Friday, September 21, 2012

SURAT DARIPADA TOK AYAH


Bismillahirrahmaanirrahiim.

Assalamu ‘alaikum warahmatullahi wabarakatuh, cucunda yang dikasihi.

Cucunda,

Tidak lama lagi cucunda akan menduduki peperiksaan yang akan membawa cucunda ke alam yang berbeza daripada alam persekolahan maka Tok Ayah mengambil kesempatan ini untuk menulis sepucuk surat kepada cucunda.

Surat Tok Ayah ini agak panjang, jadi Tok Ayah harap cucunda bersabar dan mengambil masa untuk membaca surat Tok Ayah ini.

Cucunda,

Semasa cucunda balik seketika dalam masa cuti hujung minggu kali ini, banyak perkara yang dapat kita bincangkan.  Di antaranya mengenai peperiksaan dan pembelajaran, khususnya peperiksaan dalam bulan November dan Disember ini.

Cucunda,

Hari dan bulan berjalan menjadi lebih cepat lagi apabila seseorang itu belum sempat membuat persediaan bagi menghadapi peperiksaan;  banyak topik dan  mata pelajaran yang belum habis di menelaah dan dibuat kajian.

Sekali sekala, cucunda nampak mengeluh kerana cemas.  Cemas bukan kerana takut menghadapi peperiksaan atau takut tidak berjaya.  Apa yang membuat cucunda menjadi cemas ialah takut tidak mendapat “straight A’s”  nanti, yakni mendapat markah cemerlang dalam semua mata pelajaran. 

Perasaan takut dan gerun itulah yang menjadi tekanan perasaan (stres) yang membawa cucunda kepada lemah mengingati pelajaran-pelajaran yang diulangkaji, sedangkan mengingati pelajaran-pelajaran itu adalah lebih mustahak daripada mengingati kehendak orang lain yang mahu cucunda mendapat kejayaan “straight A’s” bagi memenuhi kebanggaan ibu bapa, saudara mara, guru–guru sekolah dan di samping itu dikatakan akan menaikkan nama atau prestasi sekolah di mana cucunda belajar.

Cucunda,

Tok Ayah dapati sesetengah ibu bapa yang mahukan kejayaan anak-anak mereka hanyalah untuk berbangga-bangga dan menunjuk-nunjuk di antara kalangan mereka.

Jadi bagi sesetengah anak-anak, mereka akan merasai bahawa mereka belajar bertungkus lumus untuk mendapat kejayaan “straight A’s” bukanlah untuk diri mereka sendiri tetapi untuk ibu bapa mereka, atau untuk menunjuk-nunjuk kepada saudara mara mereka, atau untuk guru-guru sekolah mereka atau untuk menaikkan prestasi sekolah mereka.

Sekiranya anak-anak mereka itu tidak dapat mencapai apa yang dikehendaki, sesetengah ibu bapa itu akan membebel dan menunjukkan reaksi  yang kurang sihat terhadap anak-anak mereka.

Mereka juga akan membandingkan kebolehan anak-anak mereka dengan anak-anak orang lain yang mendapat “straight A’s” dengan menunjukkan perasaan yang kurang memuaskan yang menuju hala kepada perasaan mereka merasa malu dengan keputusan peperiksaan anak-anak mereka yang tidak mendapat “straight A’s”.

Ibu bapa-ibu bapa seperti ini sebenarnya lebih mementingkan diri mereka sendiri kerana sibuk dengan urusan harian mengejar dunia mereka sehingga mereka tidak ada masa untuk duduk bersama-sama dengan anak-anak mereka sambil membimbing dan memberi sokongan agar anak-anak mereka berjaya dengan cemerlang.

Cucunda,

Cucunda mempunyai  jati diri sendiri sebagai seorang yang beriman, bijak dunia dan akhirat, yang mana hanya meletakkan dan bergantung segala harapan, kejayaan dan pujian tidak kepada yang lain, hanya kepada Allah Subhanahu Wa Ta’alaa Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Harus diingatkan bahawa  kejayaan cucunda dalam peperiksaan adalah terletak di atas bahu cucunda sendiri.  Barangsiapa yang berusaha kerana Allah Ta’alaa, pasti ia dapat dengan izin Allah Ta’alaa kerana janji Allah Subhanahu Wa Ta’alaa itu adalah benar.

Oleh itu, jangan sekali-kali cucunda meminta pertolongan daripada manusia atau makhluk lain, kerana manusia itu sendiri lemah dan memerlukan pertolongan, dan begitu juga sekalian makhluk-makhluk yang dijadikan Allah Subhanahu Wa Ta’alaa tidak berkuasa menolong cucunda.

Cucunda,

Di antara sebab-sebab kesusahan yang mana menjadi kesusahan hati seseorang itu  yang amat sangat adalah berpunca daripada seseorang itu mahu Allah Ta’alaa mengikut kehendak nafsunya (nafsu seseorang itu), dan yang lebih jahat lagi bila seseorang itu berdo’a meminta dengan penuh perasaan bahawa ia berhak atas permintaannya itu.

Cucunda,

Janganlah berputus asa dan mendakwa Allah Ta’alaa kerana lambat permintaan do’a dimakbulkan, tetapi hendaklah cucunda memperbetulkan diri cucunda sendiri supaya tidak melambat-lambatkan atau melengah-lengahkan apabila melaksanakan kewajiban-kewajiban cucunda terhadap Allah Subhanahu Wa Ta’alaa.

Di sini Tok Ayah salinkan sedikit kata-kata indah dari kitab Al-Hakam yang berbunyi:

“Janganlah merasa lambat pemberian Allah Ta’alaa kepadamu, pada hal engkau telah bersungguh berdo’a kepadaNya sehingga menyebab putus dan patah harapan sebab Allah Ta’alaa menjamin menerima semua do’a dalam apa jua yang Ia (Allah) kehendaki untukmu, bukan menurut kehendakmu, dan pada waktu yang ditentukanNya, bukan waktu yang engkau tentukan.” 

Dan, orang yang beriman mempercayai bahawa apa yang diberi Allah Ta’alaa itulah yang terbaik baginya, meskipun ianya tidak bersesuaian dengan kemahuan dan kehendak nafsunya.

Cucunda,

Akhir sekali, cucunda ambillah ingatan bahawa Allah Subhanahu Wa Ta’alaa memerintahkan hambanya supaya berusaha menuntut harta kekayaan di dunia ini sepertimana firmanNya dalam Surah Al-Qasas, Ayat 77, maksudnya:

“Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah  kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat, dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia;…”

Ingatlah, bila cucunda berjaya dalam kehidupan di dunia ini bahawa semuanya itu datangnya dari Allah Subhanahu Wa Ta’alaa.  Oleh itu cucunda wajib berbuat baik kepada Allah Subhanahu Wa Ta’alaa sebagaimana Allah Subhanahu Wa Ta’alaa telah berbuat baik kepada cucunda, maka patuhlah akan firman Allah Ta’alaa dalam Surah Al-Qasas, Ayat 77, maksudnya:

“Dan berbuat baiklah kepada Allah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah);  dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi;  sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan.”  Ayat 77

Cucunda,

Semoga Allah Ta’alaa memberi hidayah pertunjuk kepada cucunda dan cucunda berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan yang akan datang ini, InsyaAllah.


Tok Ayahmu


Hari Jumaat
5 Dzulka’edah 1433 Hijriyah
21 September 2012



No comments: