Tuesday, September 25, 2007

SURAT BERANGKAI (CHAIN LETTER)




BISMILLAH AR-RAHMAAN AR-RAHIIM

Cucunda-cucundaku dibawah peliharaan Allah Subhanahu Wa Ta'ala




Semasa Tok Ayah belajar di sekolah arab dahulu, telah banyak kali Tok Ayah baca daripada kawan-kawan Tok Ayah mengenai surat-surat berangkai (chain letter). Surat-surat berangkai zaman itu dihantar mengguna perkhidmatan pos. Jadi sesiapa yang menerima surat-surat tersebut mesti disalin dan diedarkan kepada rakan-rakan atau saudara mara atau orang-orang yang dikenali. Jika tidak dibuat demikian, dikatakan orang yang menerima surat itu akan diancam dengan berbagai-bagai malapetaka atau ditimpa kejadian buruk.




Salah satu daripada surat berangkai tersebut yang Tok Ayah masih ingat, ialah satu surat pesanan kepada orang-orang Islam supaya mengamalkan sesuatu amalan tertentu untuk mendapat ganjaran daripada hasil amalan tersebut. Surat itu dikatakan surat yang dijumpai tergantung di pintu Kaabah dan ditulis oleh Tuan Sheikh yang pernah bermimpi berjumpa dengan Rasulullah S.A.W.




Bila murid-murid sekolah arab tempat Tok Ayah belajar menerima surat tersebut dan jika mereka belum ikut atau amal apa yang diarah di dalam surat itu; mereka menjadi takut dan gerun serta resah gelisah. Tambahan pula arahan-arahan itu nampak baik dan boleh diterima pada fikiran budak-budak dan boleh dipercayai juga oleh ramai orang dewasa yang jahil agama. Buktinya surat tersebut secara sulit-sulit atau diam-diam telah diterima dan diedarkannya pula kepada orang lain. Sehingga ada diantara ustaz-ustaz tempat Tok Ayah belajar juga menerima surat tersebut. Ustaz-ustaz di sekolah Tok Ayah belajar itu tidak mengambil peduli arahan-arahan di dalam surat tersebut tetapi terus mengoyak dan membuang surat itu di hadapan murid-murid di dalam kelas Tok Ayah.




Zaman ini adalah zaman internet dan sebagainya, maka lebih cepatlah sesuatu maklumat disampaikan samada maklumat itu benar atau dusta atau ditujukan khas kepada orang-orang Islam supaya aqidah mereka menjadi rosak. Na'uzubillahi Min Zalik - Kami berlindung dengan Allah daripada perkara tersebut.




Oleh itu Tok Ayah harap cucu-cucu Tok Ayah sekalian berwaspada atas perkara-perkara seperti itu. Kita mesti berani melawan perkara-perkara kurafat dan ancaman-ancaman yang menakutkan dan tidak munasabah. Orang-orang jahat itu sentiasa berada di mana-mana sahaja dan bila-bila masa dan juga setiap zaman.




Surat berangkai yang diedarkan pada zaman Tok Ayah bersekolah dahulu, telah dibuktikan ditulis oleh pendakyah-pendakyah Kristian dan Yahudi sedunia. Pendakyah-pendakyah Kristian dan Yahudi, mereka fasih berbahasa arab dan pandai membaca Al-Quran Al-Karim dan Hadith-hadith Nabi S.A.W.; sehingga mereka berkebolehan mengubah-ubahkan ayat-ayat Al-Quran Al-Karim dan memutarbelitkan Hadith-hadith Nabi S.A.W. untuk memesongkan aqidah orang-orang Islam.




Di Malaysia sekarang ini, ramai terperangkap dengan dakyah-dakyah Kristian dan Yahudi itu samada melalui pembelajaran atau melalui gaya hidup yang diterapkan secara halus dalam berbagai-bagai bentuk. Ada diantara orang-orang Melayu sekarang ini sudah bertopengkan Islam. Disebalik topeng itu mereka sebenarnya haiwan hyena yang hodoh lagi lapar sedang menunggu mangsa-mangsa mereka. Orang-orang Melayu yang bertopengkan Islam ini juga menjadi agen-agen Kristian dan Yahudi sedunia.




"Dan mereka (kaum Yahudi dan Nasrani) berkata: 'Jadilah kamu pemeluk agama Yahudi atau pemeluk agama Nasrani, nescaya kamu akan medapat pertunjuk'. Katakanlah (wahai Muhammad:'Kami orang-orang Islam tidak akan menurut apa yang kamu katakan itu) bahkan kami mengikut agama Nabi Ibrahim yang tetap di atas dasar Tauhid, dan bukanlah ia dari orang-orang musyrikin." (Al-Baqarah:Ayat 135)


















1 comment:

Unknown said...

Assalamualaikum, surat berangkai ni, kawan edo Ustaz dari Madinah ada bagi komen, diantaranya
Assalamu alaikum,

sahabat-sahabat yang saya hormati sekelian. saya terpanggil untuk memberi sedikit komen dan pendapat seperti berikut:



1- Surat ini dari penjaga makam Rasulullah s.a.w.: saya pernah belajar di sana dari tahun 1996-2000, saya dapati penjaga makam Rasulullah amat prihatin soal bid'ah dan khurafat. sesiapa sahaja yang mendekati makam Rasul akan dihalau supaya tidak berlaku syirik. ini bertentangan dengan penghujung surat / e mail ini yang mengaitkan keuntungan dan kecelakaan dengan penyebaran 20 salinan surat / e mail ini. sahabat-sahabat sekelian ini adalah satu bentuk syirik kecil; mempercayai untung dan sial pada perkara yang tiada kaitan. ketahuilah bahawa untung dan sial itu adalah dari Allah sebagai satu ujian untuk kita bersyukur atau bersabar. tiada kaitan dengan anak dara berdiri di pintu, langkah kaki kiri, cicak berbunyi, tersedak semasa makan dsb...



2- Surat ini berdasarkan mimpi si “penjaga makam” sedangkan dalam agama Islam sumber ilmu agama ialah al-Quran dan Hadith Nabi sahaja. Mimpi hanya boleh dijadikan pemberi peringatan sahaja dan bukannya dalil. Jika mimpi bertemu Nabi itu mengandungi isi yang bercanggahan dengan al-Quran dan Hadith, maka ianya tidak boleh diterima pakai kerana agama Islam telah sempurna.



3- Isi mimpi si “penjaga makam” ini, mengikut pengetahuan saya boleh diterima. Akan tetapi kesimpulan yang diletakkan di akhir email ini sekali-kali tidak boleh diterima!! Manakan tidak, penulis email mengatakan sesiapa yang menyebarkannya akan mendapat keuntungan berlipat ganda dan mereka yang mengabaikannya pula akan ditimpa bencana besar dalam hidupnya… Ini adalah mengaitkan sesuatu dengan perkara yang tidak pernah dikaitkan oleh Allah mahupun RasulNya. Dengan itu surat ini mengandungi perkara yang baik iaitu isi mimpi tersebut di samping isi yang buruk dan keji iaitu syirik kecil di penghujungnya. Dengan ini, sekiranya sesiapa ingin menyebarkannya, hendaklah dia men‘delete’kan wasiat syirik si penulis asal email ini.



4- Di penghujung email itu dinyatakan bahawa penulis surat itu ialah S.T. STAVIA… Nama ini amat meragukan! Adakah dia ini muslim atau tidak? Kalau muslim pun, masih kita tidak mengetahui dari mana, apa jenis Islam yang diamalkan dsb… Satu lagi, S.T. itu singkatan untuk apa? Ataukah ianya ST. yang bermaksud Saint? Sekadar menimbulkan tanda tanya… Dan ingatlah Rasulullah dan nyatakan “Tinggalkanlah apa yang meragukan kamu kepada apa yang tidak meragukan kamu.” Tinggalkanlah email-email sebegini rupa dan kembalilah kepada al-Haq yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w.



Sekian, maaf kiranya saya terkasar bahasa. Itu tidak dimaksudkan langsung. Apa yang mendorong saya ialah bahaya syirik (walaupun kecil) yang terdapat dalam penghujung email ini yang menggugat institusi al-Imam bi al-Qadar khairihi wa syarrihi (Keimanan terhadap ketentuan yang baik dan yang buruk) yang merupakan rukun terakhir dalam susunan enam rukun Iman. Janganlah rasa teragak-agak untuk sebarkan atau deletekan. Bulatkan keyakinan dan deletekan terus daripada kotak inbox anda wahai saudaraku yang dikasihi. Sekiranya terjadi sesuatu yang majal atau musibah selepas seminggu atau dua atau tiga atau seterusnya, katakan seperti mana yang diajarkan Rasulullah s.a.w. “Ini adalah ketentuan daripada Allah! Dan apa sahaja yang Allah inginkan pasti akan terjadi.’’



Akhukum fillah,

Fadlan Mohd. Othman

Jabatan al-Quran dan al-Sunnah

Fakulti Pengajian Islam

UKM.