Wednesday, October 24, 2012

SEMPENA TAHUN 1940



PROPAGANDA BRITISH

Kata orang-orang Melayu yang pernah merasai hidup di zaman Jepun, iaitu sepanjang tempoh masa mulai daripada kedatangan tentera Jepun ke Tanah Melayu hingga tamat pemerintahannya,  keadaan kehidupan orang-orang Melayu ketika itu amatlah susah.

Susah mendapat makanan dan pakaian.  British menyekat bahan-bahan makanan dan pakaian dibawa masuk ke Tanah Melayu dengan tujuan supaya bahan-bahan itu tidak sampai kepada tentera-tentera Jepun. 

Kerajaan British juga menjalankan kempen propaganda melalui media-media massa, radio, surat-surat khabar memburuk-buruk dan menakut-nakutkan rakyat bahawa Jepun yang melakukan peperangan itu untuk merampas dan menjajah  Tanah Melayu, dan menjadikan orang-orang Melayu sebagai hamba mereka dan menyeru orang-orang Melayu bangkit melawan Jepun.

Sayugia diambil peringatan bahawa sepanjang  masa penglibatan dan penjajahan British sebelum kedatangan Jepun iaitu di antara kurun ke 18 hingga ke 20, ramai orang-orang asing dibawa masuk ke Tanah Melayu oleh British tanpa kebenaran Raja-raja Melayu ketika itu. 

Orang-orang asing itu kebanyakannya dijadikan buruh dan pekerja-pekerja dalam syarikat-syarikat British dan kepentingan-kepentingannya, ladang-ladang getah, lombong-lobong bijih dan lain-lain.


KEMASUKAN ORANG-ORANG CHINA

Pada penghujung abad ke 19, selain daripada orang-orang China yang datang ke Tanah Melayu bekerja sebagai buruh di lombong-lombong bijih timah, British juga memberi konsesi tanah kepada orang-orang China untuk mengerjakan lombong bijih timah dan penanaman gambir di negeri-negeri Tanah Melayu. 

Kebanyakan orang-orang China tinggal di negeri Selat, serta mereka menganggap diri mereka sebagai rakyat di bawah perlindungan pihak British.

Dengan kebenaran British, bilangan orang-orang China bertambah dengan kadar yang amat pesat di Johor.   Dan pertambahan penduduk China di Semenanjung Tanah Melayu juga lebih pesat lagi dalam masa 30 tahun yang pertama abad ke 20.

Bilangan besar orang-orang China di Tanah Melayu berasal dari dua wilayah di negeri China, iaitu Hokkien dan Kwantung dari daerah-daerah Chuan-chew, Eng-hua, Eng-choon dan Hok-chew.


KEMASUKAN ORANG-ORANG INDIA

Sebahagian besar orang-orang India yang datang dan dibawa masuk ke Tanah Melayu oleh British pada penghujung abad ke 19 terdiri daripada kaum buruh dan orang-orang tawanan dari Bangkulu hasil daripada perjanjian Inggeris-Belanda.

Mereka ini digunakan untuk membina bangunan-bangunan pentadbiran pemerintah, jalan-jalan raya, jambatan, sekolah-sekolah dan lain-lain lagi.  Dan di antara mereka itu dijadikan buruh-buruh ladang getah, ladang tebu dan kopi.

Orang-orang India terdiri daripada orang Tamil yang dibawa masuk melalui pelabuhan Nagapatnam, dan orang-orang Telegu dari Andra Pradesh. 

Selain daripada itu, orang-orang dari Ceylon, orang-orang Malayali dari pantai Malabar yang dikenali di Tanah Melayu sebagai Malabari.


BERBAGAI KETURUNAN BANGSA

Bermula daripada pendatang-pendatang yang dibawa masuk oleh British itulah, maka Tanah Melayu sekarang menjadi satu-satunya negara di rantau Asia yang mempunyai rakyatnya berbagai-bagai keturunan bangsa.


JEPUN MENGALAHKAN BRITISH

Akibat sekatan-sekatan yang dikenakan ke atas bahan-bahan makanan dan pakaian oleh British, maka tentera-tentera Jepun merampas hasil-hasil tanaman seperti padi, ubi dan lain-lain lagi daripada penduduk-penduduk tempatan sehingga penduduk-penduduk tempatan menjadi susah tidak ada bahan-bahan untuk dimakan dan dipakai.  Bagai kata peribahasa Melayu:  “Gajah sama gajah berjuang, pelanduk mati di tengah-tengah.” Yakni yang menjadi mangsa peperangan British dan Jepun ialah sejumlah besarnya orang-orang Melayu.

Jepun tidak merosakan mana-mana negara yang tidak menyebelahi British khususnya dan tentera bersekutu amnya.

Oleh kerana Tanah Melayu dijajah oleh penjajah British, maka mahu tak mahu askar-askar, “home guard”, “auxiliary constable” dan lain-lain lagi yang ditubuhkan oleh British, terdiri daripada penduduk-penduduk tempatan Tanah Melayu dan orang-orang Melayu khususnya dijadikan “buffer” kepada tentera-tentera British di atas alasan “pretext” mereka mempertahankan tanah air yang tercinta melawan tentera Jepun itu dan ramai yang mati.


PERUBAHAN SIKAP

Peperangan Dunia II mulai pada 3 September 1939.  Jepun mulai masuk  dan memerintah Tanah Melayu mulai pada tahun 1941 hingga tahun 1945, selepas mengalahkan British.

Jepun, sebenarnya bukan sahaja dapat mengalahkan British tetapi juga mampu mengalahkan Amerika Syarikat dan Belanda di Asia Tenggara.

Kemenangan Jepun itu, biarpun pendek tempohnya, telah memberi kesan-kesan kepada senario politik dan suntikan semangat penduduk-penduduk di Asia Tenggara ini untuk membangun dan menentang penjajah-penjajah negara masing-masing.


SYCOPHANT

Melalui pengalaman, pengetahuan dan kesedaran yang lalu, di mana orang-orang Melayu telah dijajah fikirannya supaya senantiasa mengikut  apa sahaja yang dibawa oleh British dan mereka menganggap bahawa British sebagai satu-satunya kuasa yang kuat di dunia ini.

Selepas negara telah merdeka pada tahun 1957, fikiran-fikiran kebanyakan orang-orang Melayu yang lemah itu, tidak banyak berubah dan selalu dieksploitasikan oleh pihak-pihak yang berkepentingan untuk berkuasa, mengambil kesempatan menjajah fikiran orang-orang Melayu lagi.

Orang-orang Melayu dihidangkan dengan hiburan-hiburan yang melalaikan, dan disamping itu mereka diperang sarafkan asakan-asakan perasaan yang mengongkong minda dan fikiran mereka atas perkara-perkara yang menakut-nakutkan mereka dengan kesusahan, kepayahan, kepapaan, huru hara, dan kemiskinan, sehingga mereka menjadi pengikut setia sebagaimana tersebut dalam peribahasa Melayu: “Seperti kerbau dicucuk hidung,” atau “Bagaimana bunyi gendang, begitulah tarinya.”

Walaupun sesetengah orang-orang Melayu itu dilihat bahawa mereka sebagai karyawan atau cendekiawan atau profesional, namun akal fikiran mereka mengenai siasah masih lemah.

Dengan keadaan itu terdapat sesetengah daripada mereka itu sanggup menjadi pengampu dan tali barut kepada satu-satu golongan yang mana mereka ada kepentingan di dalamnya.  Mereka seolah-olahnya rela membiarkan Melayu hilang bangsa dan menjadi “The Lost Race” di Tanah Air sendiri, asalkan mereka mendapat apa yang mereka hajati.


BAIK DI DUNIA DAN BAIK DI AKHIRAT

Justeru itu, maka generasi muda Melayu sekarang ini hendaklah berusaha supaya dapat mengeluarkan orang-orang Melayu daripada kepompongnya dan mengubah cara fikiran orang-orang Melayu kepada anjakan paradigma mereka yang baru, bersih daripada maksiat, baik di dunia dan baik di akhirat.


Hari Rabu
8 Zulhijjah 1433 Hijriyah
24 Oktober 2012

No comments: