Friday, March 8, 2013

RUMAH PENINGGALAN



Cerita pendek yang bertajuk “RUMAH PENINGGALAN” ini ditulis semasa berumur 17 tahun ketika menuntut ilmu di Al-Madrasah Al-‘Alawiyah, Arau, Perlis, Malaysia, telah disiarkan dalam tulisan Jawi oleh akhbar Warta Negara, 56 tahun dahulu.


WARTA NEGARA
Hari Rabu
5 ZulHijjah 1374 Hijriyah
3 Julai 1957

Cerita Pendek

((RUMAH PENINGGALAN))
Oleh: Ghazali M. Nur

Suasana malam sunyi sepi daripada suara manusia atau binatang peliharaan.  Hanya suara-suara binatang hutan sahaja kedengaran dan langit kelihatan gelap hitam diselubungi oleh sang awan, tanda hujan akan turun, sang rambulan pun tiada kelihatan.

Di sana kelihatan sebuah gobok yang kecil sedang berkelip-kelip cahaya pelita tanda penghuninya belum lagi tidur.

“Sudah lelap bang Man?”  Suara isterinya memecah sunyi.

“Oih….belum….” Jawab suami sambil menggeliat.

“Kau sedang buat apa Munah, belum masuk tidur lagi?”  Tanya suaminya serta menarik kain selimut.

“Memadam potong-potong api atas dapur”  Jawab isterinya.

Suasana sunyi sebentar.

“Bang Man!!”  Suara memecah sunyi.

“Ya”.

“Bang Man jangan cepat jendera, Nah tak lena malam ni.”  Kata isteri.

“Ada apa pula……??”  Tanya suami dengan cemas.

Suasana pun sunyi sedia kala.

“Tak jadi beli, bang Man.”

“Apa pula tak jadi beli……?”  Tanya suami dengan hairannya.

“Rumah”

“Rumah….??  Oh…rumah orang Siam yang kita akan beli itu, mengapa pula, tak mahu, bukan dulu kau juga mahu…??  Dah masa  hendak tidur mula tak mahu… macam mana fikiran kau sekarang…??”

“Nah takut, kerana dikata  orang rumah berhantu.”

“Abang dah bersetuju akan beli harganya murah lapan ribu ringgit, rumah semacam itu payah hendak dicari.  Kawasan pun luas ada dengan telaga, kolam bunga teratai dan taman bunga yang teratur.  Abang ingat orang yang menerima pesaka itu tak berapa cukup akal kerana sanggup menjual rumah sebegitu dengan harganya pula murah.”

“Abang tak tahu”  Kata isteri dengan suara halus.

“Apa??"  Tanya suaminya.

"Tadi waktu abang keluar pergi bekerja orang tua penjaga rumah itu datang mencerita kejadian rumah itu kepada Nah.  Ceritanya sangatlah gerun dan ajaib.

Katanya beberapa tahun yang silam di masa pemerintahan Siam memerintah dengan cara diktator dulu undang-undang di bawah  tangan raja. Banyaklah gadis-gadis jelita menjadi korban mangsa untuk raja-raja dan pembesar-pembesar kerajaan apabila mereka berkehendak memuaskan nafsu kebinatangannya, bukan sahaja gadis yang menjadi mangsa mereka bahkan apa sahaja yang mereka berkehendak pasti ditunai, kata orang tua itu dan sambungnya lagi.

Cuba lihat nun …. Jauh di lereng bukit sana, sebuah sisa dangau yang terasing sedikit dengan dangau-dangau yang banyak itu.  Di situlah tempat kediaman seorang anak yatim namanya Adinan.  Bapanya meninggal dunia pada masa ia sedang di dalam bangku pelajaran di sebuah sekolah di kampung  itu, sedangkan ibunya telah meninggal terlebih dahulu daripada bapanya.  Oleh yang demikian ia terpaksa berhenti daripada pelajaran, kerana tak ada waris yang sanggup memeliharanya.  Maka ia tak duduk lagi di situ terus ia merantau.

Tak berapa lama ia diambil oleh seorang datuk panglima raja Siam namanya Waicabun, buat menjaga kebun bunganya.

Namun ia ada seorang anak perempuan namanya Rasmi.  Rupa parasnya payah dibanding di masa itu.

Lapan tahun berlalu, kini Adinan tidak lagi menjaga kebun bunga semacam dulu, ia bekerja sebagai perajurit membela tanahair.

Selalu juga ia balik menjumpai Rasmi yang kini umpama bunga sedang kembang, baunya harum semerbak merata-rata.  Makin hari makin wangi.  Tak ada seekor kumbang pun berani mendekati. Maklumlah bunga jagaan, kecuali Adinan sahaja dapat memiliki hatinya.

Adinan berjanji bahawa ia akan mendiri sebuah rumah bagi siap sebelum ia hantar utusan untuk meminang Rasmi.

Maka rumah pun didiri orang.  Adinan sebagai penjaga orang-orang bekerja.

Masa berjalan hari bertukarkan minggu, minggu bertukarkan bulan, rumah yang didiri telah pun siap, serta ditanam pokok-pokok bunga di sekeliling rumah,  di sebelah hadapan rumah digali buat kolam bunga teratai, dan sebiji telaga di dalam rumah.

Maka Adinan pun mencari utusan untuk menghantar bunga sirih terhadap orang tua Rasmi.  Tetapi malangnya cita-cita itu roboh dengan tak disangka-sangka oleh manusia kejam……..kejam lebih daripada binatang durjana itu ialah utusan datang dari maharaja Siam hendak mengambil Rasmi pergi…..macam manakah perasaan Rasmi di masa itu?  Kau lukislah sendiri Munah, kiranya kau terkena semacam  itu.”  Kata orang tua itu. 

Ia berhenti mencerita sebentar sambil menunduk kepalanya ke bumi, dan sambungnya lagi:

“Maka utusan itu pun berkata: “Besok pagi kamu mesti bersiap sebelum pukul lapan pagi, kereta akan datang mengambil.” 

Utusan maharaja Siam itu pun kembali.

Suasana malam pun datang menyelimuti alam.  Semua unggas-unggas yang tadi berterbangan di angkasa raya, kini masing-masing membawa diri pulang ke sarang. 

Angin malam bertiup halus, semua isi alam sunyi sepi.  Sekali sekala kedengaran pungguk mengigau di dalam rimba raya.

Di anjung rumah yang besar itu kelihatanlah Rasmi termenung, air mata mengalir berderai-derai membasahi pipi yang gebu itu bak mutiara gugur dari talinya.

Pada malam itu ia memutuskan fikirannya untuk menemui Adinan buat kali yang akhir di rumah yang baharu siap itu.  Ia pergi serahkan segala-galanya terhadap kekasihnya.

Tadi dian menyala-nyala dengan megahnya, kini datang angin memadamnya, air yang tenang di dalam kolam di hadapan rumahnya mulai bergerak-gerak.  Dengan beransur-ansur air itu tenang kembali.  Angin tak ada lagi, dian pun dipasang semula.  Kelihatan Rasmi menangis tak berhenti-henti.

“Kanda….! Malam ini ialah malam pertama kali dinda merasai nikmat jumpa dan juga malam yang terakhir buat jiwa adinda”.

Adinan tak dapat berkata umpama ada sesuatu benda datang menyumbat di halkumnya, hanya dipeluk Rasmi merapatkan ke pipinya.

“Dinda akan balik sebelum fajar kerana takut dilihat orang-orang raja yang sedang mengintai-intai.”  Kata Rasmi.

Fajar putih mulai menyinsing , Rasmi turun dari rumah kekasihnya serta ditemani oleh Adinan sekerat jalan, kemudian Adinan balik masuk dan serta dipadamkan dian.

Sekejap sahaja kedengaran suara perempuan menjerit dan senyap tak kedengaran lagi.

Dengan tak membuang masa Adinan terjun turun ke bawah hendak melihat peristiwa itu.  Maka dilihat sebuah kepala perempuan tergantung di dahan jambu dan badannya terbaring di umbi.

Dengan tak memikir panjang ia membelek-belek badan itu.  Tetapi tak dapat ditelah kerana terlampau gelap, lalu ia  naik mengambil kepala yang sedang tergantung itu sambil memerhati.

Miski pun begitu, ia tak bergerak-gerak ke mana sedangkan ia memegang kepala itu.

“Pakngah…..pakngah”  Ia memanggil aku dengan sekuat-kuat suara. 

Aku turun dengan membawa sebuah lampu picit dan sebilah keris, kerana aku ingat kalau pencuri. 

Dengan terperanjat apabila cahaya lampuku sampai ke muka perempuan yang dipegang oleh Adinan itu ialah kepala Rasmi.

“Pakngah….tolong ambil cangkul ke mari, saya akan gali liang malam ini sebelum cerah.”

Aku pun balik mengambil dua bilah cangkul. 

Sudah kami  menggali liang itu, maka ia berkata: “Sekarang pakngah buat ikut saya kata, kambuskan saya serta isteri saya ini, dan tolong persampaikan pesanan saya ini pada mereka yang berhak menerima pesaka ini.  Tanah dan rumah ini kiranya belum cukup empat puluh tahun tak dibenar sesiapa menjual, duduk dan sewa.  Kalau mereka tak mengikut, mereka akan menerima kecelakaan seumur hidup dan saya akan duduk menunggu di sini dengan isteri saya selama empat puluh tahun.”

“Begitulah ceritanya yang diceritakan oleh orang tua penjaga rumah itu.”  Kata isterinya. 



Hari Jumaat
25 Rabi’ulAkhir 1434 Hijriyah
8 Mac 2013





No comments: