Wednesday, October 24, 2007

24 OKTOBER 2007




BISMILLAH AR-RAHMAAN AR-RAHIIM



Dengan nama Allah yang pemurah lagi penyayang, segala puji-pujian bagi Allah pentadbir sekalian alam, selawat dan salam ke atas semulia-mulia nabi dan Rasul iaitu penghulu kami nabi Muhammad S.A.W. dan di atas keluarganya dan para sahabatnya sekalian.






Aku daripada sari pati tanah


Daripada air dan darah


Dilimpahkan Allah dengan qudrah


Allah menciptakan aku dengan irodah






Ditatahkan aku dengan pendengaran, pandangan, hati dan deria


Dilengkapkan aku akal dan minda


Disiratkan tulang tenaga dan daya


Semoga aku menjadi hamba Allah yang berguna






Habis nyawa jiwa dan raga


Tiadaku dapat menghitung nikmatMu semua


Aku mengaku benar firmanMu amat nyata


Dalam Al-Quran Al-Karim yang mulia






Surah An-Nahl ayat lapan belas mafhumnya


Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala


"Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkannya)


tiada kamu dapat menghitungnya"




Sehembusan nafasku segerak nadi


Dalam genggaman Allah yang Maha Suci


Nilai harganya teramat tinggi


Lebih dari segala isi dunia, langit dan bumi






Sudah 24,471 hariku berlalu


Amal ibadatku amat kurang terhadapMu


Segala kekurangan adalah kelemahan diriku


Ya Allah, ampunilah dan rahmatilah daku






Aku bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah


Aku bersaksi bahawa Muhammad pesuruh Allah


Solatku, ibadatku, hidupku, matiku, aku serah


Segala-galanya bagiMu, terimalah dariku Ya Allah








Friday, October 19, 2007

QASIDAH BERZANJI




BISMILLAH AR-RAHMAAN AR-RAHIIM

Tok Ayah terjemah qasidah berzanji ini mengikut maksudnya sahaja untuk memudahkan cucunda-cucunda memahaminya.



Allah berselawat keatas Muhammad


Selawat salam kesejahteraan


Wahai Nabi salam atasmu


Wahai Rasul salam atasmu


Wahai kekasih salam sejahtera


Selawat Allah ke atasmu lagi mulia


Bulan purnama menyinari kami


Hilang lenyap duka di hati


Indah menawan tak pernah dipandang


Wajah gembira jiwanya tenang


Kaulah suria kaulah bulan


Kau cahaya atas segala sinaran


Kaulah rahsia yang tinggi nilainya


Kaulah pelita menyuluh di dalam dada


Wahai kekasihku wahai Muhammad


Wahai pengantin indah memikat


Wahai Nabi yang dijulang puja


Wahai imam dua qiblat nyata


Bahagialah orang yang memandang wajahmu


Wahai penghulu mulia keturunanmu


Air kolammu jernih lagi sejuk


Tempat di hari akhir kami duduk


Tak pernah kami melihat unta berjalan


Sepanjang malam melainkan merindui tuan


Awan putih memayungi tuan


Mengiringi selawat doa dan rayuan


DIA mengetahui rahsia tersirat


DIA juga memperkenankan doa yang berhajat


Wahai Tuhan rahmatilah kami semua


Dengan segala amalan soleh kami kerja


Dan Allah berselawat atas Ahmad


Sebanyak-banyak kertas tulisan dakwat


Ahmad membawa hidayah Muhammad


Empunya wajah berseri-seri memikat










Harumkanlah ya Allah, kubur junjungan yang mulia


Dengan selawat selamat sejahtera


Ya Allah selawat dan salam serta berkatilah ke atas Nabi kami


YA ALLAH, RAHMATI DAN KASIHANI ROH-ROH ORANG MUKMIN


BISMILLAH AR-RAHMAAN AR-RAHIIM


Suatu catitan Tok Ayah sempena Hari Raya 'Aidul Fitri, 1 Syawal 1428 Hijriyah bersamaan 13 Oktober 2007 iaitu hari Sabtu selepas Tok Ayah dan Ayahanda-ayahanda Dzil Azza dan Ahmad Rohi menziarahi kubur Allahyarhamah Tok Mama Hajah Zakiah binti Haji Rajihan.


Orang-orang yang hidup rakan atau keluarga

Menghadiahkan kepada orang mati dalam kuburnya

Bacaan Al-Quran dan tahlil di mana-mana sahaja

Hadiah pahalanya sampai jua




Dari 'Aisyah r.a. Nabi bersabda mafhumnya

"Tiada lelaki menziarah dan duduk di kubur saudaranya

Melainkan beramah mesra orang itu dengan dia

Sehingga bangun pulang orang yang menziarahinya"





Sunat muakkad hukum menziarahi kubur ibu bapa

Sesampai ke kubur teruslah beri salam sejahtera

Ucapan bermula dari pihak mukanya

Bila berdoa, menghadap kiblat di belakangnya




Hari-hari yang afdal masanya

Petang Khamis, Jumaat dan Sabtu sebelum senja

Allah izinkan arwah mengetahui orang yang menziarahinya

Di hari-hari yang lain pun boleh juga tetapi tak sama afdalnya




Orang mati ibarat orang karam di lautan

Menanti-nanti siang dan malam dengan harapan

Mendapat doa dan istighfar daripada anak-anak dan taulan

Untuk membantu menjadikannya bekalan amalan




Dari Abu Hurairah r.a. katanya

Nabi S.A.W. bersabda mafhumnya

"Apabila seseorang anak Adam meninggal dunia

Putuslah sudah semua amalannya




Kecuali ada tiga perkara

SEDEKAH JARIAH yakni wakafnya

ILMU yang bermanafaat dengannya

Dan ANAK YANG SOLEH yang mendoakan baginya"


Sunday, October 7, 2007

DI HARI AWALANKU


BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIIM.




Dengan nama Allah yang pemurah lagi penyayang, segala puji-pujian bagi Allah pentadbir sekalian alam, selawat dan salam ke atas semulia-mulia nabi dan Rasul iaitu penghulu kami nabi Muhammad Sallallahu 'alaihi wasallam dan di atas keluarganya dan para sahabatnya sekalian.




Seketika aku di awal pagi yang menyegar pepohon


Dedaun menghijau bertatahkan titisan embun


Bulat memutih bagai mutiara di samudera


Sejernih kilauan cahaya berlian dan delima




Bunga-bungaan membuka kelopak penuh warna


Berseri-seri aneka rupa menerkam mata


Burung-burung berkicauan dan bercengkerama


Duniaku penuh gembira bersinar ria




Bila hembusan bayu sejuk ditelan masa


Mutiara embun leleh pudar warnanya


Dedaun melentur setala angin tuja


Serasa hilang dingin-dingin, cergas tenaga




Aku melangkah berusaha, beribadat dan bekerja


Memenuhi tenaga yang Allah Ar-Rahmaan kurnia


Menjalankan urusan buat seketika


Aku tinggal di sini hanya buat sementara




Waktu malam ku renung di celah-celah arakan awan


Jelas tompok-tompok awan putih berkejaran berlarian


Aku nampak seolah-olah bulan beredaran laju


Rupa-rupanya pandanganku terkeliru




Bintang-bintang menghiasi langit ciptaan Ilahi


Lemahlah aku membilang-bilang tiada terperi


Terserlah bagiku empat bintang menyinari


Jiwaku tenang, syukur kepada Allah yang memberi




Wahai bintang-bintangku di tanah mana dikau berada


Bersinar bercahayalah dalam taqwa


Taatkan Allah dan RasulNya wajib berjaya


Janji Allah benar, tetap lurus jalanNya




Setiap bintang menyinari diri dan sekitaran


Di lembah, di danau, di bukit bukau dan di banjaran


Menjadi panduan kepada pengembara di lautan dan di daratan


Bagi mukmin memimpin ke jalan Allah adalah suatu kewajiban




Ya Allah, himpunkanlah bintang-bintangku


Dalam lingkungan penjagaanMu


Ampunkanlah dosa-dosaku dan kedua ibu bapaku


Ampunkan juga dosa-dosa anak-anakku




Isnin


26hb Ramadhan 1428 Hijriyah


8hb Oktober 2007