Friday, January 6, 2012

DOA TAHAJJUD


BELUM HAFAZ DOA TAHAJJUD

Begitu baik bagi seseorang yang boleh mengedar dan menjual buku-buku agama Islam untuk memudahkan pembeli-pembeli buku agama Islam mendapatkannya.

Terdapat di antara penjual-penjual buku agama Islam di jalanan yang petah memberitahu tentang buku-buku agama Islam yang dibawanya dengan gaya yang menarik.

Pada suatu hari, sedang aku bersarapan di sebuah kedai makan, sekonyong-konyong datanglah seorang lelaki membawa beberapa buah buku agama Islam dan ia terus menghampiriku. Ia menunjukkan kepadaku nama-nama buku-buku yang dibawanya kepadaku. Aku tidak sedar dari arah mana ia datang dengan tiba-tiba dah menghampiriku.

Aku sedang menikmati makanan tanpa memperdulikan keadaan dan pergerakan sekelilingku.

Penjual buku agama Islam itu menghulurkan sebuah buku yang bertajuk “Fadhilat Sembahyang Tahajjud”. Aku tidak banyak mengambil perhatian tentang buku itu, mengenai siapa penulis dan siapa pengeluarnya.

Aku juga tidak tahu bahasa yang digunakan dalam buku itu sama ada Bahasa Melayu Malaysia atau Bahasa Melayu Indonesia yang mana sekarang ini disebut Bahasa Indonesia.

Sambil aku membelek-belek buku “Fadhilat Sembahyang Tahajjud” yang ada di tangannya, ia terus berceramah dengan lancar dan tersusun kata-katanya dalam bahasa yang baik pula.

Aku sudah tertarik dengannya. Aku terus mendengar sambil makan dan sekali sekala aku menyampuk ceramahnya itu dengan mengiakan apa yang disebutkannya mengenai “Sembahyang Tahajjud”. Aku mengiakannya kerana ceramah lelaki itu benar, tidak ada apa yang silap.

Setelah hampir habis ceramahnya itu, lelaki tersebut sekali lagi meminta aku membeli buku tersebut supaya dapat aku mengamal “Sembahyang Tahajjud”.

Oleh kerana lelaki itu petah berceramah dan fasih cara-cara mengamal “Sembahyang Tahajjud”, aku meminta ia membacakan doa “Sembahyang Tahajjud” secara hafazan.

Lelaki itu terhenti sejenak dan diam tanpa apa-apa reaksi seolah-olah terkaku.

Lelaki itu kemudiannya berkata: “Saya minta maaf, sebenarnya saya belum lagi menghafaz doa “Sembahyang Tahajjud”.

Ia meminta diri dan terus beredar dariku.

Begitulah keadaannya bila seseorang itu pandai dan petah berceramah/bercakap hal agama Islam tetapi ia sendiri tidak mengamalkannya.

Hari Jumaat
12 Safar 1433 Hijriyah
6 Januari 2012

No comments: