Saturday, January 24, 2009

MUSAFIR HAJI 1429 HIJRIYYAH

BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIIM

UMRAH WAJIB

Mutawif

Mengikut jadual jemaah haji yang mengerjakan haji secara tamattu’ yang datang dengan penerbangan KT82, Maktab 86, yang tiba dari Jeddah terus masuk ke Makkah Al Mukarramah pada tengahari hari Khamis 29 Dzil Qaedah 1429 Hijriyyah bersamaan dengan 27 November 2008 dijadualkan mengerjakan umrah wajib pada pukul 9.30 malam itu.

Umrah wajib ini dipimpin oleh seorang mutawif yang ditugaskan membawa jemaah haji tersebut.

Oleh kerana jemaah haji telah siap sedia berada di lobi hotel lebih awal, maka kami dibawa oleh mutawif keluar daripada hotel pukul 8.50 malam dan berkumpul dalam Masjid Al Haram pukul 9.30 malam disusuli dengan taklimat kerja-kerja umrah malam itu.

Pintu No. 79

Kami dibawa masuk ke dalam masjid melalui pintu No. 79. Pintu 79 ini mengadap terus ke jalan balik ke hotel Al-Barkati. Kami yang baru pertama kali memasuki Masjid Al Haram telah diminta supaya mengingati Pintu No. 79 itu untuk memudahkan kami balik ke hotel jika berlaku ketinggalan dan sebagainya.

Masjid Al Haram mempunyai 112 pintu kesemuanya dan pintu-pintu itu kelihatan sama sahaja bentuknya. Jika jemaah haji tidak mengambil ingatan nombor-nombor pintu mana yang mereka masuk, maka ada kemungkinan akan berlaku kekeliruan jalan hendak balik ke tempat tinggal masing-masing.

Disamping itu juga, bagi jemaah haji yang baru datang diminta berjalan dalam kumpulan yang sama dan elak daripada berjalan-jalan berseorangan sepanjang masa, tak kira waktu malam atau siang.

Tambahan lagi pada masa hampir-hampir jemaah haji hendak bertolak ke Arafah iaitu 10 hari terakhir sebelum wuquf. Ketika ini jemaah haji wanita dinasihatkan supaya tidak keluar bersolat di Masjid Al Haram kerana terdapat terlalu ramai jemaah haji daripada seluruh dunia berada di situ.

Mengerjakan Umrah Tanpa Mutawif

Malam itu aku dan Azian tidak dapat mengikuti mutawif yang ditugaskan untuk memimpin umrah kerana pada saat-saat akhir Azian terpaksa berwudhu’ semula. Aku memaklumkan kepada mutawif berkenaan yang mana aku dan Azian akan mengerjakan umrah sendiri kerana tidak mahu jemaah haji lain menunggu kami. Aku nampak mutawif itu kurang yakin dengan permintaanku itu. Setelah beberapa kali mutawif itu meminta kepastian, maka aku dapat meyakinkannya bahawa aku dan Azian, InsyaAllah, dapat mengerjakan umrah sendiri. Akhirnya mutawif itu mengangguk tanda bersetuju dengan permintaanku itu.

Aku dan Azian memulakan tawaf pada kurang lebih pukul 9.40 malam. Selepas sa’ie kami bertahlul serta berdoa. Ketika itu kami melihat jam kocekku sudah menunjukkan pukul 1.00 pagi hari Jumaat 30 Dzil Qeadah 1429 Hijriyyah bersamaan dengan 28 November 2008. Selesailah sudah umrah wajib kami.

”Ya Allah, kurniakanlah haji yang mabrur, Sa’ie yang diterima, dosa yang diampuni, amal soleh yang diterima dan usaha yang tidak mengalami rugi”.

Solat Jumaat

Hari kedua kami berada di kota Makkah Al Mukarramah ialah hari Jumaat iaitu 8 hari sebelum masuk hari Tarwiyah 8 Dzil Hijjah untuk bertolak ke Arafah. Ketika inilah kota Makkah Al Mukarramah dibanjiri lautan jemaah haji. Jalan-jalan dan lorong-lorong di sekeliling Masjid Al Haram kelihatan penuh dengan jemaah haji. Pada setiap waktu solat kelihatan jemaah haji berjalan pergi dan balik ke masjid berduyun-duyun, bersusun-susun, berbaris-baris memutih seolah-olah macam anai-anai keluar masuk busut sarangnya.

Pemandangan yang indah dimana orang ramai secara bebas berjalan kaki dengan teratur, hormat menghormati hak masing-masing, itu tidak pernah aku lihat di mana-mana kecuali di Masjid Al Haram di Makkah Al Mukarramah dan Masjid Al Nabawi di Madinah Al Munawarah sahaja.

Kurang lebih jam 10.00 pagi aku turun ke Masjid Al Haram untuk bersolat Jumaat dengan harapan mendapat tempat duduk di dalam masjid. Sesampainya aku di sana jemaah haji telah sedia ramai berada di luar dan di dalam masjid. Bila dilihat daripada jauh sudah tiada lagi tempat dan ruang yang kosong. Di dalam masjid jemaah haji telah penuh, ada yang membaca kitab suci Al-Quran Al-Kariim dan ada yang bersolat.

Aku cuba naik ke tingkat satu dan di sana juga penuh. Masjid Al Haram ini ada 4 tingkat iaitu tingkat bawah, tingkat 1(ground floor), tingkat 2, dan bumbung dan mempunyai keluasan keseluruhan bangunan iaitu 76,000 meter persegi termasuk keluasan 4 tingkat tempat solat.

Aku turun balik ke tingkat satu (ground floor) dan lalu celah-celah jemaah haji yang ramai itu terus ke kawasan tawaf. Jemaah haji masih ramai yang mengerjakan tawaf. Aku duduk dalam panas di lingkaran luar sedikit supaya tidak mengganggu halang laluan jemaah haji yang sedang mengerjakan tawaf itu. Aku dapat duduk mengadap Multazam dan Makam Ibrahim. Alhamdu lillah.

Waktu solat Jumaat hari itu ialah pada pukul 12.11 tengahari.

Hari Sabtu
27 Muharram 1430 Hijriyyah
24 Januari 2009

No comments: