Sunday, September 2, 2007

AMANAT DARIPADA AYAHANDA GHAZALI MUHAMMAD NUR





BISMILLAH AR-RAHMAAN AR-RAHIIM

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarokatuh. Assolatu wassalamu 'ala asyrofil anbiaa'i walmursaliin wa'ala alihi wasohbihi ajma'in






Alhamdulillah, Ayah bersyukur kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala atas limpah kurniaNya memberi izin supaya kita berlima orang anak beranak lelaki dapat kesempatan masa berkumpul dan berjumpa pada hari ini Sabtu 18 Syaaban 1428 Hijriyah bersamaan 1 September 2007.

Ya Allah, Engkau jadikanlah perjumpaan kami ini sebagai perjumpaan yang Engkau rahmatkan dan perpisahan kami selepas ini sebagai perpisahan yang Engkau peliharai.

Anakanda-anakandaku yang diredhai Allah Subhanahu Wa Ta'ala

Dalam perjumpaan pada hari yang bertuah ini, Ayah mengisytiharkan kesyukuran Ayah sendiri kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala kerana dengan rahmatNya telah mengurniakan empat orang anak lelaki yang amat sempurna sebagai hamba Allah yang mendapat hidayah Islam daripadaNya. Anak-anak lelaki adalah menjadi asas percambahan zuriat yang beramal dengan amalan-amalan soleh iaitu pahala yang besar sekali melalui ikatan silaturrahim. Pahalanya itu InsyaAllah, tidak putus-putus sebagai sungai-sungai yang mengalir di bawah syurga Allah Subhanahu Wa Ta'ala.

Sesungguhnya suatu ketetapan Allah Subhanahu Wa Ta'ala kepada tiap-tiap orang lelaki yang beriman ialah tanggungjawabnya sebagai "khalifah" yang memimpin pada peringkat-peringkat yang telah dipertanggungjawabkan mengikut perintahNya dan menjauhi segala laranganNya. Khususnya disini setiap orang anak Ayah mesti menjadi pemimpin sebagai menjunjung amanah Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Seorang pemimpin ialah orang yang membuat keputusan yang betul, tepat dan efektif sebagaimana hadith yang riwayatkan oleh Abdullah bin 'Umar r.a.: Sabda Rasulullah S.A.W. (mafhumnya) "Semua kamu adalah memimpin dan tiap-tiap kepimpinan dipertanggungjawabkan....." [Sahih Al-Bukhari 9/7138]
Pemimpin yang beriman adalah semata-mata menuntut untuk mendapat keredhaan Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Ingatlah lelaki yang tidak mampu memimpin ya'ani lelaki yang tiada daya jiwa untuk memimpin orang-orang yang dibawah tanggungjawabnya, maka ia jatuh papa kedana di akhirat. Gedung amalannya yang baik-baik akan menjadi kosong dan ia akan dicampak bersama-sama dengan orang-orang yang dibawah tanggungjawabnya yang melakukan larangan-larangan Allah Subhanahu Wa Ta'ala ke dalam neraka.
Nabi Yunus a.s. telah melakukan kesalahan terhadap Allah Subhanahu Wa Ta'ala apabila beliau kecewa dan lari daripada menghadapi kaumnya yang bebal dan degil. Beliau kecundang daripada memimpin mereka. Akhirnya beliau dikifarahkan Allah, lalu beliau di telan ikan Nun. (Ruj. Surah Al-Anbiyaa:87-88/Surah Yunus:98/Surah Ash-Shaffat:139-148)
Islam menganjurkan supaya umatnya bersatupadu seperti batu bata bangunan, lengkap melengkapi diantara satu sama lain. Untuk tujuan perpaduan itu, Allah Subhanahu Wa Ta'ala menetap dan meletakan kewajipan mengikut tertib susunan yang kukuh iaitu yang terutama, yang kurang utama dan yang terkurang utama.
Yang terutama : perpaduan silaturrahim
Yang kurang utama : perpaduan sesama orang-orang Islam
Yang terkurang utama : perhubungan dengan orang-orang lain
Dalam masalah jiran, Rasulullah S.A.W. menggariskan tiga kategori :
Kategori pertama : jiran yang ada hubungan kerabat - silaturrahim.
Kategori kedua : jiran Islam yang tiada hubungan kerabat
Kategori ketiga : jiran-jiran yang lain
Begitu juga Allah Subhanahu Wa Ta'ala memerintahkan supaya seseorang Islam itu berbelanja, bersedekah dan berzakat hendaklah didahulukan kepada kerabat silaturrahim. Oleh itu, kerabat silaturrahim wajib mendapat tempat teratas keutamaan dalam semua amalan, doa dan kebajikan. (Ruj. Surah Al-Anfal:75/An-Nisa':1,34,36/Al-Isra':26/Al-Baqarah:27,177,215/Al-Rum:38/An-Nahl:90)
Ayahanda telah mutalaah ayat-ayat Al-Quran Al-Karim tersebut di atas dan berharap anakanda-anakanda dapat membaca ayat-ayat tersebut supaya kita bersama-sama mendapat bimbingan hidayah dan keberkatan daripada Allah Subhanahu Wa Ta'ala.
Berdasarkan kepada hal perhubungan itu, maka Ayah amat bersetuju dengan cadangan anakanda-anakanda untuk menubuhkan suatu dana famili berkonsepkan kebajikan kaum kerabat untuk kukuh mengukuhkan ikatan silaturrahim. Dengan adanya dana tersebut maka dapatlah kita bermuzakarah, berbincang, bermesyuarat dan sebagainya untuk dijadikan asbab perjumpaan berjadual yang tetap. Melalui dana tersebut kita sama-sama dapat menuntut pahala dan keredhaan seperti yang dijanjikan daripada Allah Subhanahu Wa Ta'ala.
Ayahanda sukacita menarik perhatian anakanda-anakanda mengapa perhubungan adik beradik dan kaum kerabat silaturrahim boleh menjadi renggang kerana tiada perhubungan yang kerap dengan sebab-sebab diantaranya ialah :
- tidak mengambil berat antara satu sama lain
- perpisahan yang lama kerana belajar, berkahwin, berpindah dan berlaku pergaulan rapat dengan orang luar
daripada kaum kerabat silaturrahim yang sepatutnya
"Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk kedalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadaMu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadaMu)".
(Ruj. Surah Al-Ahqaaf:15)







No comments: