Friday, March 16, 2012

PAKAIAN KE KANDANG HAIWAN

MENERIMA BR1M500.00

Pada suatu hari, (iaitu pada 27 Januari 2012) aku pergi ke sebuah bank berdekatan dengan rumahku sebanyak dua kali. Kali pertama pada jam 9.30 pagi. Oleh kerana aku lihat ramai orang bersesak-sesak di dalam bank, aku tangguhkan urusanku dan bercadang datang semula pada sebelah petang dengan harapan kurang orang waktu itu.

Kali kedua aku pergi ke bank itu selepas solat zuhur, kurang lebih jam 2.30 petang. Anggapanku silap kerana orang masih ramai juga. Kali ini aku tidak pulang dan terus masuk berurusan dalam keadaan kesesakan orang.

Sementara menunggu giliranku, aku memandang ke sana sini melihat iklan-iklan di dinding dan pergerakan orang di dalam bank itu dan memandang ke panel nombor giliran yang dipanggil satu persatu.

Orang ramai yang datang pada hari itu rupa-rupanya kebanyakan daripada mereka, orang-orang yang menerima BANTUAN RAKYAT 1MALAYSIA (BR1M) sebanyak 500.00 Ringgit seorang.

Suasana dalam bank menjadi bising dengan suara percakapan dalam berbagai bahasa; Melayu, China (Mandarin, Hokkien, Hakka, Kantonis), India (Tamil, Malayalam, Benggali, Teleggu).

Untuk tidak menambahkan lagi hingar bingar dengan keriuhan di sekelilingku itu, aku diam sahaja selain daripada sekali sekala berdiri dan berjalan-jalan menghilangkan lenguh.

Cuba bayangkan bagaimana suasana di dalam bank yang sederhana besar itu, kedengaran suara-suara percakapan orang berbagai bahasa yang tidak boleh difahami sesetengahnya tuturan bahasanya.

BAHASA MELAYU PASAR

Di tengah-tengah hingar bingar suara orang ramai itu, aku terdengar suara orang bercakap melayu mengikut telor Ah Pek, berbual dengan seorang cina setengah umur.

Aku pernah dengar orang berkata bahawa lidah orang-orang melayu itu lembut dan ada juga yang melebih-lebih memuji mengatakan bahawa lidah melayu itu adalah lidah emas yang mana boleh mengikut loghat “accent” apa-apa gaya bahasa asing dengan fasih.

Tetapi, pelik juga, apabila kebanyakan orang melayu yang mendapat didikan Inggeris pun masih bercakap gaya MANGLISH (MALAYSIA-ENGLISH). Ada juga yang terus bertutur Inggeris macam loghat Kelantan atau bertutur Inggeris dengan loghat Kedah, atau dengan loghat Terengganu. Apapun asalkan dapat faham sudahlah.

“BOXER SHORTS”

Dalam suasana sesak di dalam bank itu, aku tidak dapat mengelak mataku dari memandang beberapa orang pelanggan muda lelaki dan perempuan yang memakai singlet iaitu baju dalam yang tidak berlengan dan berseluar pendek “boxer shorts” atau seluar dalam pendek.

Salah seorang daripada mereka meletakkan sikunya ke atas kaunter bank tersebut sehingga ternampak bulu ketiaknya bercacak serabut menjijikkan di hadapan pekerja bank, seorang perempuan yang memakai pakaian seragam bank yang sopan.

Melihatkan keadaan itu, terlintas dalam fikiranku, walaupun gaya pakaian rakyat Malaysia bebas untuk dipakai dengan apa cara pun, alangkah eloknya pihak berkuasa dapat menetapkan suatu “dress code” untuk orang ramai pakai ketika bertemu menteri, berlanggan dengan pejabat-pejabat kerajaan, badan-badan berkanun dan swasta, supaya ianya tidak kelihatan pakaian-pakaian itu seperti pakaian orang-orang ke reban ayam, ke ladang-ladang lembu dan kambing atau ke kandang babi.

Hari Jumaat
23 Rabi’ulAkhir 1433 Hijriyah
16 Mac 2012

No comments: