnya (kurap) tadi? Apa kala didengar Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam akan kalam ‘Arab demikian, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Maka siapakah menjadikan kurap yang pertama itu? Tiada ada jangkit menjangkit itu memberi bekas padanya, dan juga tiada penyakit Safar itu ada padanya memberi bekas. Telah dijadikan Allah bagi tiap-tiap orang dan telah disuratkan hayatnya dan rizkinya dan hayatnya.”

ALLAHU ‘ALAMU BISSAWAB.

Hari Ahad
8 Jamadil Awal 1430 Hijriyyah
3 Mei 2009