Friday, February 25, 2011

APA NAK JADI

BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIIM

APA NAK JADI

(GAGAL, BERJAYA, CELAKA, BAHAGIA, ADIL, MAKMUR)

HIDUP HANYA SEKALI

Manusia pada asasnya bersifat pemalas, suka kepada berehat dan bersukaria.

Dalam kehidupan manusia secara keseluruhannya tidak lain hanyalah seperti kehidupan binatang haiwan, kecuali manusia diberi akal dan bertutur, makan minum, hidup besar dewasa, berkahwin, beranak pinak, tua dan mati. Seterusnya peredaran-peredaran itu berlaku turun temurun dari masa ke semasa.

Hal-hal kematian dan hidup semula selepas mati, semua manusia tahu. Melihat adanya kematian dari kalangan keluarga mereka atau orang-orang lain dan kematian itu boleh berlaku dengan berbagai cara, manusia kafir dan orang yang serupanya tidak dapat meyakini diri mereka bahawa selepas mati tetap akan hidup semula.

Manusia kafir dan orang yang serupanya menganggap bahawa hidup ini hanya sekali sahaja, selepas mati tiada hidup lagi, seperti tersebut dalam firman Allah Ta’ala, dalam Surah Al-Ana’am, Ayat 29 , maksudnya:

“Dan tentulah mereka akan berkata pula:’Tiadalah hidup yang lain selain dari hidup kita di dunia ini, dan tiadalah kita akan dibangkitkan semula sesudah kita mati.” Ayat 29

Justeru itu, manusia cenderung kepada keseronokan, bersukaria sepanjang hidupnya mengikut hawa nafsu dan syahwat.

Dengan itu, mereka mencari kejayaan dan kebahagiaan dalam hidup mereka mengikut perspektif mereka sendiri, dan mengikut keyakinan logik akal mereka yang pendek.

Bagi tujuan itu mereka bersekolah, menuntut di universiti, mencari pengetahuan hanya untuk mendapat ijazah-ijazah yang dilihat mereka berjaya dalam kehidupan mereka tanpa mengambil kira haram dan halal, bermoral atau tidak, asalkan mereka boleh mencapai tujuan yang dikehendaki.

Orang kafir dan orang yang serupa dengannya yakin bahawa hanya dengan ijazah-ijazah dan kelulusan-kelulusan yang diperolehi itulah sahaja yang akan menjamin rezeki dan kehidupan mereka.

Rata-rata mereka itu tidak dapat menerima bahwa mendapat ijazah dan kelulusan hanya sebagai suatu pengiktirafan atau perakuan seseorang itu lulus dalam peperiksaan atau ujian dalam pengajian atau pelajaran sahaja dan ianya bukan menjamin rezeki bagi orang-orang yang memiliknya.

Oleh hal yang demikian, ibu bapa yang berkedudukan baik dari segi keduniaannya, maka mereka akan berusaha sedaya upayanya dan mengaturkan supaya anak-anak mereka seboleh-bolehnya dapat mencapai kejayaan mengikut acuan mereka.

KAFIR MENILAI BENDA

Orang-orang kafir ialah mereka yang menyembah tuhan-tuhan selain daripada Allah yakni mereka menjadikan makhluk-makhluk daripada apa-apa bentuk jua benda sebagai tuhan-tuhan mereka untuk disembah dan dipuja, mengikut keperluan, masa dan keadaan.

Sebagai contoh, semasa anak berada di dalam kandungan, ibu bapanya menitikberatkan dan bergantung semata-mata kepada pemakanan untuk diri ibu dan anak dalam kandungan, kerana mereka mempercayai bahawa makanan sahajalah yang menolong mereka dalam masa itu, makanan sahajalah yang membantu anak-anak dalam kandungan menjadi bijak, cantik, berkulit lembut dan putih, dan lain-lain lagi.

Sebagai contoh lagi, jika mereka berkehendakkan supaya anak mereka berkulit lembut, putih, maka ibu-ibu akan banyak makan limau dan minum air soya dan lain-lain lagi, kerana mereka mempercayai bahan-bahan yang terdapat dalam makanan dan minuman itu dapat membentuk anak dalam kandungan mereka sepertimana kehendak mereka.

Dalam banyak hal hajatnya itu mustahil boleh berlaku kepada orang dari benua Hindi Selatan, atau orang Negro yang kulitnya hitam boleh bertukar menjadi putih, walaupun ibu-ibu itu minum air soya setiap hari dalam masa mereka mengandung selama 210 hari atau 270 hari itu.

Selain daripada itu terdapat orang kafir dan orang yang serupa dengannya mempercayai bahawa, jika mereka mahukan anak dalam kandungan itu bila lahir akan menjadi cantik atau tampan dan bersuara merdu, mereka akan memuja, menuntun gambar dan mendendangkan lagu-lagu nyanyian dari artis-artis yang cantik, atau tampan atau suara yang merdu.

HIDANGAN DI ATAS MEJA BULAT YANG TERBESAR

Masyarakat dunia kafir mempunyai falsafah yang bermacam ragam dan kepercayaan berhubung dengan makanan dan minuman.

Bagi orang-orang mukmin, biarpun terdapat dalam makanan dan minuman ada di antaranya mempunyai khasiat-khasiat tertentu, Islam tidak sama sekali meletakkan bahawa dengan makanan dan minuman tersebut, yang membentuk badan dan rupa paras seseorang.

Allah Yang Maha Pemurah menjemput orang-orang mukmin agar makan makanan yang baik-baik dalam hidangan-hidangan yang disediakan untuk mereka di atas meja bulat yang terbesar sekali, seperti firmanNya, dalam Surah Al-Baqarah, Ayat 172, maksudnya:

“Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadaNya.” Ayat 172

Allah Ta’ala juga memerintahkan umat manusia agar memilih hanya makanan yang halal dan baik untuk dimakan, seperti firman Allah Ta’ala dalam Surah Al-Baqarah, Ayat 168, maksudnya:

“Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi ini, yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.” Ayat 168

HARRY POTTER

Selepas anak itu lahir, ibu bapa kafir dan orang yang serupa dengannya mengasuh dan mendidik dengan berbagai permainan, tarian, nyanyian-nyanyian, membaca cerita-ceritan dongeng dan khayalan, cerita-cerita “fairy tales” seperti Cinderella, dan lain-lain yang berunsur imaginasi bohong termasuk cerita Santa Claus, Robin Hood, Robinson Crusoe, Harry Potter, Sleeping Beauty, Snow White and the Seven Dwarfs dan sebagainya serta mengajar membaca dan menulis mengikut adat dan cara kafir.

Kanak-kanak itu boleh bercerita, berlakun balik cerita-cerita tersebut dan mereka dapat menyanyi lagu-lagu dalam cerita-cerita itu dengan baik sekali, sehingga membuatkan ibu bapa menitis air mata kerana kegembiraan.

Mereka melihat bahawa kejayaan dan kebahagiaan terletak semata-mata dari mana seseorang itu dapat memiliki kekayaan wang dan kemegahan harta benda dan kebahagiaan memiliki perkara-perkara tersebut yang selalu dinilaikan sebagai teratas.

Ibu bapa kafir dan orang yang serupa dengannya akan berbangga jika anak-anak mereka berjaya dalam pelajaran dan melalui pekerjaan, anak-anak mereka memiliki kereta berjenama serta rumah yang besar dan berpangkat tinggi serta mempunyai kuasa dalam negara. Dan mereka berusaha bersungguh-sungguh ke arah mencapai tujuan itu, seolah-olah mereka akan hidup selama-lamanya.

Allah Ta’ala berfirman dalam Surah Asy-Syu’araa, Ayat 129, maksudnya:

“Dan kamu pula bersusah payah mendirikan istana-istana dan benteng-benteng yang kukuh dengan harapan hendak kekal hidup selama-lamanya?” Ayat 129

HABIS SUDAH SEGALANYA

Orang kafir dan orang yang serupa dengannya menjadi hilang akal, kecewa dan putus asa apabila mereka atau anak-anak mereka tidak lulus peperiksaan atau sesuatu ujian untuk mendapat pekerjaan.

Orang kafir dan orang yang serupa dengannya, apabila mereka gagal untuk mencapai impian dan hajat mereka, mereka berputus asa dan akan menyoal diri mereka sendiri, mengapa mereka jadi seperti itu, atau menyoal anak-anak mereka apabila anak-anak mereka gagal dalam peperiksaan dan sebagainya dengan soalan yang yang mustahil bagi mereka dan anak-anak mereka dapat menjawabnya.

Contohnya, soalan mereka: “Apa kamu nak jadi dengan kebodohan kamu ini?” Sedangkan ibu bapa anak-anak itu, sebelum kehidupan mereka yang berada dalam apa-apa bidang atau profesion, mereka sendiri pun tidak pernah terfikir atau berancang terlebih dahulu, walaupun seawal-awal umur mereka ketika mereka masih kanak-kanak, atau pun pada awal persekolahan mereka.

Kanak-kanak di taman didikan dan kanak-kanak tahun satu persekolahan sudah ditanya oleh guru-guru, atau pakar-pakar motivasi tentang cita-cita mereka iaitu apa yang mereka hendak jadi apabila besar nanti. Sedangkan guru-guru dan pakar-pakar motivasi itu sendiri tidak pernah terfikir yang mereka akan menjadi guru atau pakar motivasi dari sewaktu awal persekolah mereka. Walaupun pertanyaan-pertanyaan itu bagi tujuan memupuk semangat belajar, ianya menjadi tekanan beban minda kanak-kanak sebelum masa mereka.

Guru-guru, pakar motivasi dan ibu bapa sendiri tidak selalunya mendapat apa yang dicita-citakan mereka semasa kecil. Inikan pula hendak diterapkan cita-cita itu kepada kanak-kanak yang masih mentah dalam hidup mereka.

