Tuesday, January 3, 2012

REMINISCENCE














Bismillah. Hari ini hari Selasa 9 Safar 1433 Hijriyah/3 Januari 2012, Ayah dan Kak Azian membawa cucunda Muhammad Nur Zubair mendaftar masuk ke sekolah dan asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama, Kuala Selangor, yang terletak kurang lebih 80.5 km dari pekan Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor.


Pihak sekolah mengadakan pendaftaran masuk sekolah dan perjumpaan dengan ibu bapa dan penjaga murid-murid pada pagi ini hari Selasa, 9 Safar 1433 Hijriyah/3hb Januari 2012, pada jam 8.00 pagi. Ayah bertiga bertolak lebih awal sehari iaitu pada hari Isnin 8 Safar 1433 Hijriyah/2 Januari 2012 selepas solat dzuhur dan bermalam di pekan Bandar Malawati, Kuala Selangor agar perjalanan lebih selesa dan ada ruang masa untuk berehat.


Bila Ayah menjejaki dewan perjumpaan sekolah tersebut pada pagi ini 3 Januari 2012, Ayah terimbas kembali kepada masa kira-kira 33 tahun yang lalu di mana Ayah dan arwah Emak menghantar Dzil Razman memasuki Asrama Tun Doktor Ismail (ATDI) di Kampung Nakhoda , Kuala Lumpur. Selepas Dzil tamat tingkatan lima, Ayah dan arwah Emak sekali lagi menghantar Dzil masuk Institut Teknologi Mara dan tinggal di Asrama (Asrama Jati) di Shah Alam.


Dalam masa 33 tahun dan penitian usia Ayah mencapai 71 tahun sekarang ini, dengan rahmat Allah Ta’ala, Ayah dikurniakan 15 orang cucu iaitu 6 orang lelaki dan 9 orang perempuan. Anakanda-anakanda dan cucunda-cucunda adalah pewaris zuriyat, pembawa amal yang soleh.
Ayah mengimbas kembali urusan-urusan mendaftar masuk sekolah, pusat matrikulasi, maktab dan asrama-asrama anakanda-anakanda Ayah bermula 33 tahun yang lalu dan yang terakhir sekali adalah kira-kira 19 tahun yang lepas.


Harapan dan bayangan kisah-kisah kenangan manis Ayah sepanjang 33 tahun yang lalu akan kembali menjelma dan menghiburkan hati Ayah bila dapat menghantar dan melihat ramai lagi cucunda-cucunda Ayah ke sekolah, asrama, maktab dan universiti, InsyaAllah.

Hari Selasa
9 Safar 1433 Hijriyah
3 Januari 2012

No comments: