Friday, February 10, 2012

TIGA PULUH DAJJAL

Sebelum terbit Dajjal yang sebenar pada akhir zaman, akan terbit tiga puluh orang Dajjal yang bohong yang semuanya mengaku dirinya sebagai nabi dan rasul Allah sepertimana tersebut di dalam sebuah Hadis Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.

Diriwayatkan oleh Abu ‘Isa At-Tarmidzi, daripada Abi Hurairah radhiallahu ‘anh katanya: “Telah bersabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam:

“Tiada berdiri Qiamat hingga bangkit beberapa Dajjal lagi pembohong-pembohong hampir daripada tiga puluh semuanya mengaku bahawasanya (dirinya) rasul Allah.”
Hasan Sahih


Mafhum daripada Hadis tersebut bahawa yang dikatakan Dajjal itu ada dua macam:

1. Yang pertama ialah Dajjal yang bohong yakni bukan Dajjal yang sebenarnya. Ia adalah Dajjal pada tabiat dan kelakuannya itu seperti tabiat dan kelakuan Dajjal yang sebenar. Ada di antaranya mengaku sebagai nabi dan rasul Allah dan pemimpin umat Islam sedunia.

2. Yang kedua ialah Dajjal yang sebenar iaitu Dajjal yang mengaku dirinya tuhan.

Zahir segala Dajjal bohong itu kemudian daripada bangkit Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam sampai akhir masa yang tiada tertentu.

Pada masa akhir hayat Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, telah zahir dua orang yang mengaku diri mereka adalah nabi dan rasul Allah iaitu seorang bernama Musailamah Al-Kazzab dan seorang lagi bernama Sajjah.

PEMBAHARUAN “TAJDID” AGAMA

Di Malaysia sekarang ini, kecoh dan kalut dengan dakyah-dakyah pengikut-pengikut yang taksub dengan ajaran fahaman Wahhabi (juga digunakan jenama lain seperti: Mazhab Salaf, Salafiyah, Ansar Al-Sunnah, Ittiba’ Al-Sunnah, Golongan Tajdid, Golongan Islah, Muslim Progresif, Golongan Islah dan berbagai-bagai lagi jenama yang digunakan untuk mengelirukan orang-orang Islam), dan ajaran fahaman Ahmadiyah.

Di antara lain-lain fahaman yang tidak sejajar dengan ajaran “Ahli Assunnah Wal-Jamaah” ialah ajaran fahaman Wahhabi yang tersebut dengan jenama-jenama di atas, dan ajaran fahaman Ahmadiyah yang telah lama menular dan bertapak di Malaysia ini.

Kedua-dua ajaran fahaman Wahhabi dan ajaran fahaman Ahmadiyah disebut oleh pengikut-pengikut mereka bahawa ajaran fahaman-fahaman yang mereka anuti itu telah mendapat tempat dan ramai pengikut-pengikut mereka di luar Malaysia.

TAASUB DENGAN WAHHABI

Pengikut-pengikut Wahhabi berpegang kepada kitab yang dikarang oleh pemimpin mereka iaitu Muhammad bin Abdul Wahhab yang lahir pada tahun 1114H/1703M dan mati pada tahun 1206H/1792M. Dan Mirza Ahmad yang lahir pada tahun 1835M, mati pada tahun 1908M.

Pengikut-pengikut Wahhabi mengakui bahawa mereka adalah kaum salafi yang mengikut apa yang dikatakan sebagai mengikut sunnah secara terus tanpa melalui dan menerima ajaran yang dibawa oleh ‘Ulama’-‘ulama Muktabar.

Kerana ketaasuban, pengikut-pengikut ajaran fahaman Wahhabi tidak dapat melihat kebenaran bahawa ‘Ulama-‘ulama Muktabar itu, bukan sahaja lahir sebelum dari lahir Muhammad bin Abdul Wahhab bahkan juga ‘Ulama-‘ulama Muktabar itu memiliki ilmu Al-Quran dan Hadis lebih awal dan lebih ‘alim daripada Muhammad bin Abdul Wahhab.

Sebenarnya maksud asal kalimah SALAFI merujuk kepada generasi awal Umat Islam hingga 300 (tiga ratus) tahun selepas Rasulullah Sallallahu ‘Alahi Wasallam. Tetapi ia turut dipergunakan oleh pengikut-pengikut Wahhabi bagi mengukuhkan jenama pergerakan mereka.

ANGKUH

Adalah mustahil Muhammad bin Abdul Wahhab yang lahir 1114 tahun kemudian, mendapat didikan agama sendiri yakni tanpa melalui ‘Ulama-‘ulama Muktabar.

Dengan angkuh, pengikut-pengikut ajaran fahaman Wahhabi yang berpegang kepada ajaran fahaman Wahhabi sebagai mazhab mereka, menjatuhkan hukum haram jika mengikuti Mazhab-mazhab lain yang bukan Wahhabi.

Begitu juga dengan pengikut-pengikut ajaran fahaman Ahmadiyah, mereka berpegang kepada pengasas fahaman Ahmadiyah itu sebagai nabi.

Pergerakan Wahhabi itu sejak awal lagi telah mendapat sokongan dan pembiayaan daripada Amerika Syarikat (US), Yahudi dan British untuk menguatkan pengaruhnya di bawah dasar “divide and rule” ke atas negara-negara orang Islam.

Perkara itu telah disahkan dan dibuktikan sendiri oleh Hillary Clinton, Setiausaha Negara Amerika Syarikat dalam video You Tube bertajuk “ America Funded Saudi Wahhabi” yang mana di-uploaded dalam Blog ini. http://youtu.be/_VH9E_kd9cA

IMAN

Justeru itu, bagi setiap orang yang beriman jangan sekali-sekali terpedaya dengan ajaran-ajaran fahaman-fahaman yang tersebut di atas.

Setiap orang yang beriman hendaklah menolak I’tiqad Wahhabi kerana I’tiqad Wahhabi adalah mengikut orang perseorangan tidak mengikut I’tiqad Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, dan kumpulan ramai “Al-Jamaah”.

Orang yang beriman wajib berpegang teguh dengan aqidah yang sahih iaitu aqidah yang berlandaskan AL-QURAN DAN ASSUNNAH yang diistilahkan AQIDAH AHLISSUNNAH WALJAMAAH iaitu I’tiqad yang mengikut I’tiqad Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dan kumpulan jamaah ramai.

Allah Ta’ala berfirman dalam Surah Al-Baqarah, Ayat 285, maksudnya:

“Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, dan juga orang-orang yang beriman; semuanya beriman kepada Allah, dan malaikat-malaikatNya, dan kitab-kitabNya, dan rasul-rasulNya. Mereka berkata: “Kami tidak membezakan antara seorang dengan yang lain dari rasul-rasulNya.” Mereka berkata lagi: “Kami dengar dan kami taat. Kami pohonkan keampunanMu wahai Tuhan kami, dan kepadaMu jualah tempat kembali.” Ayat 285

“Dari Mu’awiyah bin Abu Sufyan bahawa ia berdiri di hadapan kami dan berkata: “Ketahuilah bahawa Rasulullah Sallallahu ‘Alahi Wasallam berdiri di hadapan kami dan berkata, ‘Ketahuilah, sesungguhnya orang-orang sebelum kamu dari kalangan ahlul kitab telah terpecah menjadi tujuh puluh dua ajaran, dan sesungguhnya agama ni akan terpecah menjadi tujuh puluh tiga golongan. Tujuh puluh dua golongan akan berada di neraka dan satu golongan akan berada di syurga, iaitu AL-JAMA’AH.”

Ada tambahan redaksi, Sabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam: “Dan sesungguhnya akan timbul dari umatku kelompok-kelompok yang mengikuti kesesatan-kesesatan (bid’ah), sebagaimana anjing mengikuti tuannya.”

Amr (Perawi) berkata:”Seekor anjing senantiasa mengikuti tuannya kemana pun tuannya pergi.” Hasan:Ash-Shahihah


WALLAHU A’LAMU BISSAWAB

Hari Jumaat
17 Rabi’ulAwal 1433 Hijriyah
10 Februari 2012

No comments: