Monday, May 18, 2009

GOLONGAN ELIT JAHILIYAH


BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIIM


KHAMAR (WINE)


Khamar (wine) diperbuat daripada buah anggur. Khamar (wine) atau dengan apa sahaja nama yang disebut, juga boleh diperbuat daripada apa-apa bahan yang lain, mengandungi alkohol hasil daripada prosesan-prosesan tertentu. Khamar (wine) biasanya ada tiga warna iaitu; putih kekuningan (white), merah jambu (pink) dan merah hati (red).


Khamar (wine) dibenarkan minum sebelum datangnya Islam dan pada awal permulaan Islam di zaman junjungan kita Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam yakni sebelum turunnya ayat Al-Quran yang mengharamkannya.

Orang-orang kafir dan orang-orang jahiliyah minum khamar (wine) sebagai keistimewaan dalam masyarakat mereka. Mereka menjadikan minuman khamar (wine) sebelum sesuatu perjumpaan atau sesuatu upacara yang khusus. Ada kala minuman itu juga diadakan selepas perjumpaan atau selepas upacara tertentu.

KHAMAR MENGALIR DI JALAN-JALAN

Peristiwa khamar mengalir di jalan-jalan berlaku sebaik sahaja turunnya ayat Al-Quran yang mengharamkan orang-orang Islam minum khamar seperti tersebut dalam sebuah Hadis dalam Sohih Muslim:

Dari Anas bin Malik r.a. katanya: ”Aku bertugas menjadi pelayan menuangkan minuman kepada para tamu di rumah Abu Thalhah pada hari minuman khamar diharamkan. Minuman mereka terbuat dari campuran kurma muda dan kurma kering. Tiba-tiba terdengar orang meneriakkan suatu pengumuman. “Keluarlah dan dengarkan!”, kata Abu Thalhah. Lalu aku pergi ke luar, kiranya orang mengumumkan suatu pengumuman: “Perhatian sesungguhnya khamar telah diharamkan!” Ku lihat di jalan-jalan mengalir minuman khamar. Kata Abu Thalhah kepadaku, “Keluarlah! Tumpahkan minuman itu!” Lalu ku tumpahkan minuman itu semuanya.”

MEMALINGKAN DARIPADA MENGINGATI ALLAH SUBHANAHU WATA’ALAA

Allah Subhanahu Wata’alaa berfirman dalam Surah Al-Maa’idah, Ayat 90 dan Ayat 91(maksudnya): “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya khamar, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.” Ayat 90.


“Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab khamar dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan solat. Oleh itu, mahukah kamu berhenti ( daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil?)” Ayat 91.

MENGHALALKAN MINUMAN KHAMAR (WINE)

Pada akhir-akhir ini ada golongan dan kumpulan-kumpulan yang mana ahli-ahlinya terdiri daripada orang-orang yang dilahirkan Islam yang mengaku diri mereka sebagai orang-orang yang ‘beriman’ dan moderate yang menyebarkan Islam. Mereka bukan sahaja tidak mementingkan pakaian yang menutup aurat bagi lelaki dan wanita bahkan selalu mempertikaikan huhum-hukum syari’e yang sedia ada diguna pakai dan juga mempersoalkan perintah-perintah Allah Subhanahu Wata’alaa dan RasulNya Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.

Mereka itu menghalalkan minuman khamar (wine) mengikut alasan-alasan dan justifikasi nafsu mereka sendiri. Mereka menghidangkan minuman-minuman khamar (wine) kepada pengikut-pengikut atau jemputan majlis yang hadir sebelum atau selepas perjumpaan atau upacara yang diadakan. Maka kumpulan-kumpulan itu bolehlah diberi nama kumpulan elit jahiliyah.

Golongan dan kumpulan-kumpulan yang tutur kata mereka tidak selari dengan apa yang berada dalam hati mereka itu ada pada bila-bila masa, dan mereka adalah golongan dan kumpulan-kumpulan yang dikutuk dan dimurkai Allah Subhanahu Wata’alaa.

Firman Allah Subhanahu Wata’alaa (maksudnya): “Dan di antara manusia ada yang berkata: “Kami telah beriman kepada Allah dan kepada hari akhirat”; padahal mereka sebenarnya tidak beriman.” Surah Al-Baqarah, Ayat 8.

WALLAHU A’LAMU BISSAWAB.

Hari Isnin
23 Jamadil Awal 1430 Hijriyyah
18 Mei 2009

No comments: