Friday, March 29, 2013

DILEMA SEORANG GADIS



IBUKU AMAT BERBANGGA SEKALI

Aku berusia 17 tahun dan telah berjaya dalam peperiksaan SPM tahun 2012 dengan mendapat “straight ‘As’ ” dalam semua mata pelajaran yang aku ambil.

Sahabat handai dan kenalan yang berjumpa denganku mengucapkan tahniah kepadaku,  khususnya ibu bapaku yang amat gembira sekali atas kejayaanku itu kerana memberi kebanggaan kepada mereka.  Ramai daripada sanak saudara dan sahabat handai ibu bapaku mengucapkan tahniah kepada mereka.


KEHENDAK IBUKU

Melihat kepada kejayaanku itu, ibuku  meminta supaya aku terus belajar sehingga ke peringkat Ph.D, dan selepas itu bolehlah aku berkahwin.  Bapaku tidak memberi apa-apa komen dan berdiam diri sahaja.

Ibuku terus memberi alasan bahawa dengan berkelulusan tinggi, aku boleh mendapat  pekerjaan yang bergaji tinggi.    

Kata ibuku lagi, bila seseorang itu bergaji tinggi, maka kedudukannya akan disanjung dan dihormati orang.  Disamping itu, orang yang bergaji tinggi itu tidak akan merasa susah kerana dapat membeli rumah yang besar dan memiliki kenderaan berjenama yang mahal harganya dan tidak berkehendakkan kepada orang lain kerana boleh menggunakan wang gaji sendiri untuk mendapatkan apa sahaja perkhidmatan yang diperlukan.

Aku selalu juga mendengar kebanyakan orang bercakap mengenai dengan  kehidupan yang baik bergantung kepada ijazah kelulusan seseorang itu.  Mereka terlalu yakin dengan pemikiran bahawa ijazah kelulusan itulah yang menjaminkan rezeki bagi seseorang.


SUKAR MEMBUAT PILIHAN

Aku sedar bahawa pemikiran ibuku itu baik dan aku juga tertarik dengan kata-katanya itu.

Namun begitu aku sekarang menghadapi dilema  di antara berkahwin dan terus belajar atau belajar tanpa berkahwin sebagaimana kata-kata ibuku itu.

Sekiranya aku memilih berkahwin dan belajar, bagaimana pula dengan tanggungjawabku terhadap suamiku?  Apakah aku boleh membahagi masaku dengan baik di antara belajar dan kewajiban aku terhadap suamiku?

Bagaimana pula jika aku terus belajar tanpa berkahwin sehingga ke peringkat Ph.D, yang sudah tentu memakan masa kurang lebih 7 atau 8 tahun, mengikut jurusan yang akan aku ambil nanti.  Ini bererti umurku akan mencapai 26 tahun pada masa itu, jika aku lulus dan kesihatanku baik.  Memandangkan umurku  pada ketika itu masih lagi muda dan masih boleh bergaya, dan jika ada jodoh, barulah aku kahwin. 

Terlintas juga di fikiranku, bagaimana pula keadaannya sekiranya aku tidak ada jodoh atau lambat mendapat jodoh, sedangkan umurku semakin hari semakin bertambah, dan kesihatanku pula tidak dapat ditentukan.

Mengikut pengajian sains biologi, semakin berumur seseorang perempuan itu, fizikal dan kesuburan produksinya akan menurun lebih cepat daripada lelaki.

Maka inilah menjadi dilemaku dan susah bagiku untuk membuat pilihan yang sesuai dengan naluriku sebagai seorang perempuan Muslimah.


LAIN NASIHAT LAIN YANG TELAH DIBUAT

Dalam memikirkan perkara tersebut, terlintas di pemikiranku juga kepada kehidupan ibu bapaku sekeluarga. 

Mereka berkahwin awal iaitu pada masa mereka berdua masih belajar lagi.  Ibuku berumur 20 tahun ketika melahirkan aku, dan bapaku berusia 22 tahun.  Bapaku telah tamat belajar ketika aku mula masuk sekolah darjah satu dan ibuku lulus dua tahun kemudian.

Mereka sekarang ini boleh dikatakan berjaya dalam kehidupan mereka.  Mereka ada rumah, kenderaan dan mempunyai anak-anak di sekeliling mereka.

Jika ibu bapaku boleh berkahwin semasa mereka masih belajar maka aku pun merasa aku pun boleh begitu jika itu adalah pilihanku kerana  aku merasa bahagia di sisi ibu bapaku sejak kecil sampai sekarang ini.    


Hari Jumaat
17 JamadilAwwal 1434 Hijriyah
29 Mac 2013

No comments: