Friday, September 28, 2012

ULAMA' DI MALAYSIA



JENIS-JENIS ULAMA’

Jika mana-mana negara mempunyai ramai ulama’ yang soleh, maka itu adalah suatu anugerah Allah Ta’ala, kerana pada akhir zaman, ulama’-ulama’ soleh yang benar akan hilang dan ilmu Agama Islam akan hapus sehingga bila ada orang bertanyakan sesuatu hukum Allah, tiada sesiapa  yang dapat memberikan jawabannya.

Oleh itu bila Malaysia muncul dengan ramai ulama’nya, maka ia memberi gambaran bahawa perkara ini kononnya baik.

Namun begitu bila diperhatikan dengan teliti, terdapat beberapa jenis ulama’.  Di antara mereka itu, ada yang bertaraf ulama’ soleh yang benar lagi pengamal, dan sesetengahnya terdiri daripada ulama’ gelaran, ulama’ jolokan yang boleh disenaraikan di antara mereka itu kepada beberapa jenis, golongan dan puak.

Misalannya:

1.     Ulama’ Ahlissunnah WalJama’ah

2.     Ulama’ bebas yang mengajar agama secara sendirian dari awal

3.     Ulama’ bebas yang mengajar agama selepas pencen dari jawatan kerajaan

4.     Ulama’ dalam Parti Islam SeMalaysia (Ulama’ PAS)

5.     Ulama’ dalam Parti Pertubuhan Melayu Kebangsaan (Ulama’ UMNO)

6.     Ulama’ Mazhab Wahhabi {Muhammad ibn Abdul Wahhab (1115-1206H/1703-1792H) atau disebut juga ulama’-ulama’ itu dengan jenama-jenama: Mazhab Salaf, Salafiyah, Ansar al-Sunnah, Ittiba’ al-Sunnah, Golongan Tajdid, Kaum Muda, Golongan Islah, Muslim Progresif dan lain-lain.}

7.     Ulama’ dari gerakan Ahmadiyah “Qadyani” 

8.     Ulama’ dari puak Anti Hadis (menolak, meragui Hadis atau Assunnah Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam sebagai sumber kedua syari’at Islam selepas Al-Quran),

9.     Dan lain-lain lagi orang-orang yang mengaku atau yang diberi jolok-jolokan gelaran ulama’.


Sesetengah ulama’-ulama’ yang tersebut di atas menjawat berbagai-bagai jawatan dalam pentadbiran kerajaan, badan kehakiman, institusi-institusi pendidikan, pentadbiran-pentadbiran  agama Islam, pertubuhan-pertubuhan media massa, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan dan lain-lain.

Dengan ramainya orang-orang yang diberi gelaran ulama’ sekarang ini, maka ramailah pula rakyat Malaysia akan menjadi celaru dengan bawaan fahaman masing-masing ulama’ yang mana ianya menjuruskan kepada banyak cabang perpecahan di dalam Islam di Malaysia. 

Lebih-lebih lagi, dalam zaman teknologi maklumat tanpa sempadan sekarang ini, maklumat-maklumat dan dakyah-dakyah agama boleh disebarkan dengan cepat  dan meluas.  


FATWA DAN PANDANGAN

Perpecahan tersebut sememangnya berlaku kerana tiap-tiap ulama’ itu sama ada ia seorang ulama’ soleh yang mengamal, atau ulama’ suu’ “ulama’ jahat” (ulama’ jahat ialah ulama’-ulama’ yang mencintai dan mengejar dunia semata-semata, atau ulama’ upahan, atau ulama’ yang menjual agama kerana dunia), masing-masing ada ramai yang mengikuti bawaan, ajaran dan fahaman mereka itu.

Oleh itu orang-orang Melayu Islam di Malaysia khususnya, tidak dapat lari dari fenomena perpecahan fahaman mengenai Islam termasuk perbezaan fatwa yang dikeluarkan oleh tiap-tiap puak ulama’ dan masing-masing mempertahankan pendapat puaknya tanpa mahu balik kepada persepakatan dan bermusyawarah berpandukan Al-Quran dan Hadis Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.

Malaysia mempunyai 14 buah negeri yang masing-masing mempunyai 14 Jawatankuasa-jawatankuasa  Fatwa Negeri dan 1 Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia.

Adakala, didapati ada perbezaan fatwa di antara satu negeri dengan negeri yang lain, dan percanggahan pendapat secara peribadi di antara orang-orang perseorangan yang diberi gelaran ahli-ahli agama;  di antara contoh-contohnya adalah seperti tersebut:

·         1.   Majlis Fatwa Negeri Perlis  mengeluarkan di antara Fatwa-fatwanya ialah mengharamkan bacaan      Qunut solat subuh di masjid-masjid, sedangkan bagi negeri-negeri lain dibolehkan bacaan Qunut.


·          2.  Pada tahun 2011, terdapat perbezaan Fatwa di antara Mufti Kerajaan Negeri Perak dan Majlis Fatwa Kebangaan mengenai dengan TARIAN POCO-POCO.  Tarian POCO-POCO ini asalnya adalah suatu tarian agama di mana lelaki dan perempuan menari bersama-sama.

·         3.   Dan lain-lain lagi.


BUIH DI LAUTAN

Fenomena ketidak sepakatan dalam hal-hal agama Islam di Malaysia ini menjadikan retak-retak perpecahan yang sedia ada semakin membesar di antara orang-orang Melayu Islam.

Perpecahan-perpecahan itu juga membawa kepada ketidak seragaman hukum hakam atau perundangan Islam di mahkamah syari’ah di Malaysia, dan keputusan penghakimannya pula dipertikaikan di luar mahkamah melalui media massa-media massa oleh orang-orang yang tidak mempunyai kewibawaan, seperti dalam kes
Kartika Sari Dewi Shukarno (Tahun 2008 – 2010), telah didapati bersalah kerana minum arak dan telah dijatuhkan hukuman sebat. 

Seorang individu, bekas mufti telah menyuarakan pendapatnya selepas penghakiman itu dijatuhkan, maka pendapatnya itu telah dibuat tafsiran oleh sesetengah masyarakat, sama ada pro atau kontra, sehingga hukuman sebat itu disemak semula.
 
Perpecahan demi perpecahan, akhirnya umat Islam sekarang ini hanya menjadi seperti buih air di lautan yang mana dengan mudah, boleh dikincah-kincahkan, hancur, hanyut dipukul ombak dan dibawa dengan tidak menentu arah tujunya oleh arus yang ganas.  Buih-buih yang kecil dan lemah itu pula akan tenggelam bersebati dalam arus gaya kehidupan kafir, kecuali hanya golongan yang sedikit sahaja.

WALLAHU A’LAMU BISSAWAB


Hari Jumaat
12 Zulkaedah 1433 Hijriyah
28 September 2012 

No comments: