Friday, October 19, 2012

SURAT UNTUK ADINDA SAYANG BAIDURI


3 Zulhijjah 1433 Hijriyah 


Rumah “NOSO” Bunga Tanjung
Taman KKB Utama
Selangor Darul Ehsan.


BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIIM

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh, Adinda Sayang Baiduri,


Adinda,

Walaupun pertunangan kita telah dipersetujui oleh kedua pihak ibu bapa kita , masih ada banyak perkara batasan-batasan yang perlu kita jagai.

Kita tidak boleh berjumpa kecuali bila ada ibu bapa atau mahram bersama-sama.  Itu pun adinda tidak boleh membuka hijab di hadapan kekanda.


Adinda,

Sungguhpun kita tahu batasan-batasan itu tetapi mata mahu juga melihat  kecantikan rupa paras adinda. 

Nafsu untuk melihat dan merasai tubuh badan adinda  tidak dapat disembunyikan, jika tidak mengingati dosa-dosa dan azab yang akan dikenakan kerana melanggar perintah Allah Ta’ala bahawa seseorang lelaki dan perempuan yang beriman yang mana mereka bukan mahram tidak boleh melihat pada bahagian tertentu dan menyentuhnya sehingga mereka dihalalkan melalui perkahwinan.


Adinda,

Kekanda sedar semua hal-hal tersebut tetapi perasaan kekanda ini meronta-ronta dan mendesak supaya kekanda dapat berjumpa selalu dan berbual-bual panjang mengenai masa hadapan kita. 

Namun kekanda tidak dapat melakukannya kerana setiap kali kekanda berkunjung ke rumah adinda, ibu bapa dan lain-lain orang dalam keluarga adinda senantiasa duduk bersama-sama.

Sungguhpun begitu, kekanda merasa senang setiap kali kekanda dapat menziarah keluarga adinda di mana adinda juga ada bersama-sama mereka.


Adinda,

Kekanda tertanya-tanya diri sendiri mengenai perasaan yang tumbuh dalam dada kekanda, yang selalu bermain-main dalam kepala kekanda mengingati adinda saban masa, adakah itu adalah cinta. 

Apakah perasaan itu sama dengan perasaan cinta yang disebut sebagai cinta yang dialami oleh Shah Jahan terhadap Mumtaz Mahal sehingga membawa kepada pembinaan sebuah bangunan terindah yang diberi nama Taj Mahal sebagai tanda cintanya?


Adinda,

Setelah 12 tahun pernikahan kita, kekanda rasa begitu cepat sekali masa berlalu.  Allah Ta’ala telah mengurniakan kita empat orang anak.  Anak-anak  kita itulah yang menghiasi kehidupan keluarga kita.
  
Allah Ta’ala berfirman dalam Surah Al-Kahfi, Ayat 46, maksudnya:

“Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia.”  Ayat 46
  
Mengharungi hidup selama ini, banyak perkara yang kekanda belajar sepanjang perkongsian hidup kita bersama.  Susah payah dan sakit demam diri kita dan anak-anak, kita tempuhi dan lalui dengan penuh kesabaran kerana mengambil guna firman Allah Ta’ala dalam Surah Al-Balad, Ayat 4, maksudnya:

“Sesungguhnya Kami (Allah) telah jadikan manusia sentiasa dalam keadaan menghadapi kesulitan dan kesukaran (jasmani (fizikal) dan rohani (mental) nya).” Ayat 4

Tahun hadapan 2013, Arif  anak kita akan mengambil peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), itu pun jika sistem peperiksaan itu masih dijalankan.  Terdengar ura-ura kerajaan akan memansuhkan ujian tersebut pada masa akan datang.

Sistem pelajaran di Malaysia ini kerap berubah-ubah.  Bila ada pertukaran portfolio Menteri Pendidikan dan Pelajaran, maka ada pula sistem-sistem pembelajaran baru diperkenalkan. 

Walau apapun, kekanda berasa bertuah kerana adinda menjalankan tanggungjawab  sebagai isteri sepenuh masa yang mana dapat menjaga makan minum kekanda dengan sempurna dan mengasuh, mendidik dan mengajar Al-Quran, Fardu ‘Ain serta menjadi tutor pelajaran sekolah kepada anak-anak di rumah.

Melihat keadaan urusan rumah yang begitu banyak dilakukan oleh adinda setiap hari siang dan malam, kekanda telah menyuarakan kepada adinda untuk mendapatkan seorang pembantu rumah.

Adinda tidak bersetuju dengan cadangan kekanda itu kerana adinda berpendapat bahawa mengambil seorang pembantu rumah akan menambah satu lagi tanggung jawab “welfare” ke atasnya; sakit demam, makan minum, bilik tidur dan lain-lain keperluan pembantu rumah itu harus ditanggung.  Adinda juga berpendapat bahawa  kebebasan pergerakan kekanda di dalam rumah akan menjadi sempit dan terbatas serta terhad pergerakan kekanda.

Akan terhad cara pakaian, gerak geri, tutur kata, senda gurau dan lain-lain hal atau perkara yang tidak dapat dijangka, kerana pembantu rumah tersebut bukan  mahram.  Di samping itu, kita tidak kenal akhlak, latar belakang, bawaan diri pembantu rumah itu yang sebenar.

Kekanda berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala agar Allah Ta’ala memberi ganjaran yang sebaik-baiknya kepada adinda.


Adinda,

Memandangkan tanggungjawab adinda terhadap keluarga amat besar tanpa adinda mengira penat lelah, maka semakin membesar perasaan cinta kekanda terhadap adinda.  Kekanda yakin bahawa cinta kekanda yang mendalam tumbuh sebenarnya selepas pernikahan bukan sebelumnya, bagai kata peribahasa Melayu: “Tak kenal maka tak cinta” maksudnya bila sudah kenal maka hebat cintanya.


Adinda,

Pada mulanya, ketika umur kekanda masih muda ketika adinda diperkenalkan dan ibu bapa kekanda masuk meminang adinda, kekanda berkenan kepada adinda dan berbuak perasaan itu dalam lubuk sanubari kekanda. 

Kekanda mengambil perasaan itu sebagai cinta yang tergila-gila sepertimana kisah cinta dalam cerita “Laila WalMajnuun”, atau “Romeo and Juliet”.

Kini baru kekanda sedar bahawa perasaan yang melonjak-lonjak sampai tidur tak lena, makan tak kenyang , mandi tak basah kerana mengingati adinda itu adalah sebenarnya godaan dan hiasan syaitan laknatullah menarik manusia ke jalan maksiat dan perzinaan; zina mata, zina hati sepertimana tersebut dalam sebuah Hadis:

“Dari Abu Hurairah radhiallahu ‘anh, dari Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, sabda Baginda: “Nasib anak Adam mengenai zina telah ditetapkan.  Tidak mustahil dia pernah melakukannya.  Dua mata, zinanya memandang.  Dua telinga, zinanya mendengar.  Lidah, zinanya berkata. Tangan, zinanya memukul.  Kaki, zinanya melangkah.  Hati, zinanya ingin dan rindu, sedang faraj (kemaluan) hanya mengikuti atau tidak mengikuti.”  Sahih Muslim.


Adinda,

Alhamdulillah, Allah Yang Maha Bijaksana telah  menyelamatkan kekanda daripada hasutan dan tarikan syaitan perasaan hawa nafsu syahwat kekanda ketika itu.


Adinda,

Adinda tentu tidak tahu mengapa kekanda memilih adinda sebagai bakal isteri kekanda. 

Kekanda memilih adinda yang pertama sekali ialah mengikut perintah Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam seperti tersebut dalam sebuah Hadis berikut :

“Sabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, mafhumnya: “Wahai para pemuda, barangsiapa di antara kamu yang sudah mampu untuk bernikah, maka hendaklah ia menikah. Dan barangsiapa yang belum mampu, maka  hendaklah ia berpuasa, kerana baginya puasa itu merupakan penekan (nafsu syahwat).”

Sebab yang kedua, pada pandangan mata dan mata hati kekanda, kekanda memilih adinda bukanlah kerana rupa paras, keturunan dan harta, walaupun ketiga-tiga itu perlu juga dilihat sebagai pertimbangan tetapi bagi kekanda, pilihan yang tertinggi nilainya ialah pembawaan Agama Islam. 

Pada pandangan kekanda dan daripada cerita-cerita yang disebutkan oleh kedua ibu bapa kekanda sendiri, budi pekerti dan akhlak yang solehah menjadi amalan dan bawaan adinda.

Kekanda perhatikan bahawa jika kecantikan sahaja menjadi pilihan, maka kecantikan itu tidak lama bertahan; kecantikan di waktu muda akan berubah bila umur seseorang itu meningkat atau atas sebab-sebab penyakit atau kemalangan.

Harta pula tidak menjaminkan kebahagiaan yang kekal kerana harta, seseorang itu akan bergaduh dan berebut-rebut selain daripada harta itu akan habis pada bila-bila masa sahaja disebabkan bala bencana atau malapetaka yang menimpa dan sebagainya.

Keturunan pula  tidak menjamin seseorang itu selamat daripada seksa azab Allah Ta’ala jika keturunan tersebut kufur dan ingkar terhadap segala perintah Allah Subhanahu Wa Ta’ala. 

Ketiga-tiga perkara tersebut dikurniakan Allah Ta’ala kepada manusia.  Tanpa rahmatNya, manusia tidak ada sesuatu pun yang dimilikinya sepertimana ia lahir ke dunia ini bertelanjang bogel dan tidak tahu apa-apa.


Adinda,

Allah Ta’ala mengajar manusia membaca dan menulis, maka Agama Islam mengesakan Allah yang menciptakan manusia dari diri yang satu iaitu Nabi Adam ‘Alaihissalam. 

Maka setiap mukmin dan mukminah dituntut belajar ilmu Allah yakni ilmu dunia untuk kehidupan dunia dan ilmu Agama untuk kehidupan di akhirat.

Agama Islam itulah yang akan membawa seseorang itu kepada bahagia di dunia dan di akhirat.  Dimaksudkan “orang yang celaka” dan “orang yang bahagia” sebenarnya ialah orang yang celaka dan orang yang bahagia di akhirat kelak.

Firman Allah Ta’ala dalam Surah Hud, Ayat 105, Ayat 106, Ayat 107 dan Ayat 108, maksudnya:

“(Pada) masa datangnya (hari kiamat itu), tiadalah seorangpun dapat berkata-kata (untuk membela dirinya atau memohon pertolongan) melainkan dengan izin Allah.  Maka di antara mereka ada yang celaka, dan ada pula yang bahagia.”  Ayat 105

“Adapun orang-orang yang celaka, maka di dalam nerakalah tempatnya.  Bagi mereka di situ, hanyalah suara memekik-mekik dan mendayu-dayu (seperti suara keldai).”  Ayat 106

“Mereka kekal di dalamnya selagi ada langit dan bumi (yakni langit dan bumi di akhirat kerana langit dan bumi dunia ini telah tiada lagi), kecuali apa yang dikehendaki oleh Tuhanmu.   Sesungguhnya Tuhanmu, Maha Kuasa melakukan apa yang dikehendakiNya.”  Ayat 107

“Adapun orang-orang yang bahagia, maka di dalam syurgalah tempatnya.  Mereka kekal di dalamnya selagi ada langit dan bumi (pada hari akhirat), kecuali apa yang dikehendaki oleh Tuhanmu, sebagai pemberian nikmat yang tidak putus-putus.”  Ayat 108

Orang-orang yang mendapat bahagia di akhirat akan memasuki syurga bersama-sama ibu bapa mereka, isteri-isteri mereka dan anak-anak mereka, sepertimana firman Allah Ta’ala dalam Surah Ar-Ra’d, Ayat 23 dan Ayat 24, maksudnya:

“Syurga yang kekal, yang mereka akan memasukinya bersama-sama orang-orang yang mengerjakan amal soleh dari ibu bapa mereka dan isteri-isteri mereka serta anak-anak mereka;  sedang malaikat-malaikat pula akan masuk kepada mereka dari tiap-tiap pintu.”  Ayat 23

“(Memberi hormat dengan berkata):  “Selamat sejahteralah kamu berpanjangan, disebabkan kesabaran kamu.  Maka amatlah baiknya balasan amal kamu di dunia dahulu.”  Ayat 24

Semoga Allah Ta’ala menganugerahkan keberkatan dan rahmatNya kepada kita dan keluarga kita.  Amiin.


Kekandamu

Amir Walii



Hari Jumaat
3 Zulhijjah 1433 Hijriyah
19 Oktober 2012




No comments: