Friday, May 8, 2009

PERMAINAN "MUSICAL CHAIRS"


BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIIM




"MUSICAL CHAIRS"



Permainan “musical chairs” ini dimainkan oleh ramai kanak-kanak tadika dan orang-orang dewasa dalam sesebuah majlis keramaian untuk memeriahkan suasana ketika itu.


Cara bermainnya ialah dengan menyediakan kerusi-kerusi yang hendak direbut duduk, muzik dan pemain-pemain yang akan berlawan rebut kerusi-kerusi.


Contohnya bilangan pemain-pemain itu katakan 7 orang dan kerusi yang disediakan ialah 6 buah sahaja. Pemain-pemain diminta berjalan dan berpusing mengikut alunan muzik dan mengelilingi kerusi-kerusi yang telah disusun membulat lingkarannya. Mereka akan berhenti dan duduk di atas kerusi-kerusi yang dapat direbutnya sebaik sahaja alunan muzik itu diberhentikan. Hanya 6 pemain sahaja yang dapat merebut duduk di kerusi-kerusi yang telah disediakan dan sudah tentu seorang daripada pemain-pemain tersebut terkeluar daripada permainan itu.

Kemudian muzik terus dimainkan dengan baki 6 orang untuk merebut 5 kerusi pula. Begitulah seterusnya permainan itu berjalan sehingga akhirnya hanya tinggal satu kerusi sahaja dan pemain yang berjaya menduduki kerusi tersebut itu diisytiharkan pemenang dan ia berhak diberi hadiah.


DAERAH BELUM BERNAMA


Sekarang permainan “musical chairs” itu telah menjadi kegemaran dan popular bukan sahaja di kalangan kanak-kanak kelas tadika bahkan disukai oleh orang dewasa dan orang-orang yang ternama dalam daerah.


Sindrom permainan “musical chairs” itu sudah menjalar kepada suatu fenomena epidemik sebagai mana epidemik virus selsema babi sekarang ini yang menyerang 24 buah negara dan 41 negeri di Amerika Utara (USA).


Sekarang pemain-pemain “musical chairs” itu sudah mula bermain secara helat iaitu mereka bukan sahaja merebut kerusi-kerusi tetapi juga sanggup berkasar, tolak menolak, jatuh menjatuhkan di antara satu sama lain sehingga ada yang terdera dan ada di antaranya dibawa ke mahkamah untuk dibicarakan bagi menyelesaikan perebutan tersebut. Di samping itu ada juga di antara pemain-pemain helat itu cuba lompat kerusi.


Itulah serba sedikit kisah sebuah permainan “musical chairs” yang ada di suatu daerah yang belum bernama.

Hari Jumaat
13 Jamadil Awal 1430 Hijriyyah
8 Mei 2009


No comments: