Saturday, January 17, 2009

MUSAFIR HAJI 1429 HIJRIYYAH

BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIIM

KANDUNGAN BUKU “PANDUAN UNTUK JEMAAH HAJI DAN UMRAH”

Bas yang aku dan isteriku naik dari Jeddah bersama-sama dengan jemaah haji lain tiba di hotel Al Barkati yang terletak di Syari’ Jabal Al Ka’bah (Jalan Bukit Ka’bah). Di sinilah kami jemaah-jemaah haji seramai 251 orang ditempatkan sepanjang kami berada di Makkah Al Mukarramah iaitu dari hari Khamis 29 Dzil Qaedah 1429 Hijriyyah bersamaan dengan 27 November, 2008 sehingga hari Ahad 30 Dzil Hijjah 1429 Hijriyyah bersamaan dengan 28 Disember, 2008.

Hotel ini disewa keseluruhannya oleh Tabung Haji Travel Services bagi menempatkan jemaah-jemaah haji daripada Malaysia sahaja. Pada musim haji tahun ini, jemaah haji yang ditempatkan di sini seramai 251 orang.

Aku dan isteriku Azian tinggal di bilik nombor 1302 di tingkat 13. Hotel ini mempunyai 14 tingkat sahaja. Jauhnya dari hotel ke Masjid Al Haram kurang lebih 300 meter.

Sebaik sahaja kami (aku dan Azian) memasuki bilik kami, aku teringat akan sebuah buku kecil yang bertajuk ”PANDUAN UNTUK JEMAAH HAJI DAN UMRAH SERTA PENGUNJUNG MASJID RASUL SALLALLAHU ’ALAIHI WASALLAM” cetakan Kementerian Hal Ehwal Islam, Wakaf, dan Bimbingan, Riyadh, keluaran tahun 1429 Hijriyyah, yang mana diedarkan sebelum kami melepasi pemeriksaan imigresen di lapangan terbang Jeddah. Buku itu tak sempat aku baca ketika aku berada di atas bas.

Aku mula menyemak tajuk-tajuk isi kandungan buku tersebut dan memilih tajuk ”PERKARA-PERKARA YANG MEMBATALKAN ISLAM” di muka surat 13, untuk dibaca.

Isi kandungannya di bawah tajuk tersebut amat menarik dan amat berkaitan dan hampir sekali dengan sifat-sifat umat Islam semasa ( hadhari, present, current).

Aku telah membacanya berulang kali supaya dapatku sematkan ke dalam ingatanku baik-baiknya. Aku juga telah memikirkan bahawa isi kandungan tajuk tersebut elok dikembang perturunkan sebagai azimat benteng perlindungan hidup anak-anak cucu-cucu dan zuriat keturunanku, InsyaAllah.

Berikut adalah isi kandungannya:

Saudara muslim! Ketahuilah, bahawa terdapat beberapa perkara yang boleh membatalkan Islam seseorang. Antara yang paling banyak terjadi ialah sepuluh perkara. Maka
hindarilah diri anda daripadanya.
Pertama:
Syirik iaitu mempersekutukan Allah dalam ibadat. Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala: ”Sesungguhnya sesiapa yang mempersekutukan Allah, nescaya Allah, mengharamkan Syurga baginya dan tempat tinggalnya (kelak) adalah neraka, dan tiada penolong bagi orang-orang yang zalim”. (Surah Al-Maidah, Ayat 72)
Antara perbuatan syirik tersebut ialah: Meminta doa dan pertolongan dari orang-orang yang telah mati, bernazar dan menyembelih korban kepada mereka.
Kedua:
Menjadikan sesuatu sebagai perantara di antara dirinya dengan Allah, meminta doa dan syafaat serta berserah diri (tawakkal) kepada perantara itu. Orang yang melakukan perkara tersebut, menurut kesepakatan (ijma’) ulama’ adalah kafir.
Ketiga:
Tidak mengkafirkan orang musyrik atau ragu-ragu terhadap kekufuran mereka atau membenarkan fahaman mereka. Dengan melakukan demikian, ia telah kafir.
Keempat:
Berkeyakinan bahawa petunjuk yang lain daripada pertunjuk Nabi sallallahu ’alaihi wasallam adalah lebih sempurna atau berkeyakinan bahawa hukuman yang lain daripada hukuman Nabi sallallahu ’alaihi wasallam seperti mereka yang mengutamakan peraturan thaghut (peraturan manusia yang melampaui batas dan menyimpang dari hukum Allah) dan mengenepikan hukum Rasulullah sallallahu ’alaihi wasallam. Maka orang yang berkeyakinan seperti itu adalah kafir.
Sebagai contoh:
a- Berkeyakinan bahawa peraturan atau perundangan yang dibuat oleh manusia lebih utama daripada Syariat Islam;
· atau perundangan Islam tidak sesuai dilaksanakan di abad kedua puluh satu.
· atau Islam adalah sebab kemunduran kaum muslimin.
· atau Islam hanya mengatur hubungan manusia dengan Tuhannya sahaja dan bukan urusan kehidupan dunia.
b- Berpendapat bahawa melaksanakan hukum Allah Subhanahu Wa Ta’ala dalam perkara hukum hudud seperti memotong tangan pencuri dan merejam penzina yang telah berkahwin (muhsan) tidak sesuai lagi pada masa kini.
c- Berkeyakinan bahawa dibolehkan untuk mengamalkan perundangan yang lain daripada syariat yang diturunkan oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala samada dalam hukum mu’amalat (perdagangan) atau dalam melaksanakan hukum hudud (jenayah) atau lainnya sekalipun tidak disertai dengan keyakinan bahawa hukum-hulum tersebut lebih utama daripada Syariat Islam, kerana dengan sedemikian ia telah menghalalkan perkara yang diharamkan oleh Allah menurut ijma’ ulama.
Setiap orang yang menghalalkan perkara yang sudah jelas dan tegas diharamkan oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala dalam agama seperti zina, arak, riba dan melaksanakan perundangan yang lain dari syariat Islam adalah kafir menurut kesepakatan umat Islam (ijma’).
Kelima:
Membenci sesuatu yang telah ditetapkan oleh Rasulullah sallallahu ’alaihi wasallam sebagai syariat walaupun ia mengamalkannya. Dengan melakukan demikian, ia telah menjadi kafir, kerana firman Allah: ”Demikian itu adalah kerana mereka benci terhadap sesuatu yang diturunkan olah Allah, maka Allah menghapuskan (pahala) segala amal perbuatan mereka”. (Surah Muhammad, Ayat 9)
Keenam:
Mempersendakan Allah Subhanahu Wa Ta’ala atau kitabNya atau Rasulullah sallallahu ’alaihi wasallam atau sesuatu daripada ajaran agama, maka ia telah menjadi kafir, kerana firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala: ”Katakanlah (wahai Muhammad): Adakah terhadap Allah dan ayat-ayatNya serta RasulNya kamu sekalian memperolok-olok main? Tiada ertinya kamu meminta maaf kerana kamu telah kafir setelah beriman”. (Surah At-Taubah, Ayat 65-66)
Ketujuh:
Sihir, di antaranya ilmu guna-guna (sarf), iaitu mengubah kecintaan seorang suami terhadap isterinya menjadi benci dan ilmu pengasih, iaitu menjadikan seseorang mencintai sesuatu yang tidak disenanginya dengan cara-cara syaitan. Mereka yang mengamalkan sihir atau rela dengannya adalah kafir kerana firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala: ” Sedangkan kedua-dua malaikat itu tidak mengajarkan (suatu sihir) kepada sesiapa pun sebelum mengatakan: sesungguhnya kami hanya cubaan bagimu, oleh itu janganlah kamu menjadi kafir”. (Surah Al-Baqarah, Ayat 102)
Kelapan:
Membantu dan menolong orang musyrikin untuk memusuhi kaum muslimin kerana firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala: ”Dan barangsiapa di antara kamu yang mengambil mereka (Yahudi dan Nasrani) menjadi pemimpin maka dia termasuk di dalam golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim”. (Surah Al-Maidah, Ayat 51)
Kesembilan:
Berkeyakinan bahawa sesetengah individu diperolehkan untuk tidak mengikuti syariat Muhammad sallallahu ’alaihi wasallam. Orang yang berkeyakinan sedemikian adalah kafir kerana firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala: ”Dan sesiapa yang menghendaki selain Islam sebagai agama, maka tidak akan diterima agama itu darinya, dan di akhirat ia tergolong di kalangan orang-orang yang rugi”. (Surah Aali Imran, Ayat 85)
Kesepuluh:
Berpaling daripada agama Allah Subhanahu Wa Ta’ala atau perkara-perkara yang menjadi syarat sah sebagai muslim tanpa mempelajarinya dan tanpa melaksanakan ajarannya. Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala: ”Tiada yang lebih zalim daripada orang-orang yang telah mendapat peringatan melalui ayat-ayat Tuhannya kemudian ia berpaling daripadanya. Sesungguhnya kami akan menimpakan balasan kepada orang-orang yang berdosa”. (Surah As-Sajadah, Ayat 22)
Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala: ”Dan orang-orang yang kafir berpaling daripada perkara yang diperingatkan kepada mereka”. (Surah Al-Ahqaf, Ayat 3)
Dalam perkara yang membatalkan Islam ini, hukumnya tidak berbeza sama ada secara bergurau atau bersungguh-sungguh, sengaja melakukannya atau takut, kecuali apabila diancam dan dipaksa.
Semoga Allah melindungi kita semua daripada melakukan perbuatan yang mendatangkan kemurkaan Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan seksaan yang sangat pedih.

Habis membaca peringatan-peringatan tersebut di atas, aku keluarkan jam kocek ”Rapport Pocket Watch” yang aku beli dengan Ahmad Rohi pada 12 Julai, 1999 di kedai Triggs Jewellers, London Road, Birmingham, U.K. selepas 3 hari Ahmad Rohi menerima Ijazah PhDnya dari The University of Birmingham iaitu pada hari Jumaat 9 Julai, 1999 pukul 4.45 petang.

Jarum jam menunjukkan pukul 2.30 petang. Aku dan Azian berehat-berehat sekejap sambil menunggu masuk waktu ‘Asar pada pukul 3.17 petang.

Hari Sabtu
20 Muharram 1430 Hijriyyah
17 Januari 2009




No comments: