Friday, January 19, 2018

KASIH DAN BENCI


Daripada Abi Umamah radhiallahu ‘anh meriwayatkan bahawa Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, mafhumnya:

“Sesiapa yang kasihkan seseorang semata-mata kerana ALLAH TA’ALA, membenci seseorang semata-mata kerana ALLAH TA’ALA, memberi (kepada seseorang) semata-mata kerana ALLAH TA’ALA, tidak memberi kepada seseorang pun semata-mata kerana ALLAH TA’ALA maka sesungguhnya dia telah menyempurnakan IMAN.”   (Abu Daud)
  

Daripada Ibnu ‘Abbas radhiallahu ‘anhuma meriwayatkan bahawa Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam telah bertanya kepada Abu Zar radhiallahu ‘anh, mafhumnya:

“Yang mana satukah ikatan Islam yang paling kukuh?”

Abu Zar radhiallahu ‘anh telah menjawab: “ALLAH TA’ALA dan RasulNya yang lebih mengetahui (oleh kerana itu, Tuanlah yang berikan jawaban).”

Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, mafhumnya:

“Berhubung baik serta tolong menolong semata-mata kerana ALLAH TA’ALA, mengasihi seseorang semata-mata kerana ALLAH TA’ALA, membenci seseorang semata-mata kerana ALLAH TA’ALA.”   (Baihaqi)

Keterangan:  Maksudnya ialah, antara cabang iman, cabang yang paling mantap dan kuat ialah apabila seseorang itu berurusan dengan sesiapa sahaja di dunia ini, sama ada untuk membina hubungan atau memutuskan hubungan, mengasihi seseorang atau bermusuh dengan seseorang adalah bukan kerana tuntutan nafsu sendiri tetapi semata-mata kerana ALLAH TA’ALA dan semata-mata kerana menunaikan perintah ALLAH TA’ALA.   (Muntakhab Ahadis)



Hari Juma’at
2 JamadilAwal 1439 Hijriyah
19 Januari 2018