Apabila “cita-cita” itu tidak menjadi kenyataan, maka ia adalah angan-angan semata-mata. Angan-angan manusia tidak ada penghujungnya. Walaupun seseorang itu sudah mati, tetapi angan-angannya itu tidak habis dan tidak sampai dicapainya, padahal amal ibadat sudah tertinggal, seperti tersebut dalam sebuah Hadis oleh Abu ‘Isa At-Tarmidzi:

“Daripada Anas bin Malik katanya: “Telah bersabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam:”Ini anak Adam (yakni aku ini seorang anak Adam), dan ini ajalnya dan diletakkan tangannya di sisi lehernya (yakni tangan aku di leher aku ini misal bagi anak Adam itu sudah cukup.) Kemudian digedangkan tangannya seraya berkata:”Dan di sana angan-angannya, dan di sana angan-angannya dan di sana angan-angannya (yakni anak adam itu sudah mati dan angan-angannya tinggal jauh lagi dan belum disampainya).” Hasan dan sahih

Akibat daripada hasil asakan demi asakan dari ibu bapa untuk menjadikan anak-anak mereka berjaya, sering kali terdengar berita-berita ada di antara mereka yang membunuh diri sendiri kerana beberapa sebab dan salah satu daripadanya ialah kerana mereka hilang kepercayaan, hilang kasih sayang sebab mereka tidak lulus peperiksaan seperti yang dikehendaki oleh ibu bapa mereka. Ada juga di antara mereka yang melarikan diri dari rumah kerana perasaannya tertekan dan malu menghadapi cemuhan dan penghinaan dari ibu bapa sendiri serta kaum keluarga .

Allah Ta’ala berfirman dalam Surah Fussilat, Ayat 49, maksudnya:

“Manusia tidak jemu-jemu memohon kebaikan. Dan kalau ia ditimpa kesusahan, maka menjadilah ia seorang yang sangat berputus asa, lagi sangat nyata kesan putus harapannya(dari rahmat pertolongan Allah).” Ayat 49

BACALAH DENGAN NAMA ALLAH

Bagi ibu bapa Mukminin, perkara yang mula dan amat utama untuk mereka mengajar anak-anak mereka ialah Dengan Nama Allah iaitu BISMILLAH seperti firman Allah Ta’ala dalam Surah Al-‘Alaq, Ayat 1, Ayat 2, Ayat 3, Ayat 4, dan Ayat 5 maksudnya:

“Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk).” Ayat 1

“IA (Allah) menciptakan manusia dari sebuku darah beku.” Ayat 2

“Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah.” Ayat 3

“Yang mengajar menusia melalui pena dan tulisan.” Ayat 4

“IA (Allah) mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” Ayat 5

Harapan ibu bapa mukminin terhadap anak-anak mereka agar berjaya hidup dalam iman amatlah besar dan kejayaan anak-anak mereka itu menjadi kebanggaan mereka. Orang-orang mukmin wajib mengajar dan mendidik anak-anak mereka dari dalam kandungan ibu lagi dengan membaca Al-Quran dan berdo’a agar anak-anak mereka menjadi orang yang soleh dan solehah.

Sesudah anak-anak itu lahir, ibu bapa terus mengajar sebutan nama-nama Allah Ta’ala dengan permulaan membaca Bismillah, azan dan qamat. Seterusnya anak-anak itu dididik dan diasuh mengikuti akhlak-akhlak Baginda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, dan mempelajari Al-Quran dan Fardu ‘Ain.

Ibu bapa berdo’a dengan penuh kasih sayang supaya anak-anak mereka itu dirahmati Allah Ta’ala, hidup dan mati dalam iman dan masuk syurga bersama-sama mereka.

ISTERI ‘IMRAAN

Contohilah bagaimana isteri ‘Imraan yang mana kisahnya tersebut dalam Al-Quran Al-Karim, berdo’a, bernazar, mendidik jiwanya, seawal-awal dia mengandung lagi dan seterusnya mengasuh dan meletakkan anaknya pada tempat yang baik dan selamat di dalam peliharaan Allah Ta’ala dari syaitan yang kena rejam yakni syaitan jinn dan syaitan manusia.

Isteri ‘Imraan yang bernama Hannah binti Faqudz iaitu ibunda kepada Maryam ‘Alaihassalam. Telah diriwayatkan bahawa Hannah binti Faqudz adalah seorang wanita yang belum pernah hamil. Pada suatu hari, ia melihat seekor burung memberi makan anak-anaknya, maka dia pun menginginkan seorang anak. Lalu dia berdo’a kepada Allah Ta’ala agar mengurniakannya seorang anak. Lalu Allah Ta’ala mengabulkan do’anya.

Setelah dia benar-benar hamil, dia pun bernazar agar anaknya menjadi anak yang tulus beribadat dan berkhidmat di Baitul Maqdis. Dia melafazkan nazarnya, sepertimana firman Allah Ta’ala dalam Surah Ali-‘Imraan, Ayat 35, dan Ayat 36, maksudnya:

“(Ingatlah) ketika isteri ‘Imraan berkata: ‘Ya Tuhanku! Sesungguhnya aku nazarkan kepadaMu, anak yang ada dalam kandunganku sebagai seorang yang bebas (dari segala urusan dunia untuk berkhidmat kepadaMu semata-mata), maka terimalah nazarku; sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” Ayat 35

Yakni Maha mendengarkan do’a dan Maha Mengetahui niat. Dan dia (isteri ‘Imraan)belum mengetahui apakah anak yang berada dalam kandungannya itu, lelaki atau perempuan.

“Maka apabila ia melahirkannya, berkatalah ia: “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku telah melahirkan seorang anak perempuan, dan Allah memang mengetahui akan apa yang lahirkannya itu, dan memanglah tidak sama anak lelaki dengan anak perempuan; dan bahwasanya aku telah menamakannya Maryam, dan aku perlindungkan dia dengan peliharaanMu, demikian juga zuriat keturunannya, dari syaitan yang kena rejam.” Ayat 36

APAKAH KEJAYAAN DAN KEBAHAGIAAN?

Ramai ahli-ahli psikologi kafir dan orang-orang yang serupa dengannya melihat dan menilai bahawa kejayaan fizikal itu sebenarnya memberi kebahagiaan kepada seseorang. Walaupun begitu, mereka sendiri berselisih pandangan di antara satu sama lain mengikut keadaan kehidupan masing-masing. Ijazah dan kelulusan juga tidak menjaminkan rezeki dan setiap orang yang memilikinya tidak menjadi kaya sebagaimana yang mereka anggap dan yakin selama ini.

Orang-orang yang memiliki kelulusan tinggi dan berpengetahuan tinggi juga tidak menjaminkan mereka bermoral tinggi.

Sebagai contoh: Seorang ahli muzik merasa senang apabila ia dapat bermain muzik di hadapan ramai penonton, kaki judi pula merasa seronok apabila menang judi, kaki botol yakni peminum arak merasa dia mendapat ketenangan semasa dia dalam khayalan mabuk, dan lain-lain lagi. Semuanya itu tidak dapat memberi kepuasan yang sempurna dan tidak berpanjangan.

Orang kafir atau orang yang serupa dengannya itu yang kononnya merasai dirinya kaya dan berada, mencemuh dan memandang rendah kepada orang lain, lebih-lebih lagi terhadap para Rasul, Nabi-nabi ‘Alaihimussalam dan orang-orang mukmin.

Allah Ta’ala berfirman dalam Surah Al-Humazah, Ayat 1 hingga Ayat 9, maksudnya:

“Kecelakaan besar bagi tiap-tiap pencaci, pengeji” Ayat 1

"Yang mengumpulkan harta dan berulang-ulang menghitung kekayaannya” Ayat 2

“Dia menyangka bahawa hartanya itu dapat mengekalkannya (dalam dunia ini)” Ayat 3

“Tidak! Sesungguhnya dia akan dicampakkan ke dalam ‘Al- Hutamah’ ” Ayat 4

“Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui, apa dia ‘Al- Hutamah’ itu?” Ayat 5

“(Al-Hutamah) ialah api Allah yang dinyalakan (dengan perintahNya)” Ayat 6

“Yang naik menjulang ke hati” Ayat 7

“Sesungguhnya api neraka itu ditutup rapat atas mereka” Ayat 8

“(Mereka terikat di situ) pada batang-batang palang yang melintang panjang” Ayat 9

KAYA, ADIL DAN MAKMUR

Orang kafir dan orang yang serupa dengannya memikirkan bahawa kekayaan harta benda seseorang itu boleh mencapai kebahagiaan dalam hidup kerana dengan kekayaan itu mereka menyangka kononnya mereka boleh hidup senang dan boleh mendapat apa-apa perkhidmatan orang lain.

Jika dilihat pada zahirnya, orang kafir dan orang yang serupa dengannya kaya dan bahagia tetapi pada hakikatnya mereka sebenarnya bukanlah kaya dan tidak pula bahagia kerana mereka senantiasa mengejar harta benda, walaupun mempunyai harta berkoyan-koyan, berbillion-billion, masih tidak cukup-cukup dan mereka masih memerlukan bantuan orang-orang lain, sedangkan pertolongan daripada manusia itu terhad pada suasana dan keadaan dan masa yang bersifat berubah-ubah.

Adalah diriwayatkan dalam sebuah Hadis yang dikeluarkan oleh At-Tarmidzi, dari Abi Hurairah, katanya:”Telah bersabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, mafhumnya:

“Bukannya kaya itu daripada banyak harta, dan tetapi kaya itu ialah kaya ‘Nafs’. “ Yakni kaya yang terbilang pada syara’ dan akal ialah orang yang kaya hatinya. Dalam hatinya tidak loba dan tidak tamak menghimpunkan harta mata benda. Hatinya suka redakan apa yang ada padanya dan berasa sudah cukup, dan berpada.

Orang kafir dan orang yang serupa dengannya terus menerus bertungkus lumus mengejar harta benda hingga ke lubang kubur, sepertimana Allah Ta’ala berfirman dalam Surah At-Takaathur, Ayat 1 dan Ayat 2, maksudnya:

“Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (hartabenda, anak pinak, pangkat dan pengaruh)” Ayat 1

“Sehingga kamu masuk kubur” Ayat 2

Namrudz “Nebuchadnezzar” seorang raja yang besar dan kuat pada zaman Nabi Ibrahim ‘Alaihissalam, tidak dapat melepaskan dirinya daripada diserang oleh seekor nyamuk yang mempunyai sebelah sayap yang masuk ke dalam lubang hidungnya hingga ke otak. Tidak ada tabib dan doktor pakar yang boleh mengubatnya sehingga dia mati dalam kerisauan dan kesakitan.

Oleh itu tiada siapapun daripada ahli-ahli psikologi dan ahli falsafah dapat menggariskan satu panduan yang tetap untuk kejayaan dan kebahagiaan di dunia ini.

Seorang ahli falsafah Socrates yang disanjung orang kafir dan orang yang serupa dengannya pun tidak dapat menggariskan apa yang sebenarnya kejayaan dan kebahagiaan seseorang manusia.

Ahli psikologi, Sigmund Freud telah didapati gila disebabkan kecelaruan mindanya apabila cuba mengenali tabiat dan sifat-sifat manusia yang terlalu kompleks dan yang berubah-ubah dalam mencari kebahagiaan.

Pemimpin-pemimpin dunia seperti Winston Churchill, Hitler, George W. Bush, Mustafa Kamal Ataturk, Mao Zedong dan lain-lain, tidak sebahagia sepertimana yang dipandang dan disangka ramai.

Mengikut sejarah, mereka itu menghadapi berbagai masalah hidup seperti penyakit dan masalah lain-lain lagi yang tidak habis-habis.

Sebagai pemimpin, mereka terus menerus menunjukkan bahawa mereka adalah sempurna daripada segala kekurangan dalam hidup walaupun fizikalnya sudah lemah dan fikirannya pula penuh dengan keserabutan.

Mereka bersifat hipokrit bagi menutupkan kelemahan diri mereka dari pengetahuan rakyat.

Salah seorang daripada Fir’aun iaitu raja Mesir purba yang dijangkiti demam malaria telah bersembunyi-sembunyi mendapatkan rawatan di suatu gua bagi mengelakkan daripada diketahui dan dilihat oleh rakyat jelata. Namun begitu ia mati dalam keadaan gusar dan penuh dengan dukacita.

Allah Ta’ala berfirman, dalam Surah Al-Balad, Ayat 4, maksudnya:

“Sesungguhnya Kami (Allah) telah jadikan manusia sentiasa dalam keadaan menghadapi kesulitan dan kesukaran (jasmani dan rohaninya).” Ayat 4

Allah Ta’ala berfirman, dalam Surah Al-Insyiqaaq, Ayat 6, maksudnya:

“Wahai manusia! Sesungguhnya engkau sentiasa berpenat lelah(menjalankan keadaan hidupmu) dengan sedaya upayamu hinggalah (semasa engkau) kembali kepada Tuhanmu, kemudian engkau tetap menemui balasan apa yang engkau telah usahakan itu (tercatit semuanya).” Ayat 6

Dalam pada manusia kafir mencari-cari formula bagi menggariskan jalan menuju kepada kebahagiaan dalam hidup yang amat kompleks ini, dari dahulu hingga sekarang ini, belum berjaya lagi. Pada umumnya orang-orang kafir sendiri dalam apa jua profesionnya, bukan sahaja tidak dapat formula kebahagiaan bahkan juga mereka sesat tidak dapat mengenali diri mereka sendiri, dalam erti kata berkaitan kehendak, emosi, resah gelisah, penyakit, cinta, nafsu keinginan, nafsu syahwat dan lain-lain lagi.

Dr.HAMKA, telah menulis dalam kitabnya yang bernama” TAFSIR AL-AZHAR”, Juzu’ ke-7, muka surat 195, menyebut:

“Sekarang jahiliyah itu masih dilanjutkan dengan jahiliyah moden. Segala macam teori tentang susunan masyarakat telah diciptakan oleh manusia. Kekuasaan telah tersusun, baik yang berdasarkan faham Kapitalisme, ataupun yang bersendikan faham Sosialisme dan faham Komunisme, mencitakan suatu negara yang adil dan makmur tetapi jauh samasekali dari percayaan akan hari perhitungan. Maka silih bergantilah kekuasaan. Dari zaman feudal kekuasaan raja-raja, atau bersekongkol dengan kekuasaan penguasa-penguasa agama, namun yang lemah tetap tertindas.”

“Walau apa nama teori yang dikemukakan dan “isme” yang diperjuangkan, namun hakikatnya hanya satu iaitu keadilan dan kemakmuran bertambah jauh. Yang merata bukan kekayaan, melainkan kemiskinan. Sebab dasar semuanya itu hanya satu, iaitu memandang bahawa hidup hanya hingga dunia ini sahaja. Baik politik atau sosial atau ekonomi, atau kebudayaan, atau hubungan kelamin lelaki dengan kelamin perempuan atau seni sekalipun, atau apa sahaja kegiatan hidup, sudah dibatasi hanya di dunia ini sahaja.”

WAJIB MENUNTUT ILMU AGAMA ISLAM

Bagi orang-orang Mukmin adalah dituntut supaya mempelajari segala ilmu pengetahuan dan bahasa-bahasa yang berguna kepada diri, manusia, makhluk sejagat dan sebagainya, selagi ia tidak bercanggah dengan hukum-hukum syari’e, ia harus dan menjadi fardhu kifayah.

Pengetahuan-pengetahuan dalam semua jurusan dan segala bidang adalah milik kepunyaan Allah Ta’ala untuk diteroka, ditimba dan digali cari oleh hamba-hambaNYA. Orang-orang mukmin juga wajib berpegang dengan iman yang teguh bahawasanya tiada nikmat yang diterimanya itu kecuali ianya daripada Allah Yang Maha Esa, tidak ada yang bersekutu denganNYA.

Justeru itu, jika terdapat orang-orang yang kuat jiwa materialnya yang amat terpengaruh oleh pancainderanya, hingga padam sama sekali kesucian jiwa rohaninya terhadap Allah Ta’ala, maka ia melihat bantuan atau kebaikan itu hanya semata-mata dari sesama makhluk atau dari usahanya sendiri. Di samping ia juga percaya dan yakin bahawa ijazah dan kelulusannya dapat menjamin rezeki. Jika yang demikian itu berupa iktikad keyakinan, maka syiriknya jelas.

Islam menganjurkan supaya orang-orang mukmin menjadi orang yang kuat; kuat akal fikiran, kuat jasmani sepertimana tersebut dalam sebuah Hadis, Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, mafhumnya:

“Orang mukmin yang kuat lebih baik dan lebih disukai Allah daripada orang mukmin yang lemah. Namun dua-duanya baik. Giatlah berusaha memperoleh sesuatu yang bermanfaat bagimu, mohonlah pertolongan kepada Allah, dan janganlah merasa lemah tak berdaya. Bila engkau mengalami hal yang tidak menyenangkan janganlah engkau berkata: “Seandainya aku berbuat begini tentu akan terjadi begitu”! Katakan sahajalah: “Sudah menjadi takdir Allah. Allah berbuat apa sahaja yang dikehendakiNYA.” Ingatlah bahawa kata-kata “seandainya” memberi kesempatan kepada syaitan untuk bekerja!” Muslim

Dalam menghadapi pencerobohan dan penindasan, Islam memerintahkan supaya umatnya wajib mengadakan persediaan persenjataan yang kuat, moden dan tercanggih bagi menjaga kehormatan Islam, sepertimana Allah Ta’ala berfirman dalam Surah Al-Anfaal, Ayat 60, maksudnya:

“Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya.” Ayat 60

Melalui sebuah Hadis, dari Anas bin Malik r.a., katanya:

“Seorang pemuda dari suku Aslam berkata kepada Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, “Ya, Rasulullah! Sesungguhnya aku ingin hendak turut berperang tetapi aku tidak mempunyai perlengkapan.” Sabda Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, “Datangilah si Fulan kerana dia telah berlengkap tetapi dia sakit.” Maka datanglah pemuda itu kepada si Fulan lalu katanya, “Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam berkirim salam untuk anda, dan menyuruh anda memberikan perlengkapan perang anda kepadaku.” Kata si Fulan kepada isterinya, “Hai, Fulanah! Berikan perlengkapan perangku kepada pemuda ini semuanya, satu pun jangan ada yang ketinggalan. Demi Allah! Satu pun jangan ada yang ketinggalan! Allah Ta’ala akan memberi berkat kepadamu kerananya!” Sahih Muslim

Islam juga menuntut supaya umat-umatnya berusaha mencari pahala dengan kekayaan yang dikurniakan Allah Ta’ala, seperti firmanNya dalam Surah Al-Qasas, Ayat 77, maksudnya:

“Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat, dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah kepada Allah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan.” Ayat 77

Kendatipun begitu mempelajari Al-Quran, Hadis Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, dan hukum-hukum Allah Ta’ala adalah menjadi kewajiban yang teratas (top priority) dan fardhu ‘ain ke atas tiap-tiap Muslim dan Muslimah, seperti tersebut dalam Hadis dari Anas bin Malik r.a., katanya:”Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasalla,bersabda, mafhumnya:

“Menuntut ‘ilmu adalah satu fardhu yang wajib atas tiap-tiap seorang Islam.” Ibnu Majah dan lain-lainnya

Maka sebaik-baik ilmu itu ialah ilmu yang disertai oleh rasa takut kepada Allah Ta’ala. Allah Ta’ala berfirman dalam Surah Faatir, Ayat 28, maksudnya:

“Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang ’alim .” Ayat 28

Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, mafhumnya:

“Orang yang menuntut ‘ilmu Agama itu Allah menjamin rezekinya (mudah di dunia dan bahagia di akhirat). Al-Hikam

Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, mafhumnya:

“Sesungguhnya para malaikat meletakkan sayapnya pada orang-orang yang menuntut ilmu kerana suka pada apa yang dituntutnya.” Al-Hikam

Seterusnya Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, berdo’a, mafhumnya:

“Ya Allah! Aku berlindung kepadaMu dari ‘ilmu yang tidak berguna (yakni ‘ilmu yang tidak rasa takut kepada Allah Ta’ala).” Al-Hikam

ORANG YANG CELAKA DAN BAHAGIA

Oleh kerana dunia ini bersifat sementara, maka segala kesusahan, kesenangan, kegembiraan, dukacita, sakit dan sihat, cacat dan sempurna fizikal, semuanya bersifat sementara juga.

Orang-orang yang celaka, yang sebenar-benarnya dan berkekalan ialah orang-orang celaka yang mendapat balasan azab dan berkekalan di dalam neraka.

Orang-orang yang bahagia, yang sebenar-benarnya dan berkekalan ialah orang-orang yang diberi nikmat syurga yang mana mereka hidup berkekalan di dalamnya.

Allah Ta’ala berfirman, dalam Surah Hud, Ayat 105, Ayat 106, Ayat 107 dan Ayat 108, maksudnya:

“(Pada) masa datangnya (hari kiamat itu), tiadalah seorang pun dapat berkata-kata (untuk membela dirinya atau memohon pertolongan) melainkan dengan izin Allah. Maka di antara mereka ada yang CELAKA, dan ada pula yang BERBAHAGIA.” Ayat 105

“Adapun orang-orang yang CELAKA (disebabkan keingkaran dan maksiatnya), maka di dalam nerakalah tempatnya. Bagi mereka di situ, hanyalah suara memekik-mekik dan mendayu-dayu (seperti suara keldai).” Ayat 106

“Mereka kekal di dalamnya selagi ada langit dan bumi (yakni langit dan bumi pada hari akhirat), kecuali apa yang dikehendaki oleh Tuhanmu. Sesungguhnya Tuhanmu, Maha Kuasa melakukan apa yang dikehendakiNya.” Ayat 107

“Adapun orang-orang yang BERBAHAGIA (disebabkan imannya dan taatnya), maka di dalam syurgalah tempatnya. Mereka kekal di dalamnya selagi ada langit dan bumi, kecuali apa yang dikehendaki oleh Tuhanmu, sebagai pemberian nikmat yang tidak putus-putus.” Ayat 108

Wallahu A’lamu Bissawab

Nota:

Sila baca “ORANG MUKMIN DIPERTEMUKAN DAN DIHUBUNGKAN DENGAN KETURUNANNYA DI SYURGA” OLEH IBNU KATHIR, DALAM POS SEBELUM INI.


Hari Jumaat
22 Rabi’ul Awal 1432 Hijriyah
25 Februari 2011

Friday, February 11, 2011

ORANG MUKMIN DIPERTEMUKAN DAN DIHUBUNGKAN DENGAN KETURUNANNYA DI SYURGA


BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIIM

ORANG MUKMIN DIPERTEMUKAN DAN DIHUBUNGKAN DENGAN KETURUNANNYA DI SYURGA

Allah Subhanahu Wata’alaa menceritakan tentang kurnia da pemberianNya kepada makhlukNya, juga kebaikanNya bahawa orang-orang mukmin itu apabila anak cucu mereka mengikuti dalam keimanan, maka anak cucu mereka itu akan diikutkan dengan mereka dalam kedudukan yang sama, meskipun anak cucu mereka itu belum setara dengan amal mereka. Tujuannya agar hati dan pandangan para ayah merasa sejuk dengan berkumpulnya mereka bersama anak-anak mereka.

Dengan demikian, mereka dapat bergabung bersama-sama dalam keadaan yang sebaik-baiknya dari segala segi. Allah SWT telah melenyapkan kekurangan dari amal mereka, lalu menggantinya dengan amal yang sempurna tanpa mengurangi amal dan kedudukan mereka . Hal ini mengingat adanya kesamaan di antara mereka (dalam keimanan). Kerana itulah disebutkan dalam firman Allah SWT: “Kami hubungkan anak cucu mereka dengan mereka, dan Kami tidak mengurangi sedikit pun dari pahala amal mereka. Tiap-tiap manusia terikat dengan apa yang dikerjakannya.”

Imam ats-Tsauri meriwayatkan dari Ibnu ‘Abbas r.a., ia berkata: “ Sesungguhnya Allah SWT benar-benar mengangkat anak cucu orang mukmin menjadi sedarjat dengannya, sekalipun amal mereka berada di bawahnya. Hal ini bertujuan aga keberadaan anak cucu mereka bersamanya, membuat hatinya menjadi senang.” Kemudian Ibnu ‘Abbas r.a. membaca firman Allah SWT : “Dan orang-orang yang beriman, dan yang anak cucu mereka mengikuti mereka dalam keimanan, Kami hubungkan anak cucu mereka dengan mereka, dan Kami tidak mengurangi sedikit pun dari pahala amal mereka.” Riwayat yang serupa juga dikeluarkan oleh Ibnu Jarir dan Ibnu Abi Hatim dari jalur Sufyan ats-Tsauri.

Tentang firman Allah SWT: “Dan orang-orang yang beriman, dan yang anak cucu mereka mengikuti mereka dalam keimanan, Kami pertemukan anak cucu mereka dengan mereka, dan Kami tdak mengurangi sedikit pun dari pahala amal mereka. Tiap-tiap manusia terikat dengan apa yang dikerjakannya.” Ibnu Abi Hatim meriwayatkan dari Ibnu ‘Abbas r.a. bahawa mereka adalah keturunan orang mukmin yang mati dalam keadaan beriman. Walaupun kedudukan ayah mereka lebih tinggi daripada mereka, akan tetapi mereka tetap disandingkan dengan ayah mereka tanpa mengurangi pahala amal ayah mereka sedikit pun.

‘Abdullah putera Imam Ahmad bin Hanbal meriwayatkan dari ‘Ali, ia berkata: “Khadijah pernah bertanya kepada Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam tentang kedua orang tuanya yang meninggal semasa jahiliyah, maka Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam menjawab, “Mereka berdua di Neraka.” Ketika Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam melihat ketidaksukaan di wajah Khadijah, Baginda bersabda: “Andai kau melihat tempat mereka berdua tentu kamu akan membenci keduanya.” Khadijah bertanya: “Wahai Rasulullah, bagaimana dengan anakku yang engkau ayahnya (di mana mereka?)” Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam menjawab: “Di Syurga.” Kemudian Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam melanjutkan: “Sesungguhnya orang-orang mukmin dan anak-anaknya berada di dalam Syurga, dan sesungguhnya orang-orang musyrik dan anak-anaknya (yang sama-sama musyrik) berada di dalam Neraka.” Kemudian Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam membaca firman Allah SWT: “Dan orang-orang yang beriman, dan yang anak cucu mereka mengikuti mereka dalam keimanan, Kami pertemukan anak cucu mereka dengan mereka, dan Kami tidak mengurangi sedikit pun dari pahala amal mereka. Tiap-tiap manusia terikat dengan apa yang dikerjakannya.”

Inilah kurnia yang Allah berikan kepada para anak disebabkan keberkatan amal orang tua mereka. Adapun keutamaan yang dikurniakan kepada para ayah, maka hal itu disebabkan keberkatan do’a anak-anak mereka.

Imam Ahmad meriwayatkan dari Abu Hurairah r.a, ia mengatakan bahawa Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: “Sesungguhnya Allah benar-benar mengangkat darjat seorang hamba yang soleh di Syurga. Lalu hamba itu bertanya: “Wahai Tuhanku, dari mana kedudukan yang aku dapatkan ini? Allah SWT berfirman: ‘Ini disebabkan permohonan ampun anakmu untukmu.’”

Sanad hadis ini sahih. Para ahli hadis tidak meriwayatkan dari jalur ini. Akan tetapi hadis ini memiliki penguat yang terdapat dalam Sahih Muslim bersumber dari Abu Hurairah r.a. dari Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, Baginda bersabda: “Apabila manusia telah meninggal, maka terputuslah (pencatatan) amal perbuatannya kecuali tiga kategori amal; (1) sedekah jariyah,(2) ilmu yang dimanfaatkan dan (3) anak soleh yang mendo’akan (orang tua) nya.”

CATATAN:

Tulisan tersebut di atas adalah dipetik daripada kitab “TAFSIR IBNU KATHIR” , Jilid 8, muka surat 565, 566, 567 dan 568.

Ibnu Kathir, nama sebenarnya ialah Imam yang mulia Abul Fida’ ‘Imaduddin Isma’il bin ‘Umar bin Kathir al-Qurasyi al-Bushrawi yang berasal dari kota Basrah. Beliau dilahirkan di Mijdal, sebuah tempat di kota Basrah pada tahun 701 Hijriyah bersamaan 1302 Masihi. Beliau wafat di Damascus, negeri Syam (Syria) pada tahun 774 Hijriyah bersamaan 1373 Masihi. (Inna lillahi wa inna ilaihi raaji’uun).

Hari Jumaat

8 Rabi'ul Awal 1432 Hijriyah

11 Februari 2011