Friday, October 5, 2012

NAWAITU



SALAH GUNA PERKATAAN

Dalam perbualan harian, ramai di kalangan orang-orang Melayu menyebut perkataan “Nawaitu” yang  dimaksudkan “niat”.  Biasanya mereka itu menyebut ungkapan: “Walaupun apa yang kita buat biarlah nawaitu itu baik,” yang mana dimaksudkan bahawa walau apapun perbuatan yang dilakukan, niatnya hendaklah baik.

Kadang-kadang mereka tidak menggunakan “nawaitu” yang baik itu pada tempat atau atas perkara yang baik. 

Di antara misalannya:
·         Ada orang berkata bahawa perempuan tidak perlu menutup aurat, cukup dengan pakaian biasa sahaja kerana Allah tidak melihat pada pakaian, tetapi Allah melihat niat baik hatinya, maksudnya “nawaitu baik”. 
Kata-kata sebegini adalah semata-mata untuk memperkuatkan tarikan rangsangannya ke atas orang-orang perempuan jahil agar mereka dengan sepenuh hati dapat menerima kata-kata itu sesuai dengan niat mereka yang sememangnya mahu memakai pakaian yang tidak menutup aurat, bak kata peribahasa Melayu: “Orang mengantuk disurung bantal”.

·        Kebanyakan lelaki dan perempuan sama ada yang bertunang atau yang belum,  bila mereka membuat temu janji  atau perjumpaan berdua-duaan tanpa mahram, mereka akan mengatakan :  “Kita hanya berjumpa dengan niat “nawaiatu” yang baik.  Kita tidak membuat apa-apa yang salah.”  Sedangkan pada segi hukum mereka melakukan maksiat duduk berdua-duaan tanpa mahram.

LETAKNYA NIAT YANG BAIK

Islam memberi penghargaan yang tinggi terhadap niat “nawaitu” seseorang yang baik dan tulus ikhlas sepertimana tersebut dalam sebuah Hadis Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam. Baginda bersabda:

“Sesungguhnya amalan itu bergantung kepada niatnya, dan setiap orang mendapatkan apa yang diniatkannya itu.”

Niat “nawaitu” yang baik boleh merubah perilaku sosial dan adat menjadi amal soleh dan ibadat kepada Allah Subhanahu Wa Ta’alaa. 

Mereka yang menikmati makanannya yang halal dengan niat “nawaitu” agar boleh bertahan hidup dan badannya kuat untuk melakukan ibadat kepada Allah, maka perbuatan makan tersebut akan dianggap sebagai ibadat dan dapat mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wa Ta’alaa. 

Dalam Hadis lain, Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda:

“Sesiapa yang mencari harta yang halal kerana ingin menjaga diri daripada mengemis, melakukan usaha untuk keluarga dan menderma untuk jiran tetangga, maka dia akan bertemu dengan Allah sementara wajahnya umpama bulan di malam purnama.”    At-Tabrani.

Setiap perbuatan harus (mubah) yang dilakukan orang mukmin dengan wujudnya unsur niat “nawaitu” yang ikhlas di dalamnya, maka niat itu mengubahnya menjadi ibadat. 

Tetapi untuk barangan yang haram, tetap sahaja ianya menjadi haram walaupun diiringi dengan niat “nawaitu”, maksud dan tujuan yang baik dan ikhlas. 

Seorang Islam yang minum arak dengan membaca “Bismillah” serta dengan niat “nawaitu” untuk menjadikan arak itu sebagai ubat, tidak mengubahnya daripada haram kepada  halal walaupun tujuannya untuk menjadi sihat dan boleh melakukan ibadat.

Begitu juga seorang lelaki atau perempuan yang minta berzina, tidak boleh menganggap perlakuan zina itu sebagai niat “nawaitu” yang baik bagi menunaikan hajat seseorang.

Seseorang yang merampas dan mencuri harta orang lain, menjual anjing, mengambil hasil pelacuran dan sebagainya, dengan niat “nawaitu” untuk bersedekah atau membina masjid atau menunaikan ibadat Haji dan Umrah atau memberi makan kepada keluarga atau membelanjakannya untuk anak-anak belajar agama  dan sebagainya, ia tidak mendapat ganjaran pahala bahkan orang itu mendapat dosa atas perbuatannya itu.

Justeru itu, Islam melarang  segala perbuatan-perbuatan haram dan perkara-perkara haram  dijadikan sebagai alat untuk mencapai tujuan yang terpuji,  kerana Islam sentiasa menjaga kemuliaan dan kesucian niat atas perbuatan-perbuatan dan perkara-perkara yang baik, halal dan harus sahaja.   

Dalam sebuah Hadis, Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda:

“Sesungguhnya Allah itu baik dan tidak menerima kecuali yang baik pula dan bahawa Allah menyuruh orang mukmin dengan perkara yang sama yang diperintahkan kepada para rasul. 

Allah berfirman:  “Wahai para rasul, makanlah daripada yang baik-baik dan lakukanlah amal soleh, sesungguhnya Aku (Allah) Maha Mengetahui akan apa yang kamu lakukan.”  Al-Mukminun, Ayat 51 

Allah juga berfirman:  “Hai orang-orang yang beriman, makanlah daripada hal-hal baik yang Kami (Allah) anugerahkan kepada kamu.” Al-Baqarah, Ayat 172

Kemudian Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam menyebutkan tentang seorang lelaki yang melakukan perjalanan panjang dengan tubuh berdebu dan rambut yang kusut masai,  (dalam rangka untuk menunaikan ibadat haji, umrah dan sejenisnya}  di mana dia menengadahkan tangannya ke langit:  “Wahai Tuhanku.  Wahai Tuhanku”, sementara makanannya haram, pakaiannya haram, dan mengguna barangan haram, bagaimana mungkin dikabulkan do’a untuknya?.”  

Dalam Hadis lain, Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda:

“Orang yang mengumpulkan harta dari barang haram, kemudian  dia mensedekahkannya, tidak ada ganjaran untuknya dalam sedekah itu dan  dosanya menjadi tanggung jawabnya.”  Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Habban dan Al-Hakim.


Hari Jumaat
19 Zulka’edah 1433 Hijriyah
5 Oktober 2012 

No comments: