Friday, March 22, 2013

TAHAYUL HITAM DAN PUTIH



“MAT SALEH”

Semasa  melancong  ke beberapa negara dalam Kesatuan Eropah (EU), beberapa tahun yang lalu, ternampak ramai orang dalam negara-negara Eropah tersebut mempunyai berbagai-bagai warna kulit;  ada hitam, putih, kuning langsat dan sawo matang. 

Bukan semuanya pelancong tetapi kebanyakan mereka yang berbagai warna kulit itu memiliki gedung-gedung perniagaan dan ada yang bekerja makan gaji. 

Pelancong-pelancong pun ramai juga, di antaranya ada yang “Caucasians” dan ada yang datang dari benua Afrika, Jepun, China dan dari Asia Tenggara termasuklah dari Malaysia.

Menjadi hairan kerana semasa masih kanak-kanak, telah digambarkan orang bahawa orang-orang di negara barat yakni negara-negara di Eropah, orang-orangnya berkulit putih belaka.  

Mereka juga disebut dengan gelaran “Mat Saleh” oleh orang-orang Melayu Malaysia.  Entah macam mana sebutan “Mat Saleh” itu termasuk dalam pertuturan Bahasa Melayu, sedangkan mereka itu bukan baik akhlaknya.


BERKULIT WARNA

Setelah sampai di sesetengah negara di Eropah, maka sedikit demi sedikit terhapuslah tanggapan yang sebelum ini gambaran dan pemikiran bahawa orang-orang di Eropah itu berkulit putih belaka.

Rakyat negara-negara di Eropah itu sebenarnya terdiri dari berbagai warna kulit sama ada yang bekerja dengan kerajaan atau lain-lain sektor dan mereka serupa sahaja dalam aspek kehidupan mereka dengan orang-orang yang berkulit putih.   

Mereka yang berbagai-bagai warna kulit  itu adalah keturunan orang-orang dari luar benua Eropah yang telah lama berpindah dan menetap di negara-negara Eropah.

Cerita-cerita sesetengah daripada mereka yang berkulit warna itu yang sempat di dengar, adalah bahawa mereka sudah beberapa generasi tinggal di Eropah.  Didapati gaya dan cara hidup mereka seperti cara pemakaian, pemakanan lebih kurang sama dengan orang-orang berkulit putih. 

Apapun gaya dan cara hidup mereka, mereka tetap berkulit warna, “coloured” gelaran yang diberi oleh “Mat Saleh” orang-orang yang berkulit putih itu.


KACANG SOYA

Ada sesetengah orang-orang Melayu khususnya wanita-wanita yang terikut-ikut  dengan kepercayaan yang dikutip daripada kaum-kaum Cina, Hindu, Sikh dan lain-lain kaum yang ada di Malaysia ini bahawa untuk mendapatkan anak-anak yang berkulit putih, ibu-ibu yang mengandung hendaklah banyak minum susu, air soya dan makan keju.

Sekiranya orang-orang Melayu yang mempercayai hal-hal tersebut, mempunyai alasan yang kukuh berdasarkan kajian saintifik dengan meminum susu, air soya dan makan keju boleh menjadikan anak-anak mereka putih, maka adalah dicadangkan supaya semua ibu-ibu yang mengandung melakukan yang demikian  supaya semua generasi rakyat Malaysia menjadi putih dan tiada lagi kulit-kulit yang berwarna hitam, gelap atau sawo matang.

Sekiranya semua rakyat Malaysia menjadi putih dengan meminum susu, air soya dan makan keju seperti yang tersebut di atas, maka bagaimana pula ibu-ibu yang mengandung di Malaysia yang makan kicap hitam pekat  yang juga diperbuat dari ramuan kacang soya?  Mungkinkah anak-anak mereka yang lahir nanti berkulit hitam pekat lebih hitam daripada orang-orang yang berkulit hitam?


SUARA DAN GAMBAR

Ada lagi tahayul orang-orang Melayu, bagi sesetengah ibu-ibu yang mengandung dan juga segolongan orang-orang perempuan Melayu menganggapkan bahawa jika mereka mahukan anak-anak perempuan dalam kandungan mereka menjadi cantik dan elok rupa parasnya, ibu-ibu yang mengandung itu hendaklah menonton atau selalu menatap gambar-gambar orang-orang yang cantik seperti artis-artis dan lain-lainnya. 

Begitu juga jika mereka mahukan anak-anak mereka mempunyai suara yang  merdu, mereka hendaklah selalu mendengar nyanyian lagu-lagu yang dinyanyikan oleh orang-orang yang mereka anggap merdu suaranya pada pendengaran mereka.


PERBUATAN SYIRIK

Tahayul-tahayul sepertimana tersebut di atas yang dibawa oleh ahli keluarga atau sahabat handai atau orang-orang luar yang menyampaikannya dengan penuh keyakinan membuat sesetengah ibu-ibu Melayu yang mengandung itu terikut-ikut melakukan kepercayaan tersebut tanpa mengambil kira perbuatan mereka itu adalah perbuatan syirik.



Hari Jumaat
10 JamadilAwwal 1434 Hijriyah
22 Mac 2013  



No comments: