Friday, February 3, 2012

"SALAM" LELAKI KEPADA PEREMPUAN

1.1 SEKAPUR SIRIH

Alhamdulillahi Rabbil’Alamiin, Wassolatu Wassalamu ‘Ala Asyarafil Anbiya’ Wal Mursaliin Wa ‘Aala Alihi Wa Sahbihi Ajma’iin.

Semoga dengan sedikit dan lagi serba kekurangan ini dapat sama-sama memahami penjelasan mengenai hubungan lelaki dan perempuan yang boleh memberi “salam” di antara satu sama lain, supaya “salam” itu tidak disalahgunakan oleh orang-orang lelaki dan perempuan yang helat.

Lelaki dan perempuan helat yang menggunakan “salam” sebagai ucapan teguran pemula berkenalan dengan seseorang yang belum dikenali atau digunakan untuk menarik perhatian seseorang yang telah dikenalinya, atau digunakan sebagai adat kebiasaan “habitual” yang tidak mempunyai niat yang baik, atau sengaja mengucapkan “salam” dengan tujuan yang tidak baik dan jahat yang disembunyikan dalam ucapannya itu.

Namun begitu seseorang yang beriman tidak dapat mengenali orang-orang Islam yang munafik, fasik, fasid dalam kehidupannya kerana manusia tidak diberi ilmu mengenai dengan gerak hati orang lain.

Justeru itu, orang-orang yang beriman hendaklah senantiasa peka dan berwaspada dengan tipu helah syaitan jinn dan syaitan manusia. Mutala’ahlah selalu firman-firman Allah Ta’ala dan menggunakan semua garis panduan, petunjuk-petunjuk ke jalan yang lurus yang telah dibawa oleh Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.

Orang-orang yang beriman juga dilarang mempunyai syak wasangka buruk di antara sesama orang-orang yang beriman dari sesuatu puak dan kaum.

Mengikut sejarah, Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam sendiri pernah diberi “salam” oleh orang kafir, Yahudi dan Nasrani, maka orang-orang yang beriman telah diajar bagaimana cara menjawab dan memberi “salam” kepada mereka dan orang-orang yang serupa dengan mereka itu.

1.2 SPESIS YANG GOPOH GAPAH

Melengkapi alam dunia ini, Allah Ta’ala menciptakan segala makhluk berpasang-pasangan mengikut kehendakNya. Allah Yang Maha Berkuasa di atas segala-galanya.

Manusia disebut sebagai makhluk yang bertutur, bersosial. Berkenalan di antara satu sama lain.

Namun begitu, manusia terdiri daripada spesis yang selalu berubah-ubah perasaan mengikut hawa nafsunya kerana lupa akan kejadiannya, dari mana ia datang dan ke mana ia akan pergi sesudah habis nafas hidupnya di dunia.

Dalam kealpaan dan kelalian itu, manusia senantiasa mempersoalkan kuasa-kuasa Allah Ta’ala tentang penciptaan dan hukum-hukumNya; perintah-perintah dan segala laranganNya.

Manusia lebih cenderung dengan tarikan-tarikan kepada melanggar perintah-perintah Allah Ta’ala tanpa alasan yang benar dan hak.

1.3 BERGAULLAH DENGAN PEREMPUAN DENGAN BAIK

Dalam pergaulan di antara kaum lelaki dan kaum perempuan, Allah Ta’ala tidak melarang bahkan menggalakkan supaya mereka berkahwin dan bergaul dengan baik. Di samping itu, Allah Ta’ala menganjurkan supaya mereka menyambung silaturrahim dengan cara memberi “salam”, berjumpa, bertemu, ziarah menziarahi di antara lelaki dan perempuan yang menjadi mahram kepada mereka, bagi menambahkan kasih sayang dan mengeratkan “silaturrahiim”.

Orang-orang yang berhubungan talian “SILATURRAHIIM” yakni orang-orang yang tidak boleh dikahwini (mahram), iaitu:

1. Datuk, nenek dan ke atas dari sebelah bapa
2. Datuk, nenek dan ke atas dari sebelah ibu
3. Ibu bapa
4. Saudara lelaki dan perempuan seibu sebapa
5. Saudara lelaki dan perempuan sebapa
6. Saudara lelaki dan perempuan seibu
7. Bapa saudara sebelah bapa
8. Bapa saudara sebelah ibu
9. Emak saudara sebelah bapa
10. Emak saudara sebelah ibu
11. Anak-anak saudara lelaki dan perempuan.


Oleh itu, hendaklah berhati-hati apabila menyebut perkataan: “SILATURRAHIIM”, supaya perkataan tersebut tidak disalahgunakan.

1.4 JERAT SYAITAN

Sebaliknya, Allah Ta’ala mengharamkan segala pergaulan-pergaulan, pertemuan-pertemuan, perbualan-perbualan melalui apa jua media atau isyarat atau melalui perkenalan dengan ucapan “salam” yang menimbulkan fitnah di antara lelaki dan perempuan AJNABI (bukan mahram). Fitnah yang menjurus kepada tarikan kepada menderhakai Allah Ta’ala.

Fitnah akan bermula dengan talian-talian jerat (influence, exploitation, cohesion, lure, etc.) syaitan jinn dan syaitan manusia yang berada di dalam dan di luar badan seseorang.

Untuk mengelakkan diri daripada terkena jeratan syaitan jinn adalah lebih mudah kerana syaitan jinn berada di dalam tubuh badan seseorang di mana orang itu boleh menolaknya sendiri , tetapi untuk menjauhi atau mengekang daripada jerat syaitan manusia adalah menjadi perkara yang teramat sukar sekali, kerana syaitan manusia mempunyai lebih daya tarikannya dari segi rupa paras, tutur kata, lemah lembut budi pekerti, tubuh badan dan gaya hidupnya yang menjadi sumber ikutan orang lain.

1.5 LELAKI MEMBERI “SALAM”

Menyiarkan “Salam” adalah disuruh oleh syara’ untuk diamalkan oleh orang-orang yang beriman, maka seseorang boleh memberi “salam” kepada orang-orang yang ditentukan oleh syara’.

1. Orang lelaki boleh memberi “salam” kepada perempuan-perempuan yang berada dalam jemaah yang ramai. Dan, jika perempuan itu berseorangan, maka orang yang boleh memberi “salam” kepadanya ialah orang-orang perempuan, atau suaminya, atau orang-orang yang haram berkahwin (mahram) dengannya seperti tersebut dalam perenggan 1.3 di atas.
2. Orang lelaki boleh memberi “salam” kepada perempuan-perempuan yang mana di dalam kumpulan itu ada “mahram” kepada lelaki itu.
3. Jika perempuan yang boleh dikahwin (bukan mahram) dengan dia, maka ada tafsil: Sekiranya perempuan itu orang tua yang tiada ingin kahwin lagi sunat bagi seseorang lelaki memberi “salam”, dan sunat pula bagi perempuan tua itu memberi ”salam” kepada lelaki. Sesiapa daripada orang lelaki memberi “salam” kepada perempuan tua, atau perempuan tua memberi “salam” kepada lelaki, maka wajib menjawabnya kepada yang memberi “salam”.
4. Bagi perempuan muda atau perempuan tua yang masih ada keinginan akan lelaki, maka tidak boleh diberi “salam” kepadanya oleh lelaki “ajnabi”, dan tidak pula harus perempuan itu memberi “salam” kepada lelaki “ajnabi” itu. Inilah hukum Mazhab Asy-syafi’e dan Mazhab Jamhur.



Hari Jumaat
10 Rabi’ulAwal 1433 Hijriyah
3 Februari 2012

No comments: