Friday, August 24, 2012

TABIAT HAIWAN MAKAN


  
DIPAKAIKAN DENGAN KALUNG EMAS

Setiap orang boleh melihat bagaimana anjing, babi, kera, kucing dan ayam mencari dan makan makanan.  Haiwan-haiwan itu berada disekeliling kehidupan manusia di mana-mana sahaja.

Tiap-tiap haiwan itu mencari makanan mengikut cara tabiatnya masing-masing.  Anjing yang bukan dipelihara dan dikurung atau dirantai, ia berjalan dan menghidu-hidu bau makanan di atas tanah untuk mendapat makanan seperti tahi, bangkai atau sisa-sisa makanan yang dibuang manusia.

Peribahasa Melayu ada menyebut:  “Anjing itu, meskipun dirantai dengan emas, nescaya berulang-ulang juga ia ke tempat tahi (najis).”  Maksudnya seseorang yang tabiatnya melakukan kejahatan maksiat, walaupun ia telah diberi tempat dan kemuliaan dalam masyarakat, ia masih “ada hati” gemar kepada perkara-perkara jahat dan maksiat dan melakukannya secara bersembunyi-sembunyi dari pandangan manusia.


JILAT MENJILAT

Anjing apabila mendapat makanan, sifatnya tamak dan gelojoh, selalu mengawal supaya makanan itu tidak terjatuh kepada anjing-anjing lain walaupun dalam kumpulan yang sama. 

Dengan itu anjing-anjing sekumpulan itu akan bergomol atau bergaduh, gigit menggigit dan cakar-mencakar sesama sendiri, sedangkan sebelumnya anjing-anjing yang sama  pada kebiasaannya bermain-main, jilat menjilat di antara satu sama lain.

Sifat-sifat anjing itu terdapat juga  pada haiwan-haiwan lain seperti babi, kucing, ayam dan lain-lain lagi yang hidupnya tidak dikurung dalam sangkar.


PERUMPAMAAN

Haiwan-haiwan itu diciptakan Allah Ta’ala supaya makhluk manusia yang diberi akal dan lebih tinggi martabatnya daripada haiwan, dapat melihat dan mengambil iktibar agar manusia dapat membezakan cara makan dan minum manusia dan haiwan.

Haji Abdulmalik Abdulkarim Amrullah (HAMKA) mengumpamakan manusia yang serupa dengan binatang tentang makan dan minum seperti berikut:

“Binatang ternak hanya memikirkan sekitar makan.  Kerbau dan sapi (lembu) mengunyah terus, baik sedang duduk atau sedang  berhenti bertugas, namun mereka mengunyah terus.  Kerjanya hanya makan belaka.  Orang yang tidak mempunyai cita-cita tertentu (tentang agama) dalam hidupnya, apabila  makannya sudah cukup hatinya sudah senang.  Pada hakikatnya, kalau binatang memikirkan makan siang dan malam, tidaklah ada orang yang menyalahkan.  Sebagaimana kambing, jika dia tidak memakai pakaian, bertelanjang seluruh badannya tidaklah ada orang yang mengomel.  Tetapi kalau manusia berfikir hanya sekadar dan sekitar makan, jadilah dia tumpuan penghinaan dan pandangan rendah.”   


TUJUH PERUT

Dari Ibnu ‘Umar r.a., dari Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, sabdanya:

“Orang-orang kafir makan dengan tujuh perut, dan orang mukmin  makan dengan satu perut.”  Muslim dan Bukhari.    

Kiasan ini disebut adalah kerana kerakusan dan ketamakan orang kafir terhadap nikmat dan kelazatan dunia.

Allah Ta’ala mengumpamakan sifat haiwan dengan sifat manusia yang kafir. Pada asasnya sifat manusia yang kafir sama dengan sifat binatang, tidak kira sama ada manusia itu seorang ahli profesional seperti doktor, jurutera, saintis, dan lain-lain lagi, cara makan dan minumnya adalah seperti binatang ternakan.

Walaupun pada teorinya mereka dilihat mempunyai cara dan adab-adab makan yang disebut sebagai “table etiquette” yang digunakan hanya pada waktu majlis-majlis tertentu sahaja.

Allah Ta’ala berfirman dalam Surah Muhammad, Ayat 12, maksudnya:

“Dan orang-orang yang kafir yang menikmati kesenangan di dunia serta mereka makan minum sebagaimana binatang-binatang (haiwan) ternak makan minum, sedang nerakalah menjadi tempat tinggal mereka.”  Ayat 12.


Hari Jumaat
6 Syawal 1433 Hijriyah
24 Ogos 2012

No comments: