Friday, August 31, 2012

BIAR MATI ANAK


ADAT

Bagi manusia yang mempunyai tamadun dan mempunyai akal serta nilai-nilai yang lebih tinggi daripada binatang, manusia mengadakan upacara perkahwinan mengikut agama dan adat-adat yang telah ditetapkan sebagai pegangan mereka.

ORANG BERAGAMA HINDU

Orang-orang India Hindu mengadakan perkahwinan mereka dengan mengadakan, di antaranya, upacara perarakan mempelai (pengantin) lelaki dan perempuan serta mengadakan pelamin yang indah-indah di mana mempelai lelaki dan perempuan duduk bersanding di atas pelamin tersebut untuk ditontoni para jemputan.

ORANG BERAGAMA KRISTIAN

Orang-orang yang beragama Kristian biasanya mengadakan perkahwinan mereka di gereja-gereja.  Pengantin lelaki diapit oleh saudara lelaki atau teman karib dipanggil “best man” manakala pengantin perempuan diapit oleh saudara perempuan atau teman karib dipanggil “maid of honor”. Juga terdapat di majlis perkahwinan tersebut beberapa orang lelaki dan perempuan yang digelar “groomsmen” dan bridesmaids”.

Ketika pengantin perempuan hendak memasuki gereja untuk upacara perkahwinan, dia diapit oleh beberapa kanak-kanak lelaki dan perempuan yang dipanggil “pages” (boys) dan “flower girls” yang terdiri daripada anak-anak saudara-mara atau anak-anak dari keluarga yang terdekat dengan pengantin perempuan dan lelaki. 

Majlis perkahwinan orang Kristian tidak ada pelamin, bersanding dan merenjis air mawar.


WALIMATUL URUS MELAYU ISLAM

Kebanyakan orang-orang Melayu, oleh kerana amat tertarik dengan upacara-upacara perkahwinan orang-orang kafir sehingga mereka mengadakan majlis kenduri walimatul urus melebih-melebihi acaranya yang mana tidak mengikut sunnah dan syari’at.

Kerana itu, kebanyakan orang-orang Melayu mengadakan majlis walimatul urus anak-anak mereka seperti berikut: 

1     1.     MENGIKUT ISLAM - Upacara akad nikah

2     2.     MENGIKUT UPACARA PERKAHWINAN INDIA HINDU - Persandingan dengan mendudukkan mempelai lelaki dan perempuan untuk direnjis air mawar dan menyuap makanan di antara mempelai lelaki dan perempuan sambil ditontoni oleh para jemputan

3     3.     MENGIKUT UPACARA PERKAHWINAN KRISTIAN - Mengadakan “flower girls” dan/atau “pages (boys)”


CAKAP LAIN BUAT LAIN

Walaupun orang-orang Melayu Islam yang biasanya nampak kononnya menjaga syari’at Islam dan sering bercakap-cakap tentang perkara-perkara bid’ah dan khurafat dan tahu bahawa adat-adat perkahwinan yang menyerupai adat-adat perkahwinan kafir, India Hindu dan Kristian itu tidak secocok dengan syari’at Islam, mereka lalai dan terus melakukannya.    

Mengenai dengan adat-adat dan upacara-upacara perkahwinan, bertambah celaru lagi apabila sesetengah Mufti-mufti, Kadi-kadi dan penjawat-penjawat Agama Islam bukan sahaja berdiam diri bahkan mereka ikut hadir dalam majlis-majlis perkahwinan walimatul urus tersebut.  Mereka juga membaca doa dalam majlis tersebut bila mereka diminta berbuat demikian.

Adat-adat walimatul urus yang mengandungi unsur-unsur adat-adat perkahwinan bercampur aduk dengan cara perkahwinan kafir, hidup subur beratusan tahun diamalkan oleh ramai masyarakat Melayu sehingga ke hari ini.

Oleh kerana mereka  tidak dapat meninggalkan adat-adat yang diambil daripada orang-orang kafir itu, maka  amalan mereka itu bersesuaian dengan peribahasa Melayu: “Biar mati anak jangan mati adat”,  walaupun peribahasa tersebut digunakan bagi sesuatu adat tertentu. 


Hari Jumaat
13 Syawal 1433 Hijriyah
31 Ogos 2012

1 comment:

Unknown said...

Saya sokong pendapat ini.