Wednesday, September 19, 2007

TIGA SERANGKAI





BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIIM
Anakanda-anakandaku yang diberi Allah Subhanahu Wa Ta'ala sihat wal'afiat, Amiin.



Hadith Rasulullah S.A.W.
Daripada Abi Khuzamah r.a. bahawasanya seorang lelaki datang kepada Rasulullah S.A.W. Lelaki itu berkata: "Ya Rasulullah, khabarkan daku akan jampi yang kami jampi akan dia dan ubat yang kami berubat dengan dia dan peliharaan yang kami peliharakan dengan dia, adakah menolak daripada qadar (taqdir) Allah akan sesuatu." Maka bersabda Rasulullah S.A.W.: "Ya, daripada qadar (taqdir) Allah."


Dalam kursus Haji yang Ayah dan kak Azian ikuti, selain daripada dititikberatkan tentang syarat, rukun dan wajib Haji; kesihatan minda dan jasmani adalah salah satu daripada perkara-perkara yang amat penting diambil perhatian. Ini bermakna rukun Haji adalah suatu rukun yang memerlukan pergerakan anggota dan tenaga yang kuat dan sihat. Tanpa minda yang cerdas, badan yang sihat, amalan Haji sukar hendak disempurnakan dengan baik.

Bakal-bakal Haji yang kurang upaya, yakni yang lemah minda dan kurang tenaga walaupun semangatnya kental dan kuat untuk melakukan amalan-amalan Haji masih tidak dapat melaksanakannya dengan baik dan sesempurnanya.

Mereka terpaksa bergantung banyak kepada orang lain untuk membantunya. Mereka terpaksa mewakilkan atau mengupah orang lain untuk mengerjakan satu-satu rukun atau sesetengah rukun yang mereka tidak ada keupayaan untuk melakukan sendiri seperti tawaf, sa'ei, melontar jumrah dan lain-lainnya.

Adalah dinasihatkan bahawa bakal-bakal Haji menjaga kesihatan diri diantaranya:
(1) Banyak berjalan kaki (2) Makan ubat-ubatan terus-terusan mengikut arahan (3) Melakukan pemeriksaan kesihatan bila perlu (4) Jaga pemakanan untuk menghindarkan daripada bertambah keuzuran (5) Mengelakkan daripada mendapat penyakit kronik tiga serangkai

Penyakit-penyakit tiga serangkai tersebut bila sudah ada satu daripadanya, maka ia akan menular kepada penyakit kedua dan ketiga. Bila penyakit-penyakit tersebut menjadi tiga serangkai, biasanya atau adatnya sukar seseorang itu mendapat balik kesihatannya seperti sediakala. Ubat-ubatan hanya boleh mengurangkan dalam keadaan tertentu sahaja.

Bakal-bakal Haji dinasihatkan supaya memerhatikan tanda-tanda penyakit-penyakit tersebut selepas pemeriksaan doktor. Mereka mesti menjaga pemakanan yang teratur, jauhkan makanan-makanan yang memudharatkan atau yang boleh merangsangkan (trigger) penyakit-penyakit tersebut dan menjadi kronik. Penyakit-penyakit tersebut boleh menyebabkan seseorang menjadi rabun mata, diserang angin ahmar, lumpuh dan sebagainya. Semuanya itu, boleh menghalangkan bakal-bakal Haji daripada mengerjakan amalan-amalan Haji dan lain-lain dengan sempurna.

Semasa Ayah disekolah dahulu, ada ustaz menyebut kata-kata ini: (1) Al 'Aqlus Salim Fil Jismis Salim
(2) Mens Sana in Corpore Sano. Terjemahannya kurang lebih berbunyi: (1) Akal yang sejahtera berada pada jasad yang sejahtera (2) Minda yang sihat pada badan yang sihat

Bagi setiap muslim yang beriman kepada Allah SWT dan rasulNya amatlah penting menjaga kesihatan diri supaya dapat mengerjakan ibadat kepada Allah SWT dengan sempurna.

Pada hemat Ayah sendiri, tidak terdapat sesiapa yang boleh menahan sebelum daripada datangnya penyakit-penyakit itu walaupun dengan apa-apa kepakaran yang ada atau dengan teknologi yang tercanggih. Beri'tibarkan kepada para-para Rasul a.s., mereka juga tidak terlepas daripada serangan penyakit yang Allah SWT mentaqdirkan kepada mereka. Para-para Rasul dan anbia' mendapat penyakit ialah untuk mengesahkan bahawa mereka itu terdiri daripada jenis manusia. Manusia juga menghadapi penyakit yang tiada ubatnya iatu tua dan mati. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Penyakit tiga serangkai yang Ayah sebut itu ialah darah tinggi, kencing manis dan penyakit jantung.

Wallahu a'alamu bissawab. Dan Allah SWT yang lebih mengetahui kebenarannya.















No comments: