Friday, January 13, 2012

KAHWINKANLAH

BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIIM

Allah Ta’ala berfirman dalam Surah An-Nur, Ayat 32, dan Surah Al-Baqarah, Ayat 221, maksudnya:

“Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNYA, kerana Allah Maha Luas (rahmatNYA dan limpah kurniaNYA), lagi Maha Mengetahui.” Ayat 32, An-Nur.

“Dan janganlah kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan KAFIR musyrik sebelum mereka BERIMAN, dan sesungguhnya seorang hamba perempuan yang BERIMAN itu lebih baik daripada perempuan KAFIR musyrik, sekalipun keadaannya menarik hati kamu. Dan janganlah kamu (kahwinkan perempuan-perempuan BERIMAN) dengan lelaki-lelaki KAFIR musyrik sebelum mereka BERIMAN. Dan sesungguhnya seorang hamba lelaki yang BERIMAN lebih baik daripada seorang lelaki KAFIR musyrik, sekalipun keadaannya menarik hati kamu. (Yang demikian ialah kerana) orang-orang KAFIR itu mengajak ke neraka, sedang Allah mengajak ke syurga dan memberi keampunan dengan izinNYA. Dan Allah menjelaskan ayat-ayatNYA (keterangan-keterangan hukum-hukumNYA) kepada umat manusia supaya mereka dapat mengambil pengajaran (daripadanya)." Ayat 221, Al-Baqarah.

PERBEZAAN DI ANTARA ISLAM DAN IMAN

Dari Ma’mar, ia berkata: “Az-Zuhri pernah membaca firman Allah: “Katakanlah (Wahai Muhammad)(kepada mereka): “Kamu belum BERIMAN, tetapi sementara IMAN belum lagi meresap masuk ke dalam hati kamu berkatalah sahaja: “Kami telah Islam.” Ayat 14, Al-Hujaraat.

Az-Zuhri berkata: “Kami memahami bahawa ISLAM adalah ucapan, dan IMAN adalah amalan (perbuatan)." Sahih, Abu Daud.


Hari Jumaat
19 Safar 1433 Hijriyah
13 Januari 2012

Friday, January 6, 2012

DOA TAHAJJUD


BELUM HAFAZ DOA TAHAJJUD

Begitu baik bagi seseorang yang boleh mengedar dan menjual buku-buku agama Islam untuk memudahkan pembeli-pembeli buku agama Islam mendapatkannya.

Terdapat di antara penjual-penjual buku agama Islam di jalanan yang petah memberitahu tentang buku-buku agama Islam yang dibawanya dengan gaya yang menarik.

Pada suatu hari, sedang aku bersarapan di sebuah kedai makan, sekonyong-konyong datanglah seorang lelaki membawa beberapa buah buku agama Islam dan ia terus menghampiriku. Ia menunjukkan kepadaku nama-nama buku-buku yang dibawanya kepadaku. Aku tidak sedar dari arah mana ia datang dengan tiba-tiba dah menghampiriku.

Aku sedang menikmati makanan tanpa memperdulikan keadaan dan pergerakan sekelilingku.

Penjual buku agama Islam itu menghulurkan sebuah buku yang bertajuk “Fadhilat Sembahyang Tahajjud”. Aku tidak banyak mengambil perhatian tentang buku itu, mengenai siapa penulis dan siapa pengeluarnya.

Aku juga tidak tahu bahasa yang digunakan dalam buku itu sama ada Bahasa Melayu Malaysia atau Bahasa Melayu Indonesia yang mana sekarang ini disebut Bahasa Indonesia.

Sambil aku membelek-belek buku “Fadhilat Sembahyang Tahajjud” yang ada di tangannya, ia terus berceramah dengan lancar dan tersusun kata-katanya dalam bahasa yang baik pula.

Aku sudah tertarik dengannya. Aku terus mendengar sambil makan dan sekali sekala aku menyampuk ceramahnya itu dengan mengiakan apa yang disebutkannya mengenai “Sembahyang Tahajjud”. Aku mengiakannya kerana ceramah lelaki itu benar, tidak ada apa yang silap.

Setelah hampir habis ceramahnya itu, lelaki tersebut sekali lagi meminta aku membeli buku tersebut supaya dapat aku mengamal “Sembahyang Tahajjud”.

Oleh kerana lelaki itu petah berceramah dan fasih cara-cara mengamal “Sembahyang Tahajjud”, aku meminta ia membacakan doa “Sembahyang Tahajjud” secara hafazan.

Lelaki itu terhenti sejenak dan diam tanpa apa-apa reaksi seolah-olah terkaku.

Lelaki itu kemudiannya berkata: “Saya minta maaf, sebenarnya saya belum lagi menghafaz doa “Sembahyang Tahajjud”.

Ia meminta diri dan terus beredar dariku.

Begitulah keadaannya bila seseorang itu pandai dan petah berceramah/bercakap hal agama Islam tetapi ia sendiri tidak mengamalkannya.

Hari Jumaat
12 Safar 1433 Hijriyah
6 Januari 2012

Tuesday, January 3, 2012

REMINISCENCE














Bismillah. Hari ini hari Selasa 9 Safar 1433 Hijriyah/3 Januari 2012, Ayah dan Kak Azian membawa cucunda Muhammad Nur Zubair mendaftar masuk ke sekolah dan asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama, Kuala Selangor, yang terletak kurang lebih 80.5 km dari pekan Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor.


Pihak sekolah mengadakan pendaftaran masuk sekolah dan perjumpaan dengan ibu bapa dan penjaga murid-murid pada pagi ini hari Selasa, 9 Safar 1433 Hijriyah/3hb Januari 2012, pada jam 8.00 pagi. Ayah bertiga bertolak lebih awal sehari iaitu pada hari Isnin 8 Safar 1433 Hijriyah/2 Januari 2012 selepas solat dzuhur dan bermalam di pekan Bandar Malawati, Kuala Selangor agar perjalanan lebih selesa dan ada ruang masa untuk berehat.


Bila Ayah menjejaki dewan perjumpaan sekolah tersebut pada pagi ini 3 Januari 2012, Ayah terimbas kembali kepada masa kira-kira 33 tahun yang lalu di mana Ayah dan arwah Emak menghantar Dzil Razman memasuki Asrama Tun Doktor Ismail (ATDI) di Kampung Nakhoda , Kuala Lumpur. Selepas Dzil tamat tingkatan lima, Ayah dan arwah Emak sekali lagi menghantar Dzil masuk Institut Teknologi Mara dan tinggal di Asrama (Asrama Jati) di Shah Alam.


Dalam masa 33 tahun dan penitian usia Ayah mencapai 71 tahun sekarang ini, dengan rahmat Allah Ta’ala, Ayah dikurniakan 15 orang cucu iaitu 6 orang lelaki dan 9 orang perempuan. Anakanda-anakanda dan cucunda-cucunda adalah pewaris zuriyat, pembawa amal yang soleh.
Ayah mengimbas kembali urusan-urusan mendaftar masuk sekolah, pusat matrikulasi, maktab dan asrama-asrama anakanda-anakanda Ayah bermula 33 tahun yang lalu dan yang terakhir sekali adalah kira-kira 19 tahun yang lepas.


Harapan dan bayangan kisah-kisah kenangan manis Ayah sepanjang 33 tahun yang lalu akan kembali menjelma dan menghiburkan hati Ayah bila dapat menghantar dan melihat ramai lagi cucunda-cucunda Ayah ke sekolah, asrama, maktab dan universiti, InsyaAllah.

Hari Selasa
9 Safar 1433 Hijriyah
3 Januari 2012

Friday, December 23, 2011

MAUIDZAH

BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIIM


Wahai anak Adam!

Jika engkau tidak memahami Al-Quran, janganlah engkau terburu-buru membenci dan mendustakan Al-Quran. Ingatlah firman Allah Ta’ala dalam Surah Yunus, Ayat 39, maksudnya:

“Bahkan mereka pula terburu-buru mendustakan Al-Quran yang fahaman mereka tidak dapat meliputi segala isi pengetahuannya, dan belum datang kepada mereka kenyataan yang menjelaskan kebenarannya. Demikianlah juga orang-orang sebelum mereka mendustakan (Kitab-kitab Allah yang diturunkan kepada mereka). Maka lihatlah bagaimana akibat orang-orang yang zalim itu (berakhir dengan berbagai bencana yang membinasakan mereka)." Ayat 39


Wahai anak Adam!

Ingatlah firman Allah Ta’ala, dalam Surah Al-An’Aam, Ayat 68 dan Ayat 69, maksudnya:

“Dan apabila engkau melihat orang-orang yang memperkatakan dengan cara mencaci atau mengejek-ejek ayat-ayat Kami (Allah), maka tinggalkanlah mereka sehingga mereka memperkatakan soal yang lain; dan jika engkau dilupakan oleh syaitan (lalu engkau duduk bersama mereka), maka janganlah engkau duduk lagi bersama-sama kaum yang zalim itu, sesudah engkau teringat (akan larangan itu).” Ayat 68

“Dan tidaklah ada tanggungjawab sedikitpun atas orang-orang yang bertaqwa mengenai dosa orang-orang (kafir yang mengejek-ejek) itu, akan tetapi (kewajiban orang-orang Islam) ialah mengingat (larangan Allah itu) supaya mereka bertaqwa.” Ayat 69


Wahai anak Adam!

Mengapa engkau membelanjakan harta atas perkara-perkara yang melalaikan? Allah Ta’ala berfirman dalam Surah Luqman, Ayat 6 dan Ayat 7, maksudnya:

“Dan ada di antara manusia: orang yang memilih serta membelanjakan hartanya kepada cerita-cerita dan perkara-perkara hiburan yang melalaikan; yang berakibat menyesatkan ( dirinya dan orang ramai) dari agama Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan; dan ada pula orang yang menjadikan agama Allah itu sebagai ejek-ejekan; merekalah orang-orang yang akan beroleh azab yang menghinakan.” Ayat 6

“Dan apabila dibacakan kepadanya ayat-ayat Kami (Allah), berpalinglah dia dengan angkuhnya, seolah-olah ada penyumbat pada kedua telinganya; maka gembirakanlah dia dengan balasan azab yang tidak terperi sakitnya.” Ayat 7


Wahai anak Adam!

Ingatlah firman Allah Ta’ala dalam Surah Al-Muzzammil, Ayat 10, maksudnya:

“Dan bersabarlah terhadap apa yang dikatakan oleh mereka (yang menentangmu), dan jauhkanlah dirimu dari mereka dengan cara yang baik.” Ayat 10


Wahai anak Adam!

Janganlah engkau ragu-ragu dengan kebenaran Al-Quran. Ingatlah firman Allah Ta’ala dalam Surah Al-Baqarah, Ayat 2, maksudnya:

“Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi pertunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.” Ayat 2


Wahai anak Adam!

Jika engkau dapati seseorang itu tidak mentaati Allah dan RasulNya melalui gerakgeri, akhlak dan tutur katanya, maka tidak ada apa yang ada padanya lagi untuk engkau menghormatinya.


Hari Jumaat
27 Muharram 1433 Hijriyah
23 Disember 2011

Friday, October 21, 2011

SERUAN HAJI





BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIM

RUKUN ISLAM YANG KELIMA



Ibadat Haji adalah rukun Islam yang kelima, maka wajib ke atas tiap-tiap orang Islam yang mukallaf pergi menunaikan ibadat Haji di Makkatul Mukarramah dalam bulan DzulHijjah, sekali dalam seumur hidupnya.



Allah Ta’ala berfirman dalam Surah Al-Haj, Ayat 27 dan Ayat 28, maksudnya:



“Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang (ke rumah Tuhanmu) dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus, yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.” Ayat 27



“Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka, serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu, kerana pengurniaanNya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak (untuk dijadikan korban); dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin.” Ayat 28



Firman Allah Ta’ala dalam Surah A-li ‘Imraan, Ayat 97, maksudnya:



“Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu dan berkuasa sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajiban ibadat Haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajat sesuatu pun) dari sekalian makhluk.” Ayat 97



Dan firman Allah Ta’ala dalam Surah Al-Baqarah, Ayat 197, maksudnya:



“(Masa untuk mengerjakan ibadat) Haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat Haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri, dan tidak boleh membuat maksiat, dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat Haji. Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah; dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya, kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (dari keaipan meminta sedekah); dan bertaqwalah kepadaKu (Allah), wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya).” Ayat 197



Hadis



“Daripada Saiyidina ‘Ali radhiallahu ‘anh berkata ia, sabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam: “Barangsiapa yang ada mempunyai bekalan dan kenderaan yang boleh menyampaikannya ke Baitullah, tetapi ia tidak menunaikan Haji (hingga ia mati dengan tidak ada keuzuran baginya), maka tidak ada halangan baginya mati sebagai Yahudi atau Nasrani, (dari segi seksanya) kerana Allah telah berfirman dalam KitabNya: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji. (Dengan) mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu dan berkuasa sampai kepadanya.” At-Tirmidzi dan Baihaqi


FATWA YANG DIKELUARKAN OLEH GRAND MUFTI KERAJAAN SAUDI YANG MENGHARAMKAN MENUNAIKAN IBADAT HAJI TANPA PERMIT



Mulai musim Haji tahun ini, tahun 1432 Hijriyah, Mufti Besar Wahabi/Salafi Wahabi, Sheikh Abdul Aziz Ibn Abdullah Al-Asheikh, Kerajaan Saudi,telah mengeluarkan FATWA bahawa seseorang yang menunaikan ibadat Haji tanpa permit adalah HARAM (yakni tidak sah dan berdosa). Katanya lagi bahawa seseorang yang menunaikan ibadat Haji tanpa permit yang sah adalah melanggar undang-undang (hukum) dan raja seperti di teks berikut:





Haj without permits unlawful: Mufti
Grand Mufti Sheikh Abdul Aziz ibn Abdullah Al-Asheikh
Published: Oct 19, 2011 23:21 Updated: Oct 19, 2011 23:21


JEDDAH: Saudi Arabia sought to discourage Saudis and expatriates from performing pilgrimage this year without valid Haj permits with an intensified public awareness campaign through the media.



The country’s grand mufti also said it was unlawful to do Haj without permits. “Helping pilgrims to enter the holy sites without Haj permits goes against the law and the ruler, and those who perform Haj without permits are doing an unlawful thing,” Sheikh Abdul Aziz Al-Asheikh said in a statement distributed by the Makkah governorate.




Hari Jumaat
23 Dzulkaedah 1432 Hijriyah
21 Oktober 2011

Friday, October 14, 2011

CUCUNDA DZIL QAWI MUHAMMAD DZIL AZZA GHAZALI







BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIIM

DZIL QAWI MUHAMMAD DZIL AZZA

Lahirmu hari Sabtu jam empat empat puluh petang
Tiga haribulan Dzilqaedah 1432 Hijriyah
Satu haribulan Oktober tahun dua ribu sebelas

Namamu Dzil Qawi Muhammad bin Dzil Azza
Menjadi zuriyat Dzil Azza bilangan yang kelima
Membawa cahaya dalam keluarga

Dzil Qawi maknanya memiliki kekuatan dan kekuasaan
Kekuatan menentang musuh-musuh Allah AsSamad
Kekuasaan yang wajib dalam segala pentadbiran

MARHABAN YA MARHABAN




Hari Jumaat

16 Dzilqaedah 1432 Hijriyah

14 Oktober 2011

Friday, October 7, 2011

ORANG YANG DIBERI NIKMAT

BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIIM

Allah Ta’ala berfirman dalam Surah Al-Faatihah, Ayat 7, maksudnya:

“(iaitu) Jalan orang-orang yang telah Engkau anugerahkan nikmat kepada mereka; bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat.” Ayat 7

Orang-orang yang dianugerahkan nikmat oleh Allah Ta’ala itu adalah mereka yang tersebut dalam Surah An-Nisaa’, Ayat 69 dan Ayat 70, maksudnya:

“Dan barangsiapa yang mentaati Allah dan Rasul(Nya), mereka itu akan bersama-sama dengan orang-orang yang dianugerahi nikmat oleh Allah, iaitu para Nabi, para siddiqiin, orang-orang yang mati syahid dan orang-orang yang salih.” Ayat 69

“Dan mereka itulah teman yang baik-baiknya. Semua itu adalah kurnia dari Allah, dan Allah Maha Mengetahui.” Ayat 70

JALAN ORANG YANG DIMURKAI

Dan, firman Allah Ta’ala:

“Bukan jalan mereka yang dimurkai dan bukan pula jalan mereka yang sesat.”

Perkataan “LAA” (Bukan) di dalam ayat ini menunjukkan bahawa terdapat dua jalan yang rosak. Jalan orang-orang yang dimurkai iaitu jalan orang-orang Yahudi dan jalan orang-orang yang sesat iaitu jalan orang-orang Nasrani (Kristian). Juga untuk membezakan antara kedua jalan itu, agar setiap orang mukmin menjauhkan diri darinya.

Jalan orang-orang beriman yang dianugerahkan nikmat itu mencakupi pengetahuan tentang kebenaran dan pengamalannya.

Sementara orang-orang Yahudi tidak memiliki amal.

Adapun orang-orang Nasrani(Kristian) tidak memiliki ilmu agama.

Oleh kerana itu kemurkaan Allah Ta’ala untuk orang-orang Yahudi dan kesesatan untuk orang-orang Nasrani (Kristian).

SIFAT ORANG-ORANG YAHUDI DAN SIFAT NASRANI(KRISTIAN)

Sifat kaum Yahudi yang paling khusus adalah mendapat kemurkaan, sebagaimana firman Allah Ta’ala dalam Surah Al-Maa-idah, Ayat 60, maksudnya:

“Iaitu orang-orang yang dikutuk dan dimurkai Allah” Ayat 60

Sifat kaum Nasrani(Kristian) pula yang paling khusus adalah kesesatan, sebagaimana firman Allah Ta’ala dalam Surah Al-Maa-idah, Ayat 77, maksudnya:

“Orang-orang yang telah sesat dahulunya (sebelum kedatangan Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam) dan mereka telah menyesatkan kebanyakan (manusia), dan mereka tersesat dari jalan yang lurus.” Ayat 77

HADIS

Keterangan dari Hadis tentang siapakah orang-orang yang dimurkai Allah Ta’ala dan siapakah orang-orang yang sesat jalannya, sepertimana tersebut dalam sebuah Hadis berikut:

“Diriwayatkan dari ‘Adi bin Hatim radhiallahu ‘anh katanya: “Aku bertanya Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam mengenai firman Allah: “Ghairil maghdhu bi ‘alaihim (bukan jalan mereka yang dimurkai,” Baginda menjawab: “Mereka itu ialah Yahudi,” Dan “Waladh-dhaalliin (dan bukan jalan mereka yang sesat),” Baginda menjawab “Nasrani(Kristian), dan mereka itu mengikut jalan yang sesat.” At-Tirmidzi dan Abu Daud


Hari Jumaat
9 Dzulkaedah 1432 Hijriyah
7 Oktober 2011