Sunday, October 24, 2010

ENAM PULUH SEMBILAN + 1


BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIIM

OKTOBER, 24


Dua Hadis Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam tersebut di bawah ini, aku jadikan sebagai peringatan sepanjang hayatku, InsyaAllah.

Dari Jabir radhiallahu ‘anhu, bahawa Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, mafhumnya:

“Sesungguhnya perkara yang sangat-sangat aku bimbangkan terhadap umatku ialah hawa nafsu dan panjang cita-cita, kerana hawa nafsu itu menghalang daripada menerima kebenaran, dan panjang cita-cita iaitu menglengahkan amalan akhirat. Dan ingatlah! Dunia ini pada setiap saatnya berjalan pergi, dan akhirat pula pada setiap saatnya berjalan datang, sedang tiap-tiap satunya ada orang yang kasih dan setia kepadanya; oleh itu kalau kamu dapat menahan diri daripada menjadi orang-orang yang kasih dan setia kepada dunia, maka buatlah, kerana kamu pada hari ini berada di kampung yang ada padanya peluang untuk kamu beramal dan belum ada sebarang hisab, dan kamu pada hari esok akan berada di kampung akhirat yang ada padanya hisab dan tidak ada peluang bagi sebarang amal.” (Al-Baihaqi).

Dari Abdullah bin Umar radhiallahu ‘anhuma, katanya: “Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam memegang bahuku lalu bersabda, mafhumnya:

“Jadikanlah dirimu di dunia ini seolah-olah engkau orang dagang bahkan seolah-olah orang yang dalam perjalanan musafir.” Dan semenjak itu ibnu Umar selalu berkata: “Apabila engkau berada pada waktu petang maka janganlah engkau tunggu datangnya waktu pagi, dan apabila engkau berada pada waktu pagi maka janganlah engkau tunggu datangnya waktu petang; dan ambillah peluang dari kesihatanmu itu membuat amal untuk masa sakitmu dan peluang masa hidupmu berbekal untuk matimu.” (Al-Bukhari).

Ghazali bin Muhammad Nur

Hari Ahad
16 Dzil Qaedah 1431 Hijriyah
24 Oktober 2010 Miladiyah

Saturday, October 2, 2010

BIG BEN ???




TAKJUB


Bagi jemaah Haji dan Umrah tahun 1431 Hijriyah bersamaan tahun 2010 Miladiyah, ketika mereka berada di kota Makkah Al-Mukarramah, pasti terpandang jam besar di kota tersebut yang menyerupai Big Ben yang ada di London dan bangunan-bangunan pencakar langit di situ menyerupai bangunan-bangunan di kota New York, Amerika Syarikat. Binaan-binaan tersebut terletak bersebelahan dengan Baitullah (Istana Allah).


Mungkin jemaah-jemaah yang biasa pergi ke London dan New York, Amerika Syarikat, pemandangan-pemandangan tersebut tidak menjadi asing bagi mereka malah lebih dirasai seperti “at home”. Sebaliknya bagi sesetengah jemaah Haji atau Umrah yang pertama kali ke Makkah Al-Mukarramah dan belum pernah pergi ke London dan New York, yang hanya berpeluang melihat gambar-gambar sahaja, akan terpegun melihat pembangunan fizikal yang diusahakan oleh kerajaan Saudi itu.


“BAITULLAH” ISTANA ALLAH


Semenjak wujudnya Baitullah iaitu Istana Allah Ta’ala di muka bumi ini, ianya menjadi tempat beribadat oleh malaikat, jinn dan manusia yang beriman. Baitullah itulah yang menjadi mercu yang tertinggi lagi mulia daripada semua tempat dan bangunan pada semua zaman. Di sekeliling berdekatan dengannya tiada mana-mana bangunan yang lebih tinggi daripada Baitullah.


Baitullah dari awal pembinaannya menjadi tanda penunjuk arah yang mudah dipandang orang dari mana-mana sudut kota Makkah Al-Mukarramah dan memudahkan orang-orang menuju ke sana siang dan malam untuk beribadat di masjid tersebut.


ISTANA FAHD LEBIH TINGGI DARIPADA ISTANA ALLAH


Dalam era pemerintahan Saudi, banyak pembangunan fizikal dibuat khususnya di kawasan sekeliling dan berhampiran dengan Baitullah (Istana Allah) sehingga Baitullah (Istana Allah) sendiri menjadi lebih rendah berbanding dengan bangunan-bangunan yang baru dibina sepertimana dapat dilihat dalam gambar.


Dapat dilihat dari gambar di atas, sekitar Baitullah (Istana Allah) terdapat Jam Besar DiRaja Makkah “Mecca Clock Royal Tower” iaitu replika “London’s Big Ben”, di atas Jabal Abi Qubais tersergam bangunan istana Fahd dan di sebelah kanan Jam Besar DiRaja Makkah itu pula ialah bangunan pusat membeli belah, hotel-hotel, pangsapuri yang besar. Di antara lain, di sana terdapat restoran Kentucky Fried Chicken (KFC) iaitu rangkaian restoran dari Amerika Syarikat. Terdapat hotel-hotel antarabangsa seperti Hotel Hilton, Hotel Raffles, Hotel Fairmont dan lain-lain lagi.

JAM BESAR YANG TERBESAR DI DUNIA


Adalah diberitakan bahawa Jam Besar DiRaja Makkah itu yang terbesar di dunia sekarang ini dan ianya enam (6) kali ganda lebih besar daripada jam “LONDON’S BIG BEN” yang terletak di St.Stephen’s Tower.


Jam Besar DiRaja Makkah itu mengeluarkan bunyi tanda waktu, sama bunyinya dengan bunyi loceng “London’s Big Ben” dan jam besar di “Empire State Building” di Amerika Syarikat.


DIJILAT API


Dalam tahun 2009, ada laporan yang menyatakan bahawa telah berlaku dua kebakaran pada kompleks bangunan-bangunan yang berhampiran dengan Baitullah iaitu :


Pada hari Khamis 5 Jamadil Awal 1430 Hijriyah bersamaan 30 April 2009, bangunan “King Abdul Aziz Endowment Towers” iaitu di mana terletaknya Jam Besar DiRaja Makkah yang menyerupai “London’s Big Ben” itu terbakar selepas solat ‘Asr.


Enam bulan sebelumnya, sebanyak enam tingkat bangunan “Sara Tower” yang juga terletak berhampiran dengan Baitullah, telah berlaku satu kebakaran yang berlanjutan selama sepuluh jam sebelum api dapat dipadamkan.

Hari Sabtu
23 Syawal 1431 Hijriyah
2 Oktober 2010


Catatan :


Semasa aku dan isteriku menunaikan Fardhu Haji pada tahun 1429 Hijriyah bersamaan dengan tahun 2008 Miladiyah, kompleks bangunan-bangunan yang tersebut di atas sepertimana kelihatan dalam gambar sedang dalam pembinaan.