Friday, January 16, 2009

MUSAFIR HAJI 1429 HIJRIYYAH

BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIIM

SEBUAH CATITAN DARI RUMAH KUALA KUBU BHARU KE LAPANGAN TERBANG ABDUL AZIZ, JEDDAH.

Pada petang hari Rabu 26hb November 2008, hujan agak lebat juga. Kurang lebih jam 5.30 petang selepas solat Asar, aku dan isteriku Azian keluar dari rumah dibawa oleh anak-anak kami Dzil Azza (Azza) dan Ahmad Rohi (Ei) untuk pergi ke Kompleks Tabung Haji di Kelana Jaya, Selangor. Tujuannya untuk menghantar kami berdua pergi ke tanah suci Makkah Al Mukarramah menunaikan ibadat haji iaitu rukun Islam yang kelima.

Dalam perjalanan kami ke sana, kami singgah di masjid Kelana Jaya untuk bersolat sunat ihram. Di situ sempat juga kami makan nasi ikan yang sedia dibawa sebagai bekalan. Nasi ikan ini disebut macam juga ”nasi ayam” yang mana kedua-duanya bukan bererti nasi makanan ikan atau nasi makanan ayam. Kadang-kadang sebutan-sebutan sebegitu mengelirukan juga. Apa pun itulah bahasanya.

Di masjid Kelana Jaya ini juga aku memakai ihram dan kami berdua sama-sama berniat ihram umrah. Mula dari sini kami wajib meninggalkan larangan-larangan dalam ihram. Umumnya larangan-larangan itu terbahagi kepada 5 kategori iaitu: 1- Pakaian, 2- Wangian, 3- Kecantikan, 4- Alam sekitar, dan 5-Hubungan kelamin.

Niat umrah ini hendaklah dilakukan samada berada di Miqat atau sebelumnya. Kerana kami mengerjakan haji tamattu’ dan perjalanan kami dari tanah air terus ke Makkah Al Mukaarramah, maka Miqat kami ialah Qarn Al Manazil.

Mengerjakan haji tamattu’ bermaksud berniat umrah pada bulan-bulan haji dan menunaikan semua amal ibadat yang berkaitan dengan umrah. Apabila tiba waktu haji pada tahun yang sama ia akan berihram haji pula dan menunaikan amal ibadat yang berkaitan dengan haji.

Terdapat tiga cara menunaikan haji iaitu:-
1. Haji Tamattu’
2. Haji Ifrad dan
3. Haji Qiran

Sesampainya kami di Kompleks Haji, keadaan masih hujan lagi. Orang ramai samada jemaah haji atau kaum keluarga yang menghantarnya pada ketika kami sampai telah penuh duduk di bawah khemah-khemah yang disediakan. Khemah-khemah itu tidak dapat menampung orang-orang yang hadir pada malam itu.

Orang ramai yang datang lambat berpusu-pusu mencari tempat perlindungan daripada cucuran air hujan. Termasuklah kami bertiga beranak (aku, isteriku dan anak kami Azza). Ei terpaksa menunggu dalam kereta kerana kesusahan ”parking” .

Azza berlari-lari membawa beg besar kami mencari kaunter pendaftaran. Kami juga ikut berkejar-kejar ke sana kemari, masing-masing membawa ”hand luggage”. Akhirnya Azza hantarkan beg besar kami yang dibawanya itu melalui pintu pemeriksaan tanpa mendaftar terlebih dahulu. Dalam keadaan sebegitu mana-mana urusan yang boleh dilakukan dahulu bolehlah diterima bagi mengurangkan kekalutan keadaan semasa.

Selepas Azza menghantarkan kami berdua masuk melalui lorong pemeriksaan, kami diminta berbaris – barisan untuk lelaki dan barisan untuk wanita. Tujuannya hanya untuk mengambil paspot haji kami dan untuk timbang beg besar. Oleh kerana kaunter berasingan dan jumlah bilangan orang yang beratur tak sama lelaki dan wanita dan masa berurusan yang diambil oleh petugas kaunter berbeza, maka aku yang mendapat paspot lebih awal terpaksa menunggu isteriku yang masih berada di kaunter paspot.

Di luar Kompleks Haji hujan masih tak reda-reda – lebat lebi.

Selepas mengambil paspot, kami diminta masuk ke dalam bilik taklimat. Di sana kami mula teringat Ei yang menunggu dalam keretanya. Kami tak sempat berjumpa dengannya. Di mana Ei menunggu Azza dalam hujan lebat itu?

Selesai mendengar taklimat berkaitan dengan perjalanan haji kami, kami diminta menaiki bas-bas yang sedia menunggu untuk membawa 442 orang jemaah haji terus ke KLIA.

Ketika dalam perjalanan ke KLIA itu hujan masih lagi turun. Bas-bas terus berjalan dengan diiringi polis trafik yang mengawal lalu lintas supaya bas-bas yang kami naiki selamat sampai dan tepat pada masa yang dijadualkan.

Semasa menaiki kapalterbang Saudi Air, jemaah-jemaah berjalan masuk ke dalam kapalterbang kebanyakannya tidak bersuara. Kami tidak mengerti mengapa jadi begitu. Kapalterbangnya besar namun tempat duduknya disusun rapat-rapat menjadikan kelas ekonomi semua sekali.

Kapalterbang Saudi Air berlepas dari KLIA ke Jeddah kurang lebih jam 1.30 pagi pada hari Khamis 27 November 2008.

Dalam penerbangan ini jemaah haji juga diam-diam sahaja dan terus sunyi kecuali pelayan-pelayan kapalterbang yang sibuk dengan urusan mereka sendiri. Kami mula merasa hairan dengan keadaan senyap sunyi di dalam sebuah kapalterbang yang besar yang penuh dengan penumpang. Dengan keadaan sebegitu kami pun sama-sama diam. Sekali sekala kami berbisik diantara satu sama lain bila perlu nak bercakap.

Selepas kurang lebih 8 jam penerbangan dari KLIA, maka Saudi Air pun mendarat di lapangan terbang Abdul Aziz, Jeddah, pada pukul 3.00 pagi waktu tempatan bersamaan jam 8.00 pagi waktu kita di tanah air. Suhu di Jeddah ketika ini ialah 23 degree celcius. Jemaah-jemaah Haji yang tadi senyap di dalam kapalterbang, dah mula bercakap-cakap dan sedikit hingar bercampur dengan bunyian pergerakan jemaah-jemaah bangun dan mengambil barang-barang milik sendiri yang dibawa bersama.

Waktu solat subuh hari Khamis itu ialah jam 5.15 pagi waktu tempatan. Kami bersolat subuh di ruang menunggu imigresen. Tiada musalla disediakan.

Kami bertolak dari Jeddah dengan menaiki bas ke Makkah Al Mukarramah pada jam 9.30 pagi dan sampai di kota Makkah Al Mukarramah kurang lebih jam 12.00 tengahari, 29 Dzil Qaedah 1429 Hijriyah bersamaan 27 November, 2008. Kami telah dijadualkan untuk mengerjakan ibadat Umrah Wajib malam itu juga iaitu jam 9.30 malam waktu Makkah Al Mukarramah.

Hari Jumaat
19 Muharram 1430 Hijriyyah
16 Januari 2009

No comments